Saturday 23 July 2016

PLEASEEE...Prolog 1



“Ayahhh…” Sufi berpaut dengan seluruh tenaga yang ada.
Kaki Bahrun terkunci. Dia bertambah geram. Kemarahan membuak-buak. Di sebelah kanan Sufi Alisha dan di sebelah kiri pula Adila Ariekin. Dua-dua anak kesayangannya. Dua-dua jantung hatinya. Kalau seorang itu intan, seorang lagi adalah permata. Tetapi, kenapa…?
Arghhh! Kenapa Adila terlalu degil? Kenapa pula Sufi tak boleh nak faham?
“Ayah bukan nak kau mati. Ayah nak kau kahwin saja. Ayah tak mahu dituduh manusia tamak! Lelaki perampas. Dewi Amiera itu bukan milik ayah. Kenapa kamu tak faham-faham?” jerkah dan pekikan bersilih ganti.
Rambut yang separuh beruban diramas sekasar-kasarnya. Menumpahkan segala kekusutan dan kemarahan yang terpendam.

Adila Ariekin menangis teresak-esak. Ayahnya tidak faham. Dalam usia 22 tahun, dia terlalu muda untuk berumahtangga. Ini kan pula menjadi isteri kepada lelaki yang baru muncul dan mengaku saudara?
Tidak! Adila tidak sanggup.
“Tolonglah ayah. Dila tak nak kahwin. Dila nak jadi model, ayah. Tolonglahhhh,” sendu bertaburan. Mengiringi rayuannya.
Bahrun, dia bukan sengaja membatukan hati. Meleburkan kasihnya sebagai seorang ayah. Tapi, dia lelaki yang tahu berterima kasih. Walau cinta itu telah lama dia campakkan dan membawa diri.
“Sudah! Jangan nak merayu lagi. Keluar dari rumah ni. Jangan balik lagi. Ayah tak mengaku kau anak!”
“Ayahhhh….jangan buang kakak, ayah. Kasihani kakak, ayah. Kasihanilah Sufi. Kalau ayah buang kakak, Sufi tiada sesiapa lagi.”
“Argh! Kau jangan masuk campur, Sufi. Atau kau nak ayah halau kau sekali dari rumah ni. Sudah!” Bahrun menyentak kakinya kasar. Adila tertolak.
Tangan Sufi dirembat dan ditolak. Tubuh Sufi jatuh menghempap lantai. Meski dia berdua dengan Adila Ariekin, tetapi kekuatan ayahnya sangat hebat. Sekali tolak sahaja, tubuh Sufi melayang.
Belum sempat Sufi bangkit, Bahrun merentap tangan Adila pula. Bersama keazaman yang kental, tangan itu ditarik sekuat hatinya. Sekali layang sahaja, Adila terhumban ke pintu yang sedikit terbuka.
“Ayahhh! Ampunkan Dila. Jangan hukum Dila begini. Ayahhhh…tolonglah ayah.” Rintihan tidak pernah berakhir.
“Kakakkkk…” Sufi meluru, mahu mendakap Adila apabila di pertengahan langkahnya terhadang. Bahrun merentap dan memeluk badan Sufi sebelum menghumban semula ke arah yang bertentangan.
Adila jadi berang. Bengang dengan tindakan ayahnya yang tiba-tiba sahaja hilang peri kemanusiaan.
“Apa yang ayah buat ni? Ayah tak patut halau Dila begini. Dila tak salah, ayah! Dila nak jadi model. Itu cita-cita Dila. Dila takkan kahwin dengan sesiapa pun. Apatah lagi dengan lelaki berparut tu!” Suara Adila Ariekin sama tinggi dengan Bahrun. Kali ini, Adila kesat air mata yang mengalir.
“Apa yang kau dapat dengan jadi model, ha? Ayah nak berikan Dewi Amiera kepada kau. Itu lebih besar maknanya daripada jadi model.”
“Tidak! Itu namanya jual anak!” Adila rasa dia wajar mempertahankan impiannya. “Ini namanya sistem barter. Dila tak gilakan Dewi Amiera. Dila tak mau itu semua. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan Amiera. Dila benci benci benci! Dila nak nama Dila sendiri. Bukan Dewi Amiera atau Hail Rayyan.” Sekerlipan pun Adila tidak berganjak daripada kebenciannya selama ini.
Kesabaran Bahrun lebur. Dia menapak mara sehingga ke depan pintu. Berdiri di depan Adila yang ternyata tidak akan berubah pendirian itu, mencakar-cakar egonya sebagai seorang ayah.
“Kalau kau nak nama, pergi dari sini. Aku bukan ayah kau. Rumah ini bukan rumah kau. Dewi Amiera bukan hak kau.”
“Ayah!” Sufi terpelanting suara. Darah mendingin. Saat itu, kehilangan yang tidak pernah dirasai membungkus jiwanya. Menikam ulu hatinya. Sehingga dia berasa sesak nafas.
Sementelah Adila pula mengesat air mata yang merosakkan solekannya. Dia lempar pandangan tajam kepada Bahrun yang masih menyinga dan ternyata tak akan pernah padam. Wajah lelaki awal 40-an itu diteleknya. Panahan mata setajam pedang pula menikam ke dalam mata Sufi yang kini berada di belakang ayahnya. Adila sedar, ayah takkan mengalah. Seperti dahulu, sejarah berulang kembali. Semuanya kerana Amiera dan Sufi Alisha.
Sufi beliakkan mata ketika Adila pejam mata rapat-rapat sebelum hela nafas berat. Bimbang dengan perkara yang terbayang di fikirannya, Sufi segera berpaut pada kaki ayahnya. Merayu untuk terakhir kalinya.
“Tolonglah ayah. Jangan halau kakak. Kasihanilah kakak, ayah. Kasihanilah Sufi. Biar Sufi ganti tempat kakak. Biar Sufi kahwin dengan Hail Rayyan. Sufi sanggup, ayah. Tapi tolonglah ayah, jangan halau kakak.”
Rayuan dan rintihan Sufi sudah tidak bermakna. Adila sudah tiada di depan pintu. Bahrun menolak tubuh Sufi sebelum berlalu meninggalkan Sufi terpinga-pinga seorang diri.
Seketika, Sufi bergegas ke muka pintu. Dan dari jauh, kelibat Adila melangkah meninggalkan rumah itu. Sufi tahu saat itu. Adila pergi takkan kembali.
“Kakakkk!!!”
Adila…sekali pun tidak menoleh.

No comments:

Post a Comment