Tuesday 12 April 2016

AWAS! DIA MILIK AKU (Bab 3) - Limited Edition




AKU sudah terkejar-kejar sambil mengerling pada jam di pergelangan tangan. Gadis Cina itu memang sengaja melambat-lambatkan kerjanya. Sehingga aku rasa macam tak cukup masa pula. Tinggal dua jam sahaja lagi.

Aku tercungap-cungap berlari-lari anak menuju ke parkir kereta kala jeritan kedengaran dari dalam beg tangan. Bunyi lagu itu yang menghentikan langkahku.

‘Ah! Takkanlah dia dah sampai?’ akalku berbicara sendiri sambil tangan sudah menggagau mencari pinkiku.

Deringan telefon dengan suara bayi kecil ketawa tak henti-henti sengaja aku khaskan untuk Mikael seorang. Sebab itu, sebaik sahaja lagu itu didendangkan oleh pinkiku aku selalunya terlonjak girang.

Sebaik sahaja pinkiku berada dalam genggaman, aku tersenyum melihat nama pemanggil. Terlonjak aku di tengah-tengah puluhan kereta yang tersusun kemas. Nasib baik tiada yang terperasankan aku. Malunya. Bayangkan kalau Mikael pula yang muncul di hadapanku sekarang ini…? Apa nak buat agaknya? Merah dah muka ini.

Pantas, butang hijau aku sentuh dan tarik ke kanan. Kemudian terkap ke telinga.


“Assalamualaikum, sayang.” Jantungku berhenti berdegup. Suara yang aku rindui. Senyumku bertambah-tambah lebar. Pipi pula terasa panas dek warna kemerah-merahan. Lidahku kelu tanpa sepatah kata.

“Nira… sayang, dengar tak?”

“Ehh…dengar. Ling-ling dah sampai ke? Bukan dua jam lagi ke?” akalku pula sedang berfikir sesuatu.

Tubuh badan pun sudah sedikit menggigil. Kalut aku tiba-tiba. Lantas pergelangan tangan dibawa ke penglihatan. Betul. Aku tak salah tengok jam. Atau mungkin jam aku sudah tak betul?

“Sayang tak jawab salam ling pun. Tak boleh gitu. Memberi salam itu sunat hukumnya, menjawab salam itu yang wajib.” Kedengaran suara Mikael dengan mukadimah yang biasanya.

Aku mengeluh kecil. Namun, terhibur dengan bahasa panggilan kami sejak meniti lapan tahun ini. Aku panggil dia ‘ling’ atau ‘ling-ling’. Sebagai perlambangan kasih mesra. Sengaja mengambil kelainan daripada yang sudah terbiasa. Itupun setelah dia memanggil aku ‘sayang’ atau ‘ayang’.

Selesa dengan panggilan masing-masing, kami jarang membahasakan diri dengan nama. Melainkan dalam keadaan marah. Kadang-kala, terkeluar juga nama singkatan, nama pena atau nama penuh sekalipun. Tapi, aku tak pasti sama Mikael ingat nama penuh aku. Mungkin, masa nikah nanti baru dia nak periksa sekali lagi, agaknya.

“Itu salah linglah. Dah tahu ayang gitu, buat apa jatuhkan sesuatu yang wajib pada ayang? Kan tak tertunai oleh ayang.”

“Sayang, maafkan ling. Bukan…”

“Eh, tak nak cakap pasal tu. Ling dah sampai ke? Macam mana ling boleh telefon kalau masih dalam pesawat?” potongku yang sudah kembali cuak.

“Sayang…sayang belum jawab lagi,” Mikael mengingatkan. Ada nada tegas di hujung bicaranya.

“Waalaikumsalam,” jawabku, tak ikhlas pun.

“Macam tu lah sayang, ling. Ling rindu kat sayang,”

“Iya ke? Ling tak jawab pula soalan ayang,” tuturku laju mengembalikan paku buah kerasnya sambil muncung dah seinci ke depan. Sengaja buat-buat merajuk pula.

“Ling dah pm dalam inbox pagi tadi. Mesti sayang tak buka fb ni. Ling tak buka hp tadi sebab nak jimat bateri. Lagipun, ling nak dengar suara sayang dulu.”

Aku terhibur dengan penjelasan Mikael itu. Ayat yang hujung itu sangat-sangat menyentuh hatiku. Semakin memerah rasanya pipiku. Aku sentuh pipi kanan dengan telapak tangan. Membahang rupanya.

“Eh, ayang memang tak buka fb. Ling kena delayed flight lagi ke?” tebakku.

“Bukan delayed, tukar flight. Nasib baik ada kosong. Ling ambillah terus. Ling dah balik semalam…”

“Semalam? Ling balik semalam?” Aku ulang tak percaya. Dadaku berdebar semacam. Fikiranku terbang menerawang kepada kejadian beberapa jam tadi. Serta-merta sahaja sejuk terasakan menyelinap sehingga ke pipiku.

“Eh, sayang tak suka ling balik awal ke?” tukasnya, ada nada hampa kedengaran di hujung talian. Tak mampu menandingi kehampaan yang aku rasakan saat ini.

“Bukan tak suka. Kalau ling dah balik semalam, kenapa hari ni baru ling cakap kat ayang? Ling tak rindukan ayang ke?”

Nada merajuk yang dibuat-buat tadi sudah bertukar serius rupanya. Ayat gatal terluah begitu sahaja daripada celah bibirku yang seinci muncungnya tadi. Tak ada malu-malu lagi. Jelas benar hati ini terguris dengan perkhabaran itu.

“Ah, takkanlah tak rindu. Sebab rindulah ling-ling balik awal.” Aduh! Hatiku dipaut sayang semula. Macam mana tak cair? Wahai hati wahai jiwa, tenang-tenanglah, sabar-sabarlah, senyum-senyumlah.

“Dah tu?”

“Ling-ling ada hal penting. Masalah keluarga. Ling-ling sibuk sangat sekarang ni. Kalau ling free nanti, kita jumpa. Boleh peluk tak?”

“Hish! Gatal! Mana boleh,” terjerit aku oleh sikap sengal dia. Sikap yang aku rindui selama ini.

“Sajalah. Ling-ling gurau je. Okey sayang, ling-ling ada hal dah ni. Abang dah panggil tu. Nanti sayang sms kalau ling tak angkat telefon. Ling sibuk beberapa hari ni,” tuturnya laju sungguh.

Terdengar juga suara seseorang di sisinya seakan tak sabar-sabar lagaknya. Hatiku bagai dicampakkan sebutir bom. Tunggu masa sahaja mahu meletup ni.

“Maksudnya, ling-ling memang tak boleh jumpa ayang beberapa hari ni?” soalku, bersabar dan masih tetap mengharap.

Lama aku menanti, Mikael hanya kedengaran mengeluh keras dan terdesak oleh suara seseorang di sebelahnya. Seakan tak sabar menantinya memutuskan panggilan telefon. Aku jadi semakin panasaran.

“Maaflah sayang. Tapi, kita boleh wechat malam ni. Harap bolehlah,” Mikael masih cuba melayaniku.

Masih menabur janji. Namun, aku dapat rasakan ada ketidak pastian pada ayatnya. Aku terdiam. Tidak mahu terus tenggelam dalam syak wasangka. Malah tidak mahu mula mencurigai kata-katanya.

“Sayang, ling pergi dulu ya. Nanti ling bagi tahu bila kita boleh jumpa. Oh ya, ling ada hadiah untuk sayang. Mungkin minggu depan posmen hantar. Harap sayang sukalah.”

Aku berdecit sedikit. Sebagai jawapan, protes sebenarnya. Muncungku tak perlu ukur. Boleh sampai sejengkal rasanya. Aku masih bersedih. Sepatah pun tidak meniti di bibirku. Masih berkira-kira sesuatu pada benak akalku.

“Assalamualaikum,” suaranya tiba-tiba kedengaran di hujung talian.

Aku panik seketika. Hanya terdaya menggigit bibir. Perlukah aku katakan sesuatu? Tidakkah dia rasa seperti mana aku rasa? Merindui dia siang dan malam.

“Sayang…” panggilnya lagi.

Seakan masih menanti aku memuntahkan sesuatu. Rambut yang kemas berdandan cantik, ikal dan berombak lentok aku pintal-pintal dengan jari. Melepaskan kehampaan yang terbit seketika ini.

Sayangnya, dia takkan dapat melihat keayuanku kala ini. Terbayang-bayang wajah lelaki yang aku rindui itu. Lalu, aku tutup mata sekilas. Bersedia melepaskan dia sekali lagi.

“Waalaikumsalam,” balasku seraya menekan butang merah. Aku mengeluh lemah. Harapan berkecai. Hampa sekali. Wahai hati wahai jiwa, tenang-tenanglah, sabar-sabarlah, dia takkan ke mana-mana. Mikael sudah pulang!

Berat kaki yang terasa, melangkah lemah ke arah kereta. Seberat hatiku yang dipaut resah dan hampa. Walau jauh di dasar hati, aku masih mahu bertemu dia yang aku rindui. Terpaksa berkubur di lembah merindui sekali lagi.

No comments:

Post a Comment