Naazneen tidak tahu ke mana hendak dihayun
kakinya. Sudah dirancang sejak semalam dia akan menginap di hotel murah sahaja.
Tetapi setelah bergegas keluar dari bilik mesyuarat tadi, kaki Naazneen bagai
mahu rebah. Tidak pernah dia duga Arayn tidak akan mengenalinya. Apa yang
terjadi kepada Arayn? Kenapa dia semacam tidak mengenali Naazneen pun? Dia
dihalau tanpa penjelasan. Tanpa usul periksa. Sampai hati, Arayn.
Seketika, Naazneen
terduduk di anak tangga menghampiri pintu ke tingkat 41. Di situ, dia mengesak
tangisnya. Meluahkan kepahitan yang menghempap diri. Dia ingatkan kehilangan
Arayn dua bulan lepas adalah detik paling pahit dalam hidupnya. Rupa-rupanya,
hari ini adalah yang terburuk dalam sejarah hidup Naazneen.
“Cik Naazneen...”
Dian terkejut melihat Naazneen menangis di sudut tangga itu. “Puas saya cari
cik.” Dia lega. Tetapi, apa yang berlaku? “Cik, kenapa?”
Dian hairan.
Entah-entah Naazneen dah berjumpa dengan Tuan Arayn. Kalau begitu, tak
hairanlah kalau Naazneen menangis begini.
“Cik…”
“Kenapa Arayn
begitu? Kenapa Arayn tak kenal saya? Kenapa dia berubah?” raung Naazneen tak
fasal-fasal. Tangan Dian digoncang-goncang.
Alahai Cik
Naazneen. Awak tak tahu Tuan Arayn tu hati batu. Playboy. Suka permainkan perempuan. Awak bukan seorang saja
perempuan yang pernah menangis kerana dia.
“Cik, kumbang
bukan seekor…”
“Saya tak nak
kumbang. Saya nak Arayn.”
Alahhh, sempat
pula Cik Naazneen ni loyar buruk.
Orang nak bagi nasihat jer. Tu pun
nak sentap ke?
“Saya tak boleh
balik tanpa tahu sebabnya. Apa harus saya buat?” Naazneen menambah.
“Sebab apa?”
“Sebab
apa-apalah.” Kelat suara Naazneen meneka. Ya, dia tak peduli apa pun sebabnya
Arayn bertindak sepeti itu. Dia hanya mahu penjelasan Arayn. Tidak wajar ke dia
dilayan baik-baik, setelah berjam-jam berada dalam perjalanan?
Dian garu kepala
yang berlitup tudung. Hairan, soalan dijawab soalan. Tidak faham hujung
pangkal.
“Cik…”
Tak sempat Dian
memujuk, Naazneen bingkas berdiri. Tubuh Dian dipeluknya. Naazneen menangis di
bahu Dian. Perempuan yang tidak dikenalinya langsung.
“Kalau cik
menangis sini sebab bos saya tu, takda gunanya, cik. Buang air dalam badan. Cik
ni dah lah kurus kering. Macam kekurangan air jer. Kasihan saya tengok.”
Naazneen angkat
muka. Tangisannya terhenti mendengar mulut celupar takda insurans depan mata tu.
“Apa kata cik ikut
saya ke pantry. Saya bancuhkan air.
Cik minum dulu banyak-banyak. Lepas tu, sambunglah nangis lagi kalau nak juga.”
Sengal betullah
Dian ni. Kasihan pula Naazneen yang menurut membabi buta. Tangannya ditarik dan
dipimpin Dian. Sebenarnya, Naazneen memang perlukan air. Juga makanan. Perut
memulas terus apabila mendengar Dian melalut sebegitu sehingga tak sedar waktu
sudah menginjak makan tengahari pula.
*****
Mata Arayn dan Helmie
masih menumpu kepada kad gold di
tangan Helmie.
“Aku rasalah mesti
dalam tempoh dua minggu kau hilang ingatan tu, salah satu perkara yang kau buat
ialah berkahwin.”
