Nour Aien mengetuk-ngetuk meja
dengan pen di tangan. Kertas pelan putih yang penuh di atas meja, ditatap
kosong. Hanya jasadnya yang berada di situ. Cuba menekuni kerja yang begitu
penting dalam hidupnya. Satu-satunya usaha yang ditekuni agar dapat menyandarkan
nasib untuk mengubah hidup.
Tidak tenang memikirkan lelaki
itu, telefon bimbit dicapai dan dibawa ke pendengaran. Dua kali dering sahaja,
suara yang diharapkan bergema di hujung talian.
“Dia datang…” Nour Aien yang
masih direntap gemuruh dan rasa takut, ternyata masih belum temui kekuatan
dalam suara sendiri. Bicaranya terhenti. Nama lelaki itu terasa berat mahu
meniti di bibir Nour Aien
“Siapa yang datang?” suara
Zarra kedengaran cemas. Apa tidaknya, Nour Aien takkan segagap itu, dengan
helaan nafas yang memberat, melainkan…. Benarkah firasatnya?
‘Ya Allah, Kau lindungilah
sahabatku.’ Zarra sempat berdoa di dalam hati setelah membayangkan sahabat yang
jauh daripadanya itu.
Nour Aien mengesat peluh yang
tiada pun di dahinya. Rambut yang telah diikat sanggul itu masih mengganggu
ketenangannya. Boleh dirasakan tubuhnya berpeluh sama. Dia tahu sangat-sangat
apa punca dia kecut sedemikian rupa.
“Dia datang sini, Zarra. Dia terjumpa
aku,” bisik Nour Aien di talian.
Ohhhh! Mata Zarra membundar.
Ternyata telahannya tepat ke sasaran.
“Rushdan ada di situ? Kau
jumpa Rushdan?”
“Dia jumpa aku…” bergetar
suara Nour Aien. Mulai kalut dan menggelabah. Kekentalan yang cuba
dipertahankan sejak dua jam lalu melurut serta-merta apabila bercakap dengan
Zarra. Bagaikan Zarra ada di hadapannya saat itu.
Sahabat baiknya itu, yang
sedari kecil bermain masak-masak, mengaji al-quran dan membuat kerja rumah dan
sekolah bersamanya di Rumah Kebajikan Sri Intan, sehingga saat ini adalah
pendengar yang paling baik untuknya. Atau sehingga ke hembusan nafas Nour Aien
yang terakhir kalinya, nama Zarra akan kekal terpahat sebagai sahabat dunia dan
akhiratnya.
“Ya Allah, Nour…macam mana dia
boleh jumpa kau? Bila dia jumpa? Apa dia buat? Kau lari tak?” Zarra yang cemas
sudah tentu tidak kesabaran. Soalan demi soalan bak peluru machine gun ditembak
tanpa henti. Tanpa sedar, soalannya itu menambahkan cemas di dada Nour Aien.
“Aku…aku tak tahu macam mana
dia jumpa aku. Tapi…dia terlibat dalam Projek hotel Strenght Hill ni. Aku tak
tahu bahawa syarikat Jaya Enigma Properties tu adalah milik Tan Sri Rosyam
juga. Itu mungkin company baru mereka. Kalaulah aku tahu…aku dah lari, Zarra.”
Bekerja dengan Consultant
Khalish & Khalish selama lebih tiga tahun, sudah terlalu banyak projek yang
dipegang oleh Nour Aien. Bahkan, semasa Tuan Arayn Arfan, pemilik Strenght Hill
Group membuka projek pembinaan hotel baru di Kuching, CK&Klah yang dilantik
untuk membuat proposal reka bentuk dan pelan keseluruhan hotel itu.
Jadi, jika Jaya Enigma
Properties dipilih menerusi tender sebagai main
contractor yang bakal menguruskan projek ini, sememangnya Nour Aien tidak
tahu menahu. Tambahan pula, projek ini diuruskan sepenuhnya oleh Iqbal. Bukan
Nour Aien. Pemilihan dibuat oleh Strenght Hill Group. Mungkin, Datin Khalisah
ada dijemput hadir semasa pemilihan dibuat. Sekali lagi, Nour Aien tetap takkan
tahu.
“Zarra…macam mana ni? Apa aku
nak buat?”
Zarra buntu. Dia sendiri tidak
tahu apa yang patut dia buat kalau berada di tempat Nour Aien. Bukan mudah Nour
Aein melarikan diri sehingga ke Kuching. Menghilang daripada kawan-kawan yang
ibarat saudara sedarah sedaging sendiri. Itulah pengorbanan yang terpaksa Nour
Aien lakukan demi menyelamatkan dirinya.
“Dia berkasar dengan kau tak?”
soal Zarra, teringat aduan Nour Aien dahulu.
Nour Aien kemam bibir sendiri.
Sakit masih terasakan di situ. Sentuhan kasar bibir Rushdan seakan bersisa
lagi. Bulu roma Nour Aien meremang sendiri. Lekas-lekas dia pejam mata dan
menggeleng laju.
“Tak,” cetusnya, kalut.
“Kau jangan tipu aku, Nour.
Aku tahu kalau Rushdan jumpa kau, kalau bukan tampar kau, sepak terajang kau,
dia hanya tahu cium dan peluk kau. Main paksa dan kasar-kasar. Jangan-jangan…”
“Zarra…” Nour Aien memotong
laju-laju. Menegah bayangan tak senonoh itu daripada bermain di minda Zarra.
Walhal, Zarra tidak pernah salah.
