ANAK mataku
melirik ke jam di dashboard kereta.
Tinggal empat jam lagi Mikael akan sampai. Masih sempat kalau aku singgah di
pusat membeli-belah. Teringin pula nampak cantik di hadapan kekasih hati.
Walaupun, aku tahu dia sentiasa menerima apa pun seadaku.
Kereta
Kancil pemberian abangku, sudah mula memasuki Mid Valley Megamall sewaktu
telefon aku menjerit-jerit lagu Semalam Tanpamu dendangan Stacy dan KRU
menandakan ada pesanan ringkas yang masuk dalam peti inbox.
Aku
kerling sekilas. Sempat melihat nama penghantar pesanan. Aku mengeluh berat.
Malah, sempat juga mencebik. Bukannya aku tidak suka. Masih terngiang-ngiang
kata-kata mereka sejam yang lalu semasa di pejabat tadi. Masih bernanah lagi.
Sakit hati aku ini ada siapa yang mahu ambil peduli?
Kereta
Kancil sudah selamat memarkir di tingkat teratas pusat membeli-belah terkemuka
Mid Valley Megamall. Namun, sebenarnya aku hendak berkunjung ke pusat rawatan
dan dandanan rambut yan terletak di pusat membeli-belah The Garden, yang
terletak setentang dengan Mid Valley Megamall sahaja.
Ironinya,
aku suka parkir kereta di sini. Sudah biasa dengan jalan yang kecil dan sempit
ini. Berbanding di tingkat bawah atau di The Garden sendiri, yang luas dan
banyak pilihan. Aku boleh sesat di situ dan tidak bertemu dengan kereta Kancil
kesayanganku yang sudah berusia hampir lapan tahun ini.
Selesai
mematikan enjin kereta, aku ambil telefon bimbit di tepi pintu kanan kereta.
menilik dan berfikir seketika sebelum membaca pesanan ringkas daripada Ju,
rakan sekerjaku tadi. Aku mengeluh kecil. Terasa bersalah pula dengan sikapku
sebentar tadi. Pesanan yang baru aku buka itu aku baca lantang sekali.
“Nira,
aku minta maaf. Tak bermaksud untuk buat kau tersinggung. Tiada niat jahat atau
berharap yang buruk-buruk pada cinta kamu berdua. Ia, mungkin aku sedikit
cemburu pada kebahagiaan kau. Tapi, Nira…aku tak berniat apa pun. Aku cuma mahu
tumpang gembira di atas kebahagiaan kau. Seandainya kau perlukan kawan,
percayalah aku sentiasa ada di sisi kau. Maafkan aku.”
Aku
mengeluh lagi. Aku tahu Ju tidak berniat buruk pun. Aku yang terlebih emosi
tadi. Lalu, butang kekunci ‘balas’ aku tekan dan menaip teks dengan kedua-dua
ibu jariku. Laju sekali. Selesai sahaja, aku baca semula.
“Ju,
aku pun minta maaf. Faham sebenarnya tujuan kau. Tapi, aku ni memang jenis yang
terlebih sensitif apabila bercakap soal kekasih aku. Aku tak suka orang pandang
buruk padanya. Apatah lagi mengganggu-gugat keharmonian hubungan cinta kami.
Aku maafkan kau dan harap kau juga maafkan aku. Mengertilah dan restuilah cinta
kami.”
Seketika,
aku cukup berpuas hati dengan teks yang dikirim lewat Samsung S4 berwarna merah
jambu dan ditutupi casing berwarna
yang sama dengan potret aku dan Mikael yang ditempek di dalam penutup casing.
Laju,
langkah kaki aku atur ke seberang jalan, melintasi jejantas penyambung antara
kedua-dua pusat membeli-belah ini yang terletak di aras tiga. Dinding cermin di
sepanjang laluan memudahkan penglihatan pada barisan kereta yang berduyun-duyun
memasuki kedua-dua gedung terkemuka ini. Begitu juga manusia-manusia yang
berjejeran di ruang bawah itu membawa haluan dan tujuan masing-masing, seperti
aku.
Tak
semena-mena, langkah kakiku terhenti. Hampir sahaja aku jatuh tersadung. Nasib
baik sempat menerkapkan tanganku pada dinding kaca di sebelah kanan. Menahan
tubuhku. Hampir tertolak oleh orang di belakang aku yang tiba-tiba terkejut
dengan langkahku. Mataku mencerlung pada pejalan kaki di tingkat bawah. Ada
sesuatu yang menarik perhatianku.
‘Tak
mungkin,’ bisik hatiku, berulang kali.
Tapi,
mata ini masih belum rabun. Di kejauhan itu, aku masih boleh nampak dengan
jelas susuk tubuh yang sangat aku kenali. Langkahnya laju. Seakan-akan mengejar
sesuatu. Kemudian, dia mengangkat tangan, melambai dan melaung serentak.
