Wednesday 8 June 2016

SI HITAM MANIS (Bab 2) - Coming Soon




Emak bercakap di talian dengan suara yang sangat perlahan. Sebentar tadi, bukan main galak lagi. Suka apabila bakal besannya menelefon. Tapi, selepas lima minit, suara emak timbul tenggelam. Wajahnya berubah lesu.
Aku yang mendengar terpalit resah. Menanti panggilan itu bagaikan menunggu keputusan SPM dahulu. Macam mana aku tak keruan. Dulu, lepas sahaja rombongan merisik pulang, pantas juga kami mendapat keputusan. Selalunya ditolak. Ya, selepas lapan kali merisik dan dua kali putus tunang, aku tidak lagi meletak sebarang harapan. Sisa-sisa harapan itu telah lama musnah. Sehinggalah, tiga hari yang lalu. Arghhh, aku jadi panasaran dibuatnya.
“Mak janganlah risau. Insya Allah, Dira boleh terima kenyataan. Lagipun, kalau Dira tak kahwin, Dira boleh teman mak. Mak patut bersyukur sebab ada anak sebaik Dira. Boleh jaga mak seumur hidup.” Aku pujuk emak. Dalam usaha, memujuk hati sendiri. Senyumku lebar tapi rasanya hambar sekali.
Emak pandang aku sebelum mengeluh hampa. “Mak tak nak Dira tua seorang diri. Kalau mak dah takda nanti, siapa nak temankan Dira? Takkan Dira nak bercakap dengan lampu dan kipas memanjang? Mak tak nak Dira sampai gila takda teman nak luahkan perasaan.”
Terbukti, selama ni mak banyak skodeng aku. Dalam berbaring tu, memang aku suka layan perasaan dan bercakap-cakap dengan kipas dan lampu depan mata. Nak buat macam mana? Itu lah saja yang setia menemaniku setiap malam, bila hati ini terasa kesepian.
“Ala mak ni. Dira kan ada angah dan asu. Kalau Dira bosan, Dira pergi jer rumah mereka. Bukan jauh mana pun.” Dua orang adik aku jadi sasaran.
Emak makin suram. Matanya tampak berkaca-kaca. “Mereka ada kehidupan mereka, Dira. Dira tak mahu kah ada kehidupan seperti mereka? Ada suami untuk berkongsi suka dan duka. Ada anak-anak untuk menceriakan hidup mereka. Yang memberi mereka matlamat untuk hidup?”
Sepatah demi sepatah ayat emak itu, menyiat-nyiat tangkai hatiku. Membelit kejam dan terus melumpuhkan sekeping hati yang mahu kuat. Kalaulah boleh aku jeritkan pada dunia, telah lama aku jeritkan sehingga urat sarat di leherku ini putus pun aku tak peduli. Aku mahu dunia tahu. Aku mahu dunia berhenti bertanyakan soalan cepu mas tu. Aku mahu mereka merasai keperitan yang aku tanggung selama ini.
Argh!!! Kalaulah jeritanku itu boleh mengubah segala ketentuan Ilahi?
Tidak mahu tenggelam dalam kesayuan yang terbuka, aku bangkit dari kerusi di meja dapur dan merentap kunci kereta myvi kuningku.
“Dira nak beli buku dulu, mak. Esok nak bagi test kat budak-budak sekolah.” Tidak menanti jawapan emak, aku berlalu sahaja, keluar dari rumah.
“Dira...mak tak habis cakap lagi.”
Aku sekadar terus melangkah. Emak hantar aku dengan pandangan yang sudah pun basah. Sedu-sedannya sempat menyapa ke pendengaranku. Tapi, aku gagahkan langkah keluar dari rumah. Kerana aku yakin, kalau sesaat lagi aku duduk di depan mak, aku akan teresak sama. Kami akan berdakapan.
Sesungguhnya, Allah tahu betapa aku mahu dikasihi dan mengasihi. Dicintai dan mencintainya. Dan sesungguhnya, aku juga tahu, jodoh itu di tangan Allah. Hanya kepada-Nya aku meminta sejak sepuluh tahun yang lalu.

7 comments:

  1. Hummmm..mak-mak dah de planing...huhu

    ReplyDelete
  2. insyaAllah.. ada jodoh tu nnti..

    ReplyDelete
  3. faham kerisauan seorangmak...tambah lagi kalau anak tu baik. mesti dira ni baik...itu yang maknya nak juga dira kawen kot

    ReplyDelete