Sunday 13 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 5)



Arayn dan Naazneen sudah jadi macam kipas kudung pula. Lari sana sini dalam bilik pejabat yang luas. Sorok di belakang kabinet fail, masih nampak badan. Nak sorok di belakang sofa, sofa pejabat Arayn jenis single. Tak ada yang panjang-panjang.
“Ha, bawah meja,” arah Arayn tiba-tiba. Buntang mata Naazneen. Laju dia geleng.
“Lahhh, cepatlah.”
“Tak naklah bawah meja.” Naazneen protes. Mukanya cemberut.
“Apasal pula?”
“Nanti ada lipas ke, semut ke, nyamuk ke? Saya tak sukalah, awak.”
Alahai, meleret jer perkataan ‘awak’ tu keluar dari mulut Naazneen. Berdiri bulu tengkuk Arayn tiba-tiba. Macam kena renjatan elektrik pula. Bukannya tidak suka. Hati lelaki ni rasa lain macam. Rasa nak terbang ke awang-awang. Rasa nak petik-petik bintang. Alahai…harap Naazneen taklah kerap sebut macam tu. Boleh cair hati kental Arayn nanti.

“Manalah ada serangga dalam bilik air cond ni. Kalau ada pun, nanti bagi tahu saya. Biar saya pecat kontraktor pest control tu,” rungut Arayn tak pasal-pasal.
Melihat Naazneen tidak terkutik dan pintu utama bilik pejabatnya bergegar-gegar, Arayn pantas merentap tangan Naazneen. Zuppp! Sekali lagi kena renjatan elektrik. Jantung berdegup kencang giler. Tetiba pula tu. Kuat Arayn, kuatkan semangat. Macamlah kau tak pernah pegang perempuan sebelum ni.
Ditolak segala rasa yang berdetak di hati, dibawa tubuh Naazneen ke mejanya dan diarah masuk. Walau keberatan, Naazneen tunduk juga. Memeriksa ruang sempit di bawah meja antara kerusi Arayn. Bimbang kalau-kalau kulitnya yang putih mulus gebu tu kena cium oleh serangga pula.
Bukanlah dia risau tak lawa, dia tak kisah pun. Tapi, kulitnya sangat allergic. Terutama kepada gigitan serangga. Kulit akan merah, gatal dan membengkak. Kalau digaru, akan jadi ruam. Badan akan panas dan dia akan demam. Hish! Tak boleh jatuh sakit dalam tempoh dua hari ni. Tak boleh.
Lantas, dia cuba membantah. Tetapi belum sempat dia berdiri, kepalanya disentuh Arayn dan ditolak masuk ke bawah meja. Saat itu jugalah pintu bilik pejabat dikuak selebar-lebarnya.
Arayn lekas-lekas duduk di kerusinya. Kaki dibawa merapat. Sehingga boleh dia rasa tangan Naazneen menolak-nolak kakinya. Tapi dia berusaha untuk tenang. Berusaha fokus kepada meja. Sepantas kilat, dia rembat fail biru di sisi meja dan bawa ke depannya. Menekuni fail itu, buta-buta.
Dupp…duppp…duppp. Jantung Arayn dan Naazneen berentak sama. Selesai bertekak dengan Helmie di muka pintu, Liyana yang berpakaian serba merah garang mengatur langkah seperti harimau belang mahu menerkam mangsanya. Cermin mata tebal yang bertenggek di batang hidung ditolak sekali lagi. Diperhati Arayn yang macam kucing kena siram air. Kecut dan takut. Tunduk.
Sah! Memang ada buat salahlah tu. Kalau tak, takkan menikus tak tentu fasal.
Liyana bertepuk tangan. Melangkah sehingga ke depan Arayn dengan sorakan. Arayn yang bimbang, perlahan-lahan mengangkat muka. Berlagak selamba. Setenang langit yang biru tanpa awan.
Selesai bersorak, Liyana peluk tubuh. “Tahniah Rayn, Aku dengar kau menang loteri hari ni.”
Arayn ketap gigi. Berdesup-desup nampaknya berita tu sampai ke pengetahuan Liyana. Dalam tak sampai dua jam, Liyana sudah berada di situ. Arayn sempat pandang Helmie yang menyandar di daun pintu. Helmie memberikankan ucapan good luck dengan isyarat bibir sahaja. Setelah menutup pintu rapat-rapat.
Nasib kaulah Arayn. Kan dah kata, Liyana punya informer berlambak dalam KL ni. Kalau bukan dari Tizz, pasti ada spy di kalangan lembaga pengarah yang menghadiri mesyuarat tadi. Mungkin sebab tu lah agaknya Helmie pun tak berani buat dajal di belakang Liyana. Boleh merempat tepi jalan kalau tersalah langkah.
“Apa Liya ni, datang main redah jer. Tak boleh ke ketuk pintu dulu?”
“Amboi, Liya tak boleh main redah? So, siapa perempuan tu yang selamba giler macam pelesit jer masuk ke meeting kau?”
Naazneen yang mendengar kian gentar. Tinggi betul nada suara Liyana. Sakit telinga kalau hari-hari dengar. Arayn raup muka dengan tapak tangan dan singgah di mulut. Berfikir jauh.
“Tak usah nak rahsiakan daripada akulah. Kalau kau bertekad nak nafikan atau selindung satu hal kecil pun…” jari telunjuk Liyana naik ke depan muka Arayn. Ugutannya berbisa. “I mean it, satu hal kecil pun, aku akan call Mama dan suruh dia balik sekarang juga.”
Arayn telan air liur. Naazneen menggelabah. Ditampar-tampar kaki Arayn. Menyuruh lelaki itu bertindak sesuatu. Janganlah sampai Mama pun tahu. Dari cerita-cerita Arayn, wanita itu sangat diktator. Macam Hitler pun ada. Arayn yang tidak tahan ditampar-tampar, sesekali menendang kakinya sehingga menyentuh badan Naazneen.
Hish! Apa pula main tendang-tendang ni. Ingat bola ke? Dah lah sakit badan membongkok macam ni. Perut pun dah mula meronta-ronta di dalam. Macam ada duri yang mencucuk-cucuk pula. Naazneen memegang perut. Nasib baiklah Arayn tak pakai stokin yang busuk. Kalau tak, memang muntah jugalah sekarang ni.
Tidak peduli dengan Naazneen yang tampak tidak selesa rapat dengan kakinya, Arayn fokus kepada Liyana yang galak merenungnya. “Mama pergi mana pula sekarang?” Arayn tidak tahu pula.
“Mama pergi Padang, Indonesia dengan kawan-kawan dia. Tapi kau kena ingat, Padang dengan KL ni bukannya jauh sangat. Boleh jer Mama pinjam jet YB kalau terdesak. Aku tahu Mama sering terdesak kalau hal-hal berkaitan dengan Rayn.”
Suka betul Liyana dapat ugut Arayn. Merah muka satu-satunya adik lelaki yang dia ada. Jarang sekali Arayn menikus macam tu. Ini peluang Liyana untuk menakut-nakutkan Arayn.
“Perempuan mana pula kali ni, Rayn? Shidah bukan Emma bukan. Awek baru pula ke?”
Naazneen terbeliak.
“Apa berita yang Liya dengar? Jangan percayalah mulut Tizz tu. Suka buat gosip.”
“Gosip tak gosip, aku peduli apa. Baik dengar dari Tizz daripada dapat tahu melalui paparazzi dan mamarazzi di luar sana. Bukan Rayn tak kenal Mama nanti. Boleh jadi zombie tak tentu fasal.”
Oppsss! Naazneen tutup mulut. Zombie dah keluar. Itu dari mulut Liyana seperti yang diceritakan Arayn. Belum lagi mulut Jasmin dan Arayn. Masing-masing ada gelaran sendiri. Bukanlah mereka tak hormat Mama. Bukan juga tak sayang Mama. Tetapi gelaran itu hanya menunjukkan betapa murkanya Mama jika sesuatu berlalu tanpa restunya. Kata-kata Mamanya sangat berbisa. Boleh menitik air mata, beb. Naazneen pernah mengulas fasal tindakan Arayn yang berkahwin tanpa pengetahuan Mama dua bulan lalu tetapi dipandang sepi oleh Arayn. Menurut Arayn, dia boleh handle Mama. Tengoklah nanti, boleh ke tak?
“Sekarang bagi tau cepat…” Liyana melenting. Dia cekak pinggang. “Betul ke tak?”
Arayn ramas-ramas rambut. Hish! Susahlah. Manalah dia tau betul ke tak. Dia masih sangsi. Masih berat nak terima kalau itulah kenyataannya. Arayn menatap Helmie yang sudah berada di sofa. Terhibur menyaksikan drama dua beradik. Renungan matanya menagih simpati Helmie. Tetapi Helmie yang mengerti sekadar menggeleng laju. Tidak kuasalah nak campur tangan.
“Arayn!”
“Rayn tak tau,” jerit Arayn, tertekan.
“Tak tahu apa?”
“Rayn tak tahu sama ada Naazneen betul-betul isteri Rayn.”
What! Geram. Naazneen cubit paha Arayn laju. Arayn gigit bibir menahan sakit. Sampai hati, Arayn. Tidak cukuplah lagi bukti yang dia bagi? Tidak fahamkah lagi kenapa Naazneen begitu terdesak? Tidak terkesankan lagi ke air mata Naazneen yang tumpah? Dasar lelaki tembaga. Naazneen sungguh kesal. Terkilan sekali dengan sikap Arayn.
Liyana terkejut. Berkerut dahi Liyana. Mulutnya terngagah luas.
“Dia dakwa kau suami dia? Kamu berdua dah berkahwin?” soalnya, lantang.
Oh my my…damn it! Tizz tak cakap pasal kahwin pun. Arayn ketuk kepala sendiri. Kenapalah dia selalu terlepas cakap kalau bertekak dengan Liyana? Jarak umur mereka hanya setahun. Lantaran itu, mereka rapat. Tidak ber’kakak’ tidak ber’adik’. Sekadar nama dan aku-kau.
Kedua-dua tangan Liyana menghempas meja Arayn. Bergegar meja itu. Berdesing telinga Naazneen akibat gema yang terhasil. Tangan itu menongkah badan Liyana yang banyak lemak. Badan dibawa mendekat sehingga muka Liyana hampir bertembung dengan muka Arayn dan mendongak dengan riak gementar.
“Kau dah kahwin atau tidak?” soal Liyana, keras.
Arayn gigit bibir sendiri. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Liyana. Sungguh. Liyana akan rasa terkilan. Pasti marahnya akan melambung-lambung. Bagaimana seorang adik boleh membelakangi keluarganya dan berkahwin tanpa pengetahuan mereka? Arayn takkan buat begitu. Selamanya takkan buat begitu! Jadi, tidak hairanlah kalau dia terhimpit. Degil mengakui.
Bukan dia buta. Tidak mengakui bukti yang ada depan mata. Bukan juga dia takde hati perut sampai tak boleh bezakan antara lakonan dan keikhlasan Naazneen. Tapi, dirinya yang dia kenal… Arayn tidak akan ambil jalan terburu-buru. Berkahwin dengan perempuan yang tidak dikenali tanpa pengetahuan keluarga. Itu bukan Arayn.
“Mungkin,” jawab Arayn, terdesak.
“Apa yang mungkin?” Liyana terus menekan.
“Rayn tak pasti sebab Rayn tak ingat apa yang berlaku dua minggu tu.”
Gulppp! Naazneen tercengang. Apa yang terjadi? Arayn tak ingat? Mustahil Arayn tak ingat. Tapi, kalau difikirkan betul-betul riak muka Arayn sepanjang dua jam ini memang sangat-sangat mengecewakan. Hish! Kenapa Arayn tak ingat? Apa yang berlaku ni?
“Apa? Kau kahwin masa kau hilang ingatan tu?”
Lambat-lambat, Arayn angguk.
Liyana terduduk. Nasib baik kerusi dekat sahaja. Dia nampak masalah yang lebih besar. Bencana yang menjadi bala dan menyusahkan Arayn kelak.
“Jadi, dalam masa kau tak ingat apa-apa tu, kau kahwin dengan perempuan yang tak dikenali?”
Arayn geleng. Wajah Liyana semakin kebingungan.
Arayn menghela nafas panjang-panjang. “Maksud aku…. aku tak tahu sama ada masa tu aku kahwin atau aku hilang ingatan selepas kahwin. Tak tahu.” Arayn jungkit bahu.
Senyap. Tiada kata-kata yang terbit daripada mulut Liyana. Arayn sedikit lega. Tetapi hati gadis yang dibawa meja itu remuk saat itu juga.
Rabak! Hati Naazneen tersiat-siat. Perit! Jiwanya terasa perit.
Arayn langsung tidak ingat. Tak ingat tentang perkahwinan mereka. Tak ingat tentang dia. Tentulah tak ingat tentang kenangan indah yang tercipta dalam masa yang singkat itu. Takkan ingat cinta pandang pertama mereka. Sadis! Ini sungguh tragis.
Luruh hati Naazneen.
Sekarang, Naazneen sudah dapat gambaran kenapa Arayn menghilang tanpa khabar berita. Sudah faham kenapa Arayn begitu dingin dengannya. Namun, jauh di dasar hati dia terkilan sangat-sangat. Setitik air mata yang menitis di pipi diseka dengan belakang tapak tangan. Dia kuat. Sekuat azamnya mencari Arayn.
Dia sudah temui lelaki itu. Sudah tahu kenapa Arayn tidak pulang-pulang. Naazneen bersyukur sekurang-kurangnya, kekusutan yang membenangi akal sudah dapat dileraikan. Sekarang dia boleh pulang walaupun dengan hati yang patah riuk segala.
Tak semena-mena, Liyana bangkit dengan penumbuk di tangan. “Mana bini kau?”
Ha? Arayn melopong. Terkejut badak. Naazneen lagi gelabah. Gemuruh berlipat ganda.
“Nak buat apa?”
“Kau tanyalah betul-betul. Selidik dengan cermat. Entah-entah dia tau kenapa kau boleh terlantar di hospital berhari-hari tu.”
Lepas satu, satu lagi kejutan menghempap kepala Naazneen. Apa yang terjadi kepada Arayn? Dia terkejut bercampur cemas. Hampir sahaja dia berdiri kalau bukan kerana berada di bawah meja. Kaki Arayn menghalang langkahnya. Tetapi bergegar jugalah meja tu.
“Apa tu?” Liyana cemas.
Arayn tepuk dahi sendiri. Naazneen pula gigit jari. “Takde apa-apa. Rayn tertendang meja.”
Serentak itu, Arayn tendang Naazneen lagi. Kali ini betul-betul kena di perut Naazneen. Apa lagi, Naazneen terjerit kuat. Sakitlah beb. Lelaki yang tendang tu bukan main-main tendang pun. Macam bersungguh pula. Nak bunuh bini ke?
“Arayn! Siapa bawah meja tu?” Liyana mengamuk.
Ha, kan dah kantoi! Padan muka.
Liyana tidak menunggu Arayn menjawab. Arayn sudah kalut. Menggeleng dan menghalang laluan Liyana. Tetapi Liyana menolak kerusi Arayn sehingga kelibat Naazneen kelihatan di bawah meja.
Liyana beristighfar panjang. Telinga Arayn ditarik sama panjang dengan istighfarnya itu.
“Keluar sekarang,” arah Liyana ketika Naazneen menjengul kepala. Jari Naazneen naik menayang ‘peace you’.
Naazneen berdiri sambil menekan-nekan perut. Sakit perutnya. Dia berusaha untuk senyum tetapi wajah Liyana yang membengis dengan mata yang membelalak itu membuat dia kecut. Perlahan-lahan, tanpa sedar, tangan Arayn dicari.
Wait! Apa yang Naazneen buat?
Sebaik menyentuh tangan Arayn, pantas sahaja Arayn bertembung mata dengan Naazneen. Mulanya hendak menepis, tetapi apabila melihat air muka Naazneen yang pucat dan terasa tangannya yang menggigil itu, Arayn bangkit, berdiri di tengah-tengah. Mengesot tubuh Naazneen ke belakang.
“Liya, kenalkan yang ni Naazneen,” ujarnya tanpa riak bersalah. Seolah-olah dah lama kenal. Sengih di hujung bibir. Helmie yang menjadi penonton misteri, ketawa menutup mulut.
“Tepi. Biar aku tengok dulu.”
Liyana tidak kisah perkenalan itu. Dia tolak tubuh Arayn yang melindungi Naazneen di belakangnya. Tidak jelas rupa gadis itu. Tetapi Arayn tidak berganjak.
Macam manalah Arayn nak ke tepi kalau Naazneen bukan setakat memegang tangan Arayn. Turut memegang baju lelaki itu di belakang. Kuat-kuat pula tu. Ini baru Liyana, belum jumpa dengan Jasmin atau Mama lagi. Kasihan pula Arayn tengok. Entah kenapa dia rasa semacam bertanggung jawab untuk melindungi Naazneen daripada serangan kakaknya itu.
“Amboi kecut ke? Takkanlah takut. Dah berani rempuh pejabat adik aku takkanlah tak berani nak hadap aku. Wei pompuan giler…”
“Liyana!” Arayn terjerit. Tidak sangka Liyana akan berbahasa kasar. Tersinggung pula hati Naazneen.
“Jangan nak sorok bini kau. Bagi aku tengok.”
Dalam kemarahan itu, badan Arayn ditolak kuat-kuat. Sehingga mahu tak mahu, Arayn ke tepi juga. Kasihan memang kasihan tapi kakak dia tu bukan boleh lawan. Alahai, dalam tak upaya tu, kali ini jari-jemari Arayn pula yang merayap mencari dan memaut jari-jemari Naazneen. Mereka berpegangan tangan. Saling menyokong. Sweet tak?
Galak betullah mata Liyana meliar ke setiap inci tubuh Naazneen. Sudahlah Naazneen bergelut dengan perut yang sakit. Kian mencucuk-cucuk pula tu. Tangan Liyana naik menyentuh muka Naazneen. Dibelek kiri dibelek kanan. Sebelah tangan Naazneen mengusap-ngusap rambutnya yang terjuntai sambil mengintai mata Arayn, meminjam kekuatan.
“Hmmm, gorgeous.” Tak sangka pula tiba-tiba Liyana memuji.
Merah pipi Naazneen. Kembang kuncup pula hidungnya. Arayn berdebar-debar. Kenapalah dia pula yang terjentik bangga? Alahai Arayn, masih nak keras-keraskan hati lagi ke?
“Pandai kau pilih. No wonders boleh lupa diri.”
Perghhh! Tebal muka Arayn. Helmie pula tersengih macam kerang busuk.
“Nama siapa?”
“Naazneen.” Arayn dan Naazneen serentak menjawab.
Liyana membetulkan cermin matanya yang terjatuh ke bawah hidung.
“Bila awak kahwin dengan Arayn?”
Tu diaaa ai! Dah mula dah sesi bedah siasat ni. Kisah di balik tirai diselongkar dan diri Naazneen dibedah. Tangan Naazneen kembali ke perut. Menekan. Manakala tangan sebelah kuat memegang jari-jemari Arayn. Arayn dilanda cemas apabila wajah Naazneen berubah pucat.
“Liya, tanya nanti.” Tangan Naazneen ditarik mendekat sehingga tubuh mereka semakin rapat.  “What’s wrong?” soal Arayn sempat menongkah dagu Naazneen untuk melihat ke dalam mata gadis itu. Sebaik Naazneen angkat muka, rasa nak gugur jantung Arayn.
Mata Naazneen basah. Bibirnya berketar-ketar. Dahinya basah dek peluh. Wajahnya pucat.
“Naaz…” terkatup mulut Arayn. Ehhh, apasal pula dia berasa lain macam ni? Tak boleh tengok Naazneen sebegitu. Seolah-olah, seluruh tubuhnya turut lemah.
“Awaaak…” Naazneen mengguman dalam bisikan yang merengek. Menyapa terus ke hati Arayn. Tanpa sedar, tangannya memaut lebih kemas. Seakan tidak mahu lepas.
“Kenapa?” Liyana muncul di sisi mereka. Melihat Naazneen memegang perut, dia terus sahaja berpaling kepada Helmie.  “Panggil Jasmin.”
No!” Arayn dan Naazneen terjerit serentak.

No comments:

Post a Comment