Wednesday 12 October 2016

MADNESS-Bab 1



Heeeyaaaakkk!!!!
Gigi berlaga, atas dan bawah. Urat saraf berwarna hijau terjojol di atas lengan. Membukit. Mukanya dah merah, terbakar dari dalam tapi berbekalkan seluruh tenaganya masih juga tidak mampu menumpaskan kekentalan pintu besi berlapis-lapis yang menjadi penghadang laluannya.
Heeeyaaakkk!!!!
Sekali lagi dia bermati-matian. Dengan hembusan nafas dan jampi serapah yang meluap-luap, Nadeera menggepal tenaganya. Memulas dan menarik pintu besi sampaikan nak tercabut seluruh urat dalam badannya. Macam orang sembelit pun ada. Sampai nak termuntah Nadeera dibuatnya.
Pintu besi bergegar sahaja, tapi tidak tertolak walau seinci pun. Nasib baiklah dia di belakang restoran. Tak adalah sesiapa yang menjadi saksi kegagalan.
Nadeera tenung pintu besi tu macam nak telan hidup-hidup. Mangkuk hayun betullah pintu besi tu. Tak berganjak langsung. Dari semalam Nadeera suruh pekerjanya baiki. Nampak gayanya, masih belum diusik lagi. Buat kerja butalah tu. Mau kena ketuk jer baru jalan. Nadeera dah mula merusuh perasaan. Bengang dengan pintu besi restoran yang sukar dibuka walau mangga telah dicabut.