Hampir setahun Hail Rayyan membantu
di kedai jahit. Semua kerja jadi mudah. Hail Rayyan bukan sahaja menjadi tulang
belakang untuk kerja-kerja lelaki walau dalam usia belasan tahun. Bahkan, Hail
Rayyan memiliki keunikan yang lain. Matanya terlalu cepat meneliti. Dia sangat
terperinci dan dengan mudah juga boleh menerima tunjuk ajar yang diberikan
Amiera.
Liza Wati juga sangat menyenangi
kehadiran Hail Rayyan. Bukan sahaja dia ada teman lain untuk dibuli, tapi kawan
untuk bergurau senda. Maklumlah, kerja sebagai tukang jahit ni memerlukan
ketelitian yang tinggi. Jadi, fikiran mudah stres dan jiwa terabai.
Amiera mula memasang angan. “Kalau
kita dapat tempahan dari butik Sutra De’ Wangi tu, aunty nak tambah pekerja. Nak besarkan kedai ni. Nak…”
“Nak naikkan gaji saya, kan aunty.” Hail Rayyan sengih lagi.
Amiera sengaja menduga. Senyuman di
wajahnya mati mendadak. “Kau nak buat apa dengan gaji banyak sangat, Hail? Baju
yang aunty suruh beli, kau tak
beli-beli. Balik-balik, baju dua pasang tu juga yang kau gilir-gilirkan. Mana
pergi duit gaji kau bulan lepas? Aunty
tak nampak pun kau belanja?”
Hail Rayyan sengih lebar. Dia tatap
Liza Wati yang sedang mengayuh mesin jahit dengan senyuman yang tertahan-tahan.
“Liza, kau tahu apa yang Hail Rayyan
buat dengan duit gajinya?” Amiera berasakan kedua-dua pembantunya itu sedang
menyembunyikan sesuatu yang dia tak tahu.
“Tak tahu kak.” Laju betul Liza
Wati menafikan. Nampak sangat dia tak pandai berbohong.
Hail Rayyan tergelak apabila muka
Liza Wati jadi pucat apabila Amiera membeliakkan mata.
“Hail suruh saya simpankan duit
dia.” Dia akhirnya berterus-terang.
“Untuk apa nak simpan? Nak beli
baju pun tak cukup. Nasib baik makanan akak yang sediakan. Kalau tak,
berlaparlah kamu dua orang.”
“Ehhh, akak janganlah kaitkan saya.
Dalam hal ni saya sekadar nak tolong budak kecil ni mencapai angan-angan dia.”
“Angan-angan apa pula?” Amiera
berminat nak tahu.
Hail Rayyan terteleng-teleng.
Berharap Liza Wati tidak membocorkan rahsia itu.
“Dia…dia…” Liza tenung Hail Rayyan
yang sedang merayu dengan renungan mata sayu. Liza Wati tidak peduli. “Dia nak
jadi wartawan.” Liza Wati menarik nafas lega. Rahsia itu satu beban yang telah
dilepaskan.
Tapi, Amiera masih bingung. “Apa
kaitan gaji dia dengan wartawan.”
“Aunty…” Hail Rayyan berasa dia
patut berterus-terang juga. Rahsia pun dah bocor. “Saya nak beli kamera besar
yang hitam, boleh zoom sampai dekat dan cetak gambar jelas sangat.”
Hail Rayyan senyum. Suatu hari
nanti dia akan kejar impian itu sehingga jadi nyata.
“Ohhh, kau nak jadi wartawan yang
pegang kamera?”
Hail Rayyan angguk.
Pada ketika Amiera mahu menjelaskan
sesuatu, tiga orang lelaki asing masuk ke dalam kedai jahitnya, bersama parang
panjang dan sebilah sabit. Amiera teguk air liur manakala Liza Wati dan Hail
Rayyan diarah ke belakang kedai.
Ketiga-tiga lelaki yang berterampilan seperti
samseng menghentak dinding dan mula merosakkan barang kedai.
No comments:
Post a Comment