Pili dipulas
sehingga habis, merembes air laju. Bunyi pancuran air menghentam-hentam sinki
semakin mengkucar-kacirkan hatinya. Air yang berjejeran, disimbah penuh ke
muka. Bertalu-talu, tidak henti-henti dan tanpa memikirkan rambut dan muka yang lencun
dan berbedak tipis menjadi kian basah.
Seketika,
dia berhenti. Tangan menghentak sinki. Nafasnya dilepaskan sekaligus. Bagaikan
ada sekatan yang menyesakkan rongga hidung. Hembusan nafas kian lelah. Jiwanya
pula tidak keruan. Sungguh! Hatinya benar-benar tertekan.
Nour Aien
membawa kelopak matanya menongkah dan merenung sekeping wajah yang di balik
dinding cermin yang bulat. Wajah itu pucat. Tidak berdarah. Lantas, sepasang
tangan dibawa meraup-raup muka. Mengesat segala titis-titis air agar tidak
bersisa. Pipi yang tidak bersolek dan bibir yang dicalit gincu tipis tetap
tampak kusam tidak bermaya.
Dia tarik
nafas dalam-dalam sebelum menghembuskan sekaligus. Letih… Penat… Semuanya
bersatu. Perasaan yang bergelut dalam dada tidak dapat dibayangkan. Kenapa
perkara ini terjadi lagi? Kenapa lelaki itu mesti muncul sekali lagi?
Nour Aien
menghela nafas yang kian sarat. Fikirannya kacau. Sekali lagi, dia bawa tangan
meraup-raup muka. Bagai membuang segala kekusutan yang terpapar pada wajah. Juga…mengusir
kelemahan yang terbentang pada seraut wajah. Biar tidak terbias. Biar tidak
terpamer di situ. Setelah dia cuba pacakkan kekuatan dan setelah dia bina
benteng keimanan, Nour Aien takkan biar lelaki yang di luar sana
menindas-nindas dirinya lagi.
Tidak!
Cukup!
Akhirnya,
Nour Aien tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan lama-lama. Dia betulkan rambut
yang mengurai menutup dahi dan sedikit basah sebelum mengemam bibir. Serentak
itu, dia tanamkan semangat sekental srikandi terulung.
“Berambus!
Aku tak mahu tengok muka jijik kau depan aku lagi!”
Kata-kata
kesat itu masih segar di ingatannya. Masih terngiang-ngiang di
pendengarannya. Ya, dia ingat pesannya
itu. Selagi nyawa dikandung badan, memang itulah yang dia harapkan. Habis tu,
kenapa lelaki itu pula yang muncul di hadapannya sekali lagi?
Cis!!!
Nour Aien tidak boleh biarkan ini terjadi. Dia nekad untuk meloloskan diri. Aku
nekad untuk tidak berdepan dengannya lagi.
Tanpa
mahu berlengah lagi, dia matikan paip air dan terus melangkah keluar dari bilik
air.
Duppp!
Lelaki
itu ada di situ… berdiri dan menyandar tubuhnya pada dinding di sisi pintu bilik air. Nour Aien
terpempan. Lekas-lekas, air liur ditelan mendadak. Dia dapat rasakan, darah
bagaikan berhenti mengalir dalam tubuhnya. Tempurung lutut menggigil. Tangan
yang masih di daun pintu, kaku dan kembali tidak bermaya sekali lagi.
Lelaki
itu tegakkan badan. Dia seret senyuman sinis. Sepasang matanya menikam tajam ke
dalam mata Nour Aien. Menghantar isyarat yang sama seperti hampir empat tahun
dahulu.
“So, di
sini rupa-rupanya kau bertapa? Aku ingatkan kau dah tertimbus di liang lahad.”
Kelopak
mata Rushdan tidak berkerdip. Seraut wajah Nour Aien menggelupurkan
kesabarannya sedari tadi. Dia cuba kawal suaranya agak tidak meninggi. Tetapi,
Tuhan sahaja yang tahu betapa jijiknya dia menatap wajah hipokrit perempuan
itu.
“Kalau
dah cacing tu, kau sembunyi dekat ceruk mana pun, pasti ketahuan juga. Kau kan
jenis betina yang panas. Mana tahan duduk dalam lubang cacing. Dah sah-sah
Allah nak tunjuk kau pada aku.”
Rushdan
mencebik dan mendekati Nour Aien. Ternyata, perempuan itu bagaikan terkena
renjatan elektrik. Dia baharu sahaja tersedar dan lekas-lekas mahu menutup
pintu bilik air semula. Tetapi langkah Rushdan pantas. Tidak sangka, dia sudah
pun berada betul-betul di muka pintu. Lalu, belum sempat daun pintu merapat,
tangan sasa Rushdan menyanggah di daun pintu. Menolak sekuat hatinya sehingga
pintu terbuka lebar dan Nour Aien terundur setapak.
Nour Aien
menggelabah. Belum sempat dia berbuat apa-apa, Rushdan sudah berada di dalam
bilik air yang sama dengannya. Nafas Nour Aien terhenti. Wajahnya pucat lesi.
Darahnya jadi sejuk dan mula membeku. Dia dapat rasakan ketakutan yang sama
seperti dulu. Laju, pita rakaman di dalam benak akalnya kembali berputar.
Rushdan
semakin baran. Akhirnya, dia dapat bersama dengan Nour Aien sekali lagi. Puas
dia menanti. Puas dia memerhati sejak dua jam tadi. Kesempatan ini tidak akan
disia-siakan. Pedulilah di mana pun. Inilah peluangnya. Peluang untuk
menyelesaikan saki baki dendam yang masih belum bersisa selama empat tahun ini.
“Tuan…apa
tuan…buat ni? Ini bilik air…perempuan.” Nour Aien cuba menarik perhatian
Rushdan agar lebih rasional.
Tetapi,
renungan Rushdan yang kian galak itu, menarik ingatannya kepada kejadian
lampau. Justeru, memanah getir ke seluruh tubuhnya. Masing-masing memfokus
kepada peristiwa hitam yang cuba dibenamkan selamanya. Tetapi hari
ini…peristiwa hitam itulah yang membawa tingkah mereka sebegini rupa.
Tanpa
sepatah kata, Rushdan mara mendadak. Tangan Nour Aien ditarik kasar, sekasar
gerakannya dulu. Serentak itu, Rushdan berpusing dan tubuh Nour Aien melayang
sama.
Sedar-sedar
sahaja, badan Nour Aien terhumban ke daun pintu.
“Tuan…lepaskan
saya! Saya…” tutur kata Nour Aien tiba-tiba tersekat.
Sepertinya
dulu, Rushdan tutup mulutnya kasar. Dengan gerakan bibirnya yang melahap rakus
seluruh bibir Nour Aien. Sehingga nafas Nour Aien terhenti lagi.
Dada
terasa menjadi sempit. Nour Aien cuba sedaya-upaya, bernafas dan menolak tubuh
lelaki yang sedang menindan hampir seluruh badannya ke daun pintu. Tetapi,
badan yang kental dengan tenaganya yang tidak terbilang hebat, membuat Nour
Aien semakin lemah dan hilang keupayaan.
Ketika
itu, kucupan Rushdan berubah rentak. Menari rancak dan mendesak. Mungkin
terlalu lama bibir itu tidak dijamahnya. Entah kenapa, helaan nafasnya yang
mengencang dan pautan bibirnya pula semakin mengganas. Setiap kali menyentuh
bibir itu, tubuhnya bergelut dengan perasaan yang menggelupur dalam dada. Rasa
marahnya tidak pernah padam.
Dia
langsung tidak berhenti walau sedetik pun. Tidak perlu mencari ruang untuk
bernafas atau memberi peluang kepada perempuan yang berlagak polos itu. Semakin
Nour Aien meronta, memukul-mukul belakang badannya, semakin liar tangan Rushdan
merayap turun ke belakang punggung Nour Aien.
Akhirnya,
tenaga Nour Aien mengendur. Tangan yang memukul-mukul belakang badan Rushdan
kni melurut ke pinggang. Lalu, berpaut kejap pada suit hitam yang dikenakan lelaki itu. Dia hampir-hampir lemas dek
kucupan Rushdan yang sungguh luar biasa hebat. Semakin kejam berbanding empat
tahun lalu.
Seketika,
Rushdan menjarakkan bibir mengambil ruang untuk bernafas. Nafas garang Nour
Aien seperti menampar- nampar kulit muka Rushdan. Sedetik kemudian, renungan mereka
bertempur lagi. Sama-sama menghiris tajam. Sama-sama berbicara tegang. Melemparkan
amaran. Memuntahkan amarah yang terpendam.
Tidak
kuasa untuk membuka mulut, Nour Aien ingin sahaja ghaib dari situ pada tika dan
waktu itu. Seperti getir yang memekak-mekak dalam hati, dia tahu Rushdan belum
selesai berurusan dengannya.
Ya Allah,
lindungilah hamba-Mu ini. Apa yang harus aku lakukan lagi? Nour Aien terdaya
menggumam doa dalam dengung nafasnya sendiri.
Seperti
diduga, Rushdan mengheret senyuman nakal. Lidah menjilat sekitar bibirnya
sendiri. Sebelum mengemam, menikmati rasa yang bagaikan masih melekat walau
bibir mereka terasing kini. Nour Aien dihempuk rasa cemas yang berlipat ganda.
Dia berpaling ke sisi apabila sekilas wajah Rushdan merapat kembali. Dan saat
itu, bibirnya terjelopok mendarat di pipi sejuk milik Nour Aien.
Tak
semena-mena, pintu bilik air itu dihentak dari luar. Ditolak kuat sebelum
kedengaran suara orang lain di luar sana. Niat Rushdan terpalang. Hati Nour
Aien pula yang diamuk takut. Apa pandangan orang di luar itu nanti? Bagaimana
kalau-kalau Datin yang muncul?
Melontar
perasaan yang terbit mendadak, sekuat kudratnya, Nour Aien sekali lagi menolak
tubuh Rushdan, sekasar yang termampu olehnya. Rushdan terdorong ke belakang.
Tetapi kemudian merentap bahu Nour Aien semula. Dirapatkan mukanya ke muka
perempuan itu.
“Things are not done and over yet.”
Kata-kata amaran itu dilempar sehingga menambahkan lagi debaran di dada
perempuan yang sedia kecut. Tidak cukup dengan itu, Rushdan mencuit hidungnya
pula sebelum mengherot senyuman nakal sekali lagi. Dan dalam waktu itu, dia
lepaskan tangannya.
Apa
tunggu lagi? Kesempatan itu diraih Nour Aien untuk meloloskan diri. Tanpa
memandang Rushdan yang pastinya bersisa senyuman sinis, pintu tandas dibuka dan
dia keluar sambil menundukkan kepala.
“Ehhh,
ada orang rupanya.”
Suara
sergahan itu langsung tidak diendahkan. Kaki dibawa laju meninggalkan ruang
itu. Seakan mahu berlarian rasanya. Namun, dalam terkejaran dengan ketakutan
ini, dia dapat mengintai-ngintai sindiran wanita tadi kuat menghentak
pendengarannya. Berbalas teguran dengan Rushdan.
“Nour!”
Langkah
Nour Aien mati tiba-tiba.
“Kenapa
ni? Macam kena kejar anjing jer.” Wanita bertudung biru pada usia 50-an tampak
anggun dengan pakaian daripada jenis kain chiffon
merenung tepat ke mukanya.
Nour Aien
terkebil-kebil sambil menelan air liur yang semakin pahit. Seakan cuba memujuk
hati sendiri agar kembali tenang.
“Nour
Aien? Kenapa ni? Muka kamu pucat sangat ni. Kamu tak sihat?”
Nour Aien
dihujani dengan soalan yang bertalu-talu. Betapa bimbangnya wanita itu. Pipi
Nour Aien diterkup dengan telapak tangannya. Wajahnya melakar rasa bimbang yang
jarang dihadiahkan untuk perempuan seperti Nour Aien.
“Tak ada
apa-apa, Datin.” Nour Aien sedaya-upaya menafikan. Dia tidak mahu wanita
berkarisma, merupakan majikan yang banyak berbudi padanya ini turut terbelit
dalam masalah yang dia sendiri tidak tahu macam mana hendak melarikan diri
sekali lagi.
“Kalau
tak ada apa-apa, kenapa muka Nour pucat lesi ni? Macam baru jumpa hantu saja?
Hantu mana yang nak gigit-gigit Nour siang-siang hari ni?” Datin Khalisa
berniat mengusik. Tetapi usikan itu tidak berjaya membuang kepucatan yang jelas
terbentang di wajahku.
“Mungkin,
dia terserempak dengan drakula dari masa silamnya.”
