AKU menapak lemah sehingga terhenti betul-betul di ambang pintu
dapur. Tubuh Rafiq telah hilang daripada pandangan. Suara tangisan dan bacaan
yasin mula berkumandang dari dalam bilik nenek. Hatiku bertambah sayu.
Fikiranku bercelaru. Haruskah aku penuhi kehendak nenek? Berbelah bahagi sudah
hati ini.
Seketika aku duduk lalu bersandarkan pintu dapur. Aku tarik
kakiku, sehingga lutut sudah sama tinggi menyaingi dada. Serentak itu, aku
tundukkan badan sedikit, membiarkan dagu bersandar pada tempurung lutut.
Semakin merapat lutut ke dada, aku silangkan kedua-dua belah tangan, merangkul
kaki. Memori duka berita perkahwinan dua tahun dahulu seakan kembali mencalar
emosiku.
“Abang tiada pilihan. Dhia sudah dinikahkan dengan Rafiq dua hari lalu,”
tutur Abang Irfan, ketika itu aku sedang mengeluarkan beberapa helai pakaian
dari dalam beg.
Aku tersentak. Seperti ada bencana yang bakal meletup rasanya. Tangan
yang menggenggam pakaian, terhenti kala Abang Irfan melontarkan berita tajam
itu ke pengetahuanku. Justeru, menikam hatiku.
“Abang jangan naik main-main dengan Dhia. Dhia dah kata Dhia tak
nak. Dhia tak sudi. Dhia benci Aqil Rafiqin. Tolonglah, jangan buat lawak bodoh
begini dengan Dhia. Dhia tak suka,” tempikku, menyeringai memandang Abang Irfan
yang muncul di depan pintu bilikku. Dia menapak beberapa langkah ke hadapanku.
Samsung Galaxy Tab 10.1 kepunyaan anak saudaraku itu, disua ke mukaku.
“Abang tak main-main. Ini rakaman video majlis akad nikah pagi
tadi,” luahnya, sambil menekan butang ‘play’
pada rakaman video. Seketika, bait-bait perkataan ijab kabul terucap satu per
satu daripada bibir ayahku dalam siaran video itu. Semakin luluh jantungku saat
namaku dititikan dari mulutnya. Disahkan oleh Abang Irfan dan pak cikku. Juga saudara-mara
yang aku kenali. Malah disaksikan oleh beberapa orang kampung, di rumah
nenekku.
Seram sejuk tubuhku. Ada suatu rasa asing yang menjalar di
perutku. Seakan menambahkan ketakutan dalam hatiku. Menggeletar seluruh
tubuhku. Aku terduduk di birai katil. Baju yang aku genggam, terlepas daripada
tangan.
“Abang…apa abang buat ini? Kenapa ayah buat begini?” bergetar
suaraku. Berdoa sangat-sangat ini hanya permainan abangku. ‘Ya Allah,
sesungguhnya aku tidak rela diperlakukan sebegini. Janganlah Kau uji aku
sehebat ini.’
“Abang tak ada pilihan. Dhia paksa kami ambil tindakan ini.
Sekarang, Dhia sudah menjadi isteri Rafiq yang sah,” tukas Abang Irfan.
Benar-benar menghentak hatiku. Sehingga aku rasa bagai dipenyek. Dikhianati
oleh abang sendiri. Dilukai oleh ayah sendiri.
“Tidak! Ayah tak boleh tentukan hidup Dhia. Abang tak boleh buat
Dhia begini. Dhia tak sanggup. Bukan Rafiq, bang. Tolonglah,” rayuku, sudah
disaluti sendu. Air mata menitis laju. Belum sempat bertakung di kolam mata.
Berderai gugur melepasi pipi.
“Ini untuk kebaikan Dhia juga,” nada suara Abang Irfan mengendur.
Memujuk rayu. Bahuku disentuh lembut.
Tak semena-mena, aku bangkit. Tangannya aku tepis. Air mata aku
seka kasar sekali. Wajah sayu tadi sudah semakin tegang. Sama tegang dengan
suaraku yang melaung tinggi sekali.
“Tidak! Dhia bencikan Rafiq. Abang tahu Dhia bencikan Rafiq. Abang
tahu apa yang Rafiq dah buat pada Dhia. Kenapa abang masih nak tegakkan dia? Ayah
takkan bertindak begini kalau abang tak desak dia. Ayah takkan memihak
keputusan abang dan menyisihkan perasaan Dhia. Tidak, bang….jangan buat Dhia
begini”
“Dhia…kami tiada pilihan lain. Rafiq yang bertanggungjawab…”
“Tapi Dhia ada pilihan. Dhia pilih Zarul. Bukan Rafiq!” sanggahku,
lantang dan membuat anak mata abang Irfan mengecil tiba-tiba.
Keningnya bertaut. Seolah-olah menuntut penjelasan daripadaku.
“Balik-balik Zarul. Zarul bukan pilihan yang tepat, Dhia. Zarul…”
“Zarul cintakan Dhia. Zarul banyak berbudi pada Dhia. Zarul faham
keadaan Dhia. Apa kurangnya Zarul?” tekanku, mendesak pengertian abangku. Walau
aku tahu semuanya sudah terlambat pun.
“Rafiq juga cintakan Dhia. Rafiq dah janji dengan arwah emak. Dah
janji dengan ayah dan abang,” tekan Abang Irfan, terus-terusan mendesakku.
“Sebab tu, abang paksa Rafiq?” soalku, menyinga. “Lupakanlah janji itu, bang. Dhia tak paksa
Rafiq menggalas janji,” aku merayu bersungguh-sungguh. Hatiku sebal tidak terkata.
Wajah sugul Rafiq lapan belas tahun dahulu menampar-nampar hatiku.
Air mata Rafiq lapan belas tahun lalu, melemaskan kasih yang bermukim sejak
mengenali lelaki itu. Kata-kata janji yang diikrarkan lapan belas tahun dahulu,
mencampak jauh janjiku sendiri. Sehingga aku matikan hati. Sehingga aku
buntukan akal. Sehingga aku pasungkan kebencian dalam hati ini. Bersemadi kuat
di sanubari. Untuk lelaki bernama Aqil Rafiqin.
“Hutang budi tidak memaksa Dhia membalasnya dengan perkahwinan,”
tentang Abang Irfan, tetap berdegil dan tak mahu kalah.
“Itu lebih baik daripada berkahwin dengan lelaki yang merosakkan
hidup Dhia,” tegasku, membuat Abang Irfan menggeleng laju.
Seketika, Abang Irfan menghela nafas berat. Mencampakkan Samsung
Galaxy Tab 10.1 tadi ke atas katilku, lalu memasukkan semula pakaian yang telah
aku keluarkan ke dalam beg yang sedia ternganga sedari tadi. Anak mataku
membuntang. Hatiku sudah ditepuk-tepuk rasa seram.
“Sudah… tak perlu keluarkan pakaian Dhia. Ambil dan bawa turun.
Rafiq ada di bawah. Ikut dia balik ke rumahnya,” bicara Abang Irfan sambil
menutup zip beg pakaian beroda dua berwarna coklat di atas katilku. Abang Irfan
sudah berpaling menghadapku. Beg diletakkan di lantai. Wajahnya garang sekali.
Tampak bersungguh-sungguh mahu menyerahkan aku kepada Aqil Rafiqin.
“Tidak! Dhia tak percaya. Dhia takkan terima dia sebagai suami.
Lupakan sahaja niat abang itu.”
Aku turut menyeringai, memanah ke dalam matanya. Tubuh Abang Irfan
aku tampar-tampar dengan telapak tangan. Marah sungguh hatiku. Pedih sekali
jiwaku. Sampai hati abang sendiri memperlakukan aku sebegini rupa. Ibarat
‘menjual’ adik sendiri.
“Dhia!” jerkah Abang Irfan pula seraya merembat tanganku. Menarik
sehingga tubuhku mengikut langkahnya keluar dari bilik.
Aku tidak mahu mengalah. Aku berpaut pada dahan pintu. Abang Irfan
melepaskan genggaman seketika. Mengambil beg pakaian aku. Juga sebuah beg kecil
di tepi pintu yang sudah lama siap dikemaskan. Abang Irfan meluru keluar ke
beranda bilik, dicampakkan kedua-dua beg itu ke bawah. Aku yakin mendarat
betul-betul di ruang tamu tingkat bawah. Berdentum kala kedua-dua beg itu
menyentuh lantai.
Abang Irfan berpaling semula padaku. Saat dia menapak lalu
memegang kejap pergelangan tanganku, aku menggelupur semakin hebat. Dadanya,
tangannya, bahunya, malah kepalanya juga aku tampar dan hentak dengan kedua-dua
tanganku. Mengalirkan seluruh tenagaku. Namun, aku akur pada kudrat abangku
yang paling gagah. Manakan tidak, abangku seorang peninju sambilan.
“Lepaskan Dhia. Dhia tak nak ikut, bang. Dhia tak nak. Biar Dhia
mati. Dhia tak mau hidup dengan Rafiq,” rintihku tak habis-habis walau Abang
Irfan sudah mengheret tubuhku dan kaki terhuyung-hayang mengikut langkahnya
menuruni tangga ke tingkat bawah rumah teres dua tingkat kepunyaan abangku ini.
Sampai sahaja di anak tangga hujung sekali, abang tolak tubuhku
sehingga melayang dan jatuh betul-betul di tengah-tengah ruang tamu. Tangisku
berselerakan. Sakitnya pergelangan tangan sikit pun tak terasakan. Perit lagi
kesakitan dalam hatiku.
“Kenapa abang sanggup ‘jual’ Dhia begini? Apa salah Dhia pada
abang? Kenapa sampai begini sekali benci abang pada Dhia? Dhia tak rela!”
jeritku bukan kepalang. Memuntahkan segala kesal terhadap satu-satunya abang
yang aku ada. Perasaan benci membuak-buak. Pada saudara kandung sendiri.
“Abang lakukan ini kerana inilah satu-satunya jalan untuk Dhia
bersatu dengan Rafiq,” balas Abang Irfan yang termengah-mengah, bersandar pada
tiang di hujung anak tangga rumah. Matanya galak menikam ke dalam mataku.
Aku yang masih terduduk di lantai dengan air mata yang bercucuran,
perlahan-lahan mengangkat muka, mengamati sekeliling. Anak mataku galak menujah
ke segenap penjuru dan menikam pandang pada setiap mata yang merenung.
Saat anak mataku terpandangkan ayah di ruang tamu, seluruh
kudratku menjulang-julang. Lalu, aku meluru mendapatkan ayah yang
tertunduk-tunduk, tidak bersedia berdepan dengan rayuanku.
“Ayah, apa yang ayah buat ni? Tolong Dhia, ayah. Cakap ini semua
lakonan sahaja. Dhia tak rela, ayah. Jangan buat begini pada Dhia.” Rayuanku
bagai tidak dipeduli. Tempurung lutut ayah aku goyang-goyang. Kaki ayah aku
patut. Tangisan aku tidak dapat aku sembunyikan lagi. Anak mataku lelah
menentang ruang mata ayah yang kelihatan resah.
“Dhia…jangan ikutkan perasaan, nak. Tenangkan hati dulu. Biar
Irfan buat ini, untuk kebaikan Dhia juga,” balas ayah, sekadar mengusap lembut
kepalaku.
Aku menggeleng keras. Masni dan Mak Long Bibah yang berada di sisi
ayah kelihatan tidak berdaya juga. Aku tahu, tidak guna merayu kepada mereka
berdua. Apatah lagi lelaki seorang itu. Yang kononnya bersedia menerima aku ke
dalam hidupnya.
Abang Irfan sudah mendekatiku tanpa sedar. Pergelangan lenganku
dipegang kejap. Diangkat dan ditegakkan tubuh ini. Sehingga aku berdiri
betul-betul di atas tapak kakiku sendiri.
“Lepaskanlah Dhia, bang. Jangan buat Dhia begini. Dhia tak mahu!”
pintaku, merayu belas ikhsan daripadanya. Saat anak mata aku kembali memaut
simpati ayah. Malangnya, ayah hanya memandang kosong dengan jiwa yang penuh
rela melepaskanku.
“Irfan!”
Abang terdiam. Genggaman tangannya terlepas. Saat itu, aku
berpaling. Pada satu-satunya lelaki yang telah merosakkan hidupku.
“Jahanam! Kenapa kau buat aku begini? Kau tak habis-habis
menyusahkan aku!,”
“Dhia! Rafiq suami Dhia sekarang. Dhia tak boleh cakap begitu.”
“Aku tak peduli. Kau jangan harap aku akan ikut kau balik. Jangan
harap aku terima kau sebagai suami. Aku rela mati! Kau tahu tak? Aku sanggup
mati sekarang juga daripada hidup dengan kau! Lelaki keparat!”
Aku tak berhenti menjerit, meraung dan merintih. Air mata tak
putus-putus mengalir. Tubuh Aqil Rafiqin aku pukul dengan seluruh tenagaku yang
masih bersisa. Sedikit pun tidak membuat dia terkutik. Setelah tenagaku kendur,
dia pegang kedua-dua tanganku. Tidak mahu membiarkan aku merebahkan diri. Sebab
tika dan saat itu, aku rasakan dunia sudah berputar ligat sekali. Aku memang
mahu mati!
Sesaat, tubuh aku direbahkan di sofa panjang. Entah bila dan
bagaimana, aku kurang pasti. Aku lelah melawan mereka. Tenagaku turut
mengkhianati perasaan sendiri. Aku lihat Mak Long Bibah mengesat peluh di
mukaku. Abang Irfan dan Rafiq sedang berbincang sesuatu, hampir denganku.
“Irfan, biarlah dulu. Biar Dhia tinggal dengan Irfan dulu,” putus
Rafiq, sesekali mengerling padaku. Aku tidak boleh bersuara lagi. Terasa semput
dadaku. Namun, sedaya-upaya aku cuba duduk. Tangan Mak Long Bibah aku tolak,
walaupun tidak sekasar mana.
“Rafiq, ini bukan caranya…”
“Saya tahu Irfan. Tapi, buat masa ini, biarlah dulu. Biar Dhia
berfikir dengan tenang. Berita ini mungkin terlalu drastik baginya. Saya pun
sudah menjangkakan Dhia akan bersikap begini,” tukas Rafiq, menerima ketentuan
ini.
“Percayalah Rafiq, ini bukan caranya. Kalau kau berlembut dengan
dia, Dhia akan pijak kepala kau nanti. Dhia akan lebih keras. Masa tu, aku pun
tak boleh nak tolong kau lenturkan dia lagi.” potong Abang Irfan yang
benar-benar mendesak Rafiq.
“Aku tak mahu memaksa,” lirih suara itu hampir membuat aku
tersenyum mengejek.
“Kalau kau tak mahu memaksa, kenapa kau setuju kahwin dengan aku?
Kau memang suka paksa aku, kan?” sempat aku lontarkan rasa kurang senang itu
walau sekadar berbisik. Nafasku turun naik. Marahku masih belum bertepi.
Kebencian ini masih belum berakhir. Walaupun, dia tidak memaksaku lagi untuk
balik bersamanya.
“Dhia…” Tuturnya terhenti kala aku tak memberi peluang langsung.
“Atau kau memang nak balas dendam sebab abang paksa kau berjanji
dulu. Cakap dengan aku. Apa sebab kau kahwin juga dengan aku walaupun aku tak
sudi? Kau lelaki dayus!” jerkahku. Sekadar dibalas dengan helaan nafas yang
maha berat olehnya.
Tiba-tiba suara seseorang meraung, membuat aku tersentak lagi. Aku
angkat muka, dan lututku sudah basah dihujani air mataku. Sekali lagi, suara
tangis Mak Long Bibah mengembalikan ingatanku kepada nenek. Pada apa yang baru
berlaku sebentar tadi. Terlupus cepat-cepat cerita dua tahun lalu dari benak
memoriku.
Suara rintihan Mak Long Bibah, mengundang debar yang kurang senang
dalam hatiku. Serta-merta aku bangkit. Bergegas menuju ke bilik nenekku. Sebaik
sahaja tubuhku muncul di depan pintu bilik, aku lihat Rafiq sudah menutup habis
tubuh nenek. Ketika aku berlaga dengan mata abangku, pantas dia menggeleng.
Seakan memberitahuku yang nenek sudah tiada lagi.
Serta-merta aku lari memdekati tubuh nenek. Aku rebahkan tubuhku
rapat di sisi nenek. Janganlah bergurau begini, pinta suara di dalam hatiku.
Selimut yang menutup penuh tubuhnya, aku tarik dengan tangan yang
terketar-ketar. Tiada siapa pula yang mahu melarang aku. Aku tumpahkan
pandangan sayu penuh kesal pada wajah nenek.
Lama begitu, sehingga air mataku mengalir lagi tanpa henti. Rafiq
menarik semula selimut agar menutup wajah pucat nenek, tetapi aku keraskan
pegangan. Sebaliknya, aku tarik semula selimut itu. Belum puas menatap wajah
nenek. Lalu, aku kucup dahinya yang sudah mula membeku. Seiring dengan esak
tangisku. Sudah bergema, memenuhi ruang sempit bilik nenek.
“Nek, ampunkan Dhia nek,” laungku, bersama sesal yang takkan
pernah putus.
Aku tahu itu. Kesal menyakiti hati nenek. Di saat akhir
kehidupannya, aku sudah mula menjauhkan diriku dari nenek. Tidak sekali pun aku
mahu menjenguk nenek lagi. Nenek yang paling aku kasihi. Nenek yang aku tahu
kasihnya tidak pernah berbelah bagi. Tapi, sayangnya padaku, melebihi
cucu-cucunya yang lain.
“Nek, Dhia minta ampun, nek. Ampunkan Dhia, nek” rintihku, semakin
hiba sungguh.
Pilu dan luluh hatiku tika mendakap tubuh nenek yang sudah sejuk
dan membeku. Semakin bergema esak tangisku. Sehingga akhirnya, ayah sudah
menarik tubuhku. Menjauh daripada mayat nenek. Sedangkan saudara-mara yang
lain, sudah mula membanjiri bilik kecil itu.
Aku duduk di satu sudut, menangisi pemergian nenek bersulamkan
sesalan yang aku tahu takkan pernah surut di dasar hatiku ini. Hanya kerana
lelaki yang sangat-sangat aku benci itu. Aku sisihkan nenek dari hidupku.
Sehingga aku tidak dapat berkorban untuk ke terakhir kalinya. Demi kasih
seorang nenek.
Saat aku angkat muka, Rafiq sudah tiada di dalam bilik kecil itu. Hatiku
tidak berhenti-henti mencemuh. Nasib baiklah dia sudah cabut diri. Untuk yang
satu ini lagi, aku tidak akan memaafkan Rafiq sampai bila-bila pun. Sehingga
nenek menghembuskan nafasnya, aku tetap kukuh dengan pendirianku. Nenek tidak
temui ketenangan kerana kedegilan lelaki itu yang mahu terus-terusan merencana
hidupnya denganku. Semuanya gara-gara Aqil Rafiqin.
No comments:
Post a Comment