Monday 9 November 2015

BUKAN KERANA BENCI (Bab 5)



AKU membiarkan sahaja air mata mengalir melepasi pelipis. Membasahi tilam kepunyaan arwah nenek. Memencilkan diri daripada keriuhan tetamu yang rancak bergilir-gilir melaungkan bacaan daripada surah-surah di dalam Al-Quran di ruang tamu.
Sudah empat jam sejak jenazah nenek dikebumikan. Sudah empat jam juga rasanya aku menangis di dalam bilik ini. Di sini, aku ditenggelami rasa kesal yang setiap saat menimbun dan menggunung. Satu demi satu pengorbanan nenek bergentayang di ruang minda. Berterusan menjemput rasa bersalah bermaharajalela.
“Dhia,” suara itu sekali lagi menyapa pendengaran. Seperti beberapa jam yang lalu, aku membiarkan sahaja. Berharap agar suara itu berlalu pergi seperti sebelumnya.
“Dhia, sudahlah tu. Nanti Dhia sakit pula kalau Dhia berterusan bersedih begini,” tuturnya lagi seraya melabuhkan punggung di atas tilam. Menghampiri tubuhku.

BUKAN KERANA BENCI (Bab 4)





AKU menapak lemah sehingga terhenti betul-betul di ambang pintu dapur. Tubuh Rafiq telah hilang daripada pandangan. Suara tangisan dan bacaan yasin mula berkumandang dari dalam bilik nenek. Hatiku bertambah sayu. Fikiranku bercelaru. Haruskah aku penuhi kehendak nenek? Berbelah bahagi sudah hati ini.
Seketika aku duduk lalu bersandarkan pintu dapur. Aku tarik kakiku, sehingga lutut sudah sama tinggi menyaingi dada. Serentak itu, aku tundukkan badan sedikit, membiarkan dagu bersandar pada tempurung lutut. Semakin merapat lutut ke dada, aku silangkan kedua-dua belah tangan, merangkul kaki. Memori duka berita perkahwinan dua tahun dahulu seakan kembali mencalar emosiku.
“Abang tiada pilihan. Dhia sudah dinikahkan dengan Rafiq dua hari lalu,” tutur Abang Irfan, ketika itu aku sedang mengeluarkan beberapa helai pakaian dari dalam beg.
Aku tersentak. Seperti ada bencana yang bakal meletup rasanya. Tangan yang menggenggam pakaian, terhenti kala Abang Irfan melontarkan berita tajam itu ke pengetahuanku. Justeru, menikam hatiku.

BUKAN KERANA BENCI (Bab 3)


KELUAR dari bilik, aku bergegas mahu keluar terus ke beranda. Baru sahaja aku berada di tengah-tengah ruang tamu, sudah ada tangan yang menarik tanganku. Aku tahu benar gerangan lelaki itu. Rupanya sahaja kelihatan warak. Tapi dengan aku, sesukanya mahu menyentuh kulitku. Ceh! Aku menyampah sungguh-sungguh!
Aku tersentak dengan perlakuan Rafiq. Kasar, menarik tanganku sehingga aku tiada kuasa mahu meronta. Akhirnya aku akur mengikut langkahnya yang masih memegang erat tanganku. Menarik tubuhku sehingga ke dapur. Agak jauh daripada saudara-mara dan tetamu yang berkunjung.
“Lepaslah! Kau dah gila ke? Aku tak suka kau sentuh aku. Tak faham lagikah?” tempikku bersama kelantangan suara yang boleh didengar oleh seisi rumah nenek. Walau di penjuru mana sekalipun mereka berada.
“Dhia isteri abang. Abang boleh sentuh ikut suka hati abang!” amuknya tak semena-mena.

BUKAN KERANA BENCI (Bab 2)



AKU duduk bersimpuh di sisi nenek. Tubuhnya yang kurus kering, kaku terdampar di atas katil mengundang rasa simpati yang bukan sedikit di kolam hatiku. Aku sedaya-upaya mempamer riak bersahaja. Walau perasaan hiba di sekelilingku sudah menyentuh kesedihan di dalam hati ini. Aku tidak mahu menangis di sini. Biar apa pun kehendak nenek, aku sudah nekad takkan tewas lagi.
Bukan di hadapan ayah dan abangku. Apa lagi di hadapan Mak Long Bibah dan anak-anaknya. Terutama anak bongsunya yang seorang itu. Aku takkan menangis lagi. Setelah aku kuburkan rasa simpati dan pahatkan kecekalan di dalam hati. Tidak patut aku menangis di hadapan mereka lagi.
Sudah cukup aku menangis dahulu. Sudah cukup aku menerima penghinaan orang dahulu. Sudah puas aku menangis sebab ditertawakan orang luar. Sehingga aku mula hidup bersendiri. Menyembunyikan diri daripada orang luar, dan akhirnya daripada keluarga sendiri. Hidup tersisih dan disisih.
Aku merapatkan tubuhku mendekati nenek dan mula merebahkan tubuh ini agar sedikit berbaring dan mula memeluk bahunya. Pipi dan dahi nenek aku cium, lembut sekali. Sehingga nenek membuka matanya luas-luas.

BUKAN KERANA BENCI (Bab 1)




AKU putar stereng kereta. Lagi dua lorong sampailah aku ke tempat yang dituju. Hatiku berdebar kencang. Rasa gelisah sejak dua jam tadi, semakin kuat menghimpit dada. Resah menyelubungi jiwa.
Telefon tersadai di tempat duduk sebelah, menjerit-jerit lagu Pergi dendangan Aizat sekali lagi. Aku lempar pandangan sekilas pada skrin telefon Samsung Galaxy Note II berwarna merah jambu itu. Aku mengeluh kecil seraya tangan kiri sudah menggagau telefon itu, membawa ke hadapan mukaku. Jari pantas menarik punat hijau ke sisi kanan, dan butang pembesar suara turut ditekan sama.
“Ayah, Dhia dah nak sampai ni.” Laju, suara ini aku hamburkan sebelum sempat suara ayah menyapa pendengaran.
“Dhia, cepatlah balik. Ayah rayu sangat-sangat ni. Nenek kamu ni tak boleh tunggu lama-lama. Kasihan kat dia, Dhia,” rayu ayah pula.