Tuesday, 15 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 7)

Naazneen



Sekerlipan, senyuman Liyana mati. Bibirnya terherot-herot sesaat dua. “Maksud awak sekarang korang kahwin tiga hari barulah Arayn hilang?” Liyana sedang berfikir sesuatu.
Naazneen geleng. Ketika semua memandangnya, Naazneen tahu dia harus jelaskan semuanya.
“Tak. Saya dan Arayn berkenalan selama 3 hari tu jer. Masuk hari ke 3 kami kahwin petang tu. Malam tu yang Arayn keluar dan tak balik-balik.” Naazneen menjelaskan kekeliruan sedikit. Dia hanya kenal Arayn untuk tiga hari sahaja. Apa yang berlaku 11 hari lagi tu, dia memang tidak tahu. Tiada clue langsung. Arayn tidak pernah bercakap soal kerjanya. Hanya hal peribadi sahaja yang selalu digembar-gemburkan Arayn. Mungkin, dia tidak sabar-sabar mahu memperkenalkan Naazneen kepada keluarganya.
“Bila tu?” Jasmin keliru. Arayn berdiri di belakang Jasmin. Menanti juga.

“12hb. Petang. Kira-kira kul 4.” Ya, manalah Naazneen lupa tarikh mereka bernikah dan tarikh itu jugalah mereka berpisah.
“Sekejap…” Liyana bangun. Cermin matanya jatuh lagi. Terasa mengganggu pula tetapi dia betulkan. Dalam masa yang sama, dia terfikir sesuatu. Dia kemudiannya merenung Arayn dan Naazneen bersilih ganti.
“Hari yang sama tu, korang nikah dan Arayn hilang?”
Naazneen angguk.
Korang sempat pula ‘buat’ baby.”
Gulppp...Arayn tampar-tampar pipi. Harap-haraplah semua ni hanya mimpi. Mana lagilah nak sorok muka. Naazneen menguis-nguis karpet lantai bilik pejabat Arayn. Tak patutlah mereka tanya soalan dan buat kesimpulan terang-terang macam tu. Takleh sorok-sorok ke, pendam-pendam ke, tak pun buatlah mesyuarat tingkap yang mereka pasti selalu buat tu. Tak fasal-fasal hal kelambu orang pun nak sibuk. Nyampah!
Interesting,” ulas Liyana. Jasmin tersengih.
Arayn bukan bodoh kalau dia ukur garis masa, selepas nikah dan sebelum dia hilang, mereka ada masa selama enam jam bergelar suami isteri. Tu lah tu yang Liyana dan Jasmin macam kera di hutan dapat pisang. Hemmm, nasib baiklah Helmie ada di luar pejabat. Kalau di situ juga, boleh berdengkang-dengkung bunyinya mengekek. Boleh dibayangkan oleh Arayn.
Rasanya sudah lama Liyana dan Jasmin menyibuk dan mengusik. Urusan Arayn dan Naazneen banyak yang belum selesai. Baik mereka berbincang empat mata sahaja tanpa melibatkan komen-komen pelbagai rasa itu dulu. Arayn belum bersedia menghadapi semuanya.
Dengan lagak machonya, dia melangkah ke muka pintu. Sudah tiba masanya dia bertindak. Mengambil keputusan ke atas bahunya sendiri. Tanpa melibatkan campur tangan adik-beradiknya itu.
“Dahlah tu, korang berdua boleh balik sebab Rayn banyak kerja nak buat ni,” katanya. Dalam erti kata lain, menghalau kedua-dua kakaknya itu.
Naazneen yang kalut. Dia belum selesai dengan Arayn. Apatah lagi apabila soal anak itu menerjah akalnya. Macam mana nak buat? Apa yang harus dia buat? Mulanya tadi, dia sudah bersedia untuk tinggalkan Arayn dan balik ke Kuching seperti yang dirancang awal-awal lagi. Tapi sekarang…? Bagaimana kalau bapa saudaranya itu mengamuk? Bagaimana pula kalau jiran tetangga yang tidak tahu dia telah berkahwin melihat perutnya yang memboroi setiap waktu? Bukan boleh sorok-sorok.
Jasmin tidak berganjak. Liyana juga. Bahkan seorang peluk tubuh dan seorang pula duduk di sebelah Naazneen. “Alahhh, kami belum puas tanya soalan lagi dengan adik ipar kami ni.”
Arayn tidak mahu menambahkan tekanan dalam emosi dan fikirannya. “Dia akan jadi adik ipar kamu berdua setelah dia jadi isteri Rayn,” tekan Arayn, sangat tertekan.
Ouch…sakit siot. Kata-kata itu menikam jantung Naazneen. Hati mana yang tidak remuk kalau penolakan itu melibatkan insan lain dalam rahimnya. Naazneen bawa telapak tangannya menutup mulut. Menahan sebak agar tidak gugur.
Saat itu, Arayn macam nak langgar daun pintu sahaja. Melihat tingkah Naazneen, dia sedar gadis itu sedang menangisi nasib anaknya…anak mereka. Tidak tahu hendak meminta maaf atau memujuk Naazneen, Arayn tergamam sejenak sebelum tiba-tiba Naazneen menjerit.
“Arghhh!” Naazneen mengerang sakit seraya menekan-nekan perut. Macam nak meletup rasanya. Alahai, sakit di perut itu kembali lagi.
Arayn kalut. Tak semena-mena dia bergegas merapati Naazneen, melutut di kakinya. Rasa bersalah menghempap serta-merta. Naazneen memegang bahu Arayn. Sekuat kudratnya.
“Ehhh, kena suntik dulu ni.” Jasmin ambil semula jarum yang sudah diisi ubat tadi dan kembali menyambung tugasnya.
Naazneen pantas menatap Arayn. Lantas, Arayn berpaling kepada Jasmin. Dia juga teragak-agak. Bukankah ubat tak sesuai untuk perempuan yang mengandung?
“Jas, baik bawa ke hospital.” Arayn menggenggam erat tangan Naazneen. Gemuruh yang menampar-nampar jiwa terpancar jelas pada raut wajah Arayn dan Naazneen.
Takpe, suntik ubat penahan sakit dulu,” cadang Liyana selamba.
Naazneen seram tengok jarum mendekat. “Tapi…”
“Tak payah suntik. Aku tak nak apa-apa jadi kat anak aku,” protes Arayn, keras sungguh.
Dalam kalut tu tiba-tiba Liyana dan Jasmin high five! Adeeeh! Biar betul diorang dua ni?
Kali ini tak semena-mena air mata Naazneen gugur juga. Jatuh terus ke tangan Arayn. Sungguh, Naazneen terharu. Ketika itu pintu dibuka dan Helmie masuk semula bersama segelas air. Disua gelas itu kepada Arayn. Dengan lagak seorang lelaki prihatin, Arayn membawa gelas berisi air itu mendekati mulut Naazneen. Tanpa menoleh, ubat yang diberikan Jasmin bertukar tangan.
“Awak…”
Ayoyo, dia pun dah terjangkit dengan panggilan ‘awak’ yang lembut dan membuai-buai tu. Memanah terus ke dalam hati Naazneen.
“Bukan takleh makan ubat juga ke?” soal Naazneen lambat-lambat sambil menahan debar yang menggendang-gendang di dada. Lama.
Dia rindu sedekat itu dengan Arayn. Rindu itu yang menggamit langkahnya terbang dua jam tiga puluh minit. Rindu itu yang membawa langkahnya dari kampung, berkereta sejam, naik bas empat jam sebelum sampai ke Lapangan Terbang Kuching, Sarawak. Menyeberangi Laut China Selatan. Demi mencari kelibat suami yang menghilang.
Arayn pantas berkalih kepada Jasmin yang tersenyum suka melihat adiknya yang tampak begitu mengambil berat terhadap gadis yang seorang ini. Dia sedar, ada sesuatu pada diri Naazneen yang sukar hendak ditepis. Sesuatu yang dalam tak sedar berjaya merantai keegoan Arayn. Sesuatu yang membuat Arayn bertindak membelakangi keluarga sendiri. Terutamanya Mama.
“Jas!” panggil Arayn meminta penjelasan atau mungkin nasihat. Ubat di tangan ditayang. Gelas masih dekat dengan mulut Naazneen.
“Ubat tak berkesan sangat. Biar aku suntik dulu.”
“Kan aku dah kata tak boleh.” Arayn membantah.
“Siapa yang doktor ni? Kau ke aku?” balas Jasmin, keras. Liyana ketawa. Drama yang mengusik jiwanya. Hanya Helmie yang bagai keliru. Tidak tahu punca.
Walaupun berat hatinya, dia terpaksa menjauh juga. Memberi laluan kepada Jasmin yang berkeras dengan suntikannya itu. Pada saat Jasmin merapat, Naazneen memegang tangan Arayn kejap. Tidak mahu lepas.
“Awak…”
Hanya mata yang meneruskan bicara. Dan Arayn tidak bergerak. Setia di sisi Naazneen. Saat Jasmin menyelak skirt Naazneen, Arayn ditampar rasa kurang selesa. Laju, anak matanya menerkam kepada Helmie yang bersama mereka.
