Arayn dan Naazneen sudah jadi macam kipas
kudung pula. Lari sana sini dalam bilik pejabat yang luas. Sorok di belakang kabinet
fail, masih nampak badan. Nak sorok di belakang sofa, sofa pejabat Arayn jenis single. Tak ada yang panjang-panjang.
“Ha, bawah meja,”
arah Arayn tiba-tiba. Buntang mata Naazneen. Laju dia geleng.
“Lahhh, cepatlah.”
“Tak naklah bawah
meja.” Naazneen protes. Mukanya cemberut.
“Apasal pula?”
“Nanti ada lipas
ke, semut ke, nyamuk ke? Saya tak sukalah, awak.”
Alahai, meleret jer perkataan ‘awak’ tu keluar dari
mulut Naazneen. Berdiri bulu tengkuk Arayn tiba-tiba. Macam kena renjatan
elektrik pula. Bukannya tidak suka. Hati lelaki ni rasa lain macam. Rasa nak
terbang ke awang-awang. Rasa nak petik-petik bintang. Alahai…harap Naazneen
taklah kerap sebut macam tu. Boleh cair hati kental Arayn nanti.
“Manalah ada
serangga dalam bilik air cond ni.
Kalau ada pun, nanti bagi tahu saya. Biar saya pecat kontraktor pest control tu,” rungut Arayn tak
pasal-pasal.
Melihat Naazneen
tidak terkutik dan pintu utama bilik pejabatnya bergegar-gegar, Arayn pantas
merentap tangan Naazneen. Zuppp! Sekali lagi kena renjatan elektrik. Jantung
berdegup kencang giler. Tetiba pula tu. Kuat Arayn, kuatkan
semangat. Macamlah kau tak pernah pegang perempuan sebelum ni.
Ditolak segala
rasa yang berdetak di hati, dibawa tubuh Naazneen ke mejanya dan diarah masuk.
Walau keberatan, Naazneen tunduk juga. Memeriksa ruang sempit di bawah meja
antara kerusi Arayn. Bimbang kalau-kalau kulitnya yang putih mulus gebu tu kena
cium oleh serangga pula.
Bukanlah dia risau
tak lawa, dia tak kisah pun. Tapi, kulitnya sangat allergic. Terutama kepada gigitan serangga. Kulit akan merah, gatal
dan membengkak. Kalau digaru, akan jadi ruam. Badan akan panas dan dia akan
demam. Hish! Tak boleh jatuh sakit dalam tempoh dua hari ni. Tak boleh.
Lantas, dia cuba
membantah. Tetapi belum sempat dia berdiri, kepalanya disentuh Arayn dan
ditolak masuk ke bawah meja. Saat itu jugalah pintu bilik pejabat dikuak
selebar-lebarnya.
Arayn lekas-lekas
duduk di kerusinya. Kaki dibawa merapat. Sehingga boleh dia rasa tangan
Naazneen menolak-nolak kakinya. Tapi dia berusaha untuk tenang. Berusaha fokus
kepada meja. Sepantas kilat, dia rembat fail biru di sisi meja dan bawa ke
depannya. Menekuni fail itu, buta-buta.
Dupp…duppp…duppp.
Jantung Arayn dan Naazneen berentak sama. Selesai bertekak dengan Helmie di
muka pintu, Liyana yang berpakaian serba merah garang mengatur langkah seperti
harimau belang mahu menerkam mangsanya. Cermin mata tebal yang bertenggek di
batang hidung ditolak sekali lagi. Diperhati Arayn yang macam kucing kena siram
air. Kecut dan takut. Tunduk.
Sah! Memang ada
buat salahlah tu. Kalau tak, takkan menikus tak tentu fasal.
Liyana bertepuk
tangan. Melangkah sehingga ke depan Arayn dengan sorakan. Arayn yang bimbang,
perlahan-lahan mengangkat muka. Berlagak selamba. Setenang langit yang biru
tanpa awan.
Selesai bersorak,
Liyana peluk tubuh. “Tahniah Rayn, Aku dengar kau menang loteri hari ni.”
Arayn ketap gigi.
Berdesup-desup nampaknya berita tu sampai ke pengetahuan Liyana. Dalam tak
sampai dua jam, Liyana sudah berada di situ. Arayn sempat pandang Helmie yang
menyandar di daun pintu. Helmie memberikankan ucapan good luck dengan isyarat bibir sahaja. Setelah menutup pintu
rapat-rapat.
Nasib kaulah
Arayn. Kan dah kata, Liyana punya informer
berlambak dalam KL ni. Kalau bukan dari Tizz, pasti ada spy di kalangan lembaga pengarah yang menghadiri mesyuarat tadi.
Mungkin sebab tu lah agaknya Helmie pun tak berani buat dajal di belakang
Liyana. Boleh merempat tepi jalan kalau tersalah langkah.
“Apa Liya ni,
datang main redah jer. Tak boleh ke
ketuk pintu dulu?”
“Amboi, Liya tak
boleh main redah? So, siapa perempuan tu yang selamba giler macam pelesit jer
masuk ke meeting kau?”
Naazneen yang
mendengar kian gentar. Tinggi betul nada suara Liyana. Sakit telinga kalau
hari-hari dengar. Arayn raup muka dengan tapak tangan dan singgah di mulut.
Berfikir jauh.
“Tak usah nak
rahsiakan daripada akulah. Kalau kau bertekad nak nafikan atau selindung satu
hal kecil pun…” jari telunjuk Liyana naik ke depan muka Arayn. Ugutannya
berbisa. “I mean it, satu hal kecil
pun, aku akan call Mama dan suruh dia
balik sekarang juga.”
Arayn telan air
liur. Naazneen menggelabah. Ditampar-tampar kaki Arayn. Menyuruh lelaki itu
bertindak sesuatu. Janganlah sampai Mama pun tahu. Dari cerita-cerita Arayn,
wanita itu sangat diktator. Macam Hitler pun ada. Arayn yang tidak tahan
ditampar-tampar, sesekali menendang kakinya sehingga menyentuh badan Naazneen.
Hish! Apa pula
main tendang-tendang ni. Ingat bola ke? Dah lah sakit badan membongkok macam
ni. Perut pun dah mula meronta-ronta di dalam. Macam ada duri yang
mencucuk-cucuk pula. Naazneen memegang perut. Nasib baiklah Arayn tak pakai
stokin yang busuk. Kalau tak, memang muntah jugalah sekarang ni.
Tidak peduli
dengan Naazneen yang tampak tidak selesa rapat dengan kakinya, Arayn fokus
kepada Liyana yang galak merenungnya. “Mama pergi mana pula sekarang?” Arayn
tidak tahu pula.
“Mama pergi
Padang, Indonesia dengan kawan-kawan dia. Tapi kau kena ingat, Padang dengan KL
ni bukannya jauh sangat. Boleh jer Mama
pinjam jet YB kalau terdesak. Aku tahu Mama sering terdesak kalau hal-hal
berkaitan dengan Rayn.”
Suka betul Liyana
dapat ugut Arayn. Merah muka satu-satunya adik lelaki yang dia ada. Jarang
sekali Arayn menikus macam tu. Ini peluang Liyana untuk menakut-nakutkan Arayn.
“Perempuan mana
pula kali ni, Rayn? Shidah bukan Emma bukan. Awek baru pula ke?”
Naazneen
terbeliak.
“Apa berita yang
Liya dengar? Jangan percayalah mulut Tizz tu. Suka buat gosip.”
“Gosip tak gosip, aku
peduli apa. Baik dengar dari Tizz daripada dapat tahu melalui paparazzi dan
mamarazzi di luar sana. Bukan Rayn tak kenal Mama nanti. Boleh jadi zombie tak
tentu fasal.”
Oppsss! Naazneen
tutup mulut. Zombie dah keluar. Itu dari mulut Liyana seperti yang diceritakan
Arayn. Belum lagi mulut Jasmin dan Arayn. Masing-masing ada gelaran sendiri.
Bukanlah mereka tak hormat Mama. Bukan juga tak sayang Mama. Tetapi gelaran itu
hanya menunjukkan betapa murkanya Mama jika sesuatu berlalu tanpa restunya.
Kata-kata Mamanya sangat berbisa. Boleh menitik air mata, beb. Naazneen pernah
mengulas fasal tindakan Arayn yang berkahwin tanpa pengetahuan Mama dua bulan
lalu tetapi dipandang sepi oleh Arayn. Menurut Arayn, dia boleh handle Mama. Tengoklah nanti, boleh ke
tak?
“Sekarang bagi tau
cepat…” Liyana melenting. Dia cekak pinggang. “Betul ke tak?”
Arayn ramas-ramas
rambut. Hish! Susahlah. Manalah dia tau betul ke tak. Dia masih sangsi. Masih
berat nak terima kalau itulah kenyataannya. Arayn menatap Helmie yang sudah
berada di sofa. Terhibur menyaksikan drama dua beradik. Renungan matanya
menagih simpati Helmie. Tetapi Helmie yang mengerti sekadar menggeleng laju.
Tidak kuasalah nak campur tangan.
“Arayn!”
“Rayn tak tau,”
jerit Arayn, tertekan.
“Tak tahu apa?”
“Rayn tak tahu
sama ada Naazneen betul-betul isteri Rayn.”
What! Geram. Naazneen cubit paha Arayn laju. Arayn
gigit bibir menahan sakit. Sampai hati, Arayn. Tidak cukuplah lagi bukti yang
dia bagi? Tidak fahamkah lagi kenapa Naazneen begitu terdesak? Tidak
terkesankan lagi ke air mata Naazneen yang tumpah? Dasar lelaki tembaga.
Naazneen sungguh kesal. Terkilan sekali dengan sikap Arayn.
Liyana terkejut.
Berkerut dahi Liyana. Mulutnya terngagah luas.
“Dia dakwa kau
suami dia? Kamu berdua dah berkahwin?” soalnya, lantang.
Oh my my…damn it! Tizz tak cakap pasal kahwin pun.
Arayn ketuk kepala sendiri. Kenapalah dia selalu terlepas cakap kalau bertekak
dengan Liyana? Jarak umur mereka hanya setahun. Lantaran itu, mereka rapat.
Tidak ber’kakak’ tidak ber’adik’. Sekadar nama dan aku-kau.
Kedua-dua tangan
Liyana menghempas meja Arayn. Bergegar meja itu. Berdesing telinga Naazneen
akibat gema yang terhasil. Tangan itu menongkah badan Liyana yang banyak lemak.
Badan dibawa mendekat sehingga muka Liyana hampir bertembung dengan muka Arayn
dan mendongak dengan riak gementar.
“Kau dah kahwin
atau tidak?” soal Liyana, keras.
Arayn gigit bibir
sendiri. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Liyana. Sungguh. Liyana
akan rasa terkilan. Pasti marahnya akan melambung-lambung. Bagaimana seorang
adik boleh membelakangi keluarganya dan berkahwin tanpa pengetahuan mereka?
Arayn takkan buat begitu. Selamanya takkan buat begitu! Jadi, tidak hairanlah
kalau dia terhimpit. Degil mengakui.
Bukan dia buta.
Tidak mengakui bukti yang ada depan mata. Bukan juga dia takde hati perut sampai tak boleh bezakan antara lakonan dan
keikhlasan Naazneen. Tapi, dirinya yang dia kenal… Arayn tidak akan ambil jalan
terburu-buru. Berkahwin dengan perempuan yang tidak dikenali tanpa pengetahuan
keluarga. Itu bukan Arayn.
“Mungkin,” jawab
Arayn, terdesak.
“Apa yang
mungkin?” Liyana terus menekan.
“Rayn tak pasti
sebab Rayn tak ingat apa yang berlaku dua minggu tu.”
Gulppp! Naazneen
tercengang. Apa yang terjadi? Arayn tak ingat? Mustahil Arayn tak ingat. Tapi,
kalau difikirkan betul-betul riak muka Arayn sepanjang dua jam ini memang
sangat-sangat mengecewakan. Hish! Kenapa Arayn tak ingat? Apa yang berlaku ni?
“Apa? Kau kahwin
masa kau hilang ingatan tu?”
Lambat-lambat,
Arayn angguk.
Liyana terduduk.
Nasib baik kerusi dekat sahaja. Dia nampak masalah yang lebih besar. Bencana
yang menjadi bala dan menyusahkan Arayn kelak.
“Jadi, dalam masa
kau tak ingat apa-apa tu, kau kahwin dengan perempuan yang tak dikenali?”
Arayn geleng.
Wajah Liyana semakin kebingungan.
Arayn menghela nafas
panjang-panjang. “Maksud aku…. aku tak tahu sama ada masa tu aku kahwin atau aku
hilang ingatan selepas kahwin. Tak tahu.” Arayn jungkit bahu.
Senyap. Tiada
kata-kata yang terbit daripada mulut Liyana. Arayn sedikit lega. Tetapi hati
gadis yang dibawa meja itu remuk saat itu juga.
Rabak! Hati
Naazneen tersiat-siat. Perit! Jiwanya terasa perit.
Arayn langsung
tidak ingat. Tak ingat tentang perkahwinan mereka. Tak ingat tentang dia.
Tentulah tak ingat tentang kenangan indah yang tercipta dalam masa yang singkat
itu. Takkan ingat cinta pandang pertama mereka. Sadis! Ini sungguh tragis.
Luruh hati
Naazneen.
Sekarang, Naazneen
sudah dapat gambaran kenapa Arayn menghilang tanpa khabar berita. Sudah faham
kenapa Arayn begitu dingin dengannya. Namun, jauh di dasar hati dia terkilan
sangat-sangat. Setitik air mata yang menitis di pipi diseka dengan belakang
tapak tangan. Dia kuat. Sekuat azamnya mencari Arayn.
Dia sudah temui
lelaki itu. Sudah tahu kenapa Arayn tidak pulang-pulang. Naazneen bersyukur sekurang-kurangnya,
kekusutan yang membenangi akal sudah dapat dileraikan. Sekarang dia boleh
pulang walaupun dengan hati yang patah riuk segala.
Tak semena-mena,
Liyana bangkit dengan penumbuk di tangan. “Mana bini kau?”
Ha? Arayn
melopong. Terkejut badak. Naazneen lagi gelabah. Gemuruh berlipat ganda.
“Nak buat apa?”
“Kau tanyalah
betul-betul. Selidik dengan cermat. Entah-entah dia tau kenapa kau boleh
terlantar di hospital berhari-hari tu.”
Lepas satu, satu
lagi kejutan menghempap kepala Naazneen. Apa yang terjadi kepada Arayn? Dia
terkejut bercampur cemas. Hampir sahaja dia berdiri kalau bukan kerana berada
di bawah meja. Kaki Arayn menghalang langkahnya. Tetapi bergegar jugalah meja
tu.
“Apa tu?” Liyana
cemas.
Arayn tepuk dahi
sendiri. Naazneen pula gigit jari. “Takde
apa-apa. Rayn tertendang meja.”
Serentak itu,
Arayn tendang Naazneen lagi. Kali ini betul-betul kena di perut Naazneen. Apa
lagi, Naazneen terjerit kuat. Sakitlah beb.
Lelaki yang tendang tu bukan main-main tendang pun. Macam bersungguh pula. Nak
bunuh bini ke?
“Arayn! Siapa
bawah meja tu?” Liyana mengamuk.
Ha, kan dah
kantoi! Padan muka.
Liyana tidak menunggu
Arayn menjawab. Arayn sudah kalut. Menggeleng dan menghalang laluan Liyana.
Tetapi Liyana menolak kerusi Arayn sehingga kelibat Naazneen kelihatan di bawah
meja.
Liyana
beristighfar panjang. Telinga Arayn ditarik sama panjang dengan istighfarnya
itu.
“Keluar sekarang,”
arah Liyana ketika Naazneen menjengul kepala. Jari Naazneen naik menayang ‘peace you’.
Naazneen berdiri
sambil menekan-nekan perut. Sakit perutnya. Dia berusaha untuk senyum tetapi
wajah Liyana yang membengis dengan mata yang membelalak itu membuat dia kecut.
Perlahan-lahan, tanpa sedar, tangan Arayn dicari.
Wait! Apa yang Naazneen buat?
Sebaik menyentuh
tangan Arayn, pantas sahaja Arayn bertembung mata dengan Naazneen. Mulanya
hendak menepis, tetapi apabila melihat air muka Naazneen yang pucat dan terasa
tangannya yang menggigil itu, Arayn bangkit, berdiri di tengah-tengah. Mengesot
tubuh Naazneen ke belakang.
“Liya, kenalkan
yang ni Naazneen,” ujarnya tanpa riak bersalah. Seolah-olah dah lama kenal.
Sengih di hujung bibir. Helmie yang menjadi penonton misteri, ketawa menutup
mulut.
“Tepi. Biar aku
tengok dulu.”
Liyana tidak kisah
perkenalan itu. Dia tolak tubuh Arayn yang melindungi Naazneen di belakangnya.
Tidak jelas rupa gadis itu. Tetapi Arayn tidak berganjak.
Macam manalah
Arayn nak ke tepi kalau Naazneen bukan setakat memegang tangan Arayn. Turut
memegang baju lelaki itu di belakang. Kuat-kuat pula tu. Ini baru Liyana, belum
jumpa dengan Jasmin atau Mama lagi. Kasihan pula Arayn tengok. Entah kenapa dia
rasa semacam bertanggung jawab untuk melindungi Naazneen daripada serangan
kakaknya itu.
“Amboi kecut ke?
Takkanlah takut. Dah berani rempuh pejabat adik aku takkanlah tak berani nak
hadap aku. Wei pompuan giler…”
“Liyana!” Arayn
terjerit. Tidak sangka Liyana akan berbahasa kasar. Tersinggung pula hati
Naazneen.
“Jangan nak sorok
bini kau. Bagi aku tengok.”
Dalam kemarahan
itu, badan Arayn ditolak kuat-kuat. Sehingga mahu tak mahu, Arayn ke tepi juga.
Kasihan memang kasihan tapi kakak dia tu bukan boleh lawan. Alahai, dalam tak
upaya tu, kali ini jari-jemari Arayn pula yang merayap mencari dan memaut
jari-jemari Naazneen. Mereka berpegangan tangan. Saling menyokong. Sweet tak?
Galak betullah
mata Liyana meliar ke setiap inci tubuh Naazneen. Sudahlah Naazneen bergelut
dengan perut yang sakit. Kian mencucuk-cucuk pula tu. Tangan Liyana naik
menyentuh muka Naazneen. Dibelek kiri dibelek kanan. Sebelah tangan Naazneen mengusap-ngusap
rambutnya yang terjuntai sambil mengintai mata Arayn, meminjam kekuatan.
“Hmmm, gorgeous.” Tak sangka pula tiba-tiba
Liyana memuji.
Merah pipi
Naazneen. Kembang kuncup pula hidungnya. Arayn berdebar-debar. Kenapalah dia
pula yang terjentik bangga? Alahai Arayn, masih nak keras-keraskan hati lagi
ke?
“Pandai kau pilih.
No wonders boleh lupa diri.”
Perghhh! Tebal
muka Arayn. Helmie pula tersengih macam kerang busuk.
“Nama siapa?”
“Naazneen.” Arayn
dan Naazneen serentak menjawab.
Liyana membetulkan
cermin matanya yang terjatuh ke bawah hidung.
“Bila awak kahwin
dengan Arayn?”
Tu diaaa ai! Dah mula dah sesi bedah siasat ni. Kisah
di balik tirai diselongkar dan diri Naazneen dibedah. Tangan Naazneen kembali
ke perut. Menekan. Manakala tangan sebelah kuat memegang jari-jemari Arayn.
Arayn dilanda cemas apabila wajah Naazneen berubah pucat.
“Liya, tanya
nanti.” Tangan Naazneen ditarik mendekat sehingga tubuh mereka semakin
rapat. “What’s wrong?” soal Arayn sempat menongkah dagu Naazneen untuk melihat
ke dalam mata gadis itu. Sebaik Naazneen angkat muka, rasa nak gugur jantung
Arayn.
Mata Naazneen
basah. Bibirnya berketar-ketar. Dahinya basah dek peluh. Wajahnya pucat.
“Naaz…” terkatup
mulut Arayn. Ehhh, apasal pula dia berasa lain macam ni? Tak boleh tengok
Naazneen sebegitu. Seolah-olah, seluruh tubuhnya turut lemah.
“Awaaak…” Naazneen
mengguman dalam bisikan yang merengek. Menyapa terus ke hati Arayn. Tanpa
sedar, tangannya memaut lebih kemas. Seakan tidak mahu lepas.
“Kenapa?” Liyana
muncul di sisi mereka. Melihat Naazneen memegang perut, dia terus sahaja
berpaling kepada Helmie. “Panggil
Jasmin.”
“No!”
Arayn dan Naazneen terjerit serentak.
No comments:
Post a Comment