Wednesday, 13 April 2016

SATU MALAM SAHAJA (Bab 1)




Derap kaki berlarian. Kuat menghentak. Tangga yang jadi pemisah antara tingkat bawah dan atas pejabat itu seakan mahu runtuh. Dihentak-hentak kasut bertumit tinggi gadis yang berambut hitam ikal pekat yang berjuntai sehingga ke paras bahu. Rambut itu terhuyung-hayang dibawa gerakan badannya.



Nafasnya lajunya. Pipinya basah. Degup jantungnya kencang. Panas…badannya membahang. Namun, gemuruh yang membungkus di setiap ceruk tulang-belulang badannya itu, tidak menggentarkan nalurinya. Dia telah bersedia. Walau terpaksa, dia tetap akur.



Hurgh! Hanna Awliya merengus tanpa sedar.



Ini semua salah Nor Ain, rakan sekerjanya itu. Suka hati sahaja bercuti tanpa sebab, tanpa notis. Tak pasal-pasal pula Hanna yang kena ambil alih tugas itu. Kalau setakat nak selak laporan, buat kira-kira atau jumpa pelanggan, dia tak kisah sangat pun. Walaupun dia tak biasa buat, dan banyak kerenahnya, tapi itu lebih baik.




Bukan tugas yang satu ni. Kena menghadap tuan besar yang pantang tengok perempuan berdahi licin tu. Hurgh! Sekali lagi, Hanna merengus dalam hati. 



Entah benar entah tidaknya, wallahualam, Hanna sekadar mendengar desas-desus daripada rakan-rakan sekerja di jabatannya. Belum pernah juga dia bertentang empat mata dengan lelaki yang digelar ‘wild’ secocok namanya itu.



Sama ada terpaksa atau rela, Hanna sendiri tidak pasti sebenarnya. Di satu pihak, inilah peluang yang dibayangkan Hanna sejak pertama kali mencuri-curi melihat kelibat Tuan Wildan Aekthar dari jauh. Ketika lelaki itu masuk kerja waktu pagi atau balik dari kerja petangnya pula.



Di satu sudut pula, hati kecilnya berbisik-bisik. Ganjil tegahan itu. Aneh sungguh darah yang mengalir terasakan saat dia sampai di tingkat atas bangunan pejabat 3 tingkat. Mungkinkah ini adalah nasib malang yang bakal menjerat hidupnya?



Sampai di depan pintu bilik tuan besar, langkah Hanna terhenti. Dia kesat peluh yang menitik. Dia selak rambut dan rapikan lagi. Dia kemam bibir biar nampak basah dan seksi… Opss! Bukan nak menggoda, tau. Selain daripada menggepal keyakinan diri dan nampak berkaliber di hadapan majikan sendiri. Mana tau, rezekinya melimpah-ruah hari ni. Tanpa sedar, terketuk hati tuan besar. Tup tup tup…Hanna naik pangkat. Ha…macam tu jer. Best giler ni.



Hampir sahaja Hanna tertawa sendiri mengenangkan angan-angan Mat Jeninnya ni. Hanna genggam fail putih setebal dua inci dan rapatkan ke dada. Blaus putih dari kain sifon plain dan nipis dengan potongan lengan pendek dan longgar dirapikan di bahagian pinggang. Biar nampak kemas. Manakala skirt ketat hitam yang mengikut potongan punggungnya sehingga ke paras lutut itu, digunakan seketika untuk mengesat peluh di telapak tangan.



Benar! Dia yakin dan gemuruh.



“Hanna!”



Hanna tersentak. Namanya disergah dari belakang. Pantas, dia menoleh. Bertembung mata dengan Fadhil yang berdiri mencekak pinggang.



“Apa lagi yang awak buat tu? Dah lah lambat, ada masa nak berdandan pula. Ingat awak kat dalam tu nak buat catwalk ke?”



Berdesing telinga Hanna menerima arahan daripada pengurus jabatannya yang seperti biasa, suka menjaga tepi kain pekerjanya. Hanna mula panik. Dia pantang disergah. Pantang diherdik. Keyakinan dirinya akan jatuh berguguran.



“Apa tunggu lagi? Cepat masuk! Bos dah lama tunggu awak tu.” Fadhil memekak lagi.



Kalut dan menggelabah, Hanna terus sahaja memutar tombol pintu dan membawa dirinya masuk. Kemudian, daun pintu dilepas dan ditutup dengan bantuan kakinya. Sesaat, pandangan tertera ke meja besar yang kosong. Matanya membundar. Besar-besar.



Ehhh, mana pula bos ni?



“Apa awak buat ni?” Dia kena jerkah lagi. Hampir melayang nyawa dari badan.



Hanna berpaling ke kiri.



Astaghfirullahirrazim.



Lelaki yang dicarinya terbaring di atas sofa. Memaut tubuh seseorang. Ditindan oleh betina yang tak cukup kain, yang sedang memaku, menyeringai memandang Hanna. Nafasnya turun naik. Wajahnya berang. Tanpa sekelumit rasa malu, dia merenung ke dalam mata Hanna. Manakala lelaki yang terbaring itu pula kelihatan lelah. Berpeluh hangat.



Hanna lekas-lekas berpusing. Membelakangi mereka. Namun, sempat juga dia membeliakkan mata sebentar tadi melihat majikannya yang hanya berseluar panjang dan gadis itu sekadar memakai pakaian kecilnya di bahagian atas.



“Awak tak tahu adab ke? Main terjah jer masuk ni!” Betina itu memekak lagi.



Iskk! Dia yang tak tahu adab tu beromen dalam pejabat tu apa kes? Hanna telan-telan air liur.



“Maaf cik…err..puan…err tuan…”



Hanna gagahkan diri melontarkan suaranya. Sungguhpun tergagap-gagap, sebenarnya dia berasa malu sangat-sangat. Malu menjadi saksi maksiat lelaki itu. Malu menjadi penonton tak diundang ke pesta dosa antara lelaki dan perempuan yang pastinya bukan muhrim itu. Malu juga apabila dia rasakan mukanya jadi hangat. Berpeluh sama seperti lelaki yang acapkali menerjah ruang mimpinya.



Hanna mahu angkat kaki segera apabila suara garau menyergah di pendengarannya secara tiba-tiba.



“Tunggu!”



Hanna pegun. Kakinya kaku. Debar di dadanya mencacak-cacak. Tempurung lutut sudah menggigil. Hanna menanti bersama rasa kecut yang menampar-nampar perutnya.



Sesaat dua, lelaki yang terbaring tadi sudah berada di depannya. Dekat dengannya. Menayang ketul-ketul otot di tubuhnya. Tanpa selapis benang pun. Tanpa sekelumit rasa segan pun.



Hanna terkerlip-kerlip mata. Hairan sejenak. Orang lain yang buat adegan berahi, dia pula yang rasa malu. Orang lain yang berhempas-pulas, dia pula yang termengah-mengah. Pipinya jadi merah. Anak matanya meliar-liar tak tentu arah. Bibirnya merapat-rapat, bergerak-gerak tetapi tetap melekat antara atas dan bawah. Kulitnya terasa panas sejenak. Seolah-olah dia pula yang baru lepas beraksi…Opps!!!



Hanna brek mengejut. Kesat peluh dulu. Macam mana dia boleh tersasar fikir sampai ke situ? Adehhh!



Sekali pandang sahaja Wildan terpukau. Merapati gadis itu, Wildan menjadi gila. Menatap gadis itu menggempur emosinya yang tiba-tiba mekar. Bangkit dan gagah. Ternyata gadis di hadapannya itu membangkitkan rasa. Rasa yang tidak pernah wujud dalam dirinya. Rasa yang tidak boleh digambarkan dengan apa bahasa pun. Rasa yang yang hanya boleh dituturkan dengan satu perkataan tragis. Wildan tahu. Akhirnya, dia temui apa yang dicarinya selama ini.



“Awak dari department mana ni?” soal Wildan, menahan emosinya kala menatap sepasang mata yang hitam bersinar-sinar. Pipi itu basah. Bibir itu juga basah. Bahkan, Wildan boleh mengamati titik peluh yang jelas di leher gadis itu. Memaksa Wildan memejamkan mata sekerdipan demi menahan bisikan yang memekak-mekak di dalam kepalanya saat itu.



“Ha?”



Hanna kalut. Tangan tak henti-henti meramas-ramas fail putih setebal dua inci yang sepatutnya diserahkan kepada Tuan Wildan Aekhtar.



Sebenarnya Wildan sangat-sangat penat. Setelah bertungkus-lumus bertarung di atas sofa panjang itu, nalurinya tidak juga menunduk. Penat! Dia sangat penat. Penat memilih dan mencuba nasib. Penat mengejar, berusaha dan akhirnya tidak temui kepuasan yang dicari. Sungguh! Dia terdetik hati untuk pasrah sahaja. Mungkin inilah ketentuan baginya.



