Wednesday, 13 April 2016

SATU MALAM SAHAJA (Bab 3)






"Kau ni kenapa? Asyik pandang kiri kanan jer? Ada stalker ke?” Suraya jungkit kening dengan nada mengusik. Tapi muka Hanna yang sedia kalut itu kini kelihatan semakin seram. Apa kes pula ni? Kena sampuk hantu ke? Siang-siang macam ni?
“Kau janganlah banyak tanya. Dari tadi tak habis-habis tanya.” Hanna merungut. Dah tak cukup layan bos yang psiko tu, sekarang menghadap pula kawan yang nak jadi Detective Conan pula. Banyak soalan.

“Aku bukan nak busy body tau. Tapi sejak kau keluar dari pejabat tuan besar tadi, kau dah macam cacing kepanasan. Makan pun kau main usik-usik aje. Asyik tertoleh sini sana. Apa yang tak kena? Ada apa-apa yang terjadi? Dia pecat kau ke?”

Suraya tayang muka prihatin. Melihat Hanna yang tak ada hujung pangkal tiba-tiba jadi panik, cemas dan gemuruh itu, membangkitkan perasaan ingin tahunya. Kalau ikutkan hatinya tadi dia mahu menghadap Tuan Wildan. Tapi, entah kenapa Encik Fadhil bertegas membiarkan Hanna yang ambil alih tugas Nor Aien. Sedangkan, Hanna belum bersedia dengan tugas-tugas lain selain dari yang diberikan oleh Suraya.


Tambahan pula, Hanna baru dua minggu bekerja satu jabatan dengannya. Seorang yang baik dan ringan tulang. Paras rupanya yang cantik dengan sinaran mata yang memukau itu boleh mengundang rasa rendah diri dan cemburu di kalangan pekerja-pekerja yang lain. Mungkin kerana itulah Hanna seorang diri. Tiada siapa yang berani berkawan dengannya. Rasa tergugat. Rasa terancam. Takut dibanding-bandingkan sesama sendiri.

“Iskkk, kalau dia pecat aku, taklah aku menapak ke pejabat balik seperti sekarang ni.”

“Habis tu, dia lamar kau ke?”

Zuppp! Hanna terkedu seketika.

“Iskkk, takdalah macam tu. Nauzubillah.” Protes Hanna laju dan terus melangkah ke dalam pejabat.

“Amboi kau! Macamlah buruk bebenar kalau tuan besar tu melamar. Untung adalah. Kau tu cantik. Kau boleh jadi janda kaya nanti. Bertuah badan. Senang-senang jer kau tak payah nak kerja. Dapat duit bukan kira bulan. Hari-hari boleh dapat. Kau hanya perlu kenyit mata dan flying kiss sekali.” Suraya yang berceloteh, menyengih macam kerang busuk. Berbakul-bakul tips nak jadi janda kaya ditabur kepada Hanna.

Hanna tarik muka. “Masalahnya, aku tak mau status janda. Aku nak sekali jer kahwin, seumur hidup dia nakkan aku, tau!”

Okey. Tolong faham ya. Berkahwin bukannya untuk hidup berumahtangga sehari dua, sebulan atau setahun sahaja. Bagi Hanna perkahwinan itu adalah ikatan dua hati hingga ke jannag. Bukan sementara sahaja. Pendek kata, Hanna tidak mahu jadi JANDA. Faham!

“Alahhh, itu bukannya masalah besar untuk perempuan macam kau.”

“Apa maksud kau perempuan macam aku?”  Hanna menjeling tajam. Rasa tersinggung.

Hanna rasa macam kena perli pula. Matanya yang sedia menggoda itu tak nampak macam menjeling pun apabila dia tajamkan mata sebegitu rupa. Kalau renungan itu terkena ke dalam mata Tuan Wildan, boleh cair hati seorang lelaki tau!

“Perempuan cantik, tak susah nak tambat hati lelaki. Lebih-lebih lagi lelaki macam Tuan Wildan tu. Dia tak ada nafsu dengan perempuan.”

Wait! Mana pula Suraya tahu cerita tu?

Hanna telan air liur. Pahit sungguh. Dari pengamatan dia sebentar tadi, ohhh….lelaki tu sangat-sangat kuat nafsunya. Belum tentu tiga orang isteri yang sebelum ini dapat puaskan nafsunya.

Jangan-jangan sebab itulah mereka diceraikan. Dengan mulut yang tak ada insurans, perangai tak senonoh, dan otak yang kelabu asap tu, memang patut…sepatutnya dijauhi. Hish!!! Lelaki oh lelaki.

Hanna menapak ke mejanya. Tetapi langkahnya mati ketika kelibat rakan-rakan sekerja sedang mengerumuni mejanya. Dada Hanna berdegup kencang. Apa pula ni?

“Kenapa tu? Apa dah jadi dengan meja kau?”  Suraya yang berada di belakang, mara membolos semua pekerja yang sedang membulat di sekeliling meja Hanna. Melihat tuan punya dah sampai, mereka pun bertempiaran balik ke meja masing-masing.

Terbeliak mata Hanna melihat mejanya. Penuh. Sehingga ke deretan meja Suraya juga. Suraya berpaling dengan muka yang berseri-seri. Sengih kerang busuk tadi dah jadi macam periuk kera pula. Lebar dan bulat.

“Kau dapat bunga. Bunga ros merah pula tu. Bukan sejambak. Sekejap…aku nak kira.” Suraya pula yang terlonjak kegirangan. Alahai, Tuan Wildan oi! Apalah yang tuan buat ni?

Masya Allah! Hanna tak pernah dapat bunga sebanyak itu. Lebih dari 12 jambak. Dia tak perlu hitung apabila Suraya beriya-iya mengira dengan nada suara yang kuat.

Bau bunga-bunga itu semerbak mencucuk-cucuk hidungnya. Di atas meja, kerusi, bawah meja, tepi meja dan menumpang di meja Suraya juga. Semuanya menyambut ketibaan Suraya.

“Untunglah. Ada orang bakal jadi nombor 4.” Seorang rakan sekerja mencelah. Tayang muka cemburu pula tu.

“Kita pun untung. Bolehlah Puan Besar Hanna belanja nanti,” usik seorang rakan pula.

Manakala rakan-rakan pekerja yang lain sibuk berbisik-bisik. Mereka yang membisu tanpa kata pula, seakan terlakar bicara mengejek di riak wajah. Ada yang menjeling, merengus, mengejek, menyindir-nyindir. Tidak kurang juga yang mempamer riak kurang senang.

Macamlah Hanna yang menggoda Tuan Wildan. Gosip dijaja sini sana. Seluruh pejabat itu dalam masa sejam waktu rehat tadi. Laju betullah!

Berderau darah Hanna. Bunga dari Tuan Wildan? Biar betul dia ni. Lepas kena penampar, dia bagi bunga pula? Nampak gayanya, bahasa tangan kau tu dia tak berapa nak fahamlah, Hanna. Mau kena silat gayung ni kali. Terherot-herot bibir Hanna yang sedia menggoda itu.

“Kan aku dah agak. Mesti dia melekat syok kat kau.” Suraya kegirangan. Terujanya berlebih-lebih.

Suraya melonjak suka. Macamlah dia yang dapat bunga. Berjambak-jambak bunga itu diterkup ke dadanya, dihidu dan dirapatkan ke mukanya. Hanna jadi bertambah-tambah rimas.

Hish!!! Ini bukan kes melekat syok sajalah wahai Puan Suraya oi. Ini kes psikopatlah.

Hanna masih belum puas menahan geramnya apabila kelibat Tuan Wildan mencuri perhatiannya. Di muka pintu lif di hujung sana, lelaki itu berdiri memerhati dengan pandangan mata yang berkilau-kilauan. Mengamati Hanna dari jauh.

Pantas, Hanna kepal-kepal tangan. Badannya berasap-asap. Tuan Wildan menapak dengan riak machonya. Senyuman si penggoda itu sering membuat hati mana-mana wanita cair. Menyedari kehadiran Tuan Wildan di tingkat satu pejabat itu, semua pekerja memandang Hanna dan Tuan Wildan bersilih ganti. Langsung tidak berkerdip pun.

Hanna genggam tangan sekuat hatinya. Gigi mengetap-ngetap. Matanya mencerlung tajam. Kemarahan membuak-buak. Kudratnya melambung-lambung. Dia mahu membenamkan niat Tuan Wildan itu dalam-dalam. Kalau boleh sehingga ke lapisan tanah yang ke tujuh di bawah sana. Lalu, dengan gaya penuh yakin, Hanna hanyun kaki laju, mara kepada Tuan Wildan yang berlagak romantik itu.

Siaplah Tuan Wildan oi! Kali ini, bukan setakat tangan, Hanna dah bayangkan sesuatu. Bibirnya mengherot dengan senyuman. Agenda itu sangat menarik untuk dilaksanakan di hadapan semua pekerja. Biar malu besar. Biar dia tidak berani berangan-angan menguis kulit Hanna pun.

Belum pun Hanna bertembung dengan majikannya itu, Tuan Wildan berpusing ke arah lain. Terus ke tengah-tengah pejabat mereka itu. Lengang, tanpa kehadiran pekerja-pekerja di bahagian masing-masing. Semuanya kan sedang mengerumuni meja Hanna.

“Apa yang kamu semua buat ni, ha?” Tuan Wildan muncul sahaja sudah terpekik-pekik.

Meskipun tidak ditujukan khusus kepada mana-mana pekerja pun. Tapi semua pekerja mengerti. Lalu, bertaburan para pekerja bergegas dari meja Hanna. Sedangkan Hanna masih terpaku tanpa kata. Tercegat memerhati gelagat semua orang. Tuan Wildan menayang muka bengisnya. Riak yang belum pernah Hanna lihat. Bahkan lantunan suara garang itu telah mematikan langkah Hanna.

Para pekerja terpinga-pinga setelah berada di tempat duduk masing-masing, sebelum tunduk menyambung kerja.

“Kamu tak dengar ke apa yang saya suruh tadi?” Wildan memekak lagi. Sama lantang seperti tadi.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Hanna memandang Suraya yang menjungkit bahu.

“Hish! Macam mana bunga tu boleh ada situ? Pergi kutip bunga tu dan hantar ke bilik saya. Pemalas!”

Choooi betullah! Bukan bunga tu untuk Hanna ke? Hanna terkedu.

Wildan mengerling Hanna sekilas. Memerhati riak wajah gadis itu yang tiba-tiba berubah pucat.

Dalam masa yang sama para pekerja telah pun buru-buru bingkas. Masing-masing mengutip sejambak bunga dan berduyun-duyun pula keluar dari bilik pejabat di tingkat satu menuju ke tingkat atas. Hanya Hanna yang masih tercegat macam patung yang masih bernyawa.

“Awak bisu ke?” Tuan Wildan menjerit buat pertama kalinya terus ke muka Hanna.

Hanna terkedu. Hanna rasa nak menangis juga. Hanna telan air liur. Malu sejenak. Mungkin, sekerlipan tadi dia fikir bunga tu untuk dia. Spoil betullah.

“Ambil bunga tu dan hantar ke bilik saya!” Tuan Wildan menempelak kuat.

Hanna tidak jadi mahu memberontak. Lekas-lekas dia cabut juga. Setelah mengambil sejambak bunga yang masih tinggal. Mengikut jejak langkah Suraya dan rakan-rakan pekerja yang telah hilang ke tingkat atas pejabat interior design itu.

Dari ekor matanya, Tuan Wildan masih tercegat di tengah-tengah pejabat yang kosong sambil mencekak pinggang. Hanna pantas menutup pintu dan berlari naik menerusi tangga tepi.
Wildan selamba tertawa senang hati. Suka melihat wajah Hanna yang merah tadi berubah pucat. Ohhh Hanna…hidup dengan Hanna pasti indah sekali. Itu yang dia impikan sekarang ini.

5 comments: