Sunday, 13 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 1)







Kad bersegi empat itu dikibas-kibas di mukanya. Panas kian membahang. Membakar kulitnya yang sedikit terdedah. Dia menatap sekeping kad merah gelap bertintakan darwat kuning emas. Alamat di atas kad itu membuat dia mendongak lagi tinggi. Hampir menentang pancaran matahari yang kian terik.
Lama berfikir, dia hayun kaki ke dalam bangunan yang berdinding separa kaca berwarna bertinted biru. Sebaik sahaja dia menapak, dirinya disergah seorang pemuda yang berdiri berhampiran pintu masuk.

Dia yang berambut panjang ke paras pinggang dan memakai skirt melepasi lutut tiba-tiba berhenti. Terpaku sejenak. Tetapi matanya tetap meliar. Mencari kelibat wajah yang mungkin dikenali di balik puluhan manusia yang lalu-lalang. Wajahnya masih dibaluti keresahan. Dahinya kian berpeluh. Dirinya tambah gemuruh.

“Cik nak jumpa siapa?” tanya pemuda itu yang berpakaian blazer hitam lengkap, dengan senyuman. Tak mengapa, Naaz. Chaiyok chaiyok, Naaz. Kau boleh buat ni. Kau mesti teruskan.  Naazneen tarik nafas dalam-dalam. Peluh di dahi disapu dengan belakang tapak tangan.

“Ehhh…” Naazneen gugup. Jiwanya berbolak-balik. Masih keliru sama ada dia perlu teruskan atau berpatah balik sahaja. Setidak-tidaknya, dia ada masa sehingga esok petang. Tetapi mengenangkan wajah yang tidak lepas melingkar dalam benak ingatannya itu, menumpaskan kesabaran Naazneen sejak berhari-hari lamanya.

“Cik…?” pemuda itu menanti.


Kad diserahkan. “Saya nak jumpa orang ni.” Suaranya padu.

Kad bertukar tangan. Pemuda itu membelek kad. Seketika, riak wajahnya berubah. Belakang kad pula ditelek. Dahinya berkerut. Kemudian dia angkat muka. Bertembung terus dengan wajah Naazneen yang kini serius.

“Cik pergi kaunter depan tu dan tunjuk kad tu kepada mereka,” arahnya, dengan senyuman lebar. Lebih lebar daripada yang mula-mula tadi.

Naazneen berasa sedikit lega. Perlahan-lahan, kaki dibawa ke kaunter penyambut tetamu yang berada di tengah-tengah ruang legar yang luas dan kaunter yang tampak kosong itu. Tiga orang perempuan yang berpakaian serba hitam dengan tanda nama masing-masing, bersedia menyambut kedatangannya. Di belakang perempuan-perempuan itu tertulis nama yang sama seperti di dalam kad. Strenght Hill Group. Sah! Naazneen tidak silap tempat. Teksi yang disewanya tadi mudah sahaja mencari bangunan ini.

Naazneen tarik nafas dalam-dalam. Dia kena teruskan juga. Sudah jauh perjalanan yang ditempuhnya. Sudah banyak dugaan yang diharunginya. Hanya sejengkal saja lagi. Dia akan bertemu dengan lelaki itu. Lelaki yang dua bulan menghilang tanpa khabar berita.

“Ya, cik. Ada yang kami boleh bantu?” Belum pun sampai betul-betul di depan kaunter, dia disambut salah seorang daripada mereka bertiga.

Tubuh Naazreen gementar. Seingatnya dia sudah bersedia. Seingatnya dia boleh kuat. Seingatnya langkahnya akan lebih mudah. Tetapi, entah kenapa dia resah sangat-sangat. Rasa tidak sedap hati pun ada. Bagaimana kalau-kalau lelaki itu hanya mempermainkan dia? Seperti yang dicanang-canang bapa saudaranya dua hari yang lalu. Oh tidak! Mustahil lelaki itu akan berbuat begitu. Naazneen menolak jauh-jauh tanggapan itu.

“Cik nak jumpa siapa?” Soalan muncul sekali lagi dari gadis di hujung kaunter.

Naazneen menapak ke depannya. “Saya… saya… nak jumpa dia.” Kad diserahkan dengan tangan menggeletar.

Gadis itu menyambut dengan senyuman manis. Anehnya, sebaik mata menatap kad tersebut, wajah berubah riak. Ditenung kad itu berulang kali. Dibelek wajah Naazneen pula berulang kali. Mencambah keresahan di hati Naazneen. Menepuk keraguan yang kian menebal.

“Kenapa?” Rakan penyambut tetamu datang menyibuk. Lalu, kad itu menjadi tatapan. Semacam pesta.

“Dia ada tak?” Naazneen tidak sabar. Sudah puas dia bersabar. Sudah puas juga dia menunggu dan berharap.

Pandangan dilemparkan semula kepada Naazneen.

“Telefon atas,” arah rakan yang menyibuk tadi kepada rakannya. Lantas, gadis itu mengangkat gagang telefon dan mendail.

“Nama cik, siapa?”

“Ahhh…ohhh…Naazneen Sofiah.”

“Cik Sofiah tunggu sekejap.”

Naazneen ketap gigi. Dia tak suka orang panggil dia Sofiah. Bukan kerana nama itu. Tetapi kerana nama itu mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang sudah lama mengeruhkan hatinya.

Fikiran Naazneen melayang-layang. Kepada lelaki yang susah sangat hendak dijejakinya itu. Apa yang susah sangat? Dan kenapa dia beri kad yang beralamat di situ? Mana rumahnya? Mana keluarganya? Argh! Naazneen mahu menjerit kalau bukan kerana kebodohannya sendiri. Dia juga bersalah. Bersalah dalam erti kata yang sebenar.

“Cik…”

Naazneen tersentak.

“Cik bawa kad ni. Naik lif depan tu. Tunjuk kat security guard yang ada kat situ kad ni. Lepas tu, cakap dengan dia cik nak ke tingkat 41. Sampai di sana nanti, cik tunjuk kad ni kepada receptionist kat tingkat tu pula.”

What! Berapa banyak kaunter tapisan ni? Terkebil-kebil mata Naazneen. Mahu sahaja dia membentak kalau bukan kerana senyuman manis penyambut tetamu itu.

Dengan hati yang sebal, Naazneen menapak menuju kepada security guard di tepi pintu lif yang terasing daripada lif-lif yang digunakan oleh orang lain yang sedari tadi keluar masuk dari bangunan itu. Tidak tahu apa istimewanya lif yang dijaga security guard itu, tetapi Naazneen tidak mahu ambil pusing. Kepalanya sudah serabut.

Fikiran Naazneen menerawang kepada lelaki yang bakal ditemuinya itu. Sepanjang dalam lif sehinggalah ke muka pintu pejabat di tingkat 41, perasaan gemuruh semakin tidak dapat dibendung. Menjadikan jiwa Naazneen sesak sehingga sukar hendak bernafas.

Bagai tetamu terhormat, Naazneen dipelawa masuk oleh seorang gadis bertudung berpakaian baju kurung yang dilapisi sweater berkait biru gold. Tanda nama di dadanya tertulis perkataan ‘Dian’. Naazneen membalas dengan senyuman manis.

“Orang bawah cakap cik ada kad gold?” tanya Dian sebaik sahaja Naazneen masuk dan pintu kaca yang dibuka tadi terkatup semula.

Naazneen tercengang seketika. Kad gold? Dia hanya ada kad merah gelap. Tulisan sahaja yang berwarna kuning emas. Hanya itu yang dia ada. Hanya itulah juga yang diserahkan kepada Dian. Seperti yang diduga Naazneen, mata gadis itu turut membulat. Riaknya sama dengan penyambut tetamu di kaunter bawah tadi.

Naazneen seakan mahu menghentak-hentak kaki. Menangkis semua rasa gemuruh yang dibawa sejak subuh lagi. Ruangan di tingkat itu dipandang kosong. Ruang yang hanya dipenuhi dengan perabot sofa dan meja bulat. Tanpa pekerja. Hanya Dian sahaja yang menghuni ruang itu. Meja kaunternya dihias dengan bunga segar dan kura-kura kecil di dalam bekas, di belakang tempat duduknya.

“Cik, Tuan Arayn sedang mesyuarat sekarang…”

Mendengar suara Dian tentang lelaki itu, senyuman Naazneen mekar. Hatinya berbunga riang. Jiwanya memanjat syukur.

“Dia ada sini?” soalnya, memastikan dia tidak salah dengar.

“Ya, tapi tuan sedang mesyuarat dan mungkin sejam lagi habis. Cik boleh tunggu di ruangan itu.”

“Maksud awak, Arayn Arfan ada sini?” Naazneen masih ragu-ragu.

Dian kehairanan. Kad di tangannya diserah semula kepada Naazneen. “Ya, sini hanya ada satu orang saja yang bernama Arayn Arfan. Dan dia bos kami.”

Bos? Bila masa pula Arayn jadi bos? Dia tak cakap langsung pun dia ada pekerja. Walaupun tak tahu berapa ramai, tapi daripada tingkah semua pekerja yang membelek kad kepunyaannya itu, tidak ragu-ragu kalau Naazneen membuat kesimpulan bahawa Arayn Arfan bukanlah calang-calang majikan.

Tapi kenapa Arayn tidak pernah cakap? Kenapa hendak menyembunyikan hal ini daripada Naazneen? Adakah kerana…?

Ohhh, Naazneen terpanah. Dia raup muka lama-lama. Hatinya remuk. Kegembiraan yang berputik tadi, terpancung serta-merta. Belum sempat rasa gembira itu bertandang lama, jiwanya kembali lara. Sampai hati Arayn. Sampai hati!  

“Maaf cik…” Dian kehairanan melihat wajah Naazneen yang berubah mendung menegur seraya membawa langkah mereka berdua ke sudut tepi ruangan itu.

“Naazneen.” Dia ringkaskan sahaja.

“Cik Naazneen tunggu sini. Nanti dah selesai mesyuarat setiausaha tuan Arayn akan hubungi saya dan maklumkan sama ada cik boleh berjumpa dengan tuan atau tidak.”

Apa? Kena tapis lagi? Dan kena tunggu pula? Amarah Naazneen terjentik tiba-tiba. Dia pantang dengan perkataan ‘tunggu’. Semacam berpuaka. Dian tidak tahu sudah berapa lama Naazneen tunggu. Dua bulan sudah berlalu. Dia menunggu dan menunggu. Tetapi Arayn tidak pulang-pulang.

“Saya nak jumpa Arayn sekarang juga!” gesa Naazneen tegas.

Gadis bertudung itu melopong tak semena-mena. Terhentak fikirannya sekilas oleh panggilan Naazneen. Tidak ber’encik’ tidak ber’tuan’. Sekadar ‘Arayn’ sahaja.

“Maaf Cik Naazneen. Tuan Arayn tidak boleh diganggu ketika meeting. Lagipun, ini meeting yang penting.”

“Penting? Apa yang lebih penting daripada saya?” Geram Naazneen berlipat-lipat.

“Cik, saya memang mahu tolong cik. Tapi, saya makan gaji sini. Kalau saya langgar peraturan, saya boleh dipecat, cik. Jadi, saya harap sangat cik tolong jaga periuk nasi saya. Janganlah gara-gara cik saya kehilangan kerja.”

Naazneen diam. Simpatinya mengatasi segala kesulitan diri. Untuk apa menyusahkan orang lain dengan masalahnya. Dia bukannya begitu. Dia pandang jam di tangan kiri. Jam itu membangkitkan kerinduannya semula. Jam pemberian Arayn.

“Cik tunggu situ, nanti saya bawakan air minuman. Cik nak minum apa?”

“Saya tak dahaga.”

Sememangnya dia dahaga. Seingatnya dia minum kali terakhir adalah lima jam yang lalu. Itu pun seteguk. Tekaknya loya. Mungkin kerana dia mabuk udara. Lantas, bukan sahaja minuman, makanan pun tidak dijamahnya.

Meeting kat mana pula?” soal Naazneen ketika duduk di sofa empuk berwarna hitam di ruangan menunggu. Teringat bangunan itu yang bertingkat-tingkat dan dia yang dilayang-layang ke beberapa tempat, pastinya ruang kerja yang hanya menempatkan ruang menunggu, lengang dan kosong itu bukanlah tempat mesyuarat.

“Mesyuarat kat tingkat atas. Tapi pejabat tuan Arayn di tingkat 43?”

Naazneen hairan. “Kenapa saya tak disuruh tunggu di tingkat 43 saja?”

Dia mahu dekat dengan Arayn Arfan. Dia mahu saat itu berada di hadapan lelaki yang dirinduinya itu.

“Maaf cik. Ruang pejabat tidak boleh dimasuki oleh orang luar. Sebarang urusan dengan orang luar hanya boleh dibuat di tingkat ini atau dalam bilik mesyuarat di tingkat 42.”

“Bangunan ni ada berapa tingkat?”

“45”

“Apa ada di tingkat 44 dan 45?”

Elehhh, banyak soal pula? Punyalah kerek betul. Sabar Dian kian pupus. Kalau bukan sahaja kerana kad gold yang dimiliki Naazneen, meluat rasanya melayan gadis yang naif itu. Soalan Naazneen dipandang sepi.

“Cik tunggu sini. Sekejap lagi saya datang semula,” tukasnya, lalu menghilang di balik pintu kayu yang mempunyai mesin pengimbas keselamatan di tepi.

Sejam sahaja lagi. Sejam. Naazneen mengingatkan diri. Memujuk sebenarnya.

Arghhh! Naazneen ketuk-ketuk meja. Naazneen tendang-tendang sofa. Naazneen kibas-kibas semula kad gold di tangan. Tak boleh! Dia tak boleh tunggu lagi. Macam manalah dia boleh bersabar kalau dia tahu Arayn ada dalam bangunan yang sama dengannya? Takkanlah dia nak tunggu lagi sedangkan Arayn ada di tingkat atas, begitu dekat dengannya?

Naazneen ketap gigi lagi. Matanya melingas. Saat dia temui kekuatan, dia bangkit. Keluar dari ruangan itu dan berlalu ke pintu lif. Malangnya, lif itu perlukan kad khas untuk membolehkan ia bergerak. Lantas, Naazneen mengambil lorong tepi menaiki tangga kecemasan ke tingkat atas.

Sampai di muka pintu bercermin di tingkat 42, Naazneen hampa. Pintu cermin itu juga memiliki mesin pengimbas keselamatan khas. Dia perlukan kad. Naazneen mundur-mandir. Ruang di dalam pejabat yang mengandungi beberapa bilik tertutup itu diintai menerusi cermin. Lama dia tercegat di situ. Nasib baiklah ketika dia putus asa dan mahu turun semula ke ruangan menunggu, pintu cermin dibuka dari dalam. Beberapa orang yang berpakaian formal melangkah keluar.

Naazneen membelek setiap wajah yang berselisih dengan mereka itu. Tiada Arayn. Namun, Naazneen melakarkan senyuman dengan keyakinan yang tinggi. Seolah-olah dia antara pekerja di bangunan tersebut. Manakala, mereka pula, bergilir-gilir memeta senyuman pada bibir dan dihadiahkan kepada Naazneen. Siapa yang tak terpukau melihat gadis bermata polos dengan kulit putih melepak?

Sebelum pintu terkatup, Naazneen meloloskan diri masuk ke dalam ruangan yang menempatkan bilik mesyuarat. Setelah memberi peluang kepada beberapa orang yang keluar dari bilik mesyuarat di sebelah kanan. Namun, suara dari dalam bilik mesyuarat di sebelah kiri itu yang menarik perhatiannya. Suara itu tidak asing pada pendengarannya. Suara itu seakan menggamit-gamit langkahnya. Naazneen nekad. Walau apa pun natijahnya, walau apa pun balasan yang diterimanya, dia harus merempuh ke dalam bilik itu sekarang juga.
Ya! Sekarang juga. Arayn Arfan ada di dalam. Naazneen tidak sabar-sabar lagi mahu memeluk Arayn. Rindunya…Ohhh! Naazneen rindukan Arayn sungguh.

No comments:

Post a Comment