Monday, 9 November 2015

BUKAN KERANA BENCI (Bab 2)



AKU duduk bersimpuh di sisi nenek. Tubuhnya yang kurus kering, kaku terdampar di atas katil mengundang rasa simpati yang bukan sedikit di kolam hatiku. Aku sedaya-upaya mempamer riak bersahaja. Walau perasaan hiba di sekelilingku sudah menyentuh kesedihan di dalam hati ini. Aku tidak mahu menangis di sini. Biar apa pun kehendak nenek, aku sudah nekad takkan tewas lagi.
Bukan di hadapan ayah dan abangku. Apa lagi di hadapan Mak Long Bibah dan anak-anaknya. Terutama anak bongsunya yang seorang itu. Aku takkan menangis lagi. Setelah aku kuburkan rasa simpati dan pahatkan kecekalan di dalam hati. Tidak patut aku menangis di hadapan mereka lagi.
Sudah cukup aku menangis dahulu. Sudah cukup aku menerima penghinaan orang dahulu. Sudah puas aku menangis sebab ditertawakan orang luar. Sehingga aku mula hidup bersendiri. Menyembunyikan diri daripada orang luar, dan akhirnya daripada keluarga sendiri. Hidup tersisih dan disisih.
Aku merapatkan tubuhku mendekati nenek dan mula merebahkan tubuh ini agar sedikit berbaring dan mula memeluk bahunya. Pipi dan dahi nenek aku cium, lembut sekali. Sehingga nenek membuka matanya luas-luas.

Bila dia terpandangkan aku, serta-merta dia gagahi diri, mengukir senyuman buatku. Rasa teruja sebentar jelas dipamer padaku. Seiring dengan itu, ada air matanya yang laju, tumpah dari mata yang bening itu. Aku seka air matanya dengan hujung jariku.
Sehingga aku rasakan kolam mataku mula berkaca-kaca. Aku cekalkan hati lagi. Sekuat dan segagah semangatku. Lalu, dalam kepayahan, aku ukirkan senyuman manis buat nenek. Biar dia tak terasakan kemarahanku yang tidak pernah surut. Biar dia terlupa akan kata-kata sinisku dahulu. Biar dia tenang tika dan saat itu di hadapanku. Tiada marah dan benci dipamer di wajahku. Sekilas, ada rasa rindu yang tiba-tiba memanjat tangkai hatiku.
Lama benar aku tidak balik ke kampung. Sayup-sayup gambaran kejadian setahun lalu menginjak kotak ingatanku. Kali terakhir aku menziarahi nenek. Muncul sekeping demi sekeping. Berputar dan semakin jelas di ingatan. Lalu, mekar semula kesakitan dalam hatiku. Kesedihan akibat tindakan nenek yang bersekongkol dengan cucunya yang seorang itu.
Aku pantas merajuk membawa diri. Semakin menjauh dan menyepi. Aku tidak pernah mengerti mengapa nenek setega itu. Terlupa keperitan yang aku alami selama ini. Pasti, pada tika dan saat itu, sudah terlontar jauh kemarahan dari hati nenek kepada Aqil Rafiqin. Tapi, bukan AKU!
Terkial-kial nenek mengangkat tangannya, menyentuh tanganku. Sehingga tertepis seketika lamunan aku yang terhenti pada dua tahun lalu. Aku usap jari jemari nenek perlahan-lahan.
“Dhia...Dhia dah...balik, kan?” tanya nenek dengan suara yang tersekat-sekat. Memandang tepat padaku. Aku mengerti maksud renungan itu. Hatiku tersentuh lagi. Terbias tiba-tiba soalan Rafiq tadi. Kenapa Dhia tak boleh berkorban untuk nenek? Walau untuk sekejap sahaja. Biar dia ‘pergi’ dengan tenang.
Perasaan hiba menyusup perlahan ke dalam hatiku. Singgah dan mula bertakung di dalam persada hati ini. Terasa berkocak perasaan ini tiba-tiba. Aku paling muka, tidak mahu setentang dengan mata nenek. Namun, entah kenapa air mataku tumpah juga. Seakan mengerti ketidakupayaan diri. Aku sering kalah acapkali berhadapan dengan kehendak nenek. Aku sering tewas apabila berdepan dengan air mata nenek. Di sini, di hadapan semua, aku menangis lagi.
