Wednesday, 18 April 2018

BUKAN KEKASIH PINGGIRAN - Bab 1

PROLOG (tekan kat bab tu)


Berlari-lari anak meredah hujan dan tanah berlecak, aku tak lepaskan pegangan tangannya. Sesekali dia menoleh, mengawasi diriku yang turut berhujan sepertinya. Tujahan matanya menyimpan rasa simpati yang menggunung. Aku cekalkan hati agar tidak menambahkan kekusutan dalam fikirannya.
Sampai di satu lorong belakang antara dua bangunan teres kedai dua tingkat, kami berhenti sejenak. Tumpang berteduh di bawah bumbung sebuah kedai yang disambung atapnya. Menjadi garaj terbuka untuk kereta memarkir di situ.
“Kau tak apa-apa, Scha?” Dia raup mukanya dahulu, sebelum menguis rambutku yang terkeluar dari tudung bawal. Basah berjuntaian, menutup dahi.
“Tak. Aku okey, Dzal.”
Namanya Dzal Aidi. Hanya aku seorang yang panggil dia dengan nama pertamanya itu. Pemuda yang aku cintai, dari kecil lagi.
Hujan turun dengan lebat. Sesekali percikannya mengena muka. Aku raup dengan sebelah tangan. Meski terkial-kial, aku berusaha untuk bertenang.
Bibir sudah pucat lesu. Badan menggigil kesejukan. Tangan yang aku genggam, aku pereratkan. Cuba meminjam sedikit hangatnya genggaman itu.
"Sejuk?" soalnya, kala berpaling padaku.
Aku geleng kecil. Tak mahu dia bimbangkan keadaanku. Kerana sesungguhnya, dia pun sama sepertiku. Sebenarnya, dia yang terperangkap dalam situasi diriku.
"Sekejap saja lagi. Nanti kita sampai sana," pujuknya, meraut rambutnya yang basah ke belakang. Membiarkan matanya melihat jauh ke dalam mataku tanpa penghalang.
“Dia akan tolong kita?” soalku sedikit bimbang. Bagaimana kalau usaha kami tidak berjaya? Bagaimana kalau selepas bersusah-payah, semuanya sia-sia sahaja.
“Dia akan tolong kita.” Dzal Aidi yakinkan aku. Dalam masa yang sama, meyakinkan dirinya sendiri. Sepicing rasa ragu yang menyelinap di balik sinaran matanya, dia lontarkan ke dada langit. Seakan mahu dibawa pergi oleh titis hujan.
Sempat aku intai kebimbangan yang berlalu sepintas lalu itu.
“Aku takut, Dzal.” Suaraku bergetar. Diiringi air mata yang jatuh dari kelopak mata. Bercampur air hujan dari tudung serentak jatuh ke pipi. Berlumba-lumba turun tetapi sempat meragut perhatian Dzal Aidi kembali padaku.
“Scha?” Dia jadi prihatin. Tangannya laju menyeka air mata yang mengalir itu.
Dadaku jadi sebak. Pipiku jadi balapan air mata. Seakan ada acara pecut di situ. Jari-jemari Dzal Aidi tekun menyeka titis demi titis.
“Jangan nangis, Scha. Doakan kita akan berjaya sampai di sana.”
Aku tahu Dzal Aidi akan usahakan sesuatu agar kami sampai ke sempadan Thailand itu. Masalahnya, apa yang akan berlaku setelah kami sampai di sana? Kami tiada apa-apa melainkan duit dari gadaian rantai leherku tadi. Berapa sangatlah.
“Scha…” tangannya tiba-tiba menongkah daguku. Menatap ke dalam mataku, mencari kepastian dariku.
“Kau percayakan aku, kan?”
“Kalau aku tak percayakan kau, aku takkan pujuk kau lari dengan aku, Dzal.”
Pegun tak berganjak menatap wajahku, tiada keraguan di balik wajah Dzal Aidi kala kata-katanya umpama sumpah keramat bermain-main dalam kepalaku.
“Aku sanggup lakukan apa sahaja untuk kau, Scha. Inikan setakat lari, kahwin dan bina masa depan dengan kau. Bukankah ini yang kita impikan selama ini.”
Aku heret dia dengan rancangan kahwin lari ni. Tidak pernah terfikir dalam benak akalku, tergamaknya aku melukakan hati ibu bapa Dzal Aidi. Orang tua yang aku anggap seperti ibu bapa sendiri.
“Tapi, aku tak mahu lukakan hati orang tua kau. Macam mana kalau pak cik dan mak cik terima berita ni? Mana mereka nak letak muka nanti?”
Aku tiba-tiba panik. Rasa bersalah dan tersepit.
“Shhh! Mereka akan kehilangan aku kalau mereka biarkan kau pergi.” Dzal Aidi lepaskan rasa geram. Kejadian semalam masih segar dalam ruang ingatan kami.
“Aku tak mahu berpisah dengan kau, Dzal. Aku tak mahu ikut nenek…” Aku dah hilang semangat. Ratapan semalam berulang tayang sekali lagi. Dzal Aidi terus sahaja meletakkan kedua-dua tangannya, mencempung pipiku.
“Scha, tiada siapa yang akan memisahkan kita lagi. Sekejapan sahaja lagi, kita akan pergi jauh dari sini.” Dia cuba memujuk hatiku,
Esakku terus berlagu.
Panik, Dzal bawa tangannya terus ke belakang badanku. Spontan, tubuhku dipeluk dengan sebelah tangan. Sebelah tangan pula, mengusap bahuku yang basah.
Menyedari keintiman kami buat pertama kalinya, aku jadi cangkung serta-merta. Esakku tersekat. Tangisanku mengendur. Lalu, malu-malu, aku jarakkan badan.
Dzal Aidi buat-buat tak terkesan. Tapi wajahnya sama sepertiku. Merah menahan malu yang terpercik tanpa sedar. 

BUKAN KEKASIH PINGGIRAN - Prolog


“Dzal…kau tak patut buat ni.” Aku mendesah, walaupun minda dan bibir berlainan kata.
Aku tak boleh hentikan Dzal Aidi. Rindu ini terlalu tebal, dan dia sedang meruntuhkan tembok yang memisahkan kami selama ini.
“Aku tahu, Scha. Tapi, aku rindu…” Suaranya bagai elektrik yang merenjat seluruh tubuhku. Terlupa seketika kepalanya berada di antara dua bukit yang berdenyut-denyut di dadaku. Bibirnya meratah lembah di antara dua gunung itu. Seolah-olah, menyentuh ke dalam hatiku.
Badanku menggeletar. Suaraku berbisik perlahan. Mataku kuyu dan mindaku semakin hanyut dipukau.
“Dzal…” Kepalanya cuba aku tolak tapi dia turun menjalar ke perutku. Kulit di perut bergetar dek kucupan sensual bibir seksi itu.
Asyiknya!
Nikmatnya!
Spontan, minda membandingkan Dzal Aidi dengan lelaki lain yang pernah menyentuhku di situ. Anehnya, tiada yang mampu menandingi kehebatan Dzal Aidi.
Saat itu, aku sedar makna kehilangan yang cuba aku cari selama ini. Rindu itu buat air mataku gugur. Kerana rindu itu seiring dan sejajar dengan kerinduan yang tak tertanggung olehku lagi.
Aku tewas akhirnya. Lemah, kepalaku dijatuhkan menyentuh bantal. Tanganku yang masih dicengkam tangannya, hanya mampu menggenggam cadar.
Aku tahu ini adalah salah.
Aku tahu ini bukan cinta.
Malah, aku tahu apa akan berlaku keesokannya.
Pun begitu, aku sudah hanyut jauh ke dalam asmara rindu yang tiada jalan untuk berpatah balik.
“Aku tahu kau rindukan aku juga, Scha. Aku tahu kau masih cintakan aku.”
Ya, kerana cinta itu aku benarkan tangan dan bibirnya merayap menjelajahi tubuhku. Biar apa pun yang bakal berlaku esok, aku tak mampu menafikan betapa aku mahukan dia malam ini.
Seribu kali aku menolak, sejuta kali tubuhku menjerit kenikmatan. Dan bila kepala Dzal Aidi sudah berada di celah-celah pangkal pahaku, aku mengaum kenikmatan. Tubuhku pun bergerak, seiring dengan tarian Dzal Aidi.
Aku cintakan dia. Sesaat ini, biarlah aku jadi perempuan yang pentingkan diri sendiri.
Untuk sesaat ini, izinkan aku membasuh kerinduan di hati. 

Tuesday, 25 July 2017

SINOPSIS - TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (TMPF)


NO. 1
TAJUK : TANGKAP MUAT PUNYA FASAL
Terbitan : TUAH IDEA SAKTI SOLUTION
ISBN NO : 978-976-13082-2-6
Cetakan : I (Mei 2015), II (July 2015), III (Ogos 2015), IV (Mei 2016), V (September 2016)
Tebal : 396 muka surat (versi asal),  376 muka surat (versi kemaskini)
Keluaran : PRINT ON DEMAND
Harga Asal : RM28.00
Harga Pasaran : RM40.00

SINOPSIS

Ini kisah cinta Naazneen terhadap Arayn. Kisah cinta pandang pertama yang luar biasa. Biar orang kata dia main tangkap muat sahaja berkahwin dengan lelaki kacak, dan ditinggalkan selepas malam pertama, ikatan cintanya tetap kuat. Teguh dan tidak pernah goyah.

Dua bulan dia menanti Arayn kembali, malangnya Arayn tidak pernah pulang. Sedih…seorang isteri yang sedih itu tidak pernah berputus asa. Atas kepercayaan yang kuat, dia menjejaki Arayn dari Kuching ke Kuala Lumpur. Berbekal sekeping kad nama milik suaminya itu.
Niatnya, Naazneen mahukan jawapan. Apa yang berlaku sehingga Arayn pergi tanpa ucapan.

“Awak…tunggu saya balik.”

Itu kata Arayn. Itulah yang Naazneen genggam kuat-kuat. Melangitkan harapan, memalang segala kesal.

Malangnya, di kota Kuala Lumpur itu Arayn Arfan hidup seperti biasa. Tidak terfikir sesaat pun bahawa nun jauh menyeberangi Lautan China Selatan, ada insan lain yang menanti penuh cinta. Lalu, betapa terkejutnya dia apabila Naazneen mendakwa dia sebagai suami.

Aneh, bukan? Tak mungkin dia sudah berkahwin? Dengan gadis yang tidak pernah ditemuinya itu? Dan cinta pandang pertama pula tu? Oh tidak! Arayn bukan jenis lelaki tangkap muat sahaja berkahwin. Lebih-lebih lagi tanpa pengetahuan keluarganya. Sungguh mustahil.

Emmm, apa dah jadi ni? Kalau Arayn itu dihantuk kebingungan, Naazneen seribu kali dipagut kekeliruan. Mampukah Naazneen meyakinkan Arayn Arfan tentang kesahihan pernikahan mereka sedangkan dia tiada bukti dan saksi? Bergetarkah hati lelaki seorang Arayn pula jika benar cinta pernah berputik walau hanya sekali pandang sahaja?

Awas! Ini kisah paling meruntun hati. Namun, pasti membuat anda senyum sendiri.

Monday, 10 July 2017

SWEET REVENGE - Bab 1


Bumi dibasahi titisan hujan yang lebat. Seolah-olah menyedari rawannya hatiku ini. Aku senyum, menyapa dan menerima ucapan tahniah dengan wajah ceria. Tidak mereka tahu, tangisan yang selebat hujan itu melanda daerah hatiku.
Aku pasrah dengan kematian ayah lima bulan lalu. Seperti hari ini. Aku pasrah juga apabila menyaksikan jari kelingking ibu dihiasi cincin perkahwinan sekali lagi.
Rumah banglo dua tingkat, fesyen lama dan rekabentuk yang lama tak sukarlah nak cari bilik pengantin. Aku sengaja melarikan diri dari keriuhan majlis perkahwinan ibu dan ayah tiriku itu. Masuk dalam bilik pengantin, aku sedikit terkilan. Begini cara mereka menghias bilik pengantin? Hanya katil beropol-opol dari kain cadar kuning emas. Dihiasi jambangan bunga pemberian entah siapa-siapa dengan ucapan tahniah. Dan sebuah sofa panjang di tepi katil, terletak kusyen kecil berbentuk ‘love’ merah.
Tiba-tiba, aku rasa nak terkucil pula. Terus aku masuk ke tandas berdekatan dengan almari solek. Lama membuang hajat, aku dengar bunyi orang masuk ke bilik. Berdegang-degang, langgar semua barang. Isk!  

Monday, 5 June 2017

BETUL KE RAKUS - Prolog


PROLOG


Namaku Hadi Haririe. Umur 30 tahun dan masih bujang. Bukan tiada yang berkenan. Bukan juga kerana aku ni terlalu cerewet. Tapi, aku percaya kepada jodoh. JODOH ITU DI TANGAN ALLAH. Ketika suara hatiku tercuit untuk berkahwin, pasti Allah akan hadirkan seseorang di dalam hati untuk terus bermukim. 

Jadi, buat apa nak pening-pening kepala bercinta sakan dan berhabis wang, masa dan tenaga semata-mata nak mencari gadis yang boleh menghuni hati. Kalau dah ditakdirkan si dialah jodoh yang terpilih, nak tepis-tepis pun takkan terdaya. Kalau bukan jodoh, kau ikatlah macam mana pun, tetap terlerai juga. 

Jadi, aku reserved diri untuk si gadis dari tulang rusuk kiriku sendiri. Termasuklah Aara Johara, anak Pak Joe Jambul dari kampung seberang. 

Silap! Dia silap kalau dia fikir aku membencinya. Silap juga kalau dia fikir dialah punca kenapa aku ikut ayah ke Kuala Lumpur, tinggal bersamanya sehingga dewasa. Aku tak pernah membenci diri seorang budak bernama Aara Johari. Tidak pernah memandang serong. Jauh sekali, berasa jengkel dengan usahanya. 

Tapi…aku ni kan manusia. Lelaki pula tu. Kalau dah tiap-tiap hari dia goda aku, boleh lebur imanku ni. Jadinya, nak selamatkan diri, aku pilih pendekatan paling simple. Lari dari hidupnya. Lari jauh-jauh!

Kenapa? Ohhh…soalan yang kalau aku jawab seribu satu malam pun takkan selesai nak ceritakan semuanya. Jadi, aku ringkaskan sahaja apa yang berlaku dahulu dan sekarang. 

Kisah kami bermula ketika aku tingkatan 3 dan dia masih di bangku sekolah rendah. Kebetulan pagi itu, aku tiada mood nak ke sekolah. Selepas pertengkaran emak dan ayah, aku dihambat kebimbangan. Aku tahu punca pertengkaran itu adalah kerana kehendak ayah untuk berhijrah ke bandar. Emak pula enggan meninggalkan kampung, tanah dan rumah pusaka sejak lebih tujuh keturunan itu.

Emak selesa dengan hidup sederhana. Sementelah ayah, peluang untuk beranjak ke masa depan yang lebih cerah terbentang depan mata. Lalu, emak mengambil jalan mudah. Dan ayah cuba bertolak ansur dengan berulang-alik antara Beringin dan Kuala Lumpur setiap hari.

Pun begitu, kepenatan menewaskan segala prinsip, kasih dan cinta setiap hari. Penat membawa diri. Penat menerima aduan demi aduan pasal aku dan abang. Sehingga akhirnya, emak dapat menghidu perubahan seorang suami. Dan hari ini kebenaran itu terbongkar juga setelah hampir dua tahun ayah berulang-alik kerja di kota besar itu. 

Dengan nada marah, ayah lafazkan talak. Meski aku dan abang sahaja yang menjadi saksi, kami sudah cukup baligh untuk sama-sama terkesan dengan situasi yang berlaku. 

Lantas, aku terus keluar dari rumah setelah merembat jaket warna merah milik abang. Aku tinggalkan ayah, emak dan abang bergelut dengan apa yang baru berlaku. 

Sepanjang perjalanan dalam bas pagi itu, fikiranku kosong. Perasaanku hiba. Jasadku hanya ada dalam bas. Sedangkan mindaku entah di mana. Membelek soalan demi soalan di atas tuduhan emak tentang kecurangan ayah. Siapakah wanita yang begitu berani tanpa segan silu merampas kebahagiaan wanita lain? Kenapa ayah boleh melupai cintanya terhadap ibu hanya kerana kemunculan wanita lain? 

Aku mahu ke sekolah tapi sudah berulang-ulang trip pagi itu, aku masih juga di dalam bas. Sekadar membeli tiket bas dari konduktor dan digunakan sehingga habis. Entah berapa banyak. Entah sampai bila. Semua itu tidak penting. 

Aku buka tingkap bas dan biarkan angin menampar-nampar wajah. Dalam pedih pukulannya, ada usapan yang melegakan hati. Bersama-sama hembusan angin itu, aku temui ketenangan walau sekejapan sahaja. 

Sehinggalah sesusuk tubuh itu duduk di hadapanku. Aku tidak sempat melihat wajahnya. Tapi, tingkahnya yang turut membuka tingkap bas di sebelahnya, mengganggu ketenangan yang aku nikmati sebentar tadi. Putaran angin bagai berlarian kepadanya. Meninggalkan aku pukulan demi pukulan yang kian menyakitkan. Sehingga kesannya melorekkan sekeping hati yang masih berdarah. 

Pada ketika aku dibelit kemarahan, cemuhan mula berduyun-duyun muncul dalam kepala, dia tiba-tiba berdiri dan bergegas turun di simpang jalan menuju ke sekolahnya. Meskipun bas belum berhenti sepenuhnya. 

Entah kenapa aku terpanggil mengikut langkahnya. Terpanggil untuk menegurnya. Sebaik kaki menginjak tanah, aku melaung memanggil dia. 

Dia tertoleh sejenak sebelum mengitar simpang yang sunyi sekerlip mata. Bas telah berlalu sedangkan lorong yang dipilihnya itu menuju ke sekolah rendah di mana aku pernah bersekolah dulu. 

“Awak!” aku menggamit lebih rapat. Tapi langkahnya tiba-tiba mederu laju. Aku tahu ketika ini dia sudah terlewat ke sekolah tetapi aku harus menarik perhatiannya terhadap sesuatu yang membuat perhatianku terganggu ketika di dalam bas lagi. 

“Awak! Tunggu!” aku jerit kian kuat. Masih juga tidak diendahkan. Nampak sangatlah dia buat bodoh kehadiranku di situ. 

Geram dengan responnya, aku pantas merentap beg sekolahnya sehingga tubuhnya hampir terhumban ke belakang. Aku lekas-lekas memintas dan berada di depannya. 



“Kau…kau nak apa ni?” soalnya, separuh berani pula. Aku hampir tergelak. Poyo betullah budak ni…silap, dia bukan budak lagi. 

“Kau…” ayatku mati ketika wajahnya berubah pucat. Renungannya jadi semacam dan tubuhnya kelihatan menggelabah. Sedangkan aku pula berkira-kira mahu memilih perkataan yang paling sesuai untuk menarik perhatiannya. 

Baik aku bisikan saja. Hatiku bersuara. Lalu, aku merapat sementara dia berundur setapak. Terfikir sesuatu, aku buka jaket merah yang membaluti tubuhku. Dengan pantas, aku kepung badannya dengan jaket itu dan lilitkan jaket di pinggangnya. 

Tak terfikir olehku pula kerana tindakanku itu, tubuh kami bersentuhan. Sehingga aku boleh rasakan nafasnya menampar-nampar wajahku. Boleh dengar degupan jantungnya yang menggila di situ. Ketika tanganku menyimpul jaket di depan badannya, aku sempat mengintai ke dalam matanya. 

“Umi!!!” Dia menjerit. 

Aku jadi panik terus tutup mulutnya dengan aksi paling bodoh yang aku lakukan. Aksi yang menjerat hidupku sehingga kini. 

Sama ada kerana teguranku tentang tompok mereka di belakang baju sekolahnya hari itu, atau kerana aksi paling rakus di luar sedarku, sehingga ke saat terakhir hembusan nafas Aara Johara, dia bersumpah takkan lepaskan aku lagi. 

Patutkah aku menyerah diri sahaja? Menggalas amanah kerana menjadi lelaki pertama yang menyentuh bibir sucinya pada hari pertama dia bergelar anak dara.

RAKUS - Bab 2


Bab 2

Masa aku keluar dari bilik, umi tengah salai ikan letak atas papan kayu yang dibuat khas oleh ayah. Ayahku bernama Johari. Tapi, ada satu mamat dalam dunia ni yang suka panggil aku, Aara Johara. Katanya, aku riuh setiap masa macam segmen Johara di radio Era. Dah nama pun radio. Tak riuh, bukan radiolah wei.

Tapi, buat apa nak terasa. Ayah aku pun tak pernah terasa bila budak-budak selalu ejek dia dan bertanyakan aku, ‘di mana Joe Jambul?’ Hilang rasa hormat. Hilang panggilan Pak Johari. Hanya semata-mata, kami tinggal di Kampung Jambul. Jadi, mereka suka mengusik. Nama ayah aku disingkatkan dengan panggilan Joe Jambul.

Aku? Dulu memanglah aku marah-marah. Kalau orang sakat jer, aku kejar keliling kampung. Tapi sekarang tidak lagi. Bukanlah kerana aku dah dara sunti umur 26 tahun, tak manis main ligan-ligan lagi. Nanti umi piat telingaku. Tapi sebab ayahku dah famous dari kampung aku ni sampailah ke kampung seberang. Rata-rata kenal bila sebut jer nama Pak Joe Jambul. Ayah akulah tu.

"Ayah pergi mana, umi?" Aku masih gosok-gosok mata bila umi bagi jawapan macam nak gantung anak sendiri.

"Ayah kamu cari menantu?"

Terus mata segar bugar. "Menantu? Anak ayah yang mana nak kahwin?"

Muka umi pula jadi merah. Serentak, tangannya naik tunjal dahi aku. "Anak yang mana lagi? Anak umi sorang jer."

Aku memang suka sakat umi. Tengok muka umi membahang, aku macam kucing tumbuh tanduk. "Aara ni memang anak umi. Tapi, umi pasti hanya Aara anak ayah?" Sambil joget-joget kening jahat.

Tanpa pandang aku, ibu macam dah bersedia dengan jawapan. "Pastilah. Dan umi dah sepakat dengan ayah kamu untuk halau anak sewel ni dari rumah. Simpan buat apa. Buat sakit hati. Biarlah suami dia yang hadap pula. Ayah dan umi nak anak baru." Umi senyum jahat kat aku.

Makan dalam, beb. Umi aku tu yang cakap macam tu. Macamlah aku ni beban besar buat mereka. Huwarghhh! Terus perut aku jadi lapar.

“Umi, makan apa pagi ni?” aku menggendeng bahu umi. Sekali lagi, umi tolak tubuhku dengan sikunya pula.

“Tau makan jer. Kalau hari-hari macam ni, bila nak kurus. Nanti bersanding tak lawa. Kalau kahwin setahun lagi, takpe juga. Dibuatnya ayah kamu setuju tetapkan tarikh minggu depan, apa cerita? Takkan baru nak diet?”

Haish! Bersungguh rupanya? Aku dah mula cuak.

“Kenapa nak paksa Aara kahwin pula? Aara bukan budak-budak lagilah, umi. Umi tahu kan Aara tak nak kahwin kalau bukan…”

“Hadi?” Umi sebut satu-satunya nama yang melekat di hatiku. Sebati dalam diriku. Tak malu-malu, aku angguk.

Umi hembus nafas. Wajah jadi tegang. Aku dah tahu dah apa akan meluncur dari mulut umi. Kata-kata protes dah mula beralun dalam mindaku. Macam putar pita radio. Sebentar lagi, dejee dari Johara Pagi Era akan bersiaran.

“Ayah kamu nak jumpa Hadi lah tu. Nak melamar dia untuk kamu.”

Ha? Jauh meleset sangkaanku.

“Hadi? Ayah meminang Hadi untuk Aara?”

“Tak lah. Untuk anak ayah kamu yang lain.”

Kan! Dan-dan umi balas setepek kat muka aku.

Tapi, aku masih blur ni. Hati dah ada percikan. Minda memujuk emosi agar jangan bersorak tanpa sebab.

“Betul ke ni, umi? Hadi Haririe? Kan Hadi kat KL, umi.”

“Ya lah. Mana ada Hadi Haririe yang lain kat Kampung Buncit Bergoyang tu. Hadi tu lah yang Aara gila-gilakan dari kecil lagi tu. Takkanlah ayah kamu tu rabun tak boleh bezakan.”

Mukaku merah sangat-sangat. Betul ke ni? Ayah aku mengadap sembah lelaki yang hati kering tu?

Mati!

RAKUS - Bab 1


Bab 1

Tiupan angin yang menyapa wajah, tidak selembut sentuhannya. Seperti ada sakti, tiap kali jari-jemarinya berlabuh di kulit. Yang damainya menyimpul sekeping hati. Belaian lembut bibirnya di pipi, menghangatkan tubuh dan menjanjikan harapan.

Aku sering terbuai bila bibirnya yang kaku tidak pernah tergaris senyuman itu lincah menari-nari, menguis-nguis dan bermanja-manja di pipi dan bibirku selalu. Dan setiap kali mata kami bertemu tatap, aku tenggelam dek panahan nafsu tanpa bicara pun. Seolah-olah, keinginanku dan kemahuannya seiring dan sehaluan.

Dummm! Punggungku bagai kena hentakan. Aku pandang wajah dia. Kekasih idaman hati. Kosong? Erk? Mana dia pergi?

“Aara?” Umi muncul di muka pintu. Terus menggeleng pandang aku.

“Dah besar panjang pun, masih jatuh katil lagi.” Umi dah komen. Aku pandang sekitar bilik. Matahari dah menyambar dari langsir yang sedikit terselak. Selimutku pula masih membelit di badan. Bezanya, aku dah terhempuk di bawah katil.

Mulut umi masih membebel. “Sampai bila nak terus macam ni, Aara?”

Adoi! Umi pun…bukan punggung dia yang sakit pun? Aku jatuh bawah ni jer. Tak jatuh mana-mana lagi. Tahu jatuh, aku tahulah nak bangun. Kecoh jer.

Jadinya, aku balas tak berlapik juga. “Sampai Aara dah kahwinlah, umi. Ada suami tolong peluk. Taklah Aara pusing-pusing atas katil lagi.” Aku pasang angan-angan tu dah lama tau.

“Masalahnya, umi risau nanti suami Aara lari tidur kat sofa kalau tiap-tiap malam kena tendang dengan Aara. Aara tu buas!”

Makan dalam siot. Umi kalau komen tidak pernah berlapik. Pedas pula tu. Aku ni mesti mewarisi gen umi agaknya.

“Buas pun anak umi juga.” Aku bangkit, gosok-gosok punggung. Sebelum rebahkan badan semula di katil.

“Tambahan pula, umi pun tahu siapa bakal suami Aara, kan? Takkanlah dia biarkan Aara jatuh tergolek-golek kat bawah katil. Entah-entah, tiap-tiap malam dia ikat Aara kat dada dia, bawah ketiak dia, tak pun…”

Bumm! Bantal melayang dan mendarat terus ke mukaku. Spoil betullah. Aku baru mimpi berasmara dengan si dia jejaka hati. Baru nak berangan-angan dihimpit suami mithali.

“Apalah dosa umi sampai ada anak yang tak reti malu macam Aara ni.” Umi dah buang tebiat. Merungut tak tentu pasal. Tak sporting betul!

Aku ambil bantal yang dihumban tadi, terus kepit kat celah kelangkang.

“Hoi! Bangunlah. Dah pagi ni. Tolong umi kat dapur lagi bagus.”

Kan aku dah kata. Mulut umi tak boleh tutup. Berasap telinga aku menadah. Terpaksalah aku tarik selimut. Nak kurangkan volume.

Dan-dan umi hempuk bantal guling yang jatuh dari katil. Punggung yang sedia sakit jadi tambah kebas.

“Ya lah, Aara bangun ni.” Aku merengus. Sedar aku tewas sebelum berperang dengan umi.