Sunday, 13 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 2)




Tanpa berlengah, Naazneen memulas tombol pintu bilik mesyuarat itu dan menguak besar-besar. Naazneen terkejut. Bilik separuh gelap itu tiba-tiba sunyi. Cahaya hanya tertumpu pada dinding yang terpeta pancaran skrin komputer yang berwarna-warni dengan pelbagai angka berbentuk statistik. Tidak masuk dalam fikiran Naazneen. Tetapi pandangan Naazneen terpaku kepada lelaki yang tercegat tanpa suara. Lelaki yang dituju cahaya dari pancaran projektor yang berada di tengah-tengah bilik.
Tidak! Naazneen amati lagi wajah itu. Tetapi perasaannya kian hampa.
Tidak mungkin! Tadi dia baharu mendengar suara Arayn manakala lelaki yang tercegat itu bukannya Arayn. Ya, Arayn yang dirindunya tidak akan berubah jadi pendek dalam masa dua bulan. Arayn yang dicintai sepenuh jiwanya tidak akan memboroi dalam tempoh dua bulan.
Arayn dalam kotak ingatannya tinggi seinci daripadanya. Arayn yang bertubuh kekar dengan kulit putih kemerah-merahan.
Naazneen hampir sahaja mahu menangis di situ apabila tangannya dipaut seseorang. Seketika, lampu di dalam bilik itu terang-benderang.
“Cik, apa cik buat di sini?” seseorang bertanya di sisinya.

Naazneen berpaling kepada pemilik suara yang memegang tangan kanannya. Seorang gadis bertudung dengan muka hairan merenungnya. Naazneen hampir sendu. Hampir merebahkan kepala di bahu gadis itu. Hampir sahaja melalak meraung hampa. Lelaki yang ditunggu-tunggu, dicari di segenap pelusuk Kuching, tidak ditemui.
Sebaliknya, mata Naazneen tiba-tiba membuntang. Melepasi gadis bertudung di sisinya. Pandangan terpaku kepada lelaki yang sama seperti dalam ingatannya. Duduk dengan bergaya di hujung meja panjang, setentang dengan lelaki yang berada di depan dinding berskrin tadi.
“Arayn,” jerit Naazneen, girang. Tangan gadis bertudung ditepis dan dia meluru kepada Arayn.
Bulat mata Arayn. Tersentak! Terpanah!
Ketika gadis berambut sedikit perang itu menyerbu masuk, dia berasa tidak sedap hati. Dalam sakit hati, dia sedikit kagum kerana gadis itu mempunyai keberanian untuk merempuh mesyuarat penting dibawa kelolaannya. Hairannya, sebaik sahaja mata Naazneen terpaku padanya, wajah gadis itu berubah ceria. Semua rasa itu bergilir-gilir menyerbu masuk dalam dirinya. Arayn pantas berdiri.
Naazneen sangat-sangat bersyukur. Gembira bukan kepalang. Setapak mendekati Arayn, tangan Naazneen dirembat kasar sebelum ditolak tanpa belas. Seorang gadis berambut hitam berdiri di antara dia dan Arayn.
“Ehhh, awak siapa? Apa awak buat sini? Berani awak datang sini tanpa sebab?” soal gadis itu dengan muka berangnya.
“Saya datang bersebab. Saya nak jumpa Arayn.” Naazneen tidak mengalah. Dia nekad. Apa pun jawapan Arayn, semuanya dia akan terima. Tetapi, dia perlu dengar dari mulut Arayn sendiri. Dia takkan berganjak selagi tidak bercakap dan bertentang empat mata dengan Arayn.
“Arayn?” Gadis berambut hitam tidak mencecah bahu itu mencebik. Sinis mengajuk cakap Naazneen. Diikuti oleh bisikan daripada beberapa orang yang duduk di meja panjang di dalam bilik mesyuarat itu. Suasana  riuh sejenak. Semua mata melopong kepada Arayn dan Naazneen, bersilih ganti.
“Jaga bahasa awak! Awak tahu tak nama siapa yang awak sebut itu?” Gadis di tengah-tengah itu menolak sekali lagi tubuh Naazneen supaya kian jauh. Naazneen terdorong setapak.
“Arayn?” Naazneen merenung Arayn. Menanti dia bersuara. Mengharap dia bertindak.
Hairan. Kenapa Arayn tercegat sahaja? Kenapa riak di wajah Arayn seperti bertemu dengan puaka? Tiada rasa gembira seperti mana yang dirasainya? Naazneen mencerlung. Mengamati Arayn yang kehairanan menatap wajahnya.
Arayn tidak mengerti. Siapa dia? Seumur hidupnya, belum pernah lagi berjumpa dengan gadis itu. Ditenung muka Naazneen lama-lama. Tiada tanda-tanda gadis bertahi lalat di pipi kanan itu seorang yang tidak waras.
Gadis berambut hitam itu kian berang. Naazneen benar-benar merosakkan rancangannya. “Liza, bawa perempuan ni keluar dan pastikan dia tak datang sini. Bikin kacau saja.”
Gadis bertudung bernama Liza tadi mendekati dan memaut tangan Naazneen semula.
                Naazneen menyeringai marah. “Arayn!” Suaranya meninggi.
Arayn serba-salah. Seraut wajah Naazneen menayangkan harapan. Renungan gadis itu menusuk ke dalam hatinya. Berbicara aneh sekali. Sesuatu yang tidak boleh dia difahaminya. Namun, jiwanya bergetar.
“Tizz, sekejap.” Akhirnya, Arayn buka mulut.
Naazneen lega. Gadis berambut pendek bernama Tizz itu pula mengeluh keras. Membentak juga. Belum sempat Naazneen merapati Arayn, lelaki itu mengangkat tangannya. Menegah Naazneen melangkah lebih rapat. Sebaliknya, Tizz pula yang berdiri di sebelah Arayn dengan muka marahnya.
Anak mata Arayn berkalih kepada barisan lembaga pengarah dan pengurus projek yang berada di hadapannya. “Mesyuarat ditangguhkan buat masa ini. Kita sambung pada tarikh akan datang. Liza akan hubungi kalian.”
Liza dan semua yang ada di situ lesap dalam sekerlip mata sahaja. Bergegas keluar. Bagai ada sesuatu dalam suara Arayn yang menggerunkan mereka. Naazneen tidak peduli. Apa yang penting dia hanya mahu bersama Arayn, walaupun sedetik waktu.
“Sekarang cakap apa yang awak mahu? Siapa yang suruh awak main serbu dan rosakkan mesyuarat saya ni?” Tizz tidak sabar-sabar mencelah. Malahan, sangat-sangat marah. Bukannya senang dia memujuk Arayn untuk mendengar pembentangan projek kelolaannya. Apatah lagi untuk mendapatkan kelulusan lelaki itu. Projek yang direncanakan sejak dua tahun lalu itu adalah impian terbesar keluarganya. Masa depan mereka bergantung kepada kelulusan Arayn.
Naazneen tidak mengendahkan Tizz. Niatnya hanya mahu berdua-duaan dengan Arayn. Tetapi kalau ini sahaja peluang yang diberikan Arayn, dia sanggup terima. Pun begitu, dia tidak mahu melayan soalan Tizz. Terlalu banyak yang mahu ditanyakan kepada Arayn. Kepalanya sarat dengan pelbagai andaian. Malang apakah yang telah menimpa Arayn sehingga dia lesap sedemikian rupa?
“Ohhh, Arayn…mana awak pergi? Kenapa awak pergi macam tu jer? Apa yang berlaku Arayn?” Terlalu banyak persoalan di benak akalnya. Tidak tahu yang mana harus didahulukan.
Wajah sugul Naazneen menampar-nampar perasaan Arayn. Perasaan ingin tahu menebal sama. Gadis itu tidak mungkin berlakon. Belum pernah ada manusia yang berani bersandiwara dengannya. Saat itu, Arayn yakin emosi Naazneen itu real. Bukan dibuat-buat semata-mata.
Arayn menghela nafas. Bersedia menghadapi Naazneen. “Siapa awak?”
Naazneen sentap. Atau mungkin dia bermimpi. Lantas, dia tepuk-tepuk pipi.
“Arayn?” Naazneen tidak sangka.
Wajah Arayn dipandang, menagih simpatinya. Kalau sungguh pun dah tak suka, kalau sungguh pun dah benci, tolonglah jaga hati perempuan sikit. Mungkin betul kata bapa saudaranya. Lelaki ni mungkin ada agenda lain. Habis manis sepah pun dibuang.
“Maaf cik, tapi saya tak kenal awak. Saya tak pernah jumpa awak. Atau awak mungkin tersalah orang,” tutur Arayn tenang. Sesopan bahasanya.
Anehnya, mata Naazneen kian berkaca-kaca. Membibitkan rasa bersalah di hati Arayn. Apa lagi yang hendak dilakukannya? Dia buntu. Dia keliru. Naazneen asing padanya. Puas dia amati dalam-dalam di balik gerbang akalnya, tiada wajah Naazneen. Puas dia geledah hatinya, tiada juga seraut wajah yang ayu itu.
Sampai hati Arayn. Tidak mungkin Arayn tergamak sebegitu rupa. Dia sudah tidak mengenali Naazneen. Hanya dua bulan. Bukan dua tahun atau dua puluh tahun. Dua bulan. Naazneen tidak berubah langsung. Berat badannya mungkin menurun tapi, wajahnya tetap sama. Masakan Arayn boleh lupakan dia.
“Cik? Kalau awak tiada apa-apa soalan lagi, baik awak balik. Saya tiada banyak masa untuk layan…”
“Arayn, jangan begini. Awak marah saya ke? Apa yang saya buat sampai awak tinggalkan saya tanpa ucapan selamat tinggal pun? Tolong fahamkan saya yang itu.” Jatuh juga air mata Naazneen di situ.
Walhal, dia sudah berjanji pada diri sendiri dia takkan menangis di hadapan Arayn. Apa pun penjelasan Arayn, dia akan terima. Tetapi dia tidak membayangkan ini. Arayn yang di depannya sekarang, tidak mengenalinya.
Drama air mata apa pula ni? Tizz jadi kalut. Dia tahu air mata itulah kelemahan Arayn. “Ehhh, awak dah gila ke? Apa yang awak cakap ni? Apa hubungan awak dengan Arayn?”
“Arayn suami saya.”
Arayn hampir rebah. Dia terduduk serta-merta. Tidak mungkin! Ini sudah di luar batas. Dia boleh bertolak-ansur mendengar cerita Naazneen. Tapi bukan pengakuan sebegini.
“Arayn? Apa dia cakap ni?” Tizz meramas-ramas tangannya. Wajah pucat Arayn ditenung. Bahu Arayn digoncang. Arayn kaku.
“Awak memang perempuan gila. Keluar sekarang atau saya panggil guard.” Tizz menuding jarinya ke muka pintu. Mukanya menyeringai.
Naazneen tidak gentar. Dia meluru melepasi Tizz. Sebaik menghampiri Arayn, tangan Arayn dipegangnya.
“Arayn…”
Arayn tepis tangan Naazneen. Membuat Naazneen tersentak. Terpaku sejenak. Renungan bertautan. Sinar mata Arayn menyilau-nyilau. Mematahkan hatinya.
“Penipu! Sekarang keluar!” herdik Arayn, dengan mata yang membelalak.
Kesabaran Arayn pupus serta-merta. Pengakuan ini tidak boleh dia terima. Dia lelaki. Tidak mungkin dia boleh berkahwin dengan seorang perempuan tanpa sedarnya. Itu takkan terjadi. Bahkan dalam Islam salah satu syarat dalam rukun nikah ialah waras. Kalau dia gila, mana mungkin dia boleh kahwin. Kerana waraslah, dia tak boleh terima pengakuan Naazneen itu.
“Arayn…?” Naazneen tergamam. Menggeletar diherdik sebegitu rupa. Air matanya jatuh.
“Saya kata keluar, keluar dan jangan datang balik. Kalau saya nampak awak di mana-mana, saya sumbat awak dalam penjara,” ugut Arayn lantang. Meja dihempuk dengan telapak tangannya.
Naazneen terpaku. Hatinya remuk. Dia bawa kaki menapak pergi dengan air mata yang berpusu-pusu. Beberapa langkah, dia berhenti. Dia buka jam di tangan kirinya dan letak di atas meja. Kad gold yang diberikan turut dicampak sama.
Wajah marah Arayn ditatap sejenak dengan mata yang basah. “Maafkan saya, Arayn kalau saya salah orang. Tapi kad itu yang bawa saya ke sini. Kalau saya salah, kad itu tentu salah. Tak mungkin ini suatu kebetulan. Saya hanya kenal seorang lelaki bernama Arayn. Arayn yang saya kenal sama dengan Arayn yang depan mata saya ni. Awak mungkin tak percaya tapi Arayn adalah suami saya. Walaupun sekadar tiga hari, dia tetap suami saya. Kerana saya yakin awaklah suami saya itu, saya pulangkan jam tangan yang awak beri sebagai mas kahwin saya.”
Selesai sahaja, Naazneen berlalu dengan hati yang remuk. Hancur.
Bodoh. Dia memang bodoh. Itu kata bapa saudaranya. Itu juga kata sepupunya. Sekarang, dia akui dirinya memang bodoh. Bodoh kerana tangkap muat saja nak kahwin dengan orang yang tidak dikenali. Tapi padanya, itu adalah cinta. Cinta pandang pertama.

No comments:

Post a Comment