Tuesday, 15 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 9)




Arayn ramas-ramas rambut sendiri sebelum meraup wajahnya. Kedua-dua telapak tangan singgah menekan muka. Menongkah kepala yang bagaikan sarat dengan satu perkara. Yakni Naazneen.
Apa yang harus dia lakukan terhadap Naazneen? Di sofa kecil itu Arayn tunduk. Siku di atas paha dan telapak tangan terletak di kedua-dua pipi. Akalnya terbang jauh. Memikirkan jalan keluar.
Orang lain mungkin nampak semuanya mudah. Terima sajalah Naazneen sebagai isteri. Lagipun, dia mengandung. Anak Arayn pula tu. Pewaris empayar Strenght Hill Group. Tetapi… kalaulah semuanya semudah itu?
Apa kata Mama nanti? Boleh ke Naazneen berdiri di sampingnya di khalayak umum? Mereka tidak sama tinggi. Pasti duduk pun tidak sama rendah. Macam mana kalau-kalau dunia Arayn bukanlah seperti yang diimpikan Naazneen?

Ohhh Arayn…kau harus ingat kenapa kau kahwin dengan Naazneen. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Itu sahaja persoalan yang bergaung sedari tadi. Perempuan yang diakui sebagai isteri itu masih banyak kelonggarannya. Buktinya tidak lengkap. Bukti yang ada semuanya milik Arayn. Tiada satu pun tentang Naazneen yang ada pada diri Arayn. Nasib baiklah, Naazneen sangat-sangat cantik orangnya. Ada aura penariknya. Macam pelaris juga.
Dan sekarang gadis itu di rumahnya. Di atas sana. Teringat itu, Arayn mengeluarkan telefon bimbitnya. Laman sesawang dibuka sebelum menaip url cctv miliknya. Sebaik sahaja password dimasukkan 8 kamera dalam penthousenya terpapar di skrin telefon Sony Xperia Z4 yang baru dibeli menggantikan telefon lama yang hilang.
Melihat kelibat ketiga-tiga perempuan di ruang tidurnya, Arayn gemuruh tak tentu fasal. Apatah lagi setelah Liyana duduk di katil yang menjadi ketidak selesaannya.
Arayn segera berlalu ke mejanya. Mahu sahaja menelefon Liyana dan suruhnya turun jauh-jauh dari ruang tidur itu. Saat itu, semacam sampai pula niatnya. Liyana dan Jasmin telah pun bergegasan ke ruang bawah. Anak mata menumpu kepada Naazneen yang ditinggalkan seorang diri.
Ketika Naazneen landing punya baik di atas katil, Arayn rasa macam nak marah. Macam nak tarik-tarik sahaja rambut panjang Naazneen yang menjadi kegilaannya sejak pertama kali bertentang mata tadi.
Tak semena-mena, Naazneen berguling-guling. Bantal diterkap-terkap ke muka. Kemudian dibawa kepelukan. Bersama senyuman itu, Naazneen memandang siling. Terpaku terus ke paparan skrin telefon Arayn. Menjentik rasa dalam hati Arayn. Lalu, jarinya ligat membesarkan skrin. Sehingga seraut wajah Naazneen yang tersenyum, menguis senyuman yang sama di bibirnya.
Aduhai Naazneen, senyumanmu itu memukau. Menggegar sukma. Menjadikan jiwa lelakinya kacau. Nafsunya mendadak-dadak. Susah betullah hendak menolak Naazneen.
Bantal oh bantal…tak lepaslah bantal itu dalam pelukan. Eikkk, peluk bantal saja ke Arayn? Macam terdengar-dengar suara Helmie pula di sebelahnya. Arayn kalut tak semena-mena. Dipandang sekitar pejabatnya. Dia seorang diri. Lantas dia ketuk kepala, senyum seraya membawa skrin itu ke depan mukanya. Matanya terarah ke pintu sejenak. Memastikan tiada yang mengintai dia. Sebelum pipi Naazneen dicium… laju. Alahai… Arayn senyum. Gila… dia sudah gila.
*****
Hampir sahaja Naazneen terlena ketika berbaring di katil Arayn yang besar itu. Puas dia guling-guling. Berangan sakan. Pusing-pusing pun tak risau jatuh. Naazneen sembunyikan senyuman kecil. Teringat betapa lasaknya Arayn ketika di katil. Memang tak hairan kalau dia ada katil yang besar seperti itu. 
“Amboi senyum sorang-sorang. Ingat sesuatu ke?”
Hish! Rupa-rupanya ada juga yang mengendap dia. Liyana kembali di hujung tangga.
Toksah nak berangan bantal tu ialah Rayn. Malam nanti peluk oranya jer terus.”
Serta-merta, bantal ditolak jauh. Dia bangkit, kalut. Mukanya tetap merah. Sabar ajelah Naaz, dah nasib awak dapat kakak ipar yang mulut laser. Tebal-tebalkanlah muka tu ya.
“Jom makan. Awak tak kisah kan makan nasi ayam KFC? Tu jer ada seberang jalan. Nasib baik Pak Teh sudi belikan.”
“Pak Teh? Siapa Pak Teh?”
Security guard yang jaga lif ke tingkat ni. Dia jer yang boleh turun naik lift selain daripada Arayn dan lembaga pengarah yang tinggal di tingkat bawah.”
“Bawah? Maksud Kak Liya tingkat 44?”
Liyana angguk sambil mereka menuruni anak tangga ke ruang tamu sebelum ke dapur. “Tak usah panggil Kak Liya. Gelilah pula. Rasa macam tak mesra. Rasa macam tua sangat pula.”
“Habis tu, panggil apa?” Naazneen sekadar berbahasa sebenarnya.
“Panggil Liya dan dia Jas. Macam Arayn panggil kami. Kau, kau. Aku, aku.”
Jasmin sedang mengeluarkan pinggan dari kabinet bawah meja mereka duduk. Naazneen duduk di sebelah Liyana manakala Jasmin di depan mereka, di bahagian dalam dapur. Dapur juga berlatarkan warna putih kebanyakan termasuklah bangku yang mereka duduki. Ruang dapur itu terletak di antara ruang tamu dan bilik pakaian sebelum ke bilik air di hujung sekali. Terdapat juga sebuah bilik air di bawah tangga ruang tidur Arayn.
“Awak kena makan sikit dulu. Lepas tu nanti awak akan muntah. Lepas dah muntah, baru makan lagi. Tau?”
Naazneen angguk. Jasmin kan puan doktor. Tentu sahaja dia tahu apa yang terbaik untuk Naazneen.
“Nanti malam aku balik dari klinik di tingkat 5, aku suruh Pak Teh hantar ubat untuk awak. Jangan lupa makan ubat pula. Sini, aku kasi dua biji dulu.”
Terkebil-kebil Naazneen memandang ubat yang diberikan Jasmin dalam peket kecil di sebelah pinggan ayamnya. Rancak Liyana dan Jasmin mengunyah ayam dalam mulut. Malah, Liyana sendiri pun tak terkeluar perkataan yang mahu diungkapkan. Namun, fikirannya sama dengan Naazneen.
“Gelojoh betullah. Boleh tak kau makan dulu baru cakap?” sergah Jasmin sambil menuang pepsi ke dalam cawan untuk mereka bertiga.
Liyana telan baki makanan dalam mulut sebelum mengambil peket ubat dan tunjuk kepada Jasmin.
“Selamat ke Naaz makan ubat ni?” soal Liyana, bagi pihak Naazneen. Sesudu nasi masuk ke mulut Naazneen. Namun, rasanya hambar di anak tekak.
“Apa pasal pula yang tak selamatnya?”
“Iyalah, kan effect kat baby nanti.”
Serta-merta Jasmin ketawa. Siap tepuk-tepuk meja pula tu. Cutelah pula. Naazneen dan Liyana berpandangan sesama sendiri.
