AKU putar stereng kereta. Lagi dua
lorong sampailah aku ke tempat yang dituju. Hatiku berdebar kencang. Rasa
gelisah sejak dua jam tadi, semakin kuat menghimpit dada. Resah menyelubungi
jiwa.
Telefon tersadai di tempat duduk
sebelah, menjerit-jerit lagu Pergi dendangan Aizat sekali lagi. Aku lempar
pandangan sekilas pada skrin telefon Samsung Galaxy Note II berwarna merah
jambu itu. Aku mengeluh kecil seraya tangan kiri sudah menggagau telefon itu,
membawa ke hadapan mukaku. Jari pantas menarik punat hijau ke sisi kanan, dan
butang pembesar suara turut ditekan sama.
“Ayah, Dhia dah nak sampai ni.” Laju,
suara ini aku hamburkan sebelum sempat suara ayah menyapa pendengaran.
“Dhia, cepatlah balik. Ayah rayu
sangat-sangat ni. Nenek kamu ni tak boleh tunggu lama-lama. Kasihan kat dia,
Dhia,” rayu ayah pula.
Mendengar berita itu, aku jadi cemas.
Rasa kesal sebab mengabaikan nenek turut kurasakan. Sejak dulu, sampai
bila-bila pun kasih sayang nenek tidak pernah aku pertikai. Memang aku kasih
padanya. Memang aku sayang sangat padanya. Tetapi…?
Sepantas kilat, wajah kudus nenek
terhampar di ruang minda. Butir bicara nenek masih bergaung di benakku. Terasa
sesak dada mengimbau permintaan nenek setahun lalu. Dalam keterpaksaan itu, aku
hanya mampu mengeluh dan menghela nafas berat.
Masuk lorong terakhir, aku putar
stereng kereta lagi. Kali ini, rumah nenek sudah tersergam di hadapan mataku.
Sedang di luar rumahnya, sudah banyak kereta yang membanjiri.
Aku terpinga-pinga sebentar. Dadaku
semakin berdebar semacam. Rasa gelisah itu tiba-tiba memanjat ke segenap
tubuhku. Terasa menggigil tempurung lututku. Resah ini cuba aku tepis lembut
sedari tadi. Aku pusing stereng, mahu memarkirkan kereta di satu sudut lapang,
tidak jauh dari rumah nenekku.
Ketika enjin kereta dimatikan, hatiku
dilanda rasa gemuruh semacam. Aku mengurut dada dan menghela nafas dalam-dalam.
Lantas berdoa minta dijauhkan segala yang tak baik daripada menimpa nenek.
Memang nenek sudah sebulan sakit. Salah aku yang tak pernah menjenguk walau sekali.
Bukan sebab aku terlalu sibuk, walau sebenarnya aku memang sibuk. Tapi, sebab
yang satu itu juga. Semua orang tahu. Sebab permintaan nenek setahun yang lalu.
Aku pun buru-buru membuka pintu,
tanpa sempat menoleh ke kiri atau ke kanan pun. Tiba-tiba, bunyi hon kereta di
sebelah hampir membuat tangkai jantungku tercabut. Aku tarik semula daun pintu,
seraya mengurut dada, sedikit lega. Sempat mengutuk di dalam hati sahaja.
Memang salahku membuka pintu tanpa melihat ada kereta lain yang masuk memarkir
sama, betul-betul di sebelah keretaku.
Selepas berasa lega, aku toleh ke
belakang. Apabila aku terpandang kereta yang baru muncul, serta-merta anak
mataku membeliak tajam. Tersentak jiwaku sama. Hampir gugur jantungku sekali
lagi. Pemandu kereta Honda CRV berwarna hitam membuat aku berasa jelek
seketika. Sejenak, perasaan ini tiba-tiba dilanda ombak benci. Mengundang sama
taufan amarah seperti dua tahun yang lalu.
Saat pandangan matanya bertegur sapa
dengan mataku, dia layangkan senyuman manis. Pantas, aku larikan pandangan ke
arah lain, lalu aku terus membuka pintu kereta dan meloloskan diri keluar dari
dalam kereta. Aku ingin berada di dalam rumah nenek sekarang ini. Tidak mahu
berselisih dengan lelaki itu. Tidak mahu berlaga mata dengannya sekali lagi. Bahkan,
berdebat sama dengan pemuda itu pun aku tak sudi.
Aku muak. Muak sungguh-sungguh.
“Dhia!”
Aku tersentak saat namaku dilaung
kuat dari mulutnya. Namun, laungannya belum mampu mematikan langkahku. Malah, langkahku
kian laju tanpa ada niat mahu berhenti.
“Dhia, tunggu!”
Aku benci dia. Benci sangat-sangat.
Sudah berkurun lamanya aku takung kemarahan di dalam hati. Sudah aku pakukan
kebencian ini agar sentiasa memahat kukuh dalam sanubari. Selagi parut ini
masih ada, selagi itu perasaan benci ini tidak akan pernah padam.
“Dhia, tunggu. Kita kena bincang
dulu,” pintanya dengan tegas sekali dan sudah pun seiring denganku.
Namun, sedaya-upaya aku tetap mahu
mengelak. Lalu, aku bawa langkah kaki bergerak ke kiri setelah dia halang jalan
di hadapanku dengan tubuh gagahnya. Begitu pun, dia tetap tidak mahu melepaskan
aku.
“Dhia, tunggu!” desaknya lagi, seraya
memaut lenganku.
Langkah ini mati tiba-tiba. Aku
angkat muka dan tatkala mataku menyapa matanya, aku lemparkan pandangan setajam
anak panah. Mahu menusuk sampai ke jantungnya. Menikam dan menikam
bertubi-tubi. Berbicara garang lewat panahan anak mata ini. Mengerti akan
renungan mautku, dia lepaskan tangannya serta-merta.
“Dhia, kita bincang dulu. Sebelum
jumpa nenek, Dhia dengarlah dulu apa yang abang nak cakap ni,” tuturnya, masih
menepis amaran lewat renunganku tadi.
“Aku tak ada masa nak dengar cakap
kau. Aku datang sini nak jumpa nenek. Aku dah lambat.” Aku terus menyambung
langkah tanpa mengendahkan kehadirannya. Tapi, dia tetap berdiri di hadapanku.
Masih berusaha menghalang perjalananku.
“Rafiq. Tolong jangan ganggu aku. Aku
tak mahu bergaduh dengan kau. Bukan hari ini,” pintaku tiba-tiba.
Namun, suara ini masih tidak aku
kendurkan. Sesungguhnya, aku mahu dia tahu. Niatku cuma mahu berjumpa nenek.
Tidak lebih daripada itu. Masih merah rasanya parut yang dihadiahkan oleh
lelaki ini. Masih berdarah luka yang ditoreh oleh Aqil Rafiqin.
Dia tenung aku sedalam-dalamnya.
Seakan mahu menagih simpati atau sekelumit belas daripadaku. Entah kenapa di
dasar hati ini seakan tertawa kecil. Mengejek dan terus mengejek sandiwaranya
itu.
Aku bukannya sepolos yang dulu.
Malah, aku juga bukannya terlalu naif seperti Dhia Ameerza. Gadis yang dia tipu
mentah-mentah dua tahun lalu. Gadis itu telah lama mati. Dhia Ameerza yang
berdiri di hadapannya sekarang ini, adalah gadis yang berlainan sekali.
Sebaik sahaja aku melangkah setapak
ke tepi, dia paut lenganku, sedikit kasar lagaknya.
“Kau ni, kenapa ha? Lepaslah. Aku nak
cepat ni,” jeritku, walau tidak terlalu tinggi. Tapi aku sudah cukup membuat
dia mengerti mahuku.
“Dhia, kalau Dhia tak maafkan abang
sekarang, abang tak paksa. Tapi, nenek nak sangat kita hidup bersama. Berdamai
macam dulu.” Permintaan basi itu dilaungkan sekali lagi. Kata-kata maaf dan
nyawa nenek jadi galang gantinya.
Aku semakin mual mendengar permintaan
itu. Ini bukan pertama kali. Sudah beribu kali. Bukan setakat daripada bibir
lelaki itu, bahkan ayahku, abangku, Masni sahabatku, Mak Long Bibah, dan
sekarang nenekku juga. Sehingga akhirnya aku malas hendak balik kampung lagi.
Malas berlaga pendapat dengan mereka yang tak putus-putus terus mencanang masa
depanku bersama Rafiq.
“Kau jangan mimpi, Rafiq. Itu takkan
berlaku. Aku ni bukan lagi yang dulu. Aku ni…sampai bila-bila pun takkan
memaafkan kau.”
Itu sumpahku. Bukan sekali ini aku
lontarkan daripada mulut3ku. Sudah berabad juga. Namun Aqil Rafiqin tidak
pernah lelah merayu. Meskipun, rayuannya itu aku pandang kosong. Tidak sempat
menyentuh dasar hatiku.
“Dhia, kalau benar Dhia sayangkan
nenek, Dhia tolonglah penuhi permintaan nenek ini.”
“Tidak! Kau jangan berangan-angan
dapat hidup bersama dengan aku. Aku tak rela dan tak sanggup. Walau nenek
memaksa pun.” Sekali lagi aku muntahkan juga ayat yang sudah basi itu.
“Abang tahu Dhia benci abang. Abang
tahu Dhia takkan maafkan abang. Abang takkan dapat tebus kesalahan dulu walau
selautan kesal dalam hati abang dan segunung maaf yang abang pinta dari Dhia…”
Dia terhenti sejenak. Matanya terkunci erat menjelajah ke dalam hatiku. Aku
cebikkan muka. Berusaha agar mampu mengeraskan hati.
“Tapi Dhia…kasihanlah pada nenek.
Jangan hukum nenek untuk salah abang. Tolonglah Dhia. Jangan pentingkan diri
sendiri,” rayu Rafiq.
Semakin sakit hatiku mendengar
tuduhannya itu. Rasa semakin pedih parut luka yang ditinggalkannya. Luka ini
tidak pernah sembuh. Sekali aku pandang wajahnya, sekali aku dengar namanya,
seakan baru semalam luka ini ditorehnya. Dicakar dan dirobek tanpa sebarang
pilihan pun.
“Katalah apa mahumu. Tuduhlah apa pun
ikut suka hatimu. Aku tak peduli, Rafiq. Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak
selama dua puluh tahun dulu. Mana kau pergi? Kau jangan buat-buat lupa!”
tekanku, mencarik-carik kisah lampau yang perit itu.
Aku tidak menunggu apabila dia
terdiam sejenak. Kesempatan itu aku pergunakan sebaik mungkin. Aku kembali
menyambung langkah yang terhalang, menuju ke rumah nenek yang cuma beberapa
meter di hadapanku.
Tiba-tiba langkahku mati lagi. Hampir
sahaja tubuhku tergolek dan jatuh menyembah bumi. Nasib baiklah terhadang oleh
tubuhnya yang sekali lagi terpacak di hadapanku.
“Kau ni kenapa ha? Boleh tak kau
jangan ganggu aku lagi? Aku datang sini sebab nenek panggil. Kalau sebab kau,
aku dah lama tak balik sini. Kau tahu kan?” menyirap darahku memuntahkan
kata-kata benci itu. Namun, masih belum mampu pula meruntuhkan tekadnya hari
ini.
“Dhia, nenek sakit Dhia…” tiba-tiba
sahaja suaranya bernada sayu. Terasa sebak pun ada dalam suara itu. Seakan
menuntut pengertian daripadaku. Tapi sikit pun tidak memalapkan api
kemarahanku.
“Jadi?”
“Jangan duga dia dengan kedegilan
Dhia. Jangan patahkan hatinya dengan kebencian Dhia. Jangan matikan semangatnya
untuk teruskan hidup, hanya kerana Dhia tidak mahu menjalankan hidup seperti
kehendaknya.”
“Rafiq! Kau jangan guna nenek untuk
niat kotor kau tu pada aku!” ugutku.
Dalam pada itu, aku angkat jari
telunjukku, betul- betul di depan matanya. Mahu sahaja aku tunjal dahinya
dengan telunjukku. Tapi, entah apa yang menghalang niatku. Aku tak pasti.
Mungkin perasaan jijik mahu menyentuh dahinya atau perlakuannku itu dikhuatiri
akan memanjangkan perdebatan ini.
Aku tidak rela diperlakukan sebegini
oleh lelaki ini. Mahunya aku menjerit meminta tolong kepada ayah atau abang
Irfan pun. Luluh hati ini kala aku bayangkan sikap dua insan yang paling aku
sayangi. Pasti akan membela lelaki ini lagi.
“Dhia isteri abang. Itu sudah
termaktub. Terimalah abang sebagai suami. Abang janji, selepas nenek menghembus
nafas terakhir, abang akan lepaskan Dhia kembali. Biarlah nenek pergi menghadap
Ilahi dengan segala ketenangan di hati,” bisiknya, bersungguh-sungguh.
“Isteri?” aku ketawa mengejek.
Pernikahan yang dilakukan atas dasar
penipuan. Tanpa pengetahuan aku. Tanpa persetujuan aku. Paling menyakitkan,
tanpa kehadiran aku!
Aku jungkit kening. Turut mengejek
dan menyindir permintaannya lagi. Tak sangka dia masih nekad merayuku lagi.
Bukan dia tak tahu pendirianku. Aku balas renungannya. Sama tajam, sehingga
mahu tembus sampai ke dalam hatinya. Mahu aku hapus niat kotornya itu.
“Aku tidak akan pernah terima kau.
Sekalipun, kau tu sepupu aku dan seluruh umat manusia menyokong kau, jangan
berharap yang aku akan menjadi isterimu. Sekalipun nyawa nenek yang jadi
taruhan. Baik aku mati daripada menerima perkahwinan ini.”
Aku cebikkan muka lagi bila dia sudah
berundur setapak setelah melepaskan genggamannya di bahuku sebentar tadi. Aku
tersenyum, puas menyindir. Akhirnya, aku tahu dia pasti kalah walau tika
berperang dengan perasaan sendiri. Bila dia raup mukanya berkali-kali, aku
berdoa sangat dia mengaku tewas kepadaku lagi. Agaknya, dia sudah buntu.
“Dhia, berkorbanlah untuk nenek.
Kalau abang sanggup berkorban, kenapa Dhia tidak boleh? Mana sudah kasih sayang
Dhia pada nenek dulu?”
“Sudahlah Rafiq. Kalau kau nak
berkorban, kau korbankanlah diri kau sendiri. Jangan kau heret aku sama. Aku
benci kau dan aku takkan maafkan kau. Jadi, berhenti meminta sesuatu yang
takkan berlaku walau dalam mimpi kau sekalipun.”
Semakin menebal kebencian yang bersarang di hatiku. Aku mendengus geram.
Laju, aku melangkah. Bila dia menghalang, aku langgar sahaja tubuhnya, dengan
tubuhku. Aneh, dia pula yang mengelak ke tepi. Lalu, seakan bergelimpangan aku
berlarian menuju ke rumah nenek. Takut sungguh andai dia masih juga nekad
mengekori.
No comments:
Post a Comment