Balik dari sekolah memang memenatkan.
Sepatutnya, aku sudah pulang dua jam yang lalu. Malangnya, kerja-kerja
menimbun. Bukan setakat marking kertas peperiksaan, pengetua nak laporan juga
hari ini. Terpaksalah aku bertahan menyediakan apa yang patut. Telefon yang
bordering-dering, akhirnya aku matikan sahaja. Tidak kuasa lagi berbahas dengan
mak yang memekak di talian.
Sewaktu aku tiba di perkarangan rumah,
dua buah kereta asing sudah memarkir di depan pintu pagar. Menghalang laluanku
untuk masuk ke dalam rumah. Terpaksalah kereta myvi kuning yang menyala-nyala
warnanya, sama kuning dengan baju kurung berbunga kecil-kecil, aku tinggalkan
bersadai di depan pintu pagar jiran sebelah rumah.
Aku melangkah laju menuju ke pintu
pagar. Pak Andak yang sedang berada di ambang pintu, terus melambai sebaik
sahaja aku memasuki pagar.
“Dah balik pun anak dara bertuah ni.
Cepat sini,” laungnya, tidak kesabaran.
Aku diserang perasaan curiga. Pelik
melihat kasut dan selipar yang pelbagai saiz dan berselerakan di luar pintu.
Pemiliknya pasti bukan gerangan penghuni rumah ini.
Aku teruskan juga. Masuk ke dalam rumah
bersama salam yang sempat meluncur dari bibirku. Seperti aku duga, sekumpulan
tetamu asing menumpukan mata mereka padaku. Lantas, aku layangkan senyuman,
semanis-manis anak dara yang menghampiri usia 40-an. Bukan dara sunti. Tapi
akulah si andartu itu.
“Inilah Adira,” kata ibuku yang bangkit
memperkenalkan aku. Aku sekadar angguk. Seperti kebiasaannya.
Di atas meja, di tengah-tengah sofa,
kuih baulu dan kek coklat moist leleh itu menjadi hidangan wajib. Terpandangkan
sahaja hidangan itu, senyuman di wajahku mati terus. Pantas, aku pandang wajah
ibu yang bagai mengerti perubahan riak di wajahku. Serta-merta, bahuku ditepuk
kuat.
“Pergilah salam bakal mak mertua Dira,”
katanya. Wanita yang bertudung putih dengan manik-manik di atas kepala bangun
dan bersalaman denganku. Aku sekadar senyum, dalam kepayahan. Air liur aku
teguk berulang-ulang kali.
“Ini anak mak, Harris.” sahutnya pula,
sambil jarinya menuding kepada lelaki berkopiah putih di sebelahnya. Lelaki
bulat yang saiznya dua kali ganda daripada saiz aku. Beratnya juga boleh
diagak-agak satu setengah kali ganda daripada berat aku.
Dia kemudian mendongak, memandangku dan
sekaligus, bibirnya mengherot lalu pipinya menjadi kembang. Membulat kiri dan
kanan. Aku tengok comel pula orangnya. Montel gitu. Ahhh, sudah….jangan
terpedaya. Aku ingatkan diri. Memberi amaran.
Selesai bersalaman dengan semua orang,
aku meminta diri. Bersedia menanti satu lagi adegan sedih berduka lara dan
memilukan hati seperti dahulu. Ini bukannya yang pertama. Orang datang merisik
aku dan tidak akan kembali lagi. Alasan mereka tidak serasi. Atau mungkin, aku
tidak lawa. Apalah salahnya diriku. Kekurangan aku, hanyalah kerana aku
berkulit hitam, gelap dan tidak secerah adik-beradikku yang lain.
Tapi, apa buruknya aku? Macam orang kata, hitam
hitam si tompok manggis. Walaupun aku hitam, aku tetap manis apabila dipandang.
Emak bercakap di talian dengan suara
yang sangat perlahan. Sebentar tadi, bukan main galak lagi. Suka apabila bakal
besannya menelefon. Tapi, selepas lima minit, suara emak timbul tenggelam.
Wajahnya berubah lesu.
Aku yang mendengar terpalit resah.