“Wei! Apa yang lucunya?” Secebis ketul tulang yang telah dimamah rakus oleh Liyana, melayang ke muka Jasmin. Jasmin tak sempat mengelak.
“Kan aku dah kata Naaz gastrik. Tentulah dia kena makan ubat.”
“Gastrik tu aku taulah beb. Tapi, baby tu…” Liyana bungkam.
“Baby apanya?”
Naazneen sudah rasa tak sedap hati. Tangan dibawa menyentuh perut. Terasa perut itu kosong. Terasa kehilangan sesuatu. Terasa…
“Naaz tak mengandung pun!”
Booom! Terasa mahu pitam. Naazneen merenung Jasmin yang menarik muka masam kerana dilempar tulang oleh Liyana. Liyana pula kerling Naazneen seketika. Wajah Naazneen pucat. Pucat sangat-sangat.
“Jas, apa kau cakap ni?” Liyana juga merasa sentap seperti mana Naazneen. “Bukan ke kau cakap tadi yang Naaz mengandung?”
“Tu sebab aku nak balas balik kat Arayn. Nak tengok dia kena heart attack. Macam aku tadi. Hampir jer lah aku kena heart attack bila dia cakap dia dah kahwin.”
Dalam Jasmin merungut, dia tidak sedar Naazneen sedang terketar-ketar. Tangan yang menyentuh perut itu, kini memegang tepi kabinet dapur yang menjadi meja mereka makan. Sakit siot! Sakitnya tuh di sini, di dalam dada Naazneen.
“Kau ni perkara macam tu manalah boleh buat main-main.”
“Habis tu, kahwin tak bagi tau kita tu boleh? Suka hati mempermainkan perasaan kita.” Jasmin tarik muka masam.
“Dia sendiri manalah tau dia dah kahwin…”
Toksahlah nak membela Arayn. Pokok pangkalnya dia dah kahwin. Sah! Itu tandanya dia dah selamat berkahwin dengan Naazneen tanpa kehadiran kita. Dan Mama. Titik.”
Pertengkaran kecil itu berlanjutan seolah-olah Naazneen tidak ada di situ. Naazneen sedih. Hatinya terkilan. Bukanlah dia nak sangat-sangat mengandung tika begini. Tapi sedetik waktu itu, dia telah menciptakan angan-angan. Untuk dia, bayi yang kini tiada dan bersama Arayn. Di atas katil sana. Berguling-guling. Ekor mata Naazneen mengintai ke dada siling di hujung ruang itu. Sebuah katil besar yang baru ‘direnanginya’ tadi, sedikit terpeta di ruang mata. Anehnya, mata itu kian kabur. Basah. Ohhh Arayn…dia perlukan Arayn sekarang juga.
“Kenapalah kau kejam sangat, Jas?”
“Apa yang kejam? Aku cuma balas dendam. Nak kenakan Arayn. Dia tak fikir panjang. Padan muka dia.”
“Maksud kau, padan muka Naazneen juga, kan?” Liyana melenting. Kebisuan Naazneen menakutkan dia.
Jasmin terdiam. Serta-merta empat mata itu menatap Naazneen yang tunduk memandang nasi dan ayam KFC di pinggan. Tidak bergerak seinci pun.
Suasana hening seketika. Seolah-olah bersimpati sama. Jasmin rasa bersalah. Dia gigit-gigit jari. Mulut berbicara dengan isyarat bibir kepada Liyana. Liyana yang geram dengannya, lebih mengambil berat tentang perasaan adik iparnya itu.
“Naaz…” Bahu Naazneen disentuh.
Lambat-lambat, Naazneen angkat muka. Senyuman diukir. Kalaulah mereka rasa betapa hambarnya senyuman Naazneen itu. Malangnya, mereka berasa lega. Terutamanya Jasmin. Siap urut-urut dada.
“Tengok, Naaz tak kisah pun. Betul tak?”
Sekali lagi, empat biji mata memaku kepada Naazneen. Alahai, Naaz! Senangnya mereka mempermainkan hatimu. Tidak mereka tahu seksanya yang kau rasa. Semacam hati dipancung dari tangkainya.