Degup
jantungku terasa kencang. Benarkah dia yang aku lihat sekarang? Walau hanya
dari sudut pandangan sisi, aku yakin wajah itu kepunyaan dia. Lelaki yang
sangat-sangat aku rindui.
“Mikael!”
terjerit aku menitikan nama itu di bibir.
Hampir
terlupa aku berada di jejantas atas. Menjerit macam mana pun, mana dia boleh
dengar. Entah kenapa akalku mengajak langkah mahu mendapatkan dia. Apa tunggu
lagi? Aku melangkah dua tapak tanpa berkalih daripada memandang tubuhnya.
Sesaat langkah terhenti. Anak mata terbuntang tanpa sedar. Debar di dadaku
seakan terhenti sama.
Mikael
sudah bersama seseorang. Seorang perempuan, berjubah merah, bertudung litup
berwarna putih. Sibuk membimbit dua beg plastik yang besar dan tampak sedikit
sarat.
Mikael
sedang mengambil kedua-dua beg plastik itu. Senyuman di antara kedua-dua
mereka, membadai gelora di hatiku. Terasa menggigil seluruh tubuh ini. Sejuk
sekali.
Tapi,
anak mataku masih terpaku pada kedua-dua makhluk Tuhan itu. Akalku semakin
ligat mengamati si gadis bertudung putih. Wajahnya tampak jelas sekali. Namun
tidak aku kenali. Mungkin sepupu atau saudaranya yang lain? Akal mula memujuk
hati agar jangan bergundah lara di sini. Bukankah Mikael masih dalam pesawat
tika ini? Begitu aku meyakinkan hati.
Aku
tarik nafas dalam-dalam. Mengusir sangsi yang terjemput tadi. Mikael sudah
membelakangkan tubuhnya. Sehingga aku tidak begitu pasti. Baju kemeja
berkotak-kotak putih dan ungu, tidak pernah aku lihat sebelum ini.
Lima
tahun berjauhan, mungkin banyak yang telah berubah. Termasuk penampilannya.
‘Hatinya juga boleh berubah.’ Oh, tidak! Aku lontar jauh rasa sangsi yang mula
menggigit hati.
Mereka
sudah menapak beriringan. Aku mahu mengikuti langkah itu. Mahu menepis ragu dan
merembat kembali rasa yakin yang seakan terbang bersama hembusan angin.
Perlahan-lahan, aku menapak sambil mengamati langkah mereka.
Namun,
sekali lagi, hampir gugur jantungku dari tangkainya. Apabila mereka berdua
berhenti dan bertegur sapa. Bergilir-gilir bersalam dan mencium tangan wanita
di hadapan mereka. Wanita yang aku kenali sangat-sangat. Wanita yang tidak
pernah mengenali diriku.
“Oh,
tidak! Tak mungkin ini terjadi,” gumamku sendirian.
Terkial-kial
tanganku di awangan. Rasa tidak keruan sekali. Apa yang harus aku lakukan?
Tidak mungkin aku silap lagi apabila wanita yang berstatus terhormat dengan
gelaran ‘mama’ sudah muncul bersama mereka?
Seketika,
akalku menjentik sesuatu. Lalu, tanganku menggagau ke dalam beg bimbit. Mencari
telefon Samsung S4, sahabat karibku. Bergetar tangan ini saat menggenggam
telefon itu. Malah, hampir tak tahu bagaimana hendak mencari nombor telefon
Mikael.
Juga
berbelah bahagi mahu mendail nombor Jordan atau nombor peribadi yang lama.
Padahal kebiasaannya, aku hanya menekan speed
dail sahaja. Sempat aku ketuk kepala sendiri, memarahi kebodohan yang
berlaku seketika ini.
“Ya
Allah, tolonglah hamba-Mu ini. Janganlah Engkau ambil dia daripada hidupku, Ya
Allah.”
Bibirku
terkumat-kamit menadah doa. Macamlah Mikael tu dalam keadaan nazak. Aku menanti
panggilan disambungkan. Telefon diterkap ke telinga, mulut tak henti berdoa dan
berdoa, anak mata tetap pegun memanah dari kejauhan. Riak wajah sungguh cemas
sekali. Terbias jelas di arca dinding cermin jejantas ini.
Namun,
kala panggilan dihubungkan terus kepada pesanan suara, entah kenapa aku berasa
lega sangat-sangat. Sedangkan aku masih belum mampu untuk membayangkan apa yang
akan dilakukan sekiranya lelaki yang nun di seberang sana turut mengangkat
telefon dan memandang kiri dan kanan.
‘Mungkin
bukan dia. Mungkin pelanduk dua serupa. Mungkin dia ada saudara yang seiras
dengannya,’ bisik hatiku mahu meyakinkan semula. Dalam pada itu, nombor telefon
Mikael, aku dail sekali lagi. Tetap tiada jawapan. Aku hampa sangat.
Aku
kalih pandangan pada telefon bimbit, menitipkan teks dalam peti pesanan Mikael.
