Saturday, 23 July 2016

PLEASEEE...Prolog 2



Dia sengaja datang awal. Berpapan-papan pula kain yang perlu dipunggah turun dari but keretanya. Dia kepenatan. Sedang dia asyik memutar kunci untuk dua biji mangga dan dinding besi yang menjadi pintu kedai jahit miliknya, seorang kanak-kakak menjengah ke dalam but kereta.
Wanita 30-an itu sempat mengintai dan berpaling segera. Khuatir rupanya. Diperhati kanak-kanak itu dengan ekor matanya sambil tangan masih menekuni kunci.
“Banyak aunty beli kain hari ni,” tegur kanak-kanak itu dengan senyuman manis.
Dia segera mengukir senyuman balas. Bimbang jika dia berlagak sombong, kanak-kanak itu boleh bertindak liar. Memandang kepada penampilan dia yang hanya berseluar lusuh dan koyak di bahagian bawah. Berselipar jepun dengan tapak yang nipis di bahagian belakang kakinya. Baju pula walaupun tidak berbau, tetapi nampak tidak berbasuh sekian lama.

Hanya mukanya sedikit bersih. Matanya bercahaya. Manakala badannya terlalu cengkung.
“Semalam aunty bawa tiga papan warna biru ni. Dah habis ke? Kenapa aunty beli baru lagi? Lima papan pula ni.” Kanak-kanak itu menunjuk ke dalam but kereta.
Dia yang telah selesai membuka pintu kedai jahit dengan jayanya, semakin tertarik kepada kanak-kanak itu.
“Awak perasan saya bawa apa semalam?”
“Tentulah aunty. Kat kawasan ni, hanya aunty seorang sahaja yang ada kedai jahit. Walaupun saya tak nampak aunty, tapi saya nampak tiga papan ni ditinggalkan depan kedai ni semalam. Tak de orang jaga. Saya tolonglah sekejap.”
“Allahu Akhbar.” Dia terpempam. Dalam hati dia mahu menyumpah. Ini semua kecuaian Liza Wati. Tidak fikir panjang langsung. Katalah kalau-kalau ada orang bawak lari kain yang dibeli dengan segala wang ringgit yang diusahakan sejak berbulan-bulan ini? Macam mana?
“Terima kasihlah adik. Ehhh, anak….” Ya, budak itu tentu sahaja tidak jauh beza usianya berbanding Adila.
“Nama anak ni siapa?”
“Saya?” Dia sengih pula. “Hail…Hail Rayyan, aunty.” Bangga tu. Sebut nama pun ulang-ulang.
“Nama aunty pula siapa?” Hail Rayyan yang ketika itu berusia 12 tahun pandai betul berbasa-basi.
“Nama aunty, Amiera…Amiera Syuhada.”
“Ohhh…” bukan setakat nadanya yang panjang. Sengihan juga bertali arus.
“Kenapa?” Amiera tertanya-tanya.
“Patutlah nama kedai jahit aunty tu Dewi Amiera. Kalau aunty ni Amiera, Dewi tu siapa pula.”
Amiera tersentap. Rindu kembali menjengah lagi. Namun, saat rasa hiba itu mahu membelit kecintaannya, dia segera tarik nafas panjang.
Wajah Hail Rayyan ditatap sungguh. “Ha, itu rahsia. Kalau nak tahu, tolong aunty angkat kain ni masuk kedai.”
Hail Rayyan suka sangat. “Ada upah tak, aunty?” Dia sengih panjang tapi malu-malu.
“Upah hanya akan diberikan kalau Hail sudi bekerja di kedai aunty ni. Part time pun tak kisahlah.” Amiera memberi cadangan sambil mengamati penampilan Hail Rayyan.
Part time buat apa, aunty. Hail akan kerja seumur hidup untuk aunty. Kalau aunty nak lah.” Dia bukan sahaja teruja sangat tetapi bersyukur sangat-sangat.
Tak semena-mena, perut Hail Rayyan berbunyi kuat. Bertalu-talu pula. Ketika itu, barulah Amiera sedar bahawa anak muda itu pasti sedang kelaparan. Hail Rayyan malu tiba-tiba.

No comments:

Post a Comment