“Naaz, kau okey tak?” Liyana merasai apa yang dirasakan Naazneen.
Dengan muka bengang, dia berpaling menghadap Jasmin yang masih berselera menjamu makanan.
“Kau tanya dia okey? Kau tak nampak ke dia tengah sedih. Kau baru kahwin enam bulan. Kau tak rasalah deritanya seorang perempuan menunggu dia dikhabarkan berbadan dua. Kau tak rasa sakitnya bila orang tanya tak mau anak ke? Kau tak tahu betapa dia berusaha setiap malam demi…”
“Wow! Yang kau sentap ni kenapa? Aku tak kacau hal kau pun.”
“Tapi dia pun perempuan. Kau tu perempuan. Kalau bukan perempuan yang jaga hati perempuan, siapa lagi? Kau tahu adik kau tu…” Liyana berdiri. Geramnya mencacak-cacak. Setiap kali berdepan Jasmin, ada-ada saja yang tak kena antara mereka. “Adik kau tu bukannya pandai jaga hati perempuan.”
Pertengkaran itu berlanjutan lagi. Sehingga nasi di dalam pinggan, melayang-layang. Banyak tumpah ke lantai. Air di dalam cawan, tumpah di atas kabinet. Sampaikan ayam yang belum tersentuh pun, terbang. Menjadi bahan atom untuk meletupkan mangsa. Liyana dan Jasmin saling bercakaran. Melempar-lempar semua yang ada di atas meja.
“Sudah!” Tak semena-mena, Naazneen terjerit. Teringat pesan Arayn sebentar tadi.
“Jangan buat kotor.” Bergaung dan berulang-ulang di benak Naazneen.
“Kau okey tak ni, Naaz?” tangan Naazneen digenggam Liyana.
Jasmin pula berkalih dan mendapatkan adik iparnya. Jelas sekali dia bersalah. Sewaktu dia mengkhabarkan berita itu, dia hanya memikirkan tentang Arayn. Tidak langsung mengambil pusing perkaitannya dengan Naazneen. Mungkin kerana dia fikir, Naazneen tidak selayaknya untuk Arayn. Sebaik berada di sisi Naazneen, bahu Naazneen dipegang dan badannya dikalih sama.
“Maafkan aku, Naaz. Aku tak berniat untuk lukakan hati kau. Atau permainkan perasaan kau. Aku…”
“Alahhh, korang dua ni. Buat apalah nak besarkan. Aku okey. Tak kisahlah ada baby ke tak. Mungkin, belum rezeki aku lagi. Lagipun, aku kan masih muda.”
Semacam pantai yang kena hempas ombak, Naazneen kembali menayang wajah manisnya. Senyuman tidak lekang di bibir. Selamba, dia kembali menyudu nasi ke dalam mulut. Kali ini, umpama menelan serpihan kaca yang berderai-derai. Pedih.
Apa guna marah-marah? Tidak akan membuat dia mengandung serta-merta. Tidak akan mengembalikan perasaan indah sejengkal masa tadi. Mereka kan baru sahaja bersaudara. Baru mengenali peribadi masing-masing. Mungkin sebab itulah Arayn selalu kata, Liyana garang tetapi hatinya baik. Jasmin pula lembut dan berbahasa tetapi selalu menyentap rasa. Bezanya mereka antara langit dan bumi walaupun dalam dua wajah yang serupa.
Liyana yang masih kegeraman itu menampar kuat bahu Jasmin. “Kau dah buat begini, sekarang kau pergi cari Arayn dan cakap dekat dia yang kau cuma bergurau tadi.”
Saat itu, Naazneen tersentak. Dalam dia menimbang hatinya, dia terluka tentang Arayn. Bagaimana reaksi Arayn nanti?
“Alaahhh…”
“Tau pun takut.” Liyana mendengus geram. “Kau selalu buat dajal dan lepas tu aku yang kena sapu kerja kotor kau. No more. Aku tak nak tolong. Kau pergi cakap sendiri dengan Rayn.”
“Alahhh, tolonglah. Adik-beradik sendiri pun nak berkira.”
