KELUAR dari bilik, aku bergegas mahu keluar terus ke beranda. Baru
sahaja aku berada di tengah-tengah ruang tamu, sudah ada tangan yang menarik
tanganku. Aku tahu benar gerangan lelaki itu. Rupanya sahaja kelihatan warak.
Tapi dengan aku, sesukanya mahu menyentuh kulitku. Ceh! Aku menyampah
sungguh-sungguh!
Aku tersentak dengan perlakuan Rafiq. Kasar, menarik tanganku
sehingga aku tiada kuasa mahu meronta. Akhirnya aku akur mengikut langkahnya
yang masih memegang erat tanganku. Menarik tubuhku sehingga ke dapur. Agak jauh
daripada saudara-mara dan tetamu yang berkunjung.
“Lepaslah! Kau dah gila ke? Aku tak suka kau sentuh aku. Tak faham
lagikah?” tempikku bersama kelantangan suara yang boleh didengar oleh seisi
rumah nenek. Walau di penjuru mana sekalipun mereka berada.
“Dhia isteri abang. Abang boleh sentuh ikut suka hati abang!”
amuknya tak semena-mena.
Tiba-tiba aku rasa jijik sekali. Aku mahu menjerit,
menghamburkannya dengan kata-kata maki. Namun, tangannya menerkup mulutku.
Lalu, aku meronta menepis tangannya. Sehingga akhirnya dia mengalah. Berundur
sedikit daripadaku. Aku termengah-mengah menarik nafas dibuatnya.
“Abang tak tahulah macam mana nak pujuk Dhia lagi. Sampai bila
Dhia nak jadi begini? Sampai bila Dhia nak mendendami abang? Sampai bila baru
Dhia sedar yang Dhia tu isteri abang? Sampai bila Dhia harap abang untuk
bersabar? Tolong cakap pada abang,” tegas suaranya, bersalut amarah yang
menjentik debar dalam hatiku. Matanya seakan berkaca-kaca. Namun, hatiku
semakin degil dan keras sungguh. Sejak dua puluh tahun dulu.
“Sampai aku mati…” kata-kataku tertelan sendiri saat telunjuknya
menyentuh bibirku. Dia sudah mula bersikap kurang ajar padaku. Sebelum ini, dia
hanya menarik tanganku. Belum pernah dia seberani ini. Aku membeliakkan mata,
tangannya aku tepis sekuat tenaga.
“Jangan ulang lagi! Abang tak suka bila Dhia sebut pasal mati.
Jangan ulang lagi!” jerkahnya padaku. Sebelum sempat aku marahkan dia, Aqil
Rafiqin sudah melayangkan telunjuknya ke kiri ke kanan di hadapan mukaku.
Memberi amaran padaku.
“Kalau kau tak suka dengar, jangan tanya soalan bodoh itu pada aku
berkali-kali.”
“Tapi kenapa? Dhia sudah jadi isteri abang. Sampai bila-bila pun
Dhia tetap isteri abang. Atau Dhia sanggup hidup seorang sebagai isteri yang
nusyuz?”
Aku tidak boleh terima perkahwinan ini. Bagaimana aku hendak
menjadi isteri yang patuh pada suami. Dia bukan suami yang aku petakan di dalam
mindaku.
“Sudahlah Dhia. Abang sudah janji dengan nenek. Malah, semua orang
mengharap abang bertindak tegas pada Dhia. Pada mereka, hanya itulah caranya.
Abang yang buta hati selama ini. Abang tahu kesalahan abang. Sebab itu, abang
masih berdoa dan menanti pintu hati Dhia akan terbuka untuk memaafkan abang,”
tuturnya, mahu merangkul pengertian walau sepenumbuk ke dalam hatiku.
Aku tidak berminat mahu mendengar rayuannya. Bukan dia tak
mengerti pendirianku yang teguh terpacak, takkan pernah goyah. Lalu, aku angkat
kaki mahu beredar tetapi direntap pula lenganku. Kasar sehingga berdecit suara
mengadu sakit dari celah bibirku. Namun, dia tidak lepaskan pegangan. Aku
meronta, sama kasar. Sebaliknya, dia menolak tubuhku, sehingga bersandar pada
pintu peti ais.
Lalu, dia bawa tubuhnya merapat padaku. Sehingga hanya ada ruang
beberapa inci sahaja jarak memisahkan tubuh kami. Aku telan air liur. Kendur
seluruh tenagaku tiba-tiba. Menyedari itu, dia lepaskan pegangannya. Namun,
tetap tidak terkutik, berdiri di hadapanku.
“Apa lagi yang kau harapkan daripada aku, Rafiq? Aku takkan penuhi
permintaan nenek,” gumamku, berpaling ke sisi.
“Ikut abang balik rumah, Dhia. Beri abang peluang. Kita mulakan
hidup yang baru,” pintanya, sekadar berbisik di telingaku. Tenang dan penuh
rayuan, menggesa-gesa hatiku agar tumpang simpati.
Aku paling muka menghadapnya. Kala itu, hatiku bagai ditepuk debar
yang menggoda. Lalu aku pejam mata rapat-rapat. Tangan aku bawa menolak
dadanya, menjauhkan tubuh itu daripada tubuhku. Dia terundur setapak. Namun,
tidak pula cuba mendekatiku lagi. Aku tarik nafas dalam-dalam. Ada rasa lega
yang menjalar dalam segenap tubuhku.
“Jangan mimpi, Rafiq. Aku takkan terima kau sebagai suami.
Perkahwinan itu hanya satu muslihat. Aku tidak percaya,” bidasku, melahirkan
keputusan yang sama seperti dua tahun yang lalu.
