Tuesday 15 September 2015

TANGKAP MUAT PUNYA FASAL (Bab 8)

Arayn Arfan



Belum sempat Arayn tutup pintu bilik, Helmie punya menyanggah. Masuk dengan sengihan yang teramat lebarnya. Tetapi Arayn biarkan sahaja. Pada masa itu juga Dian lalu bersama beberapa rakan sekerjanya yang lain. Cepat-cepat Arayn menyergah.
“Dian.”
Dian berpaling dan berasa kecut apabila disergah majikannya itu. Apalah pula yang dia nak? Takkanlah nak marah pula kerana kecuaian dia? Bukannya dia tahu pun yang Naazneen terlepas sampai tingkat 42 tadi. Dalam seram-seram suku tu pun dia menapak juga ke muka pintu di mana Arayn sedang menanti.
“Bila Syafikah balik?”
Dian jongket bahu. Nama setiausaha yang sedang bercuti itu dicari lagi. Manalah dia tahu?
“Saya tak peduli dia balik ke tidak. Saya nak simcard telefon saya yang lama tu. Apasal susah sangat nak ganti baru? Korang tak buat kerja ke?” soal Arayn. Sudah hilang sabar.
“Tapi tuan, tu kan nombor peribadi tuan. Memang susahlah kalau orang lain yang berurusan…” ayat akhir itu dikemam-kemam Dian. Sudah puas dia berurusan dengan syarikat telekomunikasi itu tetapi macam-macam kerenah yang dia kena layan.
“Kan saya dah bagi authorized letter kat kamu. Pergi dapatkan simcard baru saya hari ini juga. Atau esok kamu jangan masuk ofis selagi tak bawa balik simcard baru untuk saya. Saya nak nombor lama saya tu juga.”

Ya, dia perlukan nombor itu. Untuk Naazneen. Kasihan Naazneen. Pasti selama dua bulan ini dia selalu mendail nombor itu. Telefonnya hilang bersama-sama simcard lama itu sebaik sahaja dia sedar di hospital.
Belum sempat lagi Dian menjawab, pintu bilik majikannya dihempas. Betul-betul di mukanya. Geram betullah bos seorang ini. Cakap tak pernah elok-elok. Mahunya tak pernah sabar-sabar. Hish! Kenapalah Naazneen boleh terhegeh-hegeh dengan lelaki macam tu? Sudahlah buaya tak reti pula nak hormat orang.
Arayn kembali ke sofa di mana Naazneen duduk selama sejam tadi. Masih terasa panasnya sofa itu. Masih terbau-bau haruman Naazneen sebentar tadi. Semuanya membuat Arayn tak senang duduk. Kepalanya dilentokkan di bahu sofa. Kakinya sengaja menjuntai dari tepi. Dia pejam mata. Seluruh badannya seakan melayang-layang. Seulas bibir Naazneen yang tersipu-sipu tadi, mengetuk-ngetuk hatinya.
“Hoi! Toksahlah nak gila bayang pula. Dia baru jer blah. Kau dah macam kucing hilang anak.”
Tangan Arayn ditepis Helmie yang duduk di sebelahnya. Anak? Sebut tentang anak itu membuat Arayn duduk tegak. Dia ramas-ramas tengkuk. Fikirannya jauh kepada Mama. Mama impikan cucu. Sudah lama Mama tiada seorang cucu pun. Baik daripada Liyana mahupun daripada Jasmin. Mama pasti suka hati kalau tahu Arayn ada anak sekarang. Tanpa sedar, Arayn senyum lebar. Selebar-lebarnya.
“Apasal?”
“Kau akan jealous kalau aku cakap.” Arayn jungkit-jungkit kening. Wajahnya berseri-seri.
“Apa dia, cakap jerlah.”
Arayn tetap senyum juga. Senyuman yang mendebarkan Helmie. Tidak pernah Arayn senyum sebegitu rupa. Bahagia sungguh pula rasanya.
Wait. Biar aku teka.” Kali ini Helmie dekatkan muka kepada Arayn. Juga menjogetkan kening. “Naazneen tinggal dengan kau malam ni?”
Berkerut wajah Arayn sejenak. Lambat-lambat, dia angguk juga.
“Iskk! Bolehlah kau penyek dia malam ni.” Helmie senyum lebar.
Mati senyuman Arayn. Tