Sunday 13 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 4)




Naazneen tidak tahu ke mana hendak dihayun kakinya. Sudah dirancang sejak semalam dia akan menginap di hotel murah sahaja. Tetapi setelah bergegas keluar dari bilik mesyuarat tadi, kaki Naazneen bagai mahu rebah. Tidak pernah dia duga Arayn tidak akan mengenalinya. Apa yang terjadi kepada Arayn? Kenapa dia semacam tidak mengenali Naazneen pun? Dia dihalau tanpa penjelasan. Tanpa usul periksa. Sampai hati, Arayn.
Seketika, Naazneen terduduk di anak tangga menghampiri pintu ke tingkat 41. Di situ, dia mengesak tangisnya. Meluahkan kepahitan yang menghempap diri. Dia ingatkan kehilangan Arayn dua bulan lepas adalah detik paling pahit dalam hidupnya. Rupa-rupanya, hari ini adalah yang terburuk dalam sejarah hidup Naazneen.
“Cik Naazneen...” Dian terkejut melihat Naazneen menangis di sudut tangga itu. “Puas saya cari cik.” Dia lega. Tetapi, apa yang berlaku? “Cik, kenapa?”
Dian hairan. Entah-entah Naazneen dah berjumpa dengan Tuan Arayn. Kalau begitu, tak hairanlah kalau Naazneen menangis begini.
“Cik…”

“Kenapa Arayn begitu? Kenapa Arayn tak kenal saya? Kenapa dia berubah?” raung Naazneen tak fasal-fasal. Tangan Dian digoncang-goncang.
Alahai Cik Naazneen. Awak tak tahu Tuan Arayn tu hati batu. Playboy. Suka permainkan perempuan. Awak bukan seorang saja perempuan yang pernah menangis kerana dia.
“Cik, kumbang bukan seekor…”
“Saya tak nak kumbang. Saya nak Arayn.”
Alahhh, sempat pula Cik Naazneen ni loyar buruk. Orang nak bagi nasihat jer. Tu pun nak sentap ke?
“Saya tak boleh balik tanpa tahu sebabnya. Apa harus saya buat?” Naazneen menambah.
“Sebab apa?”
“Sebab apa-apalah.” Kelat suara Naazneen meneka. Ya, dia tak peduli apa pun sebabnya Arayn bertindak sepeti itu. Dia hanya mahu penjelasan Arayn. Tidak wajar ke dia dilayan baik-baik, setelah berjam-jam berada dalam perjalanan?
Dian garu kepala yang berlitup tudung. Hairan, soalan dijawab soalan. Tidak faham hujung pangkal.
“Cik…”
Tak sempat Dian memujuk, Naazneen bingkas berdiri. Tubuh Dian dipeluknya. Naazneen menangis di bahu Dian. Perempuan yang tidak dikenalinya langsung.
“Kalau cik menangis sini sebab bos saya tu, takda gunanya, cik. Buang air dalam badan. Cik ni dah lah kurus kering. Macam kekurangan air jer. Kasihan saya tengok.”
Naazneen angkat muka. Tangisannya terhenti mendengar mulut celupar takda insurans depan mata tu.
“Apa kata cik ikut saya ke pantry. Saya bancuhkan air. Cik minum dulu banyak-banyak. Lepas tu, sambunglah nangis lagi kalau nak juga.”
Sengal betullah Dian ni. Kasihan pula Naazneen yang menurut membabi buta. Tangannya ditarik dan dipimpin Dian. Sebenarnya, Naazneen memang perlukan air. Juga makanan. Perut memulas terus apabila mendengar Dian melalut sebegitu sehingga tak sedar waktu sudah menginjak makan tengahari pula.
*****
Mata Arayn dan Helmie masih menumpu kepada kad gold di tangan Helmie.
“Aku rasalah mesti dalam tempoh dua minggu kau hilang ingatan tu, salah satu perkara yang kau buat ialah berkahwin.”
Pantas, Arayn geleng laju. Mukanya jadi cuak.
“Tidak. Cuba fikir betul-betul. Kau rasa aku pergi Kuching hari tu, ada tanda-tanda aku nak kahwin ke? Lagipun, kalau aku dah kahwin, takkanlah aku tak ingat. Bukan ke kau yang cakap hari perkahwinan tu adalah hari paling bahagia seorang lelaki. So, kalau betul aku dah kahwin, takkanlah aku tak ingat. Tak logik, kan.”
Tidak boleh jadi. Tidak mungkin dia kahwin tanpa memberitahu Mama. Lagi dua orang kakaknya pula. Tiga orang perempuan itu akan mengamuk kalau tahu dia berkahwin tanpa mereka. Jadi, lagi selamat kalau dia menolak semua andaian atau bukti yang datang ni. Anggap sebagai dugaan sahaja.
“Mungkin, kau kahwin paksa.”
“Kahwin paksa? Aku?” Arayn tertawa. Kepala kerusinya dihempuk-hempuk dengan telapak tangan.
Hanya Mama seorang sahaja yang boleh paksa dia untuk berkahwin. Tapi, Mama tidak pernah memaksa. Bahkan, Mama tidak pernah campur tangan. Berkenaan Tizz, bukan Mama berkenan sangat. Tapi rasanya sebab Mama tiada pilihan. Dengan perangai buaya tembaga anaknya, hanya Tizz sahaja yang melekat, tidak pernah merajuk bagai. Marahnya pun bertempat. Paling penting, Tizz memahami kerjaya Arayn.
“Yalah, mungkin ada orang letak pistol kat kepala kau, so kau terpaksalah akad depan kadi.”
Mata Arayn melopong. Helmie juga. Tetapi kemudian mereka tertawa. Masing-masing tak boleh terima kalau Arayn kahwin paksa. Betul-betul tidak logik.
“Aku rasa baik kau cari balik bini kau dan…”
Wait! Aku tak cakap dia bini aku.”
Arayn pantas memotong. Tidak boleh terima. Helmie buat tak dengar.
By the way, sebut tentang bini kau, aku lupa pula tanya. Macam mana rupa dia?”
Arayn termenung jauh. Terbayang seraut wajah ayu milik Naazneen. Sebaik sahaja gadis itu terpacak depan pintu bilik mesyuarat tadi, mata Arayn terpukau. Jantungnya bagai berhenti berdegup. Hanya setelah menentang mata Naazneen yang redup, hitam pekat itu jantung berdegup aneh.
“Dia bukan sahaja cantik, tapi manis. Kalau pandang dia, rasa terpaku. Tak boleh nak kalih tempat lain.”
Interesting.”
Helmie tertarik. Bukan kerana ulasan Arayn itu tetapi kerana Arayn bagai dipukau. Dia melangkah ke dinding kaca menghadap bangunan berkembar Petronas. Tetapi fikirannya melayang mengingati perempuan yang mendakwa sebagai isteri.
“Senyumannya boleh menggetarkan jiwa. Kalau tak kuat, boleh kena serangan jantung.”
Very interesting,” sahut Helmie. Kagum dengan senyuman yang melengkung di bibir Arayn kala itu.
Pintu bilik pejabat Arayn diketuk tiba-tiba. Helmie menoleh dan sebelum sempat dia bangkit dari kerusi, seorang perempuan berambut panjang dengan mata yang redup melangkah masuk. Di belakang gadis itu ada Dian.
Dian menolak Naazneen masuk sebelum menutup pintu dari luar. Naazneen terpinga-pinga. Dia ingatkan Arayn akan berseorangan. Tapi sekarang Naazneen jadi gementar. Siapa pula yang seorang ni lagi?
Memandangkan Arayn masih dalam dunianya, Helmie mengamati Naazneen yang jelas menggigil.
“Kau tak tengok dia Mie. Aku tak pernah tengok perempuan secantik dia.”
“Memang cantik.” Helmie mengulas, menatap Naazneen yang kebingungan, meramas-ramas tangannya.
“Dia tinggi, walau tak setinggi aku. Tapi potongan badannya cantik. Macam model. Dan kulitnya…”
“Kulitnya kuning langsat tapi sedikit merah dan rambutnya panjang melepasi pinggang.”
“Ya, tapi macam mana kau…?” Arayn hairan. Dia berpaling dan tersentak dengan apa yang ada di depan mata.
Helmie sedang membelek gadis yang mendakwa Arayn sebagai suaminya, kini berada di depan mata.
“Kau…? Apa kau buat sini? Macam mana kau boleh masuk sini?” Tiba-tiba Arayn bengang.
Arayn kalut. Adakah Naazneen dengar apa yang dia ucapkan tadi?
Naazneen cemas. Dia mahu keluar tetapi dalam masa yang sama dia tahu hanya inilah satu-satunya peluang yang dia ada.
“Arayn, dengar dulu cakap saya. Saya janji saya akan balik Kuching dan takkan datang sini lagi. Saya janji saya takkan ganggu awak lagi. Tapi sebelum tu, cakaplah dengan saya apa yang terjadi. Saya takkan marah awak. Saya takkan benci awak. Tolong Arayn.”
Arayn dan Helmie berpandangan. Ada sesuatu dalam bicara Naazneen itu membuat mereka tergamam.
Oh tidak! Arayn bukan tidak mahu mendengar apa pun yang mahu diucapkan Naazneen, tetapi suara hatinya yang memekak-mekak di dalam belum pun dapat diredahkan. Akalnya yang ligat berputar itu pun memeningkan kepalanya. Dia belum bersedia menghadam bala yang bakal tiba.
“Arayn, tolong berikan saya masa 5 minit pun jadilah. Saya nak tahu apa yang berlaku.”
“Ya, saya pun nak tahu apa yang berlaku.” Helmie menyampuk. Matanya berkalih kepada Arayn. “Dan Arayn pun nak tahu juga apa yang berlaku.”
Naazneen bingung. Rambut yang menjuntai di depan dadanya, dikalih ke belakang badan. Ini angkara dia dan Dian sebentar tadi. Arayn yang dikenali Naazneen sangat suka apabila dia meleraikan rambut dan meletak sebahagiannya di depan dada. Nampak keayuan bertambah-tambah, kononnya.
Helmie berdiri. Menghadap Arayn. Merenung dengan serius wajah adik iparnya. “Tanya dia apa yang kau nak tahu. Please be gentleman. In fact, she is your wife.”
Arayn ketap gigi. “She’s not,” bisiknya, keras.
Naazneen terasa hati. Namun, setelah dihalau oleh Arayn sebentar tadi, dia sudah boleh terima penolakan Arayn. Apa yang dia mahukan sekarang adalah penjelasan.
Helmie melangkah pergi. Ketika berselisih dengan Naazneen, dia berhenti. Wajah Naazneen ditilik lama.  “Awak jangan risau, saya akan jaga pintu. Arayn takkan halau awak selagi saya ada,” bisik Helmie, menambahkan kelegaan pada seraut wajah Naazneen.
“Terima kasih tolong saya.”
Helmie senyum. Entah kenapa dia nampak kelainan pada diri Naazneen. Tidak seperti gadis-gadis yang pernah didampingi Arayn. Saat itu, dia sukakan Naazneen. Kalau betullah Naazneen adalah isteri Arayn, ohhh… Helmie sudah boleh gambarkan hidup Arayn akan musnah. Sekilas, dia kerling Arayn yang kembali menapak ke meja kerja, sebelum beredar.
Naazneen menapak lambat-lambat. Seribu macam soalan dan andaian yang menerkam dalam kepala otaknya sekarang. Arayn pula resah tetapi cuba bertenang. Dia belum bersedia tetapi dia perlu selesaikan masalah ini.
“Arayn…”
“Nama awak siapa?”
Naazneen telan air liur. Takkanlah nama pun dia tak tahu?
“Naazneen,” Gugup dan lemah nadanya.
“Begini Cik Naazneen, saya tak suka buang masa…”
Naazneen duduk tanpa dipelawa. “Saya tahu.”
“Tahu?” Arayn hairan.
“Ya, awak yang minta kita terus saja kahwin sebab awak tak suka buang masa.”
Gulppp! Arayn rasa macam nak buka tingkap di dinding kaca pejabatnya dan terjun dari tingkat 43 itu.
“Tak mungkin. Awak tak kenal saya. So, awak tak tahu saya…”
“Tapi saya tahu awak cintakan saya.” Naazneen lara sekilas. “Mungkin, awak pernah cintakan saya.”
“Cinta? Wait! Awak buat saya bingung.” Arayn menggelabah. Seluruh badannya berasap-asap.
Baru sebentar tadi semua bukti yang diberikan Naazneen semacam real. Nampak logik. Tapi cinta? Peleslah…Arayn tak mungkin jatuh cinta? Mata Arayn kembali menilik Naazneen. Bukannya dia tak lawa. Memang taste Arayn pun. Tapi…!
“Bukan awak seorang yang bingung, Arayn. Saya pun bingung. Kenapa awak tak balik? Kenapa awak tinggalkan saya? Apa salah saya? Atau awak memang jenis lelaki yang tidur semalam dengan perempuan lepas tu…”
“Wooowww!” Arayn berdiri. Lagi tak logik. Meremang pula bulu romanya. Memang dia buaya. Seganas buaya macam dia, dia tak pernah tidur dengan mana-mana perempuan pun. Ini gila. Perempuan ni gila!!!
Naazneen terkejut apabila Arayn melenting tiba-tiba. Mungkin benar, lelaki berambut hitam pekat, dengan muka bersegi-segi itu tidak mengenali dirinya. Pelanduk dua serupa mungkin. Kalau yang depan ni bukan Arayn Arfan, mana pula suaminya sekarang ini?
“Begini, baik kita mulakan dari awal…” Arayn raup muka. Tangan pun basah. “Dari…dari…sebelum kahwin. Bila kita kahwin, maksud saya…awak ada sijil kahwin?” Ha, dapat fikir pun.
Naazneen kesat peluh di dahi. Macam mana tak terfikir nak bawa sijil nikah? Manalah dia tahu Arayn tidak akan mengakuinya sebagai isteri. Dia gigit bibir.
“Saya tak bawa. Tapi saya boleh telefon Pak Cu dan minta dia gambar.”
Arayn mengeluh sebelum mencebik. “Ha, tunjuk saya gambar kita kahwin,” usulnya pula.
Naazneen memuncung bibir. Sedihnya tergambar di situ.
“Kenapa? Awak takde gambar?” Nada Arayn tampak sinis.
“Ada sekeping tapi dalam telefon lama.” Naazneen tunjuk telefon Nokia 3210. “Dalam telefon ni takde gambar.”
Keluh lidah Arayn. Ada lagi ke orang pakai telefon macam tu?
“Kenapa sekeping saja?”
“Sebab takde orang yang tangkap gambar kita. Awak punya pasallah.” Naazneen melepaskan marahnya fasal perkara itu. Dia bukan sahaja kesal tapi terkilan juga. Malangnya ketika itu, dia hanya fikirkan nak kahwin dengan Arayn. Itu sahaja.
“Apa pula salah saya kali ni?” Arayn mendengus, menahan rasa geram.
“Awak tak mahu tunggu lagi. Awak bawa saya pergi ambil bapa saudara saya, dan dua orang kawan dia. Lepas tu, awak bawa kami terus ke pejabat tok kadi dan minta dinikahkan hari tu juga.”
Mata Arayn tak boleh berkerdip langsung. Badannya mahu meletup. Ini memang gila.
“Saya dapat tangkap satu gambar pun selepas nikah, dalam kereta masa hantar Pak Cu dan kawan-kawannya balik.”
Seriously? Arayn menepuk dahi sendiri.
So, awak takde bukti yang saya…yang kita..awak berkahwin dengan saya.” Arayn menduga.
Arayn berasa lega sedikit. Naazneen pula yang berpeluh. Bukti? Dia memang tak ada bukti. Tapi, dua bulan lalu, Arayn tak pula minta bukti tentang cintanya. Tentang kasih yang terbit mendadak antara mereka.
Orang kata dia bodoh. Dia akan menyesal berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali. Tapi dia nak buat macam mana? Dia jatuh cinta kala pertama kali bertentang mata dengan Arayn Arfan. Bahkan, lelaki itu juga membalas cintanya sekerlip mata dengan mengahwini dia tanpa sebarang alasan selain cinta.
Naazneen menggeleng lemah. Dia tunduk. Menahan pilu yang singgah. Gelisah pula Arayn apabila Naazneen diam. Terjentik perasaannya.
“Okey, awak takde bukti tapi awak ada jam yang kononnya saya bagi sebagai mas kahwin.” Arayn cuba menarik perhatian Naazneen daripada emosinya.
Ketika Arayn membuka laci dan mengambil semula jam tangan jenama Elexandre Christie bersalut emas tadi, anak matanya terpandang sesuatu. Sesuatu yang membangkitkan kesedaran dalam dirinya.
Perlahan-lahan, Naazneen ditenung. Ditatap sebelum dia menyuarakan soalan. “Cik Naaz…”
Naazneen angkat muka laju. Senyumnya mekar tak semena-mena. Laranya tumpas sekerlipan itu. Arayn suka memanggilnya ‘Naaz’ sahaja. Dia yakin dia tak salah orang.
“Awak cakap pada hari terakhir…”
“Malam.” Naazneen membetulkan.
“Okey…pada malam terakhir saya bersama awak, awak cakap masa di bilik meeting tadi yang saya keluar nak beli tiket wayang.”
Naazneen angguk laju. Nafas Arayn semacam nak putus. Tapi dia tahu dia kena ajukan juga soalan itu.
Movie apa yang kita nak tengok?” soalnya, gemuruh melanda jiwa.
Arayn tak tahu sama ada dia mengharapkan Naazneen memberi jawapan yang berlainan daripada yang sedang berlegar di benaknya atau itulah yang dia inginkan. Perasaan berbelah bahagi. Tanpa punca.
Naazneen terkesima dengan soalan itu. Sedetik, dia rasa mahu menangis. Arayn tidak akan percaya kalau dia jawab. Dia akan dituduh penipu sekali lagi. Dia akan dihalau terus dari situ.
“Cik Naaz…” Arayn menunggu.
Janganlah dia sebut. Janganlah dia sebut.
“Awak mungkin tak percaya tapi saya suka kartun. Malam tu, masa kita berehat…” Naazneen terhenti. Dia pejam mata. Berusaha mengusir adegan malam itu dari kotak mindanya. “Hmmm, masa tu kita tengok tv ada iklan movie Hero 6. Saya suka cerita hero tu. Dah tengok banyak kali tapi tak puas. Saya…”
Arayn sudah dapat mengagak. Seluruh tubuhnya lemah. Dia merebahkan kepalanya di atas meja. Rasa macam nak hempas biar pecah.
“Arayn,” Naazneen kalut melihat Arayn kecewa. Dia hanya mahu berterus-terang.
Perlahan-lahan, Arayn menegakkan semula badannya. Tangan menggagau sesuatu di dalam laci. Sekeping kad kecil bersegi empat diberikan kepada Naazneen. Naazneen menatap lama-lama. Air matanya bergenang. Hatinya jadi sebak. 
“Ohhh Arayn…” Dia ambil kad kecil itu dan tatap seperti ianya sungguh berharga. “Awak beli juga tiket wayang untuk saya.”
Naazneen bawa sebelah tapak tangannya menutup mulut. Menahan sendunya daripada lepas. Sayu. Tersentuh hatinya melihat dua keping tiket wayang Hero 6 yang belum terkoyak walaupun sedikit lusuh warna tintanya. Terhapuslah tanggapannya selama ini bahawa Arayn benar-benar tinggalkan dia selepas mereka bersama malam itu. Membeli tiket wayang digunakan sebagai alasan untuk cabut lari malam itu juga. Tetapi sekarang, bukti sudah cukup. Arayn memang keluar membeli tiket wayang untuk tontonan tengah malam mereka bersama. Seperti yang mereka rancangkan.
Dipandang Arayn yang kebingungan dengan mata yang berkaca-kaca bersama sendu yang cuba digenggam. “Apa yang berlaku malam itu, Arayn? Beritahu saya apa yang terjadi malam itu? Kenapa awak tak pulang?”
Arayn sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Bukan malam itu sahaja. Apa yang berlaku sekarang ini terlalu sukar untuk diterima hatinya. Hanya akal yang mengakui bahawa kemungkinan dakwa Naazneen itu ada betulnya.
Tambahan pula, takkanlah nak cerita pada Naazneen yang dia tidak ingat. Dia hilang ingatan untuk dua minggu dalam hidupnya. Hanya dua minggu itu. Dan dalam dua minggu itu kemungkinan ada Naazneen di dalamnya.
“Cik Naaz, saya tak…” Arayn baru sahaja cuba menjelaskan kekeliruan daripada pihaknya apabila bunyi hiruk-piruk kedengaran di luar pintu pejabat. Arayn memasang telinga. Naazneen pula menoleh ke pintu yang terkatup rapat.
“Ohhh no!” Arayn gelabah. Dia kenal suara itu.
“Kenapa?”
“Kakak saya datang dah.” Arayn meramas-ramas tengkuknya. Berpeluh satu badan.
“Liyana atau Jasmin?” soal Naazneen laju. Arayn terpaku. Jadi, Naazneen memang isteri dia?
Naazneen juga menggelabah. Daripada cerita Arayn, kedua-dua kakaknya bukan jenis yang mudah hendak ditangani. Dia belum bersedia bertemu mereka. Dia hanya datang untuk mencari Arayn.
“Apa kita nak buat? Saya belum bersedia jumpa mereka.” Naazneen menggelabah. Kenapa susah sangat dia mahu berdua-duaan dengan Arayn untuk lima minit sahaja? Dia perlukan jawapan. Sebelum berundur dan pulang.
Arayn mundur-mandir. Dia pun kalut sama. Seketika, langkahnya terhenti. Pandangan bertembung dengan Naazneen. “Menyorok.”
“Ha?” Naazneen sentap.
“Awak kena menyorok. Saya tak tau nak jawab mereka nanti,” jelas Arayn yang ternyata belum bersedia.
Alahai, lemah semangat Naazneen apabila Arayn menayang muka meminta simpati. Merayu sebegitu rupa.
“Mana? Saya nak menyorok mana?”
Arayn dan Naazneen kalut. Mata meliar setiap sudut pejabat Arayn. Mencari tempat persembunyian. Aduhai hati, sabar ajelah Naaz.

No comments:

Post a Comment