Namun, saat gadis yang di depannya ini muncul entah dari mana dengan fail dari pejabatnya itu, keyakinannya melambung tinggi. Tekadnya membulat kembali. Inilah anugerah untuknya. Semacam bidadari yang turun dari langit. Jatuh terjelepok di bawah kakinya. Ahhh, ini anugerah yang sangat hebat.



“Tak pernah tengok awak sebelum ni. Awak dari department mana?” Wildan mengulang. Mahu sahaja menyentuh bahu gadis itu dan menggoncangnya. Mahu juga tangannya merapat dan menyentuh peluh di leher gadis itu. Mahu dielus pipinya yang basah. Mahu disentuh bibirnya yang berketar-ketar. Menggoncang dan menggoncang naluri Wildan sama.



Ditenung gadis itu lama-lama. Semakin gelisah si dara, semakin berkocak hati jantannya. Nafsunya yang sentiasa bersembunyi itu tiba-tiba sahaja membuak-buak. Hanya dengan menatap getaran bibir gadis itu. Hanya dengan memaku ke dalam mata gadis itu. Hanya dengan berada sedekat itu, nafsunya menggelupur tanpa diundang pun.



Hanna mengherot-herot bibir. Menarik nafas yang menyesakkan dada. Aneh kan? Orang lain yang bergelut, dia pula yang semput. Lantas, di balik fail di dada, Hanna bawa tangannya mengurut-ngurut dada. Cuba menenangkan kekalutan yang masih membalut dirinya. Dia mencari-cari suaranya. Namun, kala dia angkat kelopak mata dan bertembung pandangan dengan Tuan Wildan, lelaki itu melemparkan renungan yang sangat galak. Menggetarkan jiwa Hanna sehingga haru-biru.



Dalam masa itu jugalah, Hanna terdengar-dengar suara Suraya pagi tadi. Semacam echo yang bergema dan berulang-ulang menerjah ingatan.



“Ada tiga isteri, beb.” Tiga jari Suraya masih jelas di matanya. Bahkan, air muka Suraya tadi masih segar melekat di dalam mindanya.



“Dia ada 3 isteri? Bermadu? Mereka boleh ngam ke?” Hanna mencungkil, dalam tak percaya tu. Boleh dibayangkan semula reaksinya kala mendengar gosip liar Suraya itu.



“Bukanlah tiga serentak. Dia kahwin lepas tu cerai. Kahwin lagi, cerai juga. Dan yang last kahwin ni pun dengarnya dah kena cerai.”



“Hish! Apanya yang tak kena tu?” Hanna hairan, tidak percaya ada lelaki seperti itu.



Suraya merapatkan kerusi. Memandang kiri dan kanan. Hanna mengikut sama. Sepertinya ada conspiracy rahsia antara mereka. Gosip pejabatlah katakan. Sejenak, Suraya mendekatkan mukanya rapat seinci ke muka Hanna. Hanna pula menadah telinga luas-luas. Perasaan ingin tahu kian mencapai awan.



“Kau tau tak yang isteri pertama, cuma bertahan setahun saja kahwin dengan bos?”



Hanna melopong. Serta-merta menggeleng.



“Isteri ke dua pula tahan dua bulan. Dan yang terakhir tu, aku dengar hanya mampu bertahan sebulan jer. Terus kena cerai.” Bulat mata Suraya. Bahu Hanna ditepuk kuat.



Bulat juga mata Hanna. Mulutnya ternganga luas. Nasib baik takde lalat yang terbang hinggap.



“Kau ni biar betul?” Dia tidak mahu terus masuk perangkap Suraya. Entah-entah, cerita dongeng semata-mata. Bebola mata mengecil dan dahinya berkerut-kerut.



“Betul. Sumpah!” Suraya tepuk meja sambil tangan sebelah naik, berikrar. Badan menegak. Menjauh dari Hanna.



Hanna tergamam. Hilang kata. Sekejam itu ke seorang lelaki? Takkan tiada sekelumit belas. Tentu sahaja ada rasa sayang apabila memilih untuk berkahwin dengan pilihan hati. Kalau dengar kata-kata Suraya, tiada seorang pun yang berkahwin paksa dengan lelaki itu. Tambahan pula, kalau dah setahun kahwin dan bercerai, iyalah…boleh terimalah…mungkin tak serasi.