Pantas, Arayn
geleng laju. Mukanya jadi cuak.
“Tidak. Cuba fikir
betul-betul. Kau rasa aku pergi Kuching hari tu, ada tanda-tanda aku nak kahwin
ke? Lagipun, kalau aku dah kahwin, takkanlah aku tak ingat. Bukan ke kau yang
cakap hari perkahwinan tu adalah hari paling bahagia seorang lelaki. So, kalau
betul aku dah kahwin, takkanlah aku tak ingat. Tak logik, kan.”
Tidak boleh jadi.
Tidak mungkin dia kahwin tanpa memberitahu Mama. Lagi dua orang kakaknya pula.
Tiga orang perempuan itu akan mengamuk kalau tahu dia berkahwin tanpa mereka.
Jadi, lagi selamat kalau dia menolak semua andaian atau bukti yang datang ni.
Anggap sebagai dugaan sahaja.
“Mungkin, kau
kahwin paksa.”
“Kahwin paksa?
Aku?” Arayn tertawa. Kepala kerusinya dihempuk-hempuk dengan telapak tangan.
Hanya Mama seorang
sahaja yang boleh paksa dia untuk berkahwin. Tapi, Mama tidak pernah memaksa.
Bahkan, Mama tidak pernah campur tangan. Berkenaan Tizz, bukan Mama berkenan
sangat. Tapi rasanya sebab Mama tiada pilihan. Dengan perangai buaya tembaga
anaknya, hanya Tizz sahaja yang melekat, tidak pernah merajuk bagai. Marahnya
pun bertempat. Paling penting, Tizz memahami kerjaya Arayn.
“Yalah, mungkin
ada orang letak pistol kat kepala kau, so
kau terpaksalah akad depan kadi.”
Mata Arayn
melopong. Helmie juga. Tetapi kemudian mereka tertawa. Masing-masing tak boleh
terima kalau Arayn kahwin paksa. Betul-betul tidak logik.
“Aku rasa baik kau
cari balik bini kau dan…”
“Wait! Aku tak cakap dia bini aku.”
Arayn pantas
memotong. Tidak boleh terima. Helmie buat tak dengar.
“By the way, sebut tentang bini kau, aku
lupa pula tanya. Macam mana rupa dia?”
Arayn termenung
jauh. Terbayang seraut wajah ayu milik Naazneen. Sebaik sahaja gadis itu
terpacak depan pintu bilik mesyuarat tadi, mata Arayn terpukau. Jantungnya
bagai berhenti berdegup. Hanya setelah menentang mata Naazneen yang redup,
hitam pekat itu jantung berdegup aneh.
“Dia bukan sahaja
cantik, tapi manis. Kalau pandang dia, rasa terpaku. Tak boleh nak kalih tempat
lain.”
“Interesting.”
Helmie tertarik.
Bukan kerana ulasan Arayn itu tetapi kerana Arayn bagai dipukau. Dia melangkah
ke dinding kaca menghadap bangunan berkembar Petronas. Tetapi fikirannya
melayang mengingati perempuan yang mendakwa sebagai isteri.
“Senyumannya boleh
menggetarkan jiwa. Kalau tak kuat, boleh kena serangan jantung.”
“Very interesting,” sahut Helmie. Kagum
dengan senyuman yang melengkung di bibir Arayn kala itu.
Pintu bilik
pejabat Arayn diketuk tiba-tiba. Helmie menoleh dan sebelum sempat dia bangkit
dari kerusi, seorang perempuan berambut panjang dengan mata yang redup
melangkah masuk. Di belakang gadis itu ada Dian.
Dian menolak
Naazneen masuk sebelum menutup pintu dari luar. Naazneen terpinga-pinga. Dia
ingatkan Arayn akan berseorangan. Tapi sekarang Naazneen jadi gementar. Siapa
pula yang seorang ni lagi?
Memandangkan Arayn
masih dalam dunianya, Helmie mengamati Naazneen yang jelas menggigil.
“Kau tak tengok
dia Mie. Aku tak pernah tengok perempuan secantik dia.”
“Memang cantik.”
Helmie mengulas, menatap Naazneen yang kebingungan, meramas-ramas tangannya.
“Dia tinggi, walau
tak setinggi aku. Tapi potongan badannya cantik. Macam model. Dan kulitnya…”
“Kulitnya kuning
langsat tapi sedikit merah dan rambutnya panjang melepasi pinggang.”
“Ya, tapi macam
mana kau…?” Arayn hairan. Dia berpaling dan tersentak dengan apa yang ada di
depan mata.
Helmie sedang
membelek gadis yang mendakwa Arayn sebagai suaminya, kini berada di depan mata.
“Kau…? Apa kau
buat sini? Macam mana kau boleh masuk sini?” Tiba-tiba Arayn bengang.
Arayn kalut.
Adakah Naazneen dengar apa yang dia ucapkan tadi?
Naazneen cemas.
Dia mahu keluar tetapi dalam masa yang sama dia tahu hanya inilah satu-satunya
peluang yang dia ada.
“Arayn, dengar
dulu cakap saya. Saya janji saya akan balik Kuching dan takkan datang sini
lagi. Saya janji saya takkan ganggu awak lagi. Tapi sebelum tu, cakaplah dengan
saya apa yang terjadi. Saya takkan marah awak. Saya takkan benci awak. Tolong
Arayn.”
Arayn dan Helmie
berpandangan. Ada sesuatu dalam bicara Naazneen itu membuat mereka tergamam.
Oh tidak! Arayn
bukan tidak mahu mendengar apa pun yang mahu diucapkan Naazneen, tetapi suara
hatinya yang memekak-mekak di dalam belum pun dapat diredahkan. Akalnya yang
ligat berputar itu pun memeningkan kepalanya. Dia belum bersedia menghadam bala
yang bakal tiba.
“Arayn, tolong
berikan saya masa 5 minit pun jadilah. Saya nak tahu apa yang berlaku.”
“Ya, saya pun nak
tahu apa yang berlaku.” Helmie menyampuk. Matanya berkalih kepada Arayn. “Dan
Arayn pun nak tahu juga apa yang berlaku.”
Naazneen bingung.
Rambut yang menjuntai di depan dadanya, dikalih ke belakang badan. Ini angkara dia
dan Dian sebentar tadi. Arayn yang dikenali Naazneen sangat suka apabila dia
meleraikan rambut dan meletak sebahagiannya di depan dada. Nampak keayuan
bertambah-tambah, kononnya.
Helmie berdiri.
Menghadap Arayn. Merenung dengan serius wajah adik iparnya. “Tanya dia apa yang
kau nak tahu. Please be gentleman. In
fact, she is your wife.”
Arayn ketap gigi.
“She’s not,” bisiknya, keras.
Naazneen terasa
hati. Namun, setelah dihalau oleh Arayn sebentar tadi, dia sudah boleh terima
penolakan Arayn. Apa yang dia mahukan sekarang adalah penjelasan.
Helmie melangkah
pergi. Ketika berselisih dengan Naazneen, dia berhenti. Wajah Naazneen ditilik
lama. “Awak jangan risau, saya akan jaga
pintu. Arayn takkan halau awak selagi saya ada,” bisik Helmie, menambahkan kelegaan
pada seraut wajah Naazneen.
“Terima kasih
tolong saya.”
Helmie senyum.
Entah kenapa dia nampak kelainan pada diri Naazneen. Tidak seperti gadis-gadis
yang pernah didampingi Arayn. Saat itu, dia sukakan Naazneen. Kalau betullah
Naazneen adalah isteri Arayn, ohhh… Helmie sudah boleh gambarkan hidup Arayn
akan musnah. Sekilas, dia kerling Arayn yang kembali menapak ke meja kerja,
sebelum beredar.
Naazneen menapak
lambat-lambat. Seribu macam soalan dan andaian yang menerkam dalam kepala
otaknya sekarang. Arayn pula resah tetapi cuba bertenang. Dia belum bersedia
tetapi dia perlu selesaikan masalah ini.
“Arayn…”
“Nama awak siapa?”
Naazneen telan air
liur. Takkanlah nama pun dia tak tahu?
“Naazneen,” Gugup
dan lemah nadanya.
“Begini Cik
Naazneen, saya tak suka buang masa…”
Naazneen duduk
tanpa dipelawa. “Saya tahu.”
“Tahu?” Arayn
hairan.
“Ya, awak yang
minta kita terus saja kahwin sebab awak tak suka buang masa.”
Gulppp! Arayn rasa
macam nak buka tingkap di dinding kaca pejabatnya dan terjun dari tingkat 43
itu.
“Tak mungkin. Awak
tak kenal saya. So, awak tak tahu
saya…”
“Tapi saya tahu
awak cintakan saya.” Naazneen lara sekilas. “Mungkin, awak pernah cintakan
saya.”
“Cinta? Wait! Awak buat saya bingung.” Arayn
menggelabah. Seluruh badannya berasap-asap.
Baru sebentar tadi
semua bukti yang diberikan Naazneen semacam real.
Nampak logik. Tapi cinta? Peleslah…Arayn
tak mungkin jatuh cinta? Mata Arayn kembali menilik Naazneen. Bukannya dia tak
lawa. Memang taste Arayn pun. Tapi…!
“Bukan awak
seorang yang bingung, Arayn. Saya pun bingung. Kenapa awak tak balik? Kenapa
awak tinggalkan saya? Apa salah saya? Atau awak memang jenis lelaki yang tidur
semalam dengan perempuan lepas tu…”
“Wooowww!” Arayn
berdiri. Lagi tak logik. Meremang pula bulu romanya. Memang dia buaya. Seganas
buaya macam dia, dia tak pernah tidur dengan mana-mana perempuan pun. Ini gila.
Perempuan ni gila!!!
Naazneen terkejut
apabila Arayn melenting tiba-tiba. Mungkin benar, lelaki berambut hitam pekat,
dengan muka bersegi-segi itu tidak mengenali dirinya. Pelanduk dua serupa
mungkin. Kalau yang depan ni bukan Arayn Arfan, mana pula suaminya sekarang
ini?
“Begini, baik kita
mulakan dari awal…” Arayn raup muka. Tangan pun basah. “Dari…dari…sebelum
kahwin. Bila kita kahwin, maksud saya…awak ada sijil kahwin?” Ha, dapat fikir
pun.
Naazneen kesat
peluh di dahi. Macam mana tak terfikir nak bawa sijil nikah? Manalah dia tahu
Arayn tidak akan mengakuinya sebagai isteri. Dia gigit bibir.
“Saya tak bawa.
Tapi saya boleh telefon Pak Cu dan minta dia gambar.”
Arayn mengeluh
sebelum mencebik. “Ha, tunjuk saya gambar kita kahwin,” usulnya pula.
Naazneen memuncung
bibir. Sedihnya tergambar di situ.
“Kenapa? Awak takde gambar?” Nada Arayn tampak sinis.
“Ada sekeping tapi
dalam telefon lama.” Naazneen tunjuk telefon Nokia 3210. “Dalam telefon ni takde gambar.”
Keluh lidah Arayn.
Ada lagi ke orang pakai telefon macam tu?
“Kenapa sekeping
saja?”
“Sebab takde orang yang tangkap gambar kita.
Awak punya pasallah.” Naazneen melepaskan marahnya fasal perkara itu. Dia bukan
sahaja kesal tapi terkilan juga. Malangnya ketika itu, dia hanya fikirkan nak
kahwin dengan Arayn. Itu sahaja.
“Apa pula salah
saya kali ni?” Arayn mendengus, menahan rasa geram.
“Awak tak mahu
tunggu lagi. Awak bawa saya pergi ambil bapa saudara saya, dan dua orang kawan
dia. Lepas tu, awak bawa kami terus ke pejabat tok kadi dan minta dinikahkan
hari tu juga.”
Mata Arayn tak
boleh berkerdip langsung. Badannya mahu meletup. Ini memang gila.
“Saya dapat
tangkap satu gambar pun selepas nikah, dalam kereta masa hantar Pak Cu dan
kawan-kawannya balik.”
Seriously? Arayn menepuk dahi sendiri.
“So, awak takde bukti yang saya…yang kita..awak berkahwin dengan saya.” Arayn
menduga.
Arayn berasa lega
sedikit. Naazneen pula yang berpeluh. Bukti? Dia memang tak ada bukti. Tapi,
dua bulan lalu, Arayn tak pula minta bukti tentang cintanya. Tentang kasih yang
terbit mendadak antara mereka.
Orang kata dia
bodoh. Dia akan menyesal berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali. Tapi dia
nak buat macam mana? Dia jatuh cinta kala pertama kali bertentang mata dengan
Arayn Arfan. Bahkan, lelaki itu juga membalas cintanya sekerlip mata dengan
mengahwini dia tanpa sebarang alasan selain cinta.
Naazneen
menggeleng lemah. Dia tunduk. Menahan pilu yang singgah. Gelisah pula Arayn apabila
Naazneen diam. Terjentik perasaannya.
“Okey, awak takde bukti tapi awak ada jam yang
kononnya saya bagi sebagai mas kahwin.” Arayn cuba menarik perhatian Naazneen
daripada emosinya.
Ketika Arayn
membuka laci dan mengambil semula jam tangan jenama Elexandre Christie bersalut
emas tadi, anak matanya terpandang sesuatu. Sesuatu yang membangkitkan
kesedaran dalam dirinya.
Perlahan-lahan,
Naazneen ditenung. Ditatap sebelum dia menyuarakan soalan. “Cik Naaz…”
Naazneen angkat
muka laju. Senyumnya mekar tak semena-mena. Laranya tumpas sekerlipan itu.
Arayn suka memanggilnya ‘Naaz’ sahaja. Dia yakin dia tak salah orang.
“Awak cakap pada
hari terakhir…”
“Malam.” Naazneen
membetulkan.
“Okey…pada malam
terakhir saya bersama awak, awak cakap masa di bilik meeting tadi yang saya keluar nak beli tiket wayang.”
Naazneen angguk
laju. Nafas Arayn semacam nak putus. Tapi dia tahu dia kena ajukan juga soalan
itu.
“Movie apa yang kita nak tengok?”
soalnya, gemuruh melanda jiwa.
Arayn tak tahu
sama ada dia mengharapkan Naazneen memberi jawapan yang berlainan daripada yang
sedang berlegar di benaknya atau itulah yang dia inginkan. Perasaan berbelah
bahagi. Tanpa punca.
Naazneen terkesima
dengan soalan itu. Sedetik, dia rasa mahu menangis. Arayn tidak akan percaya
kalau dia jawab. Dia akan dituduh penipu sekali lagi. Dia akan dihalau terus
dari situ.
“Cik Naaz…” Arayn
menunggu.
Janganlah dia
sebut. Janganlah dia sebut.
“Awak mungkin tak
percaya tapi saya suka kartun. Malam tu, masa kita berehat…” Naazneen terhenti.
Dia pejam mata. Berusaha mengusir adegan malam itu dari kotak mindanya. “Hmmm,
masa tu kita tengok tv ada iklan movie
Hero 6. Saya suka cerita hero tu. Dah tengok banyak kali tapi tak puas. Saya…”
Arayn sudah dapat
mengagak. Seluruh tubuhnya lemah. Dia merebahkan kepalanya di atas meja. Rasa
macam nak hempas biar pecah.
“Arayn,” Naazneen
kalut melihat Arayn kecewa. Dia hanya mahu berterus-terang.
Perlahan-lahan,
Arayn menegakkan semula badannya. Tangan menggagau sesuatu di dalam laci.
Sekeping kad kecil bersegi empat diberikan kepada Naazneen. Naazneen menatap
lama-lama. Air matanya bergenang. Hatinya jadi sebak.
“Ohhh Arayn…” Dia
ambil kad kecil itu dan tatap seperti ianya sungguh berharga. “Awak beli juga
tiket wayang untuk saya.”
Naazneen bawa
sebelah tapak tangannya menutup mulut. Menahan sendunya daripada lepas. Sayu.
Tersentuh hatinya melihat dua keping tiket wayang Hero 6 yang belum terkoyak
walaupun sedikit lusuh warna tintanya. Terhapuslah tanggapannya selama ini
bahawa Arayn benar-benar tinggalkan dia selepas mereka bersama malam itu. Membeli
tiket wayang digunakan sebagai alasan untuk cabut lari malam itu juga. Tetapi
sekarang, bukti sudah cukup. Arayn memang keluar membeli tiket wayang untuk
tontonan tengah malam mereka bersama. Seperti yang mereka rancangkan.
Dipandang Arayn
yang kebingungan dengan mata yang berkaca-kaca bersama sendu yang cuba
digenggam. “Apa yang berlaku malam itu, Arayn? Beritahu saya apa yang terjadi
malam itu? Kenapa awak tak pulang?”
Arayn sendiri
tidak tahu apa yang berlaku. Bukan malam itu sahaja. Apa yang berlaku sekarang
ini terlalu sukar untuk diterima hatinya. Hanya akal yang mengakui bahawa
kemungkinan dakwa Naazneen itu ada betulnya.
Tambahan pula,
takkanlah nak cerita pada Naazneen yang dia tidak ingat. Dia hilang ingatan
untuk dua minggu dalam hidupnya. Hanya dua minggu itu. Dan dalam dua minggu itu
kemungkinan ada Naazneen di dalamnya.
“Cik Naaz, saya
tak…” Arayn baru sahaja cuba menjelaskan kekeliruan daripada pihaknya apabila
bunyi hiruk-piruk kedengaran di luar pintu pejabat. Arayn memasang telinga.
Naazneen pula menoleh ke pintu yang terkatup rapat.
“Ohhh no!” Arayn gelabah. Dia kenal suara itu.
“Kenapa?”
“Kakak saya datang
dah.” Arayn meramas-ramas tengkuknya. Berpeluh satu badan.
“Liyana atau
Jasmin?” soal Naazneen laju. Arayn terpaku. Jadi, Naazneen memang isteri dia?
Naazneen juga
menggelabah. Daripada cerita Arayn, kedua-dua kakaknya bukan jenis yang mudah
hendak ditangani. Dia belum bersedia bertemu mereka. Dia hanya datang untuk
mencari Arayn.
“Apa kita nak
buat? Saya belum bersedia jumpa mereka.” Naazneen menggelabah. Kenapa susah
sangat dia mahu berdua-duaan dengan Arayn untuk lima minit sahaja? Dia perlukan
jawapan. Sebelum berundur dan pulang.
Arayn mundur-mandir.
Dia pun kalut sama. Seketika, langkahnya terhenti. Pandangan bertembung dengan
Naazneen. “Menyorok.”
“Ha?” Naazneen
sentap.
“Awak kena
menyorok. Saya tak tau nak jawab mereka nanti,” jelas Arayn yang ternyata belum
bersedia.
Alahai, lemah
semangat Naazneen apabila Arayn menayang muka meminta simpati. Merayu sebegitu
rupa.
“Mana? Saya nak
menyorok mana?”
Arayn dan Naazneen kalut. Mata meliar setiap
sudut pejabat Arayn. Mencari tempat persembunyian. Aduhai hati, sabar ajelah Naaz.
No comments:
Post a Comment