AKU membiarkan sahaja air mata mengalir melepasi pelipis.
Membasahi tilam kepunyaan arwah nenek. Memencilkan diri daripada keriuhan
tetamu yang rancak bergilir-gilir melaungkan bacaan daripada surah-surah di
dalam Al-Quran di ruang tamu.
Sudah empat jam sejak jenazah nenek dikebumikan. Sudah empat jam
juga rasanya aku menangis di dalam bilik ini. Di sini, aku ditenggelami rasa
kesal yang setiap saat menimbun dan menggunung. Satu demi satu pengorbanan
nenek bergentayang di ruang minda. Berterusan menjemput rasa bersalah
bermaharajalela.
“Dhia,” suara itu sekali lagi menyapa pendengaran. Seperti
beberapa jam yang lalu, aku membiarkan sahaja. Berharap agar suara itu berlalu
pergi seperti sebelumnya.
“Dhia, sudahlah tu. Nanti Dhia sakit pula kalau Dhia berterusan
bersedih begini,” tuturnya lagi seraya melabuhkan punggung di atas tilam.
Menghampiri tubuhku.