“Apa yang Dhia tak mahu percaya? Pernikahan kita cukup rukun dan
syaratnya. Keberadaan Dhia tidak dituntut dalam syariah. Kalau Dhia tahu Dhia
takkan setuju berkahwin dengan abang.”
“Kalau sudah begitu, kenapa masih mahu mengahwini aku? Aku tak
rela. Seperti dua puluh tahun dulu. Aku tetap bencikan kau. Kau ingat dengan
menjadi suami aku, aku akan lupa apa yang kau dah buat pada aku?” Bibir sengaja
aku herotkan sedikit. Mengejek harapan yang terbina lewat perkahwinan yang
tidak aku akui kebenarannya walau dua tahun telah berlalu.
“Kau silap Rafiq. Aku takkan lupa dan takkan maafkan kau. Selagi
parut ini masih merah, selagi itu aku takkan hidup bersama dengan kau,” putusku
buat ke sekian kalinya.
Rafiq berkalih membelakangiku. Meramas-ramas kasar rambutnya.
Kecewa sangat lagaknya. Seketika cuma, dia sudah kembali menghadapku. Merenung
penuh pengharapan seperti selalunya.
“Kenapa membenci abang sehingga begitu sekali? Kenapa menghukum
abang tak berkesudahan? Cukuplah Dhia. Abang merayu untuk terakhir kalinya. Apa
yang sudah berlaku, cukuplah…! Sudahlah! Abang mengaku abang yang salah. Jangan
hukum abang begini. Tak cukup lagikah dua puluh tahun Dhia hukum abang?
Sudahlah, Dhia. Kita mulakan hidup yang baru,” rayunya, merapatkan diri padaku.
Memegang kedua-dua bahuku. Menekur jauh ke dalam hatiku.
“Aku jadi begini sebab kau! Aku jadi manusia tak sempurna sebab
kau! Macam mana aku mahu lupa? Macam mana aku nak mulakan hidup yang baru?
Melihat mukamu sahaja, seperti baru semalam kejadian itu berlaku. Mendengar
suaramu sahaja ibarat keris menikam-nikam jantungku. Perit sungguh! Sakit tak
terkata.” tegasku, sambil melurutkan tubuhku perlahan-lahan. Sehingga
terjelopok duduk di hadapan kakinya. Air mata gugur entah sejak bila. Esak
tangisku mula bergema.
Dia turut merendahkan tubuhnya sehingga setentang denganku.
Kemudian, dia angkat tangannya mengesat air mataku yang tiba-tiba berpusu-pusu
tumpah. Aku mahu tepis tangannya. Niatku mati tak semena-mena kala aku lihat ada
titis air mata yang bergenang dalam tubir matanya itu. Sekali lagi, aku sedar air
mata kesal itu tumpah lagi.
Lama kami begitu. Akhirnya,
kala sunyi bertamu kembali, dia tiba-tiba mengucup ubun-ubunku. Terbuntang mataku
melihat kelakuannya itu. Sesaat berlaku, aku tolak badannya agar menjauh
daripadaku.
“Dhia, maafkan abang. Dalam masa terdekat, abang akan paksa Dhia
tinggal dengan abang. Abang takkan berlembut dengan Dhia lagi. Abang akan
pastikan Dhia tidak berjauhan dengan abang lagi. Kalau terpaksa, abang akan
kurung Dhia dalam istana kristal ciptaan abang. Abang tak peduli lagi. Jadi,
selagi ada masa Dhia bersiap sedialah.”
Kata-kata amarannya aku sambut dengan jungkitan kening. Mempersoalkan
tindakannya itu. Dia hanya menjuihkan bibirnya padaku. Mengejek kepolosan aku
kiranya.
Serta-merta, tubuhku bangkit. “Kau dah gila, Rafiq? Kau ingat aku
ni apa? Anak patung? Jangan harap aku akan menurut tanpa berjuang,” tukasku,
utuh dan jitu. Dia turut bangkit, bersama senyuman manis seakan berterusan
menggoda aku. Menampakan lesung pipit di pipi kirinya. Pipi yang selalu aku
cubit sewaktu kecil-kecil dahulu.
“Abang tahu Dhia bukan anak patung. Kalau anak patung, takkanlah
abang berkahwin dengan Dhia pula. Pasal kedegilan Dhia, abang sudah jangkakan.
Takpelah, tunggulah masa tu tiba nanti. Kita tengok macam mana Dhia nak lari
daripada abang?” Manis bicaranya umpama gula-gula lollipop kedengaran pedih
menusuk-nusuk jiwaku. Dia sempat mengenyitkan mata padaku, namun yang terjelir
adalah rasa menyampah yang berlapik-lapik.
Sebelum sempat aku berbalas kata dengannya, tiba-tiba tubuhnya
menjauh. Melangkah beberapa tapak sebelum berlalu meninggalkan aku sendirian di
dapur. Sempat aku pegun memerhati belakang tubuhnya seketika. Tatkala dia
menoleh kepadaku, aku kuatkan hati. Sedikit pun aku tidak gentar bertentang
mata dengannya. Tiada riak takut atau mengalah sekalipun.
Namun, ada sesuatu dalam sinar matanya, yang aku tidak mengerti sungguh.
Seakan mahu mencabar aku. Baru aku mahu cuba membaca maksud yang dilemparkan
oleh pandangan matanya itu, dia sudah tarik muka, berpaling daripadaku. Ah! Aku
tepis lagi perasaan pelik yang sepoi berbisik di celah-celah hatiku saat
bayangnya menghilang daripada pandangan mata.
No comments:
Post a Comment