Zarra menghempas nafasnya
laju-laju.
“Nour, aku harap kau kuat.
Jangan berlembut dengan Rushdan.”
“Aku tak pernah berlembut
dengan dia. Lagipun, aku tak mahu apa-apa pun dengan dia.”
“Bagus. So sekarang, kau cakap
kat Datin tu kau nak ambil cuti. Kau datang sini. Cakaplah apa-apa alasan. Itu
lebih baik daripada kau berdepan dengan Rushdan.”
“Aku memang nak ambil cuti,
Zarra. Aku takut…aku…aku tak mahu dia tahu.” Nour Aien menutup mulut dengan
telapak tangannya. Dia kerling seluruh isi pejabat yang hanya tiga orang di
situ termasuklah dirinya. Memandangkan yang lain masih sibuk di hotel tadi.
Senyap. Dia dan Zarra tidak
terkata-kata.
“Aku…aku risau…dia tahu,”
tokok Nour Aien lagi. Debaran yang menghentak di dada semakin mengencang. Rasa
gemuruh di seluruh urat sarafnya masih bersisa.
“Baik kau ambil cuti dan bawa
Aisya datang sini. Sebelum Rushdan tahu.”
Nour Aien tidak sempat
membalas saranan Zarra itu apabila anak matanya melekat ke pintu utama pejabat CK&K.
Di sana, Datin Khalisah telah membuka pintu luas-luas dan mempersilakan tetamu
terhormat mereka masuk ke pejabat CK&K. Nour Aien matikan telefon apabila
seraut wajah Rushdan tersenyum penuh makna, terus memaku kepadanya yang memang
duduk di bahagian hadapan pejabat tersebut.
Jantung berhenti berdetak.
Wajah menjadi pucat dan tubuh menggeletar semula.
Cis!!! Kenapa dia datang
sampai ke sini? Nour Aien diamuk cemas yang bukan kepalang hebatnya.
Selesai menyusuri pejabat
CK&K yang tiga tingkat itu, Rushdan kembali ke ruang kerja di mana Nour
Aien sedang mencari-cari helah untuk melarikan diri sekali lagi.
“Nour Aien…dah sediakan semua
pelan dan slide?” soal Datin Khalisah tiba-tiba.
Nour Aien tepuk dahi sendiri.
Dia terlupa untuk menyediakan semua keperluan mesyuarat seperti yang telah
diemail kepadanya oleh Iqbal. Kalaulah dia tahu begini jadinya, dia takkan
setuju menggantikan tempat Iqbal. Dia akan merayu pada Iqbal. Iqbal akan faham
keadaannya. Iqbal akan sarankan staf yang lain. Tapi sekarang….sudah terlambat
kiranya dia hendak menolak permintaan dan arahan Datin Khalisah.
“Saya tak set up apa-apa lagi
kat conference room, Datin,” jawab
Nour Aien separa berbisik. Dia sedar, mata lelaki di belakang Datin Khalisah
itu galak menikam-nikam padanya. Tetapi Nour Aien sedaya-upaya tidak mahu
berlaga pandang dengan Rushdan.
Datin angkat kening. Hairan
melihat wajah Nour Aien yang pucat dengan prestasi kerja yang tiba-tiba runtuh
itu. Tangannya terus sahaja menyentuh dahi Nour Aien. Dia risau kalau-kalau
kesihatan Nour Aien terganggu. Dia sedar selama ini Nour Aien mana pernah
berlengah-lengah dalam bekerja. Kalau sakit sekalipun, dia heret juga seluruh
kudratnya untuk datang ke tempat kerja, ke site atau ke mana-mana tuntutan
kerja memanggil langkahnya.
“Badan awak sejuk ni,”
getusnya, bersama rasa bimbang sangat. Wajah pucat Nour Aien ditilik lagi.
Kemudian, Datin Khalisah berpaling dan sempat mengintai mata Rushdan yang
memaku tanpa kerdip kepada pekerja kesayangannya itu.
“Amboi Rushdan…saya tahulah
Nour Aien ni memang lawa orangnya. Tak baik tenung lama-lama gitu. Dia ni dah
bersuami tau.” Tiba-tiba Datin Khalisa menegur dengan senyuman penuh makna.
Rushdan terpempan. Nour Aien
pula terkedu. Serta-merta, wajah Rushdan menjadi merah. Tunak matanya yang
dilarikan kepada Datin Khalisah tadi, kembali galak menikam setajam hujung
pedang kepada Nour Aien yang tertunduk, menyembunyikan segala rasa yang
membungkus dirinya saat itu.
“Ehhh, saya rasa dia ni macam
seseorang yang saya kenal dulu. Tapi, mungkin saya salah orang.” Terdengar
Rushdan mengulas
“Iya ke? Saya rasa selawa mana
pun gadis yang tentu tak boleh lawan dengan Nour Aien. Al-maklumlah, orang kata
perempuan yang ada anak comel tentulah lebih cantik berbanding dengan anak
dara.” Datin Khalisah tertawa. Mengharap jenakanya disambut dengan ketawa yang
sama. Malangnya, tiada seri pada wajah tetamunya itu. Apa yang dia lihat
hanyalah sikap bengis seorang lelaki. Ya, reputasi Rushdan memang sudah
diketahui umum.
Wah x sabar nak tau citer seterusnya
ReplyDeleteBab 1 dh dpt byg2 ade ank...
ReplyDeletemcm mna nk beli novel ni... mohon sis pm sy ctieyyusoff92@gmail.com
ReplyDeleteNak beli novel Ni...please
ReplyDelete