AKU membiarkan sahaja air mata mengalir melepasi pelipis.
Membasahi tilam kepunyaan arwah nenek. Memencilkan diri daripada keriuhan
tetamu yang rancak bergilir-gilir melaungkan bacaan daripada surah-surah di
dalam Al-Quran di ruang tamu.
Sudah empat jam sejak jenazah nenek dikebumikan. Sudah empat jam
juga rasanya aku menangis di dalam bilik ini. Di sini, aku ditenggelami rasa
kesal yang setiap saat menimbun dan menggunung. Satu demi satu pengorbanan
nenek bergentayang di ruang minda. Berterusan menjemput rasa bersalah
bermaharajalela.
“Dhia,” suara itu sekali lagi menyapa pendengaran. Seperti
beberapa jam yang lalu, aku membiarkan sahaja. Berharap agar suara itu berlalu
pergi seperti sebelumnya.
“Dhia, sudahlah tu. Nanti Dhia sakit pula kalau Dhia berterusan
bersedih begini,” tuturnya lagi seraya melabuhkan punggung di atas tilam.
Menghampiri tubuhku.
Aku sedikit pun tidak terkutik. Masih merenung jauh ke bawah
almari baju di mana tersusun kemas lipatan kain batik kepunyaan arwah nenek.
Kiranya, belum sempat dimasukkan ke dalam almari pun. Dadaku kian sebak. Bibir
sengaja digigit menahan sendu daripada berselarakan lagi.
“Dhia, jangan macam ni. Tak aman nanti roh nenek. Dhia kena reda,”
pintanya pula, masih terus-terusan mengelus lembut kepalaku yang bertudung
litup. Seolah-olah membelai rambutku.
“Dhia…Dhia kesal…” terasa tersentuh dengan sikapnya, tiba-tiba
suaraku mengganti sendu.
Sesaat cuma, suara bagai tenggelam lagi. Gelora dalam jiwa ini
mematahkan hasrat mahu meluahkan. Dada terasa semput sekali.
“Perkara yang lepas, biarlah lepas. Nenek pun dah maafkan Dhia.
Tak ada apa yang perlu dikesalkan lagi.”
Dia merapatkan tubuhnya. Lalu, tangan yang mengelus tudungku tadi
sudah menepuk-nepuk bahu pula. Sambil sebelah lagi menyentuh tanganku.
“Dhia ungkit semua pun takkan mengembalikan nenek semula, sayang.
Nenek sayangkan Dhia. Nenek tidak pernah membenci Dhia walau apa pun yang Dhia
buat terhadapnya. Dhia tahu, kan?” suara itu turut diadun sebak.
Rabak hatiku mendengar dia menuturkan untaian ayat itu.
Terutamanya apabila menyebut soal nenek. Aku mengangguk, lemah sekali.
Namun, pandangan masih tidak terkutik, menekur kain batik yang
tersusun di hadapan ruang mata. Seakan ada lambaian kenangan bersama arwah
nenek yang bertayangan di sebalik kain itu. Sehingga aku mahu melunaskan rasa
rindu ini walau untuk terakhir kalinya lagi.
“Dhia…” panggilnya, kala aku terus membisu. Cuba menarik
perhatianku kembali.
Buat pertama kali, aku berpaling padanya. Redup matanya sedikit merah.
Ada genang yang sama sepertiku. Sesungguhnya, bukan aku seorang sahaja yang
bersedih atas kehilangan arwah nenek. Bezanya, mungkin tiada rasa kesal yang
menggunung dan menghempas di dalam jiwa wanita ini.
“Dhia, mak long nak minta sangat kat Dhia… lupakanlah
apa yang terjadi dulu, sayang. Tak guna nak berkeras hati lagi. Rafiq…”
Aku serta-merta bangkit. Duduk betul-betul setentang dengan Mak
Long Bibah. Terasa sesuatu menghempap di atas kepala. Bagaimana aku boleh
terbuai dengan kesedihan sehingga lupa lelaki itu berada dalam rumah ini?
Malah, di hadapan aku sekarang adalah ibunya. Wanita yang tidak pernah lelah
memujuk rayu aku dan arwah ibu selama ini. Mungkin, kerana wanita inilah, nenek
mengkhianati aku. Berpaling daripada mempertahankanku.
Sekilas, amarah terjentik sekali lagi.
“Kalau mak long nak sebut nama anak mak long tu, Dhia minta maaf
sangat-sangat. Dhia tak berminat nak dengar,” tegasku.
Tiba-tiba sahaja air mata yang bergenang tadi mulai kering. Esak
tangis surut kembali. Perasaan marah menggelupur mahu dilepaskan sekali lagi.
Namun, aku tahan hati. Aku mahu bangkit apabila tangan Mak Long Bibah
serta-merta menyentuh tanganku. Memegang lembut sekali. Menghalang niatku yang
mahu berlalu. Memaksa aku kembali duduk di sisinya.
Aku berpaling dengan pandangan yang masih berbalam-balam. Wajah
Mak Long Bibah aku tatap lama-lama sebelum suaranya menyapa jelas di
pendengaranku.
“Sampai bila berdegil begini, Dhia? Terimalah hakikat Dhia tu dah
berkahwin. Dhia dan jadi isteri Rafiq."
Aku mendengus geram kala menusuk pandangan ke dalam sepasang mata
yang semakin terdesak itu. Kalau dia bukanlah orang yang lebih tua daripadaku,
sudah aku layangkan penampar pada pipinya. Sudah aku cili mulutnya yang tidak
henti-henti memujuk merayu. Sudah aku lumpuhkan anggota badannya agar tidak
berani lagi untuk berdiri di sisiku dan bercakap ikut sedap mulutnya sahaja.
Bukannya dia tidak tahu apa yang dilakukan anaknya terhadapku?
Seluruh dunia tahu! Mana mungkin aku boleh lupa kalau satu dunia masih
mencanang keaibanku di segenap pelusuk.
“Dengar mak long…” aku merenung tajam mahu membidik tepat ke
hatinya. Biar dia mengerti. Semoga anak lelakinya yang di luar sana juga
memahami niatku.
“Dhia takkan berhenti berdegil kalau semua orang tidak berhenti
mendesak. Dhia takkan maafkan Rafiq. Itu yang pasti. Sampai Dhia menghembuskan
nafas sekalipun, Dhia takkan maafkan anak mak long itu. Biar Dhia mati jadi
hantu pun, Dhia akan cari dia dan cekik dia hidup-hidup sampai dia mati.”
Puas dengan kata-kata itu, aku berpaling dan mengorak langkah keluar
dari bilik dengan kemarahan yang membuak-buak. Hatiku panas. Kenapalah tiada
manusia dalam rumah ini yang sanggup memberikan ketenangan seketika padaku?
Biarlah aku sendirian di sini. Jangan ganggu aku!
Mcm.mana nk beli buku ni...
ReplyDeleteBoleh add friend saya di facebook ... She IsBell
DeleteBKB ada lagi ke? :)
ReplyDeletePlease refer kepada facebook saya, She IsBell
DeleteSis...mcm mn nk beli buku ni
ReplyDeleteSis...mcm mn nk beli buku ni
ReplyDeleteBoleh add friend saya di facebook...
DeleteShe IsBell