Menanti panggilan itu bagaikan menunggu keputusan SPM dahulu. Macam mana aku
tak keruan. Dulu, lepas sahaja rombongan merisik pulang, pantas juga kami
mendapat keputusan. Selalunya ditolak. Ya, selepas lapan kali merisik dan dua
kali putus tunang, aku tidak lagi meletak sebarang harapan. Sisa-sisa harapan
itu telah lama musnah. Sehinggalah, tiga hari yang lalu. Arghhh, aku jadi
panasaran dibuatnya.
“Mak janganlah risau. Insya Allah, Dira
boleh terima kenyataan. Lagipun, kalau Dira tak kahwin, Dira boleh teman mak.
Mak patut bersyukur sebab ada anak sebaik Dira. Boleh jaga mak seumur hidup.”
Aku pujuk emak. Dalam usaha, memujuk hati sendiri. Senyumku lebar tapi rasanya
hambar sekali.
Emak pandang aku sebelum mengeluh
hampa. “Mak tak nak Dira tua seorang diri. Kalau mak dah takda nanti, siapa nak
temankan Dira? Takkan Dira nak bercakap dengan lampu dan kipas memanjang? Mak
tak nak Dira sampai gila takda teman nak luahkan perasaan.”
Terbukti, selama ni mak banyak skodeng
aku. Dalam berbaring tu, memang aku suka layan perasaan dan bercakap-cakap
dengan kipas dan lampu depan mata. Nak buat macam mana? Itu lah saja yang setia
menemaniku setiap malam, bila hati ini terasa kesepian.
“Ala mak ni. Dira kan ada angah dan
asu. Kalau Dira bosan, Dira pergi jer rumah mereka. Bukan jauh mana pun.” Dua
orang adik aku jadi sasaran.
Emak makin suram. Matanya tampak
berkaca-kaca. “Mereka ada kehidupan mereka, Dira. Dira tak mahu kah ada
kehidupan seperti mereka? Ada suami untuk berkongsi suka dan duka. Ada
anak-anak untuk menceriakan hidup mereka. Yang memberi mereka matlamat untuk
hidup?”
Sepatah demi sepatah ayat emak itu,
menyiat-nyiat tangkai hatiku. Membelit kejam dan terus melumpuhkan sekeping
hati yang mahu kuat. Kalaulah boleh aku jeritkan pada dunia, telah lama aku
jeritkan sehingga urat sarat di leherku ini putus pun aku tak peduli. Aku mahu
dunia tahu. Aku mahu dunia berhenti bertanyakan soalan cepu mas tu. Aku mahu
mereka merasai keperitan yang aku tanggung selama ini.
Argh!!! Kalaulah jeritanku itu boleh mengubah
segala ketentuan Ilahi?
Tidak mahu tenggelam dalam kesayuan
yang terbuka, aku bangkit dari kerusi di meja dapur dan merentap kunci kereta
myvi kuningku.
“Dira nak beli buku dulu, mak. Esok nak
bagi test kat budak-budak sekolah.” Tidak menanti jawapan emak, aku berlalu
sahaja, keluar dari rumah.
“Dira...mak tak habis cakap lagi.”
Aku sekadar terus melangkah. Emak
hantar aku dengan pandangan yang sudah pun basah. Sedu-sedannya sempat menyapa
ke pendengaranku. Tapi, aku gagahkan langkah keluar dari rumah. Kerana aku
yakin, kalau sesaat lagi aku duduk di depan mak, aku akan teresak sama. Kami
akan berdakapan.
Sesungguhnya, Allah tahu betapa aku
mahu dikasihi dan mengasihi. Dicintai dan mencintainya. Dan sesungguhnya, aku
juga tahu, jodoh itu di tangan Allah. Hanya kepada-Nya aku meminta sejak
sepuluh tahun yang lalu.
bila nak terbit sis? teaser dia best.. x sabar nak tunggu
ReplyDeletesye nak satu yer..hehe
ReplyDeletebelum jumpa jodohnya....sabar ye
ReplyDeleteSian kat dira..blm sampai jodoh lg tu..
ReplyDelete