Wednesday 13 April 2016

BELAHAN 2 JIWA - Bab 2




Nour Aien mengetuk-ngetuk meja dengan pen di tangan. Kertas pelan putih yang penuh di atas meja, ditatap kosong. Hanya jasadnya yang berada di situ. Cuba menekuni kerja yang begitu penting dalam hidupnya. Satu-satunya usaha yang ditekuni agar dapat menyandarkan nasib untuk mengubah hidup.

Tidak tenang memikirkan lelaki itu, telefon bimbit dicapai dan dibawa ke pendengaran. Dua kali dering sahaja, suara yang diharapkan bergema di hujung talian.

“Dia datang…” Nour Aien yang masih direntap gemuruh dan rasa takut, ternyata masih belum temui kekuatan dalam suara sendiri. Bicaranya terhenti. Nama lelaki itu terasa berat mahu meniti di bibir Nour Aien


“Siapa yang datang?” suara Zarra kedengaran cemas. Apa tidaknya, Nour Aien takkan segagap itu, dengan helaan nafas yang memberat, melainkan…. Benarkah firasatnya?

‘Ya Allah, Kau lindungilah sahabatku.’ Zarra sempat berdoa di dalam hati setelah membayangkan sahabat yang jauh daripadanya itu.

Nour Aien mengesat peluh yang tiada pun di dahinya. Rambut yang telah diikat sanggul itu masih mengganggu ketenangannya. Boleh dirasakan tubuhnya berpeluh sama. Dia tahu sangat-sangat apa punca dia kecut sedemikian rupa.

“Dia datang sini, Zarra. Dia terjumpa aku,” bisik Nour Aien di talian.

Ohhhh! Mata Zarra membundar. Ternyata telahannya tepat ke sasaran.

“Rushdan ada di situ? Kau jumpa Rushdan?”

“Dia jumpa aku…” bergetar suara Nour Aien. Mulai kalut dan menggelabah. Kekentalan yang cuba dipertahankan sejak dua jam lalu melurut serta-merta apabila bercakap dengan Zarra. Bagaikan Zarra ada di hadapannya saat itu.

Sahabat baiknya itu, yang sedari kecil bermain masak-masak, mengaji al-quran dan membuat kerja rumah dan sekolah bersamanya di Rumah Kebajikan Sri Intan, sehingga saat ini adalah pendengar yang paling baik untuknya. Atau sehingga ke hembusan nafas Nour Aien yang terakhir kalinya, nama Zarra akan kekal terpahat sebagai sahabat dunia dan akhiratnya.

“Ya Allah, Nour…macam mana dia boleh jumpa kau? Bila dia jumpa? Apa dia buat? Kau lari tak?” Zarra yang cemas sudah tentu tidak kesabaran. Soalan demi soalan bak peluru machine gun ditembak tanpa henti. Tanpa sedar, soalannya itu menambahkan cemas di dada Nour Aien.

“Aku…aku tak tahu macam mana dia jumpa aku. Tapi…dia terlibat dalam Projek hotel Strenght Hill ni. Aku tak tahu bahawa syarikat Jaya Enigma Properties tu adalah milik Tan Sri Rosyam juga. Itu mungkin company baru mereka. Kalaulah aku tahu…aku dah lari, Zarra.”

Bekerja dengan Consultant Khalish & Khalish selama lebih tiga tahun, sudah terlalu banyak projek yang dipegang oleh Nour Aien. Bahkan, semasa Tuan Arayn Arfan, pemilik Strenght Hill Group membuka projek pembinaan hotel baru di Kuching, CK&Klah yang dilantik untuk membuat proposal reka bentuk dan pelan keseluruhan hotel itu.

Jadi, jika Jaya Enigma Properties dipilih menerusi tender sebagai main contractor yang bakal menguruskan projek ini, sememangnya Nour Aien tidak tahu menahu. Tambahan pula, projek ini diuruskan sepenuhnya oleh Iqbal. Bukan Nour Aien. Pemilihan dibuat oleh Strenght Hill Group. Mungkin, Datin Khalisah ada dijemput hadir semasa pemilihan dibuat. Sekali lagi, Nour Aien tetap takkan tahu.

“Zarra…macam mana ni? Apa aku nak buat?”

Zarra buntu. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dia buat kalau berada di tempat Nour Aien. Bukan mudah Nour Aein melarikan diri sehingga ke Kuching. Menghilang daripada kawan-kawan yang ibarat saudara sedarah sedaging sendiri. Itulah pengorbanan yang terpaksa Nour Aien lakukan demi menyelamatkan dirinya.

“Dia berkasar dengan kau tak?” soal Zarra, teringat aduan Nour Aien dahulu.

Nour Aien kemam bibir sendiri. Sakit masih terasakan di situ. Sentuhan kasar bibir Rushdan seakan bersisa lagi. Bulu roma Nour Aien meremang sendiri. Lekas-lekas dia pejam mata dan menggeleng laju.

“Tak,” cetusnya, kalut.

“Kau jangan tipu aku, Nour. Aku tahu kalau Rushdan jumpa kau, kalau bukan tampar kau, sepak terajang kau, dia hanya tahu cium dan peluk kau. Main paksa dan kasar-kasar. Jangan-jangan…”

“Zarra…” Nour Aien memotong laju-laju. Menegah bayangan tak senonoh itu daripada bermain di minda Zarra. Walhal, Zarra tidak pernah salah.

Zarra menghempas nafasnya laju-laju.

“Nour, aku harap kau kuat. Jangan berlembut dengan Rushdan.”

“Aku tak pernah berlembut dengan dia. Lagipun, aku tak mahu apa-apa pun dengan dia.”

“Bagus. So sekarang, kau cakap kat Datin tu kau nak ambil cuti. Kau datang sini. Cakaplah apa-apa alasan. Itu lebih baik daripada kau berdepan dengan Rushdan.”

“Aku memang nak ambil cuti, Zarra. Aku takut…aku…aku tak mahu dia tahu.” Nour Aien menutup mulut dengan telapak tangannya. Dia kerling seluruh isi pejabat yang hanya tiga orang di situ termasuklah dirinya. Memandangkan yang lain masih sibuk di hotel tadi.

Senyap. Dia dan Zarra tidak terkata-kata.

“Aku…aku risau…dia tahu,” tokok Nour Aien lagi. Debaran yang menghentak di dada semakin mengencang. Rasa gemuruh di seluruh urat sarafnya masih bersisa.

“Baik kau ambil cuti dan bawa Aisya datang sini. Sebelum Rushdan tahu.”

Nour Aien tidak sempat membalas saranan Zarra itu apabila anak matanya melekat ke pintu utama pejabat CK&K. Di sana, Datin Khalisah telah membuka pintu luas-luas dan mempersilakan tetamu terhormat mereka masuk ke pejabat CK&K. Nour Aien matikan telefon apabila seraut wajah Rushdan tersenyum penuh makna, terus memaku kepadanya yang memang duduk di bahagian hadapan pejabat tersebut.

Jantung berhenti berdetak. Wajah menjadi pucat dan tubuh menggeletar semula.

Cis!!! Kenapa dia datang sampai ke sini? Nour Aien diamuk cemas yang bukan kepalang hebatnya.



Selesai menyusuri pejabat CK&K yang tiga tingkat itu, Rushdan kembali ke ruang kerja di mana Nour Aien sedang mencari-cari helah untuk melarikan diri sekali lagi.

“Nour Aien…dah sediakan semua pelan dan slide?” soal Datin Khalisah tiba-tiba.

Nour Aien tepuk dahi sendiri. Dia terlupa untuk menyediakan semua keperluan mesyuarat seperti yang telah diemail kepadanya oleh Iqbal. Kalaulah dia tahu begini jadinya, dia takkan setuju menggantikan tempat Iqbal. Dia akan merayu pada Iqbal. Iqbal akan faham keadaannya. Iqbal akan sarankan staf yang lain. Tapi sekarang….sudah terlambat kiranya dia hendak menolak permintaan dan arahan Datin Khalisah.

“Saya tak set up apa-apa lagi kat conference room, Datin,” jawab Nour Aien separa berbisik. Dia sedar, mata lelaki di belakang Datin Khalisah itu galak menikam-nikam padanya. Tetapi Nour Aien sedaya-upaya tidak mahu berlaga pandang dengan Rushdan.

Datin angkat kening. Hairan melihat wajah Nour Aien yang pucat dengan prestasi kerja yang tiba-tiba runtuh itu. Tangannya terus sahaja menyentuh dahi Nour Aien. Dia risau kalau-kalau kesihatan Nour Aien terganggu. Dia sedar selama ini Nour Aien mana pernah berlengah-lengah dalam bekerja. Kalau sakit sekalipun, dia heret juga seluruh kudratnya untuk datang ke tempat kerja, ke site atau ke mana-mana tuntutan kerja memanggil langkahnya.

“Badan awak sejuk ni,” getusnya, bersama rasa bimbang sangat. Wajah pucat Nour Aien ditilik lagi. Kemudian, Datin Khalisah berpaling dan sempat mengintai mata Rushdan yang memaku tanpa kerdip kepada pekerja kesayangannya itu.

“Amboi Rushdan…saya tahulah Nour Aien ni memang lawa orangnya. Tak baik tenung lama-lama gitu. Dia ni dah bersuami tau.” Tiba-tiba Datin Khalisa menegur dengan senyuman penuh makna.

Rushdan terpempan. Nour Aien pula terkedu. Serta-merta, wajah Rushdan menjadi merah. Tunak matanya yang dilarikan kepada Datin Khalisah tadi, kembali galak menikam setajam hujung pedang kepada Nour Aien yang tertunduk, menyembunyikan segala rasa yang membungkus dirinya saat itu.

“Ehhh, saya rasa dia ni macam seseorang yang saya kenal dulu. Tapi, mungkin saya salah orang.” Terdengar Rushdan mengulas

“Iya ke? Saya rasa selawa mana pun gadis yang tentu tak boleh lawan dengan Nour Aien. Al-maklumlah, orang kata perempuan yang ada anak comel tentulah lebih cantik berbanding dengan anak dara.” Datin Khalisah tertawa. Mengharap jenakanya disambut dengan ketawa yang sama. Malangnya, tiada seri pada wajah tetamunya itu. Apa yang dia lihat hanyalah sikap bengis seorang lelaki. Ya, reputasi Rushdan memang sudah diketahui umum.

Anak? Nour Aien bukan setakat ada suami, tapi ada anak juga? Jadi, perempuan ni sudah meneruskan agenda menjadi isteri mithali konon-kononnya. Fikiran Rushdan menjadi keruh. Hati menjadi bertambah sakit.

4 comments: