BAB 1
ANAK jari
tidak pernah sepantas ini. Menyentuh butang di CPU computer yang besar
itu sebelum terus ke monitor.
Serta-merta, skrin monitor yang
terang-benderang tadi bertukar gelap. Hitam pekat.
Belum
cukup pun lagi, longgokan pen, pensil dan alatan tulis yang lain, diserkup
penuh oleh jari jemari. Sekali genggam sahaja. Dimasukkan ke dalam uncang yang
ternganga sedari tadi. Kemudian, dizip uncang merah itu dan dimasukkan ke dalam
laci meja. Setelah itu, kertas-kertas yang menimbun, dimasukkan pula ke dalam
beberapa fail yang tersedia di atas meja.
“Amboi,
lajunya kau berkemas,” tiba-tiba sahaja seseorang muncul di hadapan meja.
Aku
buat tidak peduli. Semakin ligat juga tanganku meneruskan apa yang aku lakukan
sedari tadi. Kerja-kerja mengemas meja di tempat kerjaku yang terlalu jarang
dilakukan selama ini.
“Cuti
kau dah luluskah?” soalnya lagi.
Aku
angguk serta-merta. Penebuk lubang di hujung meja, aku rembat dan bawa ke
celahan kertas. Menekan sekali. Selonggok lagi kertas, aku bawa ke tangan, dan
menekan puncher lagi. Anak mata
seketika terhenti pada seorang rakan sekerja yang tanpa dijemput, sudah duduk
di kerusi di hadapan mejaku.
“Kalau
tak lulus, takdalah aku berkemas nak balik ni,” ujarku, acuh tak acuh.
“Berapa
hari kau minta? Lulus semua sekalikah?” tokoknya lagi.
Aku
angkat jari tiga. Dia membulatkan matanya dan hampir terdorong tubuhnya ke
depanku. Aku tertawa halus. Mengangguk juga. Menjawab soalan yang keduanya
pula.
“Hish!
Ini mengalahkan orang yang ambil cuti kahwin. Kau nak sambut buah hati sampai
tiga hari atau kau nak buat majlis nikah sekaligus?”
Nasib
baik ada meja di antara kami. Kalau tidak, sudah aku tendang kakinya atau cubit
lengannya. Tapi, sempat juga aku ambil kotak tisu di meja tepi dan baling ke
mukanya. Dia sambut dengan pantas seraya ketawa. Senang hati dapat menyakat aku
agaknya. Dalam garang-garang pun, hatiku kembang berbunga setaman.
“Wah,
garangnya Cik Nira ni. Baru usik sikit dah lempar kotak tisu, kalaulah usik banyak,
agak-agak boleh kena terkam tak?”
“Nak
tahu, cubalah. Sini ada telefon, ada monitor, atau dengan CPU sekali aku boleh
hempuk. Pilihlah nak yang mana?” balasku, melayan kerja-kerja menyakatnya itu.
Bahasaku
kasar, namun suara melentok lembut, wajah berseri-seri dan anak mata pasti
bersinar-sinar. Semuanya diadun penuh bahagia bersarang dalam dada. Dia
kelihatan senang hati. Tetap ketawa tak henti-henti.
“Ini
baru usik Nira, kalau usik encik abangnya, agak-agak…”
Tak
sempat habis ayatnya. Berdentum meja aku hempuk dengan fail yang dijatuhkan
kasar. Terkejutlah dia. Hilang senyuman nakal tadi. Tak cukup dengan itu, aku
hadiahkan dia panahan mata yang sangat tajam. Penumbuk segenggam aku tunjuk ke
depan mukanya. Air mukaku membengis. Wajahnya juga berubah riak. Anak matanya
mengecut. Sempat pula aku lihat dia telan air liur. Ha! Kecut pun.
“Eleh,
kau buru-buru nak bercuti atau kau tak sabar nak jumpa buah hati?” Dia gagahkan
diri juga menyambung usikannya tadi.
Mungkin sebab dia kenal aku. Aku nampak garang
di luar sahaja sedangkan ramai orang kata, hatiku sangat-sangat lembut. Iya
kah? Mungkin betul juga. Kalau tidak takkanlah lelaki di Jordan itu jatuh cinta
padaku. Hish! Angau dah pula ni.
Raut
wajahku yang berubah bengis tadi merona merah tiba-tiba. Membahang saat wajah
buah hati terbayang di depan kelopak mata. Aku mengetap bibir yang bergincu
merah. Sudah menyamai warna yang terbias pada mukaku.
“Merahnya
muka kau. Selalunya kau tak malu pun bila cakap pasal lelaki di tanah Jordan
tu,” ulasnya lagi. Tak henti-henti menyakat aku.
Aku
herotkan senyuman tipis. Aku sebenarnya tidak berminat mahu bersembang. Namun,
apabila topik yang diutarakan itu adalah berkenaan dengan kekasih hatiku, maka
akulah pendokong utamanya.
“Ah,
kau ni. Ada-ada saja nak usik aku. Apasal aku nak malu pula? Dia buah hati aku.
Kekasih, jejaka pilihan Malaya aku, pengarang jantung aku…” kata-kata meniti
dari bibir seiring dengan kening yang terjongket-jongket. Rasa bangga mentadbir
jiwa.
“Iyalah,
iyalah… macamlah kami tak tahu. Walau tak pernah jumpa dia, dah rasa macam dah
kenal pun. Kau tak pernah berhenti bercakap pasal dia, kan?” tukas rakan itu.
Mengerling seketika padaku. Sempat pula merembat puncher dari tanganku.
Aku
baru sahaja mahu membuka mulut, terkatup serta-merta kala seorang lagi rakan
berdiri tercengat di depan pintu bilik pejabatku.
“Mana
Nira nak berhenti cakap. Itu aje yang dia tahu. Cintakan lelaki itu
sangat-sangat,” sindir rakan yang baru muncul itu, sambil menjuihkan bibirnya
kepadaku. Rakan yang sedang duduk di hadapan pula sempat menoleh. Mengangguk
dan menaikkan ibu jarinya sebagai tanda thumbs
up. Menyokong idea rakan itu.
Aku
sedikit pun tak terasa tersindir dengan teguran mereka. Aku tahu dalam ejekan
mereka, bergendang rasa bangga terhadapku. Tumpang bergembira dengan nasib
bahagia yang terlakar dalam sejarah percintaanku. Malah, aku layan habis
gurauan itu.
‘Bawalah
satu bahtera pejabat ni pun, aku tak hairan. Jealouslah tu,’ hati penuh riak sudah mula berbisik lancang.
“Salahkah
kalau aku cintakan dia sepenuh hati?” desisku, seraya menolak fail di
hadapanku. Berpura-pura menarik wajah kelat. Mempamer rasa kurang senang.
Berhenti seketika daripada menekuni kerjaku. Anak mata dua rakan, dijamah mata
ini silih berganti.
“Tak
salah. Tapi, kau tu terlalu percayakan dia.” Rakan yang baru muncul itu sudah
menapak, mendekati. Berdendang kata-kata penuh prasangka dari mulut celuparnya.
Pemikiran negatif yang mahu disajikan padaku.
Aku
menggeleng pantas. Terasa cetek betul pemikiran rakan-rakan sekerjaku ini.
Tubuh ini sudah bersandar di kerusi kulit yang diduduki. Bersedia untuk
melayangkan hujah pidato yang paling ampuh. Kedua-dua tangan sudah memeluk
tubuh sendiri. Tidak mereka nampak, kakiku turut bergoyang-goyang. Bukannya aku
angkuh. Sekadar terlalu yakin. Ada beza, tau!
“Aku
dah lapan tahun bercinta dengannya. Dia yang pertama bertakhta di hatiku.
Takkan ada orang lain lagi. Kalau setakat percaya, itu terlalu kecil nilainya
bagi aku. Lagipun, dia memang berhak dipercayai. Selama lima tahun dia pergi,
dia tidak pernah lupakan aku. Sentiasa pm
dalam inbox fb. Whatsapp dan wechat tak payah nak cerita lagi. Kamu
pun tahu. Aku pernah tunjuk, bukan sekali.” Berdentum suara ini melaungkan
kehebatan jajaran cinta yang menelusuri hidupku.
“Betul
tu Nira. Tapi, jangan lupa jodoh itu ketentuan Allah. Dia yang aturkan dan dia
sudah tetapkan siapa suami kita nanti…”
“Maksudmu,
aku tidak boleh memilih siapa yang harus aku cintai? Begitu?” tekanku
bertempik. Tubuh sudah berdiri dari kerusi. Tiba-tiba sahaja terasa panas,
membahang menyerap ke segenap tubuh atau mungkin kena kejutan elektrik oleh
rakan-rakan ini. Menggelegak kepanasan di pelusuk diri. Lebih hangat lagi
hatiku.
Rakan
yang sedang duduk sempat menyiku paha rakan yang sedang berdiri di sisinya.
Mereka berpandangan antara satu sama lain. Ternyata mereka tidak menduga
kata-kata itu daripada aku.
Kala
anak mata mereka menatap wajahku, ada keluhan kecil yang sempat menerkap di
pendengaran. Turut jelas di penglihatan. Mataku masih tetap meliar menikam ke
dalam anak mata mereka. Wajahku tetap tegang. Walaupun aku bukan jenis yang
suka melenting, tapi aku tak suka apabila mereka seolah-olah tidak merestui
hubungan cintaku. Tidak meyakini hakikat cinta kami.
“Kenapa
diam… Ju… Yanti?” tuntutku, menyebut nama mereka silih berganti.
Bermula
pada sahabat yang berdiri. Juga pada sahabat yang tertunduk di kerusi.
Tanganku, kejap menekan meja sendiri. Menahan amarah yang terjemput oleh dua
rakkanku ini.
“Bukan
itu maksud aku. Kami cuma mahu kau simpan juga satu ruang dalam hati kau untuk
dikecewakan. Manalah tau…” bergetar suara itu. Malah, hampir sahaja tak
terluah. Mendatar dan sekadar sayup-sayup melinggar di pendengaran.
“Oh,
mula-mula kamu nasihatkan aku supaya tidak percayakan Mikael. Sekarang kamu
doakan agar aku dikecewakan olehnya? Sahabat apa kamu ni?” berderau darahku
memintas ayat yang terkeluar dari mulut Ju.
“Nira,
janganlah fikir negatif macam tu…” Yanti sudah bangun dari kerusi. Suasana yang
bersulam suka tadi telah bertukar duka nampak gayanya. Lengan Ju dipegang
kemas. Sempat menarik berkali-kali. Seakan menegah rakan itu agar tidak
meneruskan bicaranya lagi.
“Siapa
yang fikir negatif sekarang ni? Siapa yang cemburukan kisah cinta aku? Kalau
kau pernah putus cinta, jangan pengaruhi orang lain agar menerima nasib yang
sama seperti kau!”
Wajah
Ju berubah. Matanya mula berkaca-kaca. Aku tahu bahasaku kasar sangat. Sentap,
kan? Kalau dia boleh tersinggung, sesungguhnya aku juga seperti itu.
No comments:
Post a Comment