Friday 13 May 2016

SI HITAM MANIS - Coming Soon




Balik dari sekolah memang memenatkan. Sepatutnya, aku sudah pulang dua jam yang lalu. Malangnya, kerja-kerja menimbun. Bukan setakat marking kertas peperiksaan, pengetua nak laporan juga hari ini. Terpaksalah aku bertahan menyediakan apa yang patut. Telefon yang bordering-dering, akhirnya aku matikan sahaja. Tidak kuasa lagi berbahas dengan mak yang memekak di talian.

Sewaktu aku tiba di perkarangan rumah, dua buah kereta asing sudah memarkir di depan pintu pagar. Menghalang laluanku untuk masuk ke dalam rumah. Terpaksalah kereta myvi kuning yang menyala-nyala warnanya, sama kuning dengan baju kurung berbunga kecil-kecil, aku tinggalkan bersadai di depan pintu pagar jiran sebelah rumah.

Aku melangkah laju menuju ke pintu pagar. Pak Andak yang sedang berada di ambang pintu, terus melambai sebaik sahaja aku memasuki pagar.

“Dah balik pun anak dara bertuah ni. Cepat sini,” laungnya, tidak kesabaran.