“Dhia...nenek minta… maaf sangat...sangat. Nenek tahu… kenapa Dhia benci nenek...sangat-sangat,” desis suara nenek, semakin kurang jelas di pendengaranku.
Terasakan sebak sungguh hatiku. Air mata sudah bertakung dalam tubir mata. Menunggu aku pejam, pasti air mata itu merembes laju melepasi pipi. Seakan ada acara balapan pada hamparan wajah ini.
Aku cuba membuka mataku selebar-lebarnya. Menahan air mata agar jangan tumpah walau setitik. Aku kena kuat! Aku kucup jemari nenek sangat-sangat. Memohon ampun daripadanya. Biar dia tahu betapa sayangnya aku.
“Nek, jangan cakap macam tu. Nenek tak salah. Dhia yang salah, nek. Dhia sayang nenek. Dhia minta maaf sebab abaikan nenek. Dhia minta maaf sebab libatkan nenek dalam kemarahan Dhia. Dhia minta maaf, nek,” tuturku, ikhlas memohon kemaafan daripada nenek.
Satu-satunya insan yang sering membela aku. Menjadi tempat mengadu dan menyembunyikan kekurangan diri. Aku tenang dalam lindungan nenek. Mungkin sebab itu, aku marah sangat-sangat apabila nenek turut mengkhianati kepercayaanku, kasih sayangku dan paling utama beralih landasan daripada membela aku.
“Dhia...nenek sayang... Dhia sangat-sangat. Nenek tak pernah...rasa jijik...memandang Dhia” sayu suara nenek dibaluti perasaan sebaknya.
Akhirnya, aku pejam mata rapat-rapat. Berderai air mata keluar dari kelopak mataku. Laju membasahi pipi. Aku sapu dengan jemari halusku. Terimbas seketika kenangan dua puluh tahun yang lalu. Aku masih ingat semuanya. Di situlah puncanya. Di situlah parut ini ditoreh Aqil Rafiqin. Dua puluh tahun dahulu.
“Dhia tahu, nek. Dhia tak pernah salahkan nenek”, luahku lagi. Menahan sendu yang semakin membuak-buak jatuh. Aku dapat rasakan, bukan setakat senduku yang tertahan-tahan. Bahkan, Mak Long Bibah juga sudah dipaut sebak yang sama. Ada air mata yang bergenang di kelopak mata ayahku dan Abang Irfan yang sedari tadi membisu seribu bahasa.
Baru sahaja mataku mahu dikalih kepada nenek, suara nenek sudah mula memanggil nama cucunya yang seorang itu.
“Rafiq,” panggilnya, betul-betul mengguris hatiku. Sebab tika dan saat ini, segala-galanya seakan berulang tayang sekali lagi. Aku tahu itu.
Baru aku mahu bangun daripada dudukku, tubuh Rafiq sudah berada di sisiku. Betul-betul di belakangku. Rapat dengan tubuhku. Tangannya diletak sebelah di bahuku. Menarik sama agar aku kembali duduk bersamanya, di sisi nenek. Aku gigit bibirku sedikit. Sakit! Lebih hebat lagi kesakitan dalam hatiku sekarang ini.
“Nek, Rafiq ada di sini, nek,” maklumnya.
Aku jungkit bahuku. Berharap Rafiq mengerti maksudku. Mahu dia melepaskan tangannya dari berterusan berpaut di bahuku. Aku sempat dengar dia menghela nafas berat sebelum tangannya dialihkan dari bahuku. Mataku masih berpaling daripada menatap mata nenek. Tidak mahu berlaga dengan mata itu. Aku takut tidak dapat bertahan dengan rintihan dalam mata nenek saat itu. Tanganku menggeletar tanpa sedar.
Seakan sudah bersedia menanti kemungkinan yang terungkap oleh nenek. Seperti yang sudah dicanang Rafiq padaku sebentar tadi, di luar rumah. Melihat Rafiq sudah duduk di sisiku, nenek memandang kami silih berganti. Semakin kuat tangisannya dan sudah tidak ditahankan. Dibiarkan bertaburan. Agaknya mahu menghempap hatiku agar berasa simpati. Aku cuba bersabar hati.
“Nek, janganlah begini. Cakap pada Rafiq kalau Rafiq berbuat salah. Rafiq minta maaf,” suara Rafiq benar-benar menjentik sesuatu dalam hatiku. Perasaan aneh yang menyelinap perlahan. Aku kurang mengerti. Tapi sayang, hanya singgah sebentar sahaja. Masih tak dapat membasuh kesakitan yang mengotor dalam hatiku.
“Nek, jangan begini nek. Jangan menangis. Cakaplah apa yang nenek nak, Rafiq janji akan penuhi semuanya. Rafiq janji, nek,” pujuknya, lembut.
Air mata nenek disekanya dengan jemarinya. Tatkala dia mahu menunduk dan mengucup tangan nenek, terasa tubuhnya berlaga dengan tubuhku. Aku mengelak dan sempat menikam matanya dengan renunganku. Seakan menghadiahkan amaran buatnya. Tapi, dia tidak peduli langsung.
Dalam masa yang sama aku mencebik hebat sekali. Rasa nak termuntah, aku tahankan. Mendengar janji lelaki itu, membuak-buak perasaan menyampah dari kolam hatiku. Geli-geleman tubuhku mendengar ungkapannya itu. Senangnya dia berjanji. Seperti dua tahun lalu. Seperti dua puluh tahun dahulu. Mudah sungguh!
“Rafiq...kau terima Dhia, ya? Kau jagalah dia...dengan penuh kasih sayang. Kau bimbinglah dia... jauh dari dunia...kebencian. Kau bahagiakan dia, cu. Dhia berhak bahagia,” pinta nenek, walau seakan berat untuk menuturkan, sedaya-upaya dia gagahkan juga. Bersama esak tangisnya, amanah itu meluncur seperti satu janji. Satu tanggungjawab. Satu amanah!
Aku sudah agak itu. Kaku! Aku kaku tanpa kata. Tanpa air mata. Tiba-tiba sahaja air mata yang mahu keluar tadi, tersekat tanpa sedarku. Tiada gelora yang menghempas daerah hati yang telah lama ditawan benci.
Aku dapat melihat dari hujung ekor mataku. Rafiq mengangguk untuk setiap permintaan nenek. Tidak sekali pun bertanyakan pendapatku. Jauh sekali dia menerima kata-kata tegasku beberapa minit yang lalu. Di luar rumah nenek tadi. Sementelah, semua mata sudah tertumpu kepadaku. Seakan menunggu reaksiku. Menunggu jawapan daripadaku.
“Rafiq… cukuplah sudah, cu. Tegaslah… tegaslah… paksa Dhia… kau kena paksa Dhia… terima.. kau. Jangan… berlembut lagi,” pinta nenek lagi. Menghentak hebat hatiku.
Terbeliak mataku. Aqil Rafiqin juga begitu. Kaku seketika, sebelum sekilas menoleh padaku. Aku beliakkan mata lebih besar. Mahu melahap dia hidup-hidup. Andai dia sanggup berjanji kosong pada nenek. Aku bersedia memanah amaran lewat tujahan mata yang menikam. Sesaat, Aqil Rafiqin menghempas nafas yang terasa sarat menggasak dan memukul hebat dalam dadanya. Kemudian berkalih semula pada nenek.
“Maafkan Rafiq sebab jadi lelaki dayus selama ini. Maafkan Rafiq, nek. Rafiq janji apa yang nenek hajati akan termakbul. Rafiq akan usahakan walau apa cara sekalipun.”
Gugur sudah jantungku dari tangkainya. Terjerembap, tak mungkin bangkit kembali. Punah sudah harapanku pada nenek yang terbujur layu. Rasa benar-benar dikhianati. Seperti dua tahun dahulu. Janji itu merengkuh, menjunjung dan menatang segala perit dalam hidupku.
“Dhia” panggil nenek, membuat aku termangu. “Dhia, terima Rafiq, ya? Maafkanlah Rafiq.”
Menggeletar hebat tubuhku. Namun aku buat tidak terusik dengan permintaan nenek tadi. Aku merenung mata nenek lama-lama. Hatiku bagai disagat, ngilu sungguh. Sakit, bila nenek yang sememangnya mengerti penderitaanku ini, memohon kemaafan bagi pihak lelaki itu. Dalam termangu itu, aku sempat menggeleng.
Aku rasa dibuang sungguh. Tipu! Tiada siapa pun mengerti perasaanku ini. Bukan nenek, dan pastinya bukan Rafiq. Sehingga aku mati sekali pun, aku tidak akan terima Rafiq sebagai suamiku. Tidak sekali-kali!
“Dhia, maafkan Rafiq, ya cu? Terima Rafiq, ya?” tutur nenek lagi sekali. Masih tidak mahu berputus asa. Sayu matanya terkunci pegun padaku.
Air mataku sudah mengalir. Semakin perit bila diperlakukan sebegini. Oleh keluarga sendiri. Ibarat manusia yang tiada perasaan langsung. Semahu-mahunya, mereka membutakan mata melihat kebencianku. Memekakkan telinga mendengar rintihan hatiku. Semakin laju air mataku tumpah. Tidak mahu lagi aku seka.
Sekali lagi, Rafiq letak tangannya di bahuku. Sudah merapatkan tubuhnya di belakangku lagi. Aku dengar dia berbisik, rapat di telingaku.
“Dhia, tolonglah setuju. Abang janji akan bahagiakan Dhia.”
Aku genggam jari-jemariku, seerat mahuku. Seakan mahu sahaja aku layangkan penumbukku ke mukanya saat itu. Biar dia rasakan sakitnya. Biar sampai mati, aku mahu kerjakannya. Sehingga tubuhnya berlumuran darah sekalipun, tidak akan membasuh kebencian yang sudah bermukim dua puluh tahun ini.
“Dhia... tolonglah Dhia. Ikut saja permintaan nenek” tiba-tiba suara ayahku menyampuk. Merayu perkara yang sama. Aku jeling ayahku, dengan ekor mataku. Tajam!
Aku seka air mataku yang berbaki dan tarik nafas dalam-dalam. Mengumpul segala kekuatan yang ada. Dari seluruh tubuh, akal dan hatiku. Kerana aku tahu sebentar lagi. Hanya ada aku seorang diri. Bertarung dengan semua mereka yang mempunyai agenda yang sama. Seperti nenek dan Rafiq, menyokong dan memihak lelaki itu. Termasuklah ayah dan abang Irfan pun. Mengabaikan aku.
“Dhia...Rafiq tak sengaja, nak. Rafiq dah mengaku salahnya. Rafiq akan bertanggungjawab ke atas apa yang dia lakukan. Dan Rafiq akan tebus kesalahan itu, seumur hidupnya. Sampai bila Dhia mahu menghukum Rafiq? Sampai bila Dhia mahu menafikan bahawa Rafiq adalah suami Dhia?” rayu Mak Long Bibah pula, bertentangan denganku. Aku dapat rasakan Rafiq menghela nafas panjang, di sisiku.
“Sampai Dhia mati pun, Dhia takkan terima Rafiq. Tidak mak long, tidak ayah dan jangan harap apa yang abang buat pada hidup Dhia, Dhia akan terima dengan tangan yang terbuka.”
Anak mata aku menyorot jatuh pada wajah Abang Irfan di satu sudut. Janggal aku rasakan apabila abangku yang seorang itu terkunci rapat mulutnya hari ini. Aku masih meletakkan segala kesalahan dua tahun dahulu di bahunya. Kerana dialah lelaki yang bertanggungjawab menikahkan aku dengan Aqil Rafiqin di luar sedarku.
Sudah aku kuburkan namanya daripada memahat di dasar hatiku. Sudah aku buang bayangnya daripada menerjah ruang ingatanku. Bahkan aku butakan mata agar tidak menjamah seraut wajahnya di persada mataku.
“Dhia...” seru nenek, semakin sayu dan pilu. Semakin terdesak dan mula mendesak aku.
Pantas, jemari nenek aku lepas. Bertahankan sisa air mata dan ungkapan kata benci di dalam hati, aku bangkit. Tidak mahu terus-terusan berada dalam kelompok ini lagi. Semakin mendesak dan mendesak hatiku. Yang sudah semakin rapuh dan sebentar akan tewas andai aku tidak ambil tindakan sekarang juga.
Sekilas aku kembali merenung mata nenek untuk ke sekian kalinya. Menyampaikan kedegilan hatiku. Seakan mengerti jawapan daripadaku, nenek pejam mata rapat-rapat. Air matanya berpusu-pusu tumpah di bantal. Sendunya yang ditahankan sebentar sebelum pecah berderai. Aku biarkan sahaja. Sesaat, aku melangkah laju meninggalkan insan-insan yang mengkhianati hidupku.

No comments:

Post a Comment