Anak mata itu menggesa sesuatu. Memberi amaran. Tetapi Helmie buat bodoh. Tidak tahan dengan perasaan yang bergelut dalam hatinya, lekas-lekas dia menjerit. “Tunggu kejap.” Jasmin tergamam. Semua mata tertumpu kepada Arayn.
“Mie...” Tak pedulilah apa mereka kata nanti. “Kau keluar.” Fuyooo…kasar pula tu.
“Apasal pula main halau-halau ni?”
“Aku kata keluar, keluarlah. Jangan banyak tanya.”
“Elehhh, macamlah aku tak pernah tengok paha perempuan. Bini aku…” serta-merta mulut Helmie kena cubit. Sejurus itu, tubuh Helmie ditolak oleh Liyana. Dia tahulah sangat-sangat tahap kegatalan suaminya itu. Kalau bercakap bab-bab rumah tangga ni, dialah juara.
Naazneen berbesar hati. Kagum dan bangga. Itulah lelaki yang berjaya merebut hatinya hanya dalam tempoh tiga hari. Lelaki yang membuatnya gila bayang untuk tiga hari itu. Lelaki yang tanpa ragu mengakui jatuh cinta pandang pertama. Bukan seperti yang dicanang-canang bapa saudaranya selalu.
Kononnya dia main tangkap muat aje kahwin dengan lelaki kacak. Kononnya Arayn tangkap muat saja memuaskan nafsu lelakinya. Tidak! Pak Cu tak kenal Arayn. Tak patut menilai Arayn sebegitu. Sekali jumpa sahaja dengan Pak Cu, bukannya boleh menilik latar belakang Arayn. Apatah lagi, hati Arayn. Tiada yang kenal Arayn seperti mana dia kenal. Kalaulah dia berpeluang bawa Arayn balik dan …iskkk, dia tak boleh lagi simpan angan-angan itu. Tidak! Naazneen takut dia tak boleh terima jika dihampakan oleh Arayn.
Sebaik sahaja Helmie dihalau semula dari bilik untuk kali ke dua, Jasmin menyuntik Naazneen di bahagian paha. Arayn tutup mata. Entah kenapa ada imej juga yang terbayang di situ? Imej Naazneen yang… Iskkk! Apalah Arayn…sempat pula nak menggatal juga ke?
“Okey, sekejap lagi awak akan rasa lega.” Jasmin akhirnya mengemas barang-barangnya.
Tidak sabar-sabar pula Arayn mahu menghalau kedua-dua orang kakaknya itu. Lantas, diambil peti perubatan cemas milik Jasmin itu dan beg tangan milik Liyana. “Okey, dah selesai, boleh balik.” Ditolak kedua-dua badan kakaknya yang gempal itu sekuat tenaganya.
“Ehhh, mana boleh balik lagi? Kami belum puas…” Liyana membantah.
“Lain kali. Biar aku yang kena tanya dulu.” Arayn terus-terus menarik tangan kakaknya. Sehingga sampai di muka pintu tetapi mereka masih keberatan untuk berlalu pergi.
“Kau kan tak boleh tanya baik-baik tanpa kami,” tokok Jasmin pula.
Membuat muka Arayn berkerut seribu. Aduyai…memang kuning betullah otak kakak-kakaknya ni. Malas mengulas, dia berkeras meminta mereka balik.
Sebaik sampai di muka pintu, Liyana berkeras lagi. “Nanti kejap.” Dia berpaling kepada Naazneen yang tercongok di sofa memandang tiga beradik itu.  “Awak tinggal kat mana?”
Tinggal? Naazneen langsung tak ada idea lagi. Dia turun dari kapal terbang pukul 10 pagi tadi, terus ke Strenght Hill Group. Belum sempat lagi keluar dari situ dan mencari penginapan untuk malam ini.
Lantas dia jungkit bahu. Mereka saling berpandangan sebelum Liyana dan Jasmin bersorak riang.
“Apa susah? Awak boleh ikut saya balik.” Liyana mempelawa. Senyumannya ikhlas.
“Atau rumah saya pun boleh. Dekat dengan airport,” sampuk Jasmin pula.
“Apasal pula? Balik rumah aku, Naaz boleh makan sedap-sedap. Aku kan pandai masak. Tak caya, tanyalah Mie.” Liyana sengih pada suami.
“Elehhh, setakat masak nasi ayam tiap-tiap hari, tu yang kau cakap pandai masak. Aku boleh hantar Naaz ke airport. Tak perlu buru-buru. Setengah jam jer dari rumah.” Jasmin tak mahu kalah.
“Ehhh, jangan nak menyibuklah.”
“Kau tu yang suka potong jalan.”
“Sudah!” Tiba-tiba Arayn melenting. Semua mata menerpa ke mata Arayn. “Naaz akan ikut Rayn balik rumah,” putusnya. 200% yakin.
Liyana dan Jasmin berpandangan sesama sendiri. Naazneen sudah tersenyum suka.
“Tak boleh! Dia tak boleh ikut kau balik.” Bantahan Liyana keras sangat-sangat. Matanya menyilau-nyilau. Mukanya merah sungguh.
“Apasal tak boleh?”
“Sebab lelaki dan perempuan tak boleh tinggal berdua-duaan. Bahaya.” Sokong Jasmin sama tegas.
Tak masuk dek akal pertelingkahan antara Liyana dan Jasmin. Tapi satu yang dia pasti, Naazneen kena ikut dia balik. Apa pun halangannya. “Bahaya apa lagi. Naaz kan isteri Rayn,” rengus Arayn.
Ouch!!! Arayn tergigit lidah lagi. Terlepas cakaplah pula. Serentak itu, Liyana dan Jasmin high five. Kuat pula tu. Terus peluk tubuh dengan senyuman puas. Adedehhh, Arayn terkena rupanya. Hebat dua-dua kakak ni bergabung kenakan dia. Alolooo, Naazneen dah mula kuis-kuis senyum. Malulah pulak.
“Kalau macam tu apa kata kau tanya dia malam nanti. Sekarang aku nak bawa Naazneen makan dulu. Dia gastrik. Takut jadi teruk malam nanti,” ujar Jasmin selamba. Dia menapak semula kepada Naazneen dan menarik tangannya.
Naazneen teragak-agak. Harus ke dia ikut atau tinggal di sini, menjawab soalan Arayn? Dia sendiri pun masih banyak persoalan yang belum terjelas lagi.
Ketika Naazneen terpinga-pinga, Arayn memberi isyarat melalui panahan matanya. Mengizinkan dia bersama-sama dua orang kakaknya itu. Saat itu, Naazneen sungguh bertuah. Peluang yang dinanti-nantikannya sejak Arayn asyik bercerita tentang mereka. Inilah kesempatan yang dia ada untuk mengenali kakak-kakak iparnya.
“Oh ya, kad?” Liyana mengangkat telapak tangannya di hadapan Arayn. Menanti lelaki itu memberikan kad. Kad dikeluarkan dari kocek seluarnya dan diberikan kepada Liyana. Sebelum Liyana menarik kad itu, Arayn memegang keras dan memberi kata dua. “Jangan buat kotor,” tekannya sungguh-sungguh.
“Jom ikut kami ke rumah Arayn.” Liyana pimpin tangan Naazneen.
“Bukan rumahlah. Penthouse.” Jasmin membetulkan kembarnya itu. Naazneen tidak beriak. Tidak tahu beza antara rumah dan penthouse. Tiada gambaran di dalam akalnya. Namun, Jasmin dan Liyana tahu bahawa Naazneen akan terpukau. Naazneen akan berasa bertuah menjadi isteri Arayn Arfan. Sungguh bertuah.
Tidak tahu mengapa kedua-dua kakak iparnya itu terlonjak girang, Naazneen sekadar mengulas dengan bertanya “Jauh ke?” 
“Taklah. Kat atas. Tingkat 45.”
I mean it. Jangan buat kotor.” Sekali lagi Arayn berbisik keras kepada Jasmin pula. Bagai amaran itu ditujukan untuknya, Naazneen mengangguk serentak bersama Jasmin.
Melintasi Arayn keluar dari bilik, jantung Naazneen berdetak-detak. Berlagu-lagu. Tidak seperti kala dia masuk tadi. Saat mereka bertatapan di muka pintu, tiba-tiba memanggil.
“Awak…”
Naazneen berpaling.
“Tunggu saya balik.”
Ouch! Naazneen terkaku sejenak. Jasmin dan Liyana tersengih di depan. Sepatutnya Naazneen berasa gembira. Malangnya, ayat itu mengingatkan dia kepada ayat Arayn dua bulan lepas. Ayat terakhir yang dilafazkannya dulu. Ayat yang membuatnya berbelah bahagi. Mengusup rasa sayu dalam aliran darahnya. Mengundang sebak dalam kolam hatinya jua. Hanya setelah dua bulan berlalu, barulah dia temui kekuatan untuk tidak menunggu lagi.
Pandangan mereka bersatu. Serentak itu, tubir matanya bergenang lagi. Takut air mata itu tumpah, Naazneen lengkungkan senyuman tipis. Sebelum lekas-lekas berpaling dan mengejar jejak kaki Liyana dan Jasmin.

No comments:

Post a Comment