Tapi…kalau dah cakap sebulan dua saja pun dah bercerai-berai, apa kes tu namanya? Penganiayaan, tau! Hugh! Lelaki itu berkahwin umpama membeli kereta. Boleh tukar-tukar apabila dah hilang rasa suka. Habis manis sepah pun dibuang. Susah! Mengenangkan nasib ketiga-tiga bekas isteri Tuan Wildan itu, amarah Hanna terjentik tiba-tiba. Rasa nak tonyoh-tonyoh muka lelaki tu dengan lumpur. Biar masuk ke dalam mulut dan sampai ke hatinya yang sama kotor. Hurgh! Biar dia rasa. Menyampah!



“Kau tahu…” Suraya menghentikan lamunan Hanna. “Kau rasa-rasalah…cuba kau agak tak berapa lama isteri barunya nanti boleh tahan?”



“Isteri yang mana pula ni?” Hanna sedikit blur.



“Alahhh, kau ni slow bebenarlah. Bini yang ke empat nanti.” Suraya merungut, kurang senang.



“Dah kahwin lagi ke?” Hanna pula tercengang.



“Belumlah. Kalaulah bos kita tu kahwin lain, agak-agak berapa lama perempuan tu boleh bertahan?” Suraya menjelaskan dengan panjang lebar soalannya. Biar masuk dalam kepala Hanna. Disumbat penuh sehingga faham.



Hanna jungkit bahu. “Tak tahu. Seminggu kali?”



Suraya menggeleng keras. “Satu hari.” Dia angguk, yakin sungguh.



Gila. Siapa yang nak kahwin satu hari sahaja?



“Kau boleh kerat jari aku ni kalau orang tu boleh tahan lebih dari sehari. Gerenti lepas satu malam, dah kena campak perempuan tu.”



Hish! Meremang pula bulu roma Hanna mendengar kata-kata rakan sekerjanya itu. Perutnya mengulas sama. Dada bagai ditusuk anak panah. Namun, dia sekadar mengunci mulut. Langsung tidak mengulas sepatah pun.



“Kasihan tu memanglah kasihan,” getus Suraya lagi melihat wajah Hanna yang lesi. “Tapi, mereka beruntung sebenarnya. Lagipun, perceraian kononnya atas kerelaan dua-dua pihak. Nasib baiklah aku dah kahwin. Kalau tidak, pasti jadi janda kaya raya jugalah.”



Ehhh, apa kes punya simpati ni?



“Janda kaya? Maksud kau…?”



“Kayalah sebab selepas bercerai jer isteri pertama dapat banglo sebiji dan sebuah kereta mewah. Isteri kedua pula boleh buka rangkaian perusahaan butiknya sendiri. Melancong ke luar negara memanjang untuk dapatkan stok bekalan kedai. Manakala, isteri ke tiga ni dengar khabarnya dah jadi bintang filem terkenal. Menjadi duta produk-produk kecantikan. Semuanya tu mereka dapat selepas bercerai dengan tuan besar kitalah,” terang Suraya seolah-olah fakta yang digemburnya itu benar-benar sahih.



“Oh, maknanya takdelah dia campak ex-wivesnya macam tu sajalah. Ada pampasan yang diberikan,” Hanna sedikit lega.



“Amboi! Bela bos nampaknya.”



“Mana ada. Takkanlah nak bela lelaki yang takde perasaan tu. Yang takde rasa cinta.” Hanna merengus kuat. Geram apabila Suraya berfikir sebegitu rupa.



“Kau tu hati-hati sikit. Kerja elok-elok. Jangan sampai kena panggil menghadap dia. Kalau dia terpikat dengan kau, nahaslah jawabnya. Syurga yang kau rasa di dunia ni, macam neraka jadinya.” Suraya jeling tajam. Anak matanya memberi amaran.



“Tapi kalau kau jadi janda kaya nanti, jangan lupa aku, ya?” Suraya sempat berseloroh sebelum dia kembali menarik kerusinya ke mejanya. Menekuni semula kerjanya.


Gulppp! Hanna telan air liur yang kian pahit. Sekarang, dia berdiri di depan sepasang mata yang berkilau-kilau melata pandangan pada setiap inci tubuhnya. Terasa pula berbogel waktu itu. Aduhhh! Hanna mahu mengesat peluh tetapi teragak-agak apabila renungan tuan besar Wildan itu kian galak dan seakan mahu membenamkan taringnya di leher Hanna. Tangan Hanna naik menyentuh leher sendiri. 


7 comments: