Tuesday 15 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 9)




Arayn ramas-ramas rambut sendiri sebelum meraup wajahnya. Kedua-dua telapak tangan singgah menekan muka. Menongkah kepala yang bagaikan sarat dengan satu perkara. Yakni Naazneen.
Apa yang harus dia lakukan terhadap Naazneen? Di sofa kecil itu Arayn tunduk. Siku di atas paha dan telapak tangan terletak di kedua-dua pipi. Akalnya terbang jauh. Memikirkan jalan keluar.
Orang lain mungkin nampak semuanya mudah. Terima sajalah Naazneen sebagai isteri. Lagipun, dia mengandung. Anak Arayn pula tu. Pewaris empayar Strenght Hill Group. Tetapi… kalaulah semuanya semudah itu?
Apa kata Mama nanti? Boleh ke Naazneen berdiri di sampingnya di khalayak umum? Mereka tidak sama tinggi. Pasti duduk pun tidak sama rendah. Macam mana kalau-kalau dunia Arayn bukanlah seperti yang diimpikan Naazneen?

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 8)

Arayn Arfan



Belum sempat Arayn tutup pintu bilik, Helmie punya menyanggah. Masuk dengan sengihan yang teramat lebarnya. Tetapi Arayn biarkan sahaja. Pada masa itu juga Dian lalu bersama beberapa rakan sekerjanya yang lain. Cepat-cepat Arayn menyergah.
“Dian.”
Dian berpaling dan berasa kecut apabila disergah majikannya itu. Apalah pula yang dia nak? Takkanlah nak marah pula kerana kecuaian dia? Bukannya dia tahu pun yang Naazneen terlepas sampai tingkat 42 tadi. Dalam seram-seram suku tu pun dia menapak juga ke muka pintu di mana Arayn sedang menanti.
“Bila Syafikah balik?”
Dian jongket bahu. Nama setiausaha yang sedang bercuti itu dicari lagi. Manalah dia tahu?
“Saya tak peduli dia balik ke tidak. Saya nak simcard telefon saya yang lama tu. Apasal susah sangat nak ganti baru? Korang tak buat kerja ke?” soal Arayn. Sudah hilang sabar.
“Tapi tuan, tu kan nombor peribadi tuan. Memang susahlah kalau orang lain yang berurusan…” ayat akhir itu dikemam-kemam Dian. Sudah puas dia berurusan dengan syarikat telekomunikasi itu tetapi macam-macam kerenah yang dia kena layan.
“Kan saya dah bagi authorized letter kat kamu. Pergi dapatkan simcard baru saya hari ini juga. Atau esok kamu jangan masuk ofis selagi tak bawa balik simcard baru untuk saya. Saya nak nombor lama saya tu juga.”

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 7)

Naazneen



Sekerlipan, senyuman Liyana mati. Bibirnya terherot-herot sesaat dua. “Maksud awak sekarang korang kahwin tiga hari barulah Arayn hilang?” Liyana sedang berfikir sesuatu.
Naazneen geleng. Ketika semua memandangnya, Naazneen tahu dia harus jelaskan semuanya.
“Tak. Saya dan Arayn berkenalan selama 3 hari tu jer. Masuk hari ke 3 kami kahwin petang tu. Malam tu yang Arayn keluar dan tak balik-balik.” Naazneen menjelaskan kekeliruan sedikit. Dia hanya kenal Arayn untuk tiga hari sahaja. Apa yang berlaku 11 hari lagi tu, dia memang tidak tahu. Tiada clue langsung. Arayn tidak pernah bercakap soal kerjanya. Hanya hal peribadi sahaja yang selalu digembar-gemburkan Arayn. Mungkin, dia tidak sabar-sabar mahu memperkenalkan Naazneen kepada keluarganya.
“Bila tu?” Jasmin keliru. Arayn berdiri di belakang Jasmin. Menanti juga.

Sunday 13 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 6)



Puas Arayn membantah, puas juga Naazneen menggeleng tetapi Helmie sudah buat panggilan intercom direct kepada Jasmin yang pejabatnya terletak di tingkat 5 bangunan yang sama. Sementelah Naazneen tidak tertahankan. Sakit di perut luar biasa peritnya. Belum pernah dia alami sebelum ini. Bukanlah kuat sangat Arayn tendang dia tadi. Naazneen pernah kena tendang lebih kuat daripada itu. Namun, tidaklah sesakit yang dirasai kala itu.
Dia mahu menjerit. Mahu meraung. Tapi kerana Arayn, dia harus kuat. Di depan Liyana, dia harus tabah. Di depan Helmie, dia harus sabar. Lantas, walaupun duduk di sofa kecil, tubuhnya mencengkung juga. Menyembunyikan muka yang berkerut seribu.
Arayn resah tak sudah. Belum selesai dengan Liyana, perang ke dua dengan Jasmin pula. Bukanlah Jasmin tu kejam sangat. Jasmin sangat berbeza berbanding Liyana. Kerana perbezaan itulah, sukar bagi Arayn menduga persepsi kakak yang setahun beza umur dengannya.

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 5)



Arayn dan Naazneen sudah jadi macam kipas kudung pula. Lari sana sini dalam bilik pejabat yang luas. Sorok di belakang kabinet fail, masih nampak badan. Nak sorok di belakang sofa, sofa pejabat Arayn jenis single. Tak ada yang panjang-panjang.
“Ha, bawah meja,” arah Arayn tiba-tiba. Buntang mata Naazneen. Laju dia geleng.
“Lahhh, cepatlah.”
“Tak naklah bawah meja.” Naazneen protes. Mukanya cemberut.
“Apasal pula?”
“Nanti ada lipas ke, semut ke, nyamuk ke? Saya tak sukalah, awak.”
Alahai, meleret jer perkataan ‘awak’ tu keluar dari mulut Naazneen. Berdiri bulu tengkuk Arayn tiba-tiba. Macam kena renjatan elektrik pula. Bukannya tidak suka. Hati lelaki ni rasa lain macam. Rasa nak terbang ke awang-awang. Rasa nak petik-petik bintang. Alahai…harap Naazneen taklah kerap sebut macam tu. Boleh cair hati kental Arayn nanti.

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 4)




Naazneen tidak tahu ke mana hendak dihayun kakinya. Sudah dirancang sejak semalam dia akan menginap di hotel murah sahaja. Tetapi setelah bergegas keluar dari bilik mesyuarat tadi, kaki Naazneen bagai mahu rebah. Tidak pernah dia duga Arayn tidak akan mengenalinya. Apa yang terjadi kepada Arayn? Kenapa dia semacam tidak mengenali Naazneen pun? Dia dihalau tanpa penjelasan. Tanpa usul periksa. Sampai hati, Arayn.
Seketika, Naazneen terduduk di anak tangga menghampiri pintu ke tingkat 41. Di situ, dia mengesak tangisnya. Meluahkan kepahitan yang menghempap diri. Dia ingatkan kehilangan Arayn dua bulan lepas adalah detik paling pahit dalam hidupnya. Rupa-rupanya, hari ini adalah yang terburuk dalam sejarah hidup Naazneen.
“Cik Naazneen...” Dian terkejut melihat Naazneen menangis di sudut tangga itu. “Puas saya cari cik.” Dia lega. Tetapi, apa yang berlaku? “Cik, kenapa?”
Dian hairan. Entah-entah Naazneen dah berjumpa dengan Tuan Arayn. Kalau begitu, tak hairanlah kalau Naazneen menangis begini.
“Cik…”

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 3)






Tizz Hartini menggumpal-gumpal rambutnya. Dibelek seketika di balik dinding kaca yang menyaksikan pemandangan sebahagian besar bandaraya ternama Kuala Lumpur. Di ketinggian 43 tingkat, dia berasa belum cukup puas. Bangunan yang bakal dibina nanti adalah dua kali tingginya daripada Strength Hill Group.
Dari arca kaca itu terbias juga satu-satunya lelaki yang menjadi penghalang antara dia dengan projek bernilai jutaan ribu itu. Selesai melaram diri agar tampak kian cantik, Tizz berpusing menghadap Arayn Arfan.
Arayn menyandar lemah di kerusi megahnya. Kepala melentok di atas bahu kerusi. Kedua-dua telapak tangannya menindan mata. Terletak kemas di atas dahi. Fikirannya kacau. Emosinya bilau.
Darling, you tak perlu pening kepala kerana perempuan tu. Just forget it.” Tizz mengatur langkah. Kini, berada di belakang kerusi Arayn yang sedang memejam mata serapat-rapatnya. Tanpa berlengah, dia letak jemarinya di pelipis Arayn. Mengurut konon.

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 2)




Tanpa berlengah, Naazneen memulas tombol pintu bilik mesyuarat itu dan menguak besar-besar. Naazneen terkejut. Bilik separuh gelap itu tiba-tiba sunyi. Cahaya hanya tertumpu pada dinding yang terpeta pancaran skrin komputer yang berwarna-warni dengan pelbagai angka berbentuk statistik. Tidak masuk dalam fikiran Naazneen. Tetapi pandangan Naazneen terpaku kepada lelaki yang tercegat tanpa suara. Lelaki yang dituju cahaya dari pancaran projektor yang berada di tengah-tengah bilik.
Tidak! Naazneen amati lagi wajah itu. Tetapi perasaannya kian hampa.
Tidak mungkin! Tadi dia baharu mendengar suara Arayn manakala lelaki yang tercegat itu bukannya Arayn. Ya, Arayn yang dirindunya tidak akan berubah jadi pendek dalam masa dua bulan. Arayn yang dicintai sepenuh jiwanya tidak akan memboroi dalam tempoh dua bulan.
Arayn dalam kotak ingatannya tinggi seinci daripadanya. Arayn yang bertubuh kekar dengan kulit putih kemerah-merahan.
Naazneen hampir sahaja mahu menangis di situ apabila tangannya dipaut seseorang. Seketika, lampu di dalam bilik itu terang-benderang.
“Cik, apa cik buat di sini?” seseorang bertanya di sisinya.

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 1)







Kad bersegi empat itu dikibas-kibas di mukanya. Panas kian membahang. Membakar kulitnya yang sedikit terdedah. Dia menatap sekeping kad merah gelap bertintakan darwat kuning emas. Alamat di atas kad itu membuat dia mendongak lagi tinggi. Hampir menentang pancaran matahari yang kian terik.
Lama berfikir, dia hayun kaki ke dalam bangunan yang berdinding separa kaca berwarna bertinted biru. Sebaik sahaja dia menapak, dirinya disergah seorang pemuda yang berdiri berhampiran pintu masuk.

Dia yang berambut panjang ke paras pinggang dan memakai skirt melepasi lutut tiba-tiba berhenti. Terpaku sejenak. Tetapi matanya tetap meliar. Mencari kelibat wajah yang mungkin dikenali di balik puluhan manusia yang lalu-lalang. Wajahnya masih dibaluti keresahan. Dahinya kian berpeluh. Dirinya tambah gemuruh.

“Cik nak jumpa siapa?” tanya pemuda itu yang berpakaian blazer hitam lengkap, dengan senyuman. Tak mengapa, Naaz. Chaiyok chaiyok, Naaz. Kau boleh buat ni. Kau mesti teruskan.  Naazneen tarik nafas dalam-dalam. Peluh di dahi disapu dengan belakang tapak tangan.

“Ehhh…” Naazneen gugup. Jiwanya berbolak-balik. Masih keliru sama ada dia perlu teruskan atau berpatah balik sahaja. Setidak-tidaknya, dia ada masa sehingga esok petang. Tetapi mengenangkan wajah yang tidak lepas melingkar dalam benak ingatannya itu, menumpaskan kesabaran Naazneen sejak berhari-hari lamanya.

“Cik…?” pemuda itu menanti.