Nour Aien
terpempan. Rushdan muncul di belakangnya, dengan ungkapan yang hanya mereka
berdua sahaja yang faham maknanya. Semacam kena sangat-sangatlah Drakula tu
dengan Rushdan yang seperti dahagakan darah pabila melihat Nour Aien.
Datin
Khalisa menyambut kata-kata Rushdan itu dengan tawa yang bersahaja.
“Tak
sangka, Rushdan ni pandai juga melawak.”
Nour Aien
sekadar diam. Tangan diramas ke seluar slack hitam yang dikenakan di badan.
Meminjam kekuatan. Dia tahu, di khalayak ramai ini sahajalah dia boleh selamat
daripada tingkah Rushdan yang tidak senonoh. Namun, Nour Aien tetap khuatir
kerana anak mata Rushdan tekun mengejar setiap langkah Nour Aien sejak
menghadiri mesyuarat pembinaan hotel baru di Kuching sehinggalah ke ruang makan
sekarang ini.
Dia tidak
boleh tunggu lagi. Semakin lama dia berada di sini, semakin sesak nafasnya.
Fikirannya berlarian kepada seseorang yang berada jauh dari sini. Ohhh! Nour
Aien perlu selamatkan dia. Dia perlu dijauhkan daripada Rushdan. Oh! Nour Aien
buntu. Dia keliru. Dan paling penting, dia takut sangat-sangat.
“Datin….”
Suaranya tergagap-gagap. Fikirannya menerawang.
“Saya
kena balik dulu.” Dia beralasan akhirnya. Tidak sanggup lagi berada di
lingkungan ni. Diburu mata liar Rushdan yang tidak pernah lepas menjejak setiap
gerak-gerinya.
Rushdan
tertanya-tanya. Bagaimana perempuan itu boleh menghilangkan diri tanpa jejak?
Kenapa mesti di Kuching ini? Apa yang istimewa di sini? Semakin lama diperhati,
semakin bergelora jiwanya. Semakin ditatap sesusuk tubuh itu, semakin
berkecamuk emosinya. Fikiran jadi serabut. Hati digilis jentera sangat berat.
Sesak...nafasnya jadi semput. Serentak itu, kemarahan membuak-buak.
Benar!
Dia takkan maafkan Nour Aien. Malah dia tekad membenci Nour Aien seumur
hidupnya.
“Kenapa
nak tergesa-gesa? Kan kita ada perbincangan susulan selepas lunch ni,” tukas
Datin Khalisah, memujuk Nour Aien yang kelihatan tidak tenteram.
“Tapi…saya…saya
lupa berikan pelan yang diubahsuai kepada Hartini pagi tadi…” Nour Aien cuba
mencari alasan walau sebenarnya hanya bohong semata-mata.
“Bukankah
kamu dah bagi pelan yang betul? Kan saya dah luluskan.”
“Eh…emm…saya
ada...ada buat perubahan kecil. Ikut kehendak Dato Swee Min. Dia called semalam. Saya tak sempat beritahu
Datin. Maaf Datin.” Dia tidak mengalah.
Kasihan
lelaki Cina yang tidak bersalah itu. Tak pasal-pasal namanya diheret ke dalam
tipu helah ini. Nour Aien tahu sangat-sangat betapa pentingnya projek Dato Swee
Min kepada Datin Khalisa dan syarikat miliknya ini.
Belum pun
sempat Datin Khalisa mengangguk, arkitek yang hampir empat tahun bekerja
dengannya itu berpaling dan melangkah ke kerusi yang menempatkan beg tangannya.
Selesai merentap beg tangan itu, dia membawa kaki bergegas keluar dari hotel
yang membuka jejak-jejak hitam yang cuba ditinggalkan dulu.
Rushdan
memandang tanpa riak. Bulat matanya merenung tajam. Seketika, pandangan penuh
makna dilontar kepada seseorang yang terpacak memerhati mereka berdua sedari
tadi. Lelaki yang berada di tepi pintu keluar itu mengangguk kecil. Lantas,
jejak Nour Aien dituruti.
(Bakal terbit 2015)
Nice..
ReplyDeleteTq dear
DeleteNice..
ReplyDeleteBest sangat2 .
ReplyDeleteTerima kasih dear
Deletebest cerita nie
ReplyDeletebest cerita ini sis
ReplyDeletebest cerita ini
ReplyDeletebest cerita ini
ReplyDeletebest cerita ini
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete