Friday 13 May 2016

SI HITAM MANIS - Coming Soon




Balik dari sekolah memang memenatkan. Sepatutnya, aku sudah pulang dua jam yang lalu. Malangnya, kerja-kerja menimbun. Bukan setakat marking kertas peperiksaan, pengetua nak laporan juga hari ini. Terpaksalah aku bertahan menyediakan apa yang patut. Telefon yang bordering-dering, akhirnya aku matikan sahaja. Tidak kuasa lagi berbahas dengan mak yang memekak di talian.

Sewaktu aku tiba di perkarangan rumah, dua buah kereta asing sudah memarkir di depan pintu pagar. Menghalang laluanku untuk masuk ke dalam rumah. Terpaksalah kereta myvi kuning yang menyala-nyala warnanya, sama kuning dengan baju kurung berbunga kecil-kecil, aku tinggalkan bersadai di depan pintu pagar jiran sebelah rumah.

Aku melangkah laju menuju ke pintu pagar. Pak Andak yang sedang berada di ambang pintu, terus melambai sebaik sahaja aku memasuki pagar.

“Dah balik pun anak dara bertuah ni. Cepat sini,” laungnya, tidak kesabaran.

Aku diserang perasaan curiga. Pelik melihat kasut dan selipar yang pelbagai saiz dan berselerakan di luar pintu. Pemiliknya pasti bukan gerangan penghuni rumah ini.

Aku teruskan juga. Masuk ke dalam rumah bersama salam yang sempat meluncur dari bibirku. Seperti aku duga, sekumpulan tetamu asing menumpukan mata mereka padaku. Lantas, aku layangkan senyuman, semanis-manis anak dara yang menghampiri usia 40-an. Bukan dara sunti. Tapi akulah si andartu itu.

“Inilah Adira,” kata ibuku yang bangkit memperkenalkan aku. Aku sekadar angguk. Seperti kebiasaannya.

Di atas meja, di tengah-tengah sofa, kuih baulu dan kek coklat moist leleh itu menjadi hidangan wajib. Terpandangkan sahaja hidangan itu, senyuman di wajahku mati terus. Pantas, aku pandang wajah ibu yang bagai mengerti perubahan riak di wajahku. Serta-merta, bahuku ditepuk kuat.

“Pergilah salam bakal mak mertua Dira,” katanya. Wanita yang bertudung putih dengan manik-manik di atas kepala bangun dan bersalaman denganku. Aku sekadar senyum, dalam kepayahan. Air liur aku teguk berulang-ulang kali.

“Ini anak mak, Harris.” sahutnya pula, sambil jarinya menuding kepada lelaki berkopiah putih di sebelahnya. Lelaki bulat yang saiznya dua kali ganda daripada saiz aku. Beratnya juga boleh diagak-agak satu setengah kali ganda daripada berat aku.

Dia kemudian mendongak, memandangku dan sekaligus, bibirnya mengherot lalu pipinya menjadi kembang. Membulat kiri dan kanan. Aku tengok comel pula orangnya. Montel gitu. Ahhh, sudah….jangan terpedaya. Aku ingatkan diri. Memberi amaran.

Selesai bersalaman dengan semua orang, aku meminta diri. Bersedia menanti satu lagi adegan sedih berduka lara dan memilukan hati seperti dahulu. Ini bukannya yang pertama. Orang datang merisik aku dan tidak akan kembali lagi. Alasan mereka tidak serasi. Atau mungkin, aku tidak lawa. Apalah salahnya diriku. Kekurangan aku, hanyalah kerana aku berkulit hitam, gelap dan tidak secerah adik-beradikku yang lain.
Tapi, apa buruknya aku? Macam orang kata, hitam hitam si tompok manggis. Walaupun aku hitam, aku tetap manis apabila dipandang. 




Emak bercakap di talian dengan suara yang sangat perlahan. Sebentar tadi, bukan main galak lagi. Suka apabila bakal besannya menelefon. Tapi, selepas lima minit, suara emak timbul tenggelam. Wajahnya berubah lesu.

Aku yang mendengar terpalit resah. Menanti panggilan itu bagaikan menunggu keputusan SPM dahulu. Macam mana aku tak keruan. Dulu, lepas sahaja rombongan merisik pulang, pantas juga kami mendapat keputusan. Selalunya ditolak. Ya, selepas lapan kali merisik dan dua kali putus tunang, aku tidak lagi meletak sebarang harapan. Sisa-sisa harapan itu telah lama musnah. Sehinggalah, tiga hari yang lalu. Arghhh, aku jadi panasaran dibuatnya.

“Mak janganlah risau. Insya Allah, Dira boleh terima kenyataan. Lagipun, kalau Dira tak kahwin, Dira boleh teman mak. Mak patut bersyukur sebab ada anak sebaik Dira. Boleh jaga mak seumur hidup.” Aku pujuk emak. Dalam usaha, memujuk hati sendiri. Senyumku lebar tapi rasanya hambar sekali.

Emak pandang aku sebelum mengeluh hampa. “Mak tak nak Dira tua seorang diri. Kalau mak dah takda nanti, siapa nak temankan Dira? Takkan Dira nak bercakap dengan lampu dan kipas memanjang? Mak tak nak Dira sampai gila takda teman nak luahkan perasaan.”

Terbukti, selama ni mak banyak skodeng aku. Dalam berbaring tu, memang aku suka layan perasaan dan bercakap-cakap dengan kipas dan lampu depan mata. Nak buat macam mana? Itu lah saja yang setia menemaniku setiap malam, bila hati ini terasa kesepian.

“Ala mak ni. Dira kan ada angah dan asu. Kalau Dira bosan, Dira pergi jer rumah mereka. Bukan jauh mana pun.” Dua orang adik aku jadi sasaran.

Emak makin suram. Matanya tampak berkaca-kaca. “Mereka ada kehidupan mereka, Dira. Dira tak mahu kah ada kehidupan seperti mereka? Ada suami untuk berkongsi suka dan duka. Ada anak-anak untuk menceriakan hidup mereka. Yang memberi mereka matlamat untuk hidup?”

Sepatah demi sepatah ayat emak itu, menyiat-nyiat tangkai hatiku. Membelit kejam dan terus melumpuhkan sekeping hati yang mahu kuat. Kalaulah boleh aku jeritkan pada dunia, telah lama aku jeritkan sehingga urat sarat di leherku ini putus pun aku tak peduli. Aku mahu dunia tahu. Aku mahu dunia berhenti bertanyakan soalan cepu mas tu. Aku mahu mereka merasai keperitan yang aku tanggung selama ini.

Argh!!! Kalaulah jeritanku itu boleh mengubah segala ketentuan Ilahi?

Tidak mahu tenggelam dalam kesayuan yang terbuka, aku bangkit dari kerusi di meja dapur dan merentap kunci kereta myvi kuningku.

“Dira nak beli buku dulu, mak. Esok nak bagi test kat budak-budak sekolah.” Tidak menanti jawapan emak, aku berlalu sahaja, keluar dari rumah.

“Dira...mak tak habis cakap lagi.”

Aku sekadar terus melangkah. Emak hantar aku dengan pandangan yang sudah pun basah. Sedu-sedannya sempat menyapa ke pendengaranku. Tapi, aku gagahkan langkah keluar dari rumah. Kerana aku yakin, kalau sesaat lagi aku duduk di depan mak, aku akan teresak sama. Kami akan berdakapan.

Sesungguhnya, Allah tahu betapa aku mahu dikasihi dan mengasihi. Dicintai dan mencintainya. Dan sesungguhnya, aku juga tahu, jodoh itu di tangan Allah. Hanya kepada-Nya aku meminta sejak sepuluh tahun yang lalu.

4 comments: