“Ayahhh…” Sufi berpaut dengan
seluruh tenaga yang ada.
Kaki Bahrun terkunci. Dia bertambah
geram. Kemarahan membuak-buak. Di sebelah kanan Sufi Alisha dan di sebelah kiri
pula Adila Ariekin. Dua-dua anak kesayangannya. Dua-dua jantung hatinya. Kalau
seorang itu intan, seorang lagi adalah permata. Tetapi, kenapa…?
Arghhh! Kenapa Adila terlalu degil?
Kenapa pula Sufi tak boleh nak faham?
“Ayah bukan nak kau mati. Ayah nak
kau kahwin saja. Ayah tak mahu dituduh manusia tamak! Lelaki perampas. Dewi
Amiera itu bukan milik ayah. Kenapa kamu tak faham-faham?” jerkah dan pekikan
bersilih ganti.
Rambut yang separuh beruban diramas
sekasar-kasarnya. Menumpahkan segala kekusutan dan kemarahan yang terpendam.
Adila Ariekin menangis
teresak-esak. Ayahnya tidak faham. Dalam usia 22 tahun, dia terlalu muda untuk
berumahtangga. Ini kan pula menjadi isteri kepada lelaki yang baru muncul dan
mengaku saudara?
Tidak! Adila tidak sanggup.
“Tolonglah ayah. Dila tak nak
kahwin. Dila nak jadi model, ayah. Tolonglahhhh,” sendu bertaburan. Mengiringi
rayuannya.
Bahrun, dia bukan sengaja
membatukan hati. Meleburkan kasihnya sebagai seorang ayah. Tapi, dia lelaki
yang tahu berterima kasih. Walau cinta itu telah lama dia campakkan dan membawa
diri.
“Sudah! Jangan nak merayu lagi.
Keluar dari rumah ni. Jangan balik lagi. Ayah tak mengaku kau anak!”
“Ayahhhh….jangan buang kakak, ayah.
Kasihani kakak, ayah. Kasihanilah Sufi. Kalau ayah buang kakak, Sufi tiada
sesiapa lagi.”
“Argh! Kau jangan masuk campur,
Sufi. Atau kau nak ayah halau kau sekali dari rumah ni. Sudah!” Bahrun
menyentak kakinya kasar. Adila tertolak.
Tangan Sufi dirembat dan ditolak.
Tubuh Sufi jatuh menghempap lantai. Meski dia berdua dengan Adila Ariekin,
tetapi kekuatan ayahnya sangat hebat. Sekali tolak sahaja, tubuh Sufi melayang.
Belum sempat Sufi bangkit, Bahrun
merentap tangan Adila pula. Bersama keazaman yang kental, tangan itu ditarik
sekuat hatinya. Sekali layang sahaja, Adila terhumban ke pintu yang sedikit
terbuka.
“Ayahhh! Ampunkan Dila. Jangan
hukum Dila begini. Ayahhhh…tolonglah ayah.” Rintihan tidak pernah berakhir.
“Kakakkkk…” Sufi meluru, mahu
mendakap Adila apabila di pertengahan langkahnya terhadang. Bahrun merentap dan
memeluk badan Sufi sebelum menghumban semula ke arah yang bertentangan.
Adila jadi berang. Bengang dengan
tindakan ayahnya yang tiba-tiba sahaja hilang peri kemanusiaan.
“Apa yang ayah buat ni? Ayah tak
patut halau Dila begini. Dila tak salah, ayah! Dila nak jadi model. Itu
cita-cita Dila. Dila takkan kahwin dengan sesiapa pun. Apatah lagi dengan
lelaki berparut tu!” Suara Adila Ariekin sama tinggi dengan Bahrun. Kali ini,
Adila kesat air mata yang mengalir.
“Apa yang kau dapat dengan jadi
model, ha? Ayah nak berikan Dewi Amiera kepada kau. Itu lebih besar maknanya
daripada jadi model.”
“Tidak! Itu namanya jual anak!”
Adila rasa dia wajar mempertahankan impiannya. “Ini namanya sistem barter. Dila
tak gilakan Dewi Amiera. Dila tak mau itu semua. Lebih-lebih lagi yang
berkaitan dengan Amiera. Dila benci benci benci! Dila nak nama Dila sendiri.
Bukan Dewi Amiera atau Hail Rayyan.” Sekerlipan pun Adila tidak berganjak
daripada kebenciannya selama ini.
Kesabaran Bahrun lebur. Dia menapak
mara sehingga ke depan pintu. Berdiri di depan Adila yang ternyata tidak akan
berubah pendirian itu, mencakar-cakar egonya sebagai seorang ayah.
“Kalau kau nak nama, pergi dari
sini. Aku bukan ayah kau. Rumah ini bukan rumah kau. Dewi Amiera bukan hak
kau.”
“Ayah!” Sufi terpelanting suara.
Darah mendingin. Saat itu, kehilangan yang tidak pernah dirasai membungkus
jiwanya. Menikam ulu hatinya. Sehingga dia berasa sesak nafas.
Sementelah Adila pula mengesat air
mata yang merosakkan solekannya. Dia lempar pandangan tajam kepada Bahrun yang masih
menyinga dan ternyata tak akan pernah padam. Wajah lelaki awal 40-an itu diteleknya.
Panahan mata setajam pedang pula menikam ke dalam mata Sufi yang kini berada di
belakang ayahnya. Adila sedar, ayah takkan mengalah. Seperti dahulu, sejarah
berulang kembali. Semuanya kerana Amiera dan Sufi Alisha.
Sufi beliakkan mata ketika Adila
pejam mata rapat-rapat sebelum hela nafas berat. Bimbang dengan perkara yang
terbayang di fikirannya, Sufi segera berpaut pada kaki ayahnya. Merayu untuk
terakhir kalinya.
“Tolonglah ayah. Jangan halau
kakak. Kasihanilah kakak, ayah. Kasihanilah Sufi. Biar Sufi ganti tempat kakak.
Biar Sufi kahwin dengan Hail Rayyan. Sufi sanggup, ayah. Tapi tolonglah ayah,
jangan halau kakak.”
Rayuan dan rintihan Sufi sudah tidak
bermakna. Adila sudah tiada di depan pintu. Bahrun menolak tubuh Sufi sebelum
berlalu meninggalkan Sufi terpinga-pinga seorang diri.
Seketika, Sufi bergegas ke muka
pintu. Dan dari jauh, kelibat Adila melangkah meninggalkan rumah itu. Sufi tahu
saat itu. Adila pergi takkan kembali.
“Kakakkk!!!”
Adila…sekali pun tidak menoleh.
No comments:
Post a Comment