“Berkira tak berkira, aku tak peduli apa. Takkan kau tak boleh bayangkan macam mana marahnya Rayn nanti. Tak fasal-fasal habis satu penthouse ni dia bakar.”
Naazneen mengamati wajah Jasmin yang ketakutan gila. Seakan terbayang-bayang bencana yang bakal tiba.
“Aku bukannya nak buat dia marah. Aku cuma…”
“Nama jerlah kau tu paling bijak antara kita, tapi sebenarnya lembab. Tak guna otak bila cakap.” Liyana benar-benar tak puas hati lagi.
Belum habis mereka bertekak intercom di tepi pintu berbunyi. Suara Arayn bergema. Menggelabah terus Liyana dan Jasmin serentak. Tak fasal-fasal juga Naazneen turut menggelabah sama.
“Penyapu…mana penyapu?” soal Naazneen kalut, apabila melihat suasana di sekitar dapur itu kotor dan bersepah. Sisa-sisa makanan bertaburan di sana sini.
“Cepat buka pintu!” suara Arayn menjerit-jerit di balik intercom di dinding rumah. Liyana yang sudah berada di tepi skrin semacam televisyen kecil itu kian cemas. Sesusuk tubuh Arayn berada di balik tiga pintu sana. Tidak sabar-sabar hendak mengamuk. Semacam menyedari apa yang sedang berlaku di dalam rumah.
Mana tidaknya. Dalam dia mengendap Naazneen tadi, terkejut melihat acara baling membaling di dapur rumah. Malangnya, dia hanya boleh lihat ketegangan antara dua beradik itu. Tiada suara yang boleh didengarinya melalui siaran langsung cctv. Serta-merta darahnya naik.
Semakin Arayn sabar, semakin galak pula acara dalam rumahnya. Apabila dia amati sungguh-sungguh… Ouch! Ulu hatinya ditikam-tikam. Naazneen menangis? Kenapakah dia rasa Naazneen yang tertunduk-tunduk itu seakan memanggil-manggil dia? Seakan sedih sangat-sangat. Hishhh! Memang Arayn sudah gila bayang agaknya.
Tapi itu tidak menghalang kakinya. Langkah laju ke tingkat atas. Sanggup berlarian mendaki anak tangga kecemasan di sisi bangunan. Nasib baiklah dia ada kad access biasa yang membolehkannya membuka pintu kecemasan seperti pekerja-pekerja yang lain.
Sampai di muka pintu penthouse miliknya, berdering-dering butang intercom ditekan. Dia menjerit-jerit di balik speaker kecil panel pintu rumah. Tapi, pintu tetap tidak dibuka. Dahlah dia ada hanya satu kad itu sahaja. Dan kad itu ada dengan mereka di dalam sana. Dia boleh bayangkan kakak-kakaknya pasti lintang-pukang berlarian. Soroklah… baik menyorok sekarang. Macamlah ada tempat menyorok dalam rumahnya tu.
Di dalam rumah itu, Naazneen terkulat-kulat mengutip sisa-sisa makanan di dada lantai ketika Jasmin muncul dengan muka takut.
Takde penyapu, penyodok kat rumah ni.”
Hish! Rumah apalah pula yang takde penyapu dan penyodok sampah ni. Nampak mewah jer. Benda dua tu pun tak boleh beli ke? Adehhh! Naazneen tidak menunggu. Sebaliknya dia ambil segulung tisu yang memang ada di tepi sinki dan mengelap setiap ceruk.
Masa itu juga Arayn menjenguk ke skrin telefonnya. Melihat Naazneen yang tertonggeng-tonggeng mengelap lantai dan diperhatikan sahaja oleh Jasmin, semakin hilang sabarnya. Geramnya membukit.
“Cepat buka pintu ni atau saya suruh security pecahkan pintu!” tempik Arayn di balik intercom lagi.