Berharap dia akan menelefonku terus setelah mendarat. Setelah pesanan dihantar,
aku angkat muka semula.
Tiada!
Mereka
sudah tiada di hadapan aku. Anak mata mula melingas mencari kelibat tiga orang
tadi. Tapi, sia-sia lagi. Bayang mereka pun tidak kelihatan lagi. Perasaan
curiga masih bersisa dalam diri. Sehingga aku tercegat lama berdiri memerhati.
Mungkin, masih menanti andai mereka kembali semula ke situ.
Dalam
keadaan gusar dan penuh tanda tanya, aku hanya mendengar wanita Cina ini
menerangkan apa yang hendak dia lakukan yang terbaik ke atas rambutku. Katanya,
ini fesyen terkini dan rambutku yang tidak terlalu lurus memang sesuai dibuat
ala-ala ikal mayang. Itu sahaja yang aku ingat. Sebab yang lain hanya masuk telinga
kanan keluar telinga kiri.
Aku
tak sedap hati lagi. Masih memikirkan kejadian tadi. Kalau ikutkan, aku sudah
tawar hati hendak membuat dandanan rambut. Tapi, ada sesuatu dalam hati ini
yang masih meyakini. Masih teguh terpacak utuh dalam sanubari. Kasih, cinta dan
kepercayaan. Itu yang pasti. Sebab itu, aku tetap meneruskan niat. Demi lelaki
yang sangat aku cintai.
Hampir
sejam berlalu, bau-bauan daripada bahan-bahan rawatan yang digunapakai,
benar-benar menusuk ke rongga hidungku. Terkepit-kepit jemariku bergilir-gilir
memegang hidung sendiri. Majalah di tangan pula langsung tidak menambahkan
minat.
Pantas,
aku capai telefon bimbit. Masih memeriksa. Manalah tahu Mikael sudah membalas
pesanan daripadaku. Sungguhpun, aku berharap sangat dia takkan balas.
Seketika,
saat aku angkat kepala menatap wajah di cermin hadapan, kelibat seseorang di
luar kedai terbias di sebalik wajahku. Di belakang aku. Serta-merta, aku kalih
tubuh. Benar! Aku nampak seseorang yang hanya menampakkan tubuh belakang.
Lantas aku bangkit dari kerusi yang selesa diduduki hampir sejam lamanya.
“Cik,
jangan bangun. Masih belum selesai.”
Terkejut
sebentar gadis Cina itu seraya memegang bahuku. Tuala yang diletak di atas
bahu, terjatuh disebabkan kekasaranku. Tanpa memandang amoi Cina itu, aku
meninggalkan majalah di atas kerusi yang aku duduki itu.
“Maaf
cik. Sekejap, saya nak tengok seseorang,” aku meluru ke pintu.
Anak
mataku melingas dengan pantas sekali. Mencari-cari kelibat lelaki yang aku
nampak tadi. Begitu yakin bahawa susuk tubuh itu kepunyaan Mikael. Apatah lagi
baju berbelang merah dan biru yang dipakai pemuda tadi adalah hasil tenunan
tanganku sendiri.
Bagaimana
aku boleh lupa? Sekali pandang pun aku tahu itu baju yang aku kait untuk Mikael
sebelum dia berangkat ke Jordan. Aku kait sebagai tanda cinta. Penuh dengan
limpahan kasih sayang.
‘Tak
mungkin,’ desus dalam hatiku.
Liar
mataku melingas sekali lagi. Pemuda itu sudah tidak kelihatan. Namun, seluruh
tubuhku kembali berasa sejuk. Aku melangkah perlahan ke kerusi yang aku
tinggalkan tadi. Gadis Cina yang berbisik sesuatu langsung tidak aku endahkan
pun. Akalku jauh mengamati apa yang baru terjadi.
Ada
sudah air mata yang gugur setitik. Aku terkap tapak tangan ke dada. Mengurut
berkali-kali. Memujuk agar jangan runtuh lagi. Tak mungkin Qhir Mikael sudah
balik. Dia masih dalam pesawat. Begitu aku meyakinkan hati. Seketika, ada
sesuatu yang memanah ke dalam akal. Lantas membuat aku tersenyum.
‘Iya,
tak mungkin Mikael. Kalau Mikael yang pakai baju kemeja berpetak-petak tadi,
tak mungkin pula Mikael juga yang memakai baju berbelang merah biru itu. Takkan
dia boleh berada di tempat yang sama berlainan baju? Sah! Pasti bukan Mikael.’
Hatiku semakin ceria mengiyakan hujah akal.
‘Tapi,
kalau bukan Mikael, siapa pula yang pakai baju merah biru yang aku kait itu?
takkan ada orang yang kait baju yang sama dengan corak yang sama seperti aku?’
hati pula mula berbisik ragu.
‘Ah!
Pedulilah. Pasti bukan Mikael,’ akhirnya, aku putuskan begitu.
No comments:
Post a Comment