Mendengar ugutan Arayn, Liyana tidak mahu menanti Naazneen siap membersihkan dapur. Butang pintu itu ditekan. Dan tidak sampai sedetik, pintu kedengaran dibuka kasar. Dihempas kuat-kuat. Sebelum muka Arayn yang menyeringai muncul di balik pintu satu lagi.
Out!” pekik Arayn sekuat hati. Bergegar rasanya penthouse di tingkat 45 itu. Boleh jadi kedengaran sampai ke tingkat paling bawah.
Liyana terus merembat begnya. Jasmin berkejaran di belakang dengan peti ubatnya. Tidak ketinggalan Naazneen yang tersentak, mengikuti mereka. Sebaik sahaja Liyana berselisih dengan Arayn, dia membuka mulut mahu memberitahu tentang kandungan Naazneen.
“Rayn, Jas has something to tell you.”
Not now.” Arayn tidak mahu mendengar. Marahnya berlipat-lipat. “Out!”
Jasmin yang sudah sampai di muka pintu, berpaling. “Rayn…”
Out! Apologise? Later!” Kalaulah Arayn tahu apa yang mahu diungkapkan kedua-dua kakaknya itu.
Melihat amarah Arayn yang menggegarkan tempurung lutut kakak-kakaknya itu, Naazneen lekas-lekas menyorok di belakang Jasmin dan bergegas mendapatkan Liyana yang sudah membuka pintu depan.
Wait!” Arayn memekak. Semua orang terpaku.
Telunjuk Arayn naik. Menuding kepada Naazneen. Renungan Arayn bulat. Naazneen kecut perut jadinya.
“Awak…” Arayn cuba menarik nafas. Memujuk hatinya sendiri. Jelas, Naazneen tersentak dengan kemarahannya. “Masuk,” sambungnya. Tetapi masih dengan nada garangnya itu.
Sekali lagi, Naazneen telan air liur. Dia bukan sahaja takut. Dia juga tidak bersedia menjadi bahan amukan Arayn. Bagaimana kalau-kalau Arayn melepaskan kemarahannya terhadap diri Naazneen nanti? Tiada Liyana dan Jasmin untuk menyokongnya, mempertahankan dia.
Arayn bersedia menghempas pintu rumah. Riak wajahnya masih tegang. Tajam matanya menikam mata Naazneen. “Awak nak masuk sekarang atau awak nak saya dukung awak masuk?”
Naazneen terkedu.
Alahai…Liyana dan Jasmin sempat tersengih. Dalam marah-marah tu, sempat juga adik mereka ni beromantik sakan.
Lalu, tubuh Naazneen ditolak-tolak sehingga dia terdorong ke depan. Mereka menggesa dia masuk semula. Semacam tikus yang ketakutan, Naazneen melangkah lambat-lambat. Sebaik sahaja dia muncul di depan Arayn, lengannya direntap kasar. Tubuh dibawa masuk. Sebelum pintu dihempas kuat-kuat disaksikan oleh Liyana dan Jasmin.

8 comments:

  1. hai awak....best cerita awk buat..
    awk mcm mn saya nk order novel tangkap muat punya pasal ni or ada xbook shop yg jual novel ni..
    klau bole awk text sy kt whatapp ye...ni nmbr saya 0148716198

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada facebook ke? bagi detail facebook, saya akan pm

      email kepada saya sheisbellbutsheisbell@gmail.com

      Tq

      Delete
  2. hai sis..
    nak tnye masih available ke novel nie?
    dkt mane ye sya bole dpt?
    email saya; amirah.tahmidi@gmail.com

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. saya pun berminat dgn novel ni. email saya nabilah78.nk@gmail.com

    ReplyDelete
  5. saya pun berminat..pm me Noilee or email me shahnurulsuhaimi@gmail.com

    ReplyDelete
  6. Buku ni ada lagi tak..nak.order boleh 013-7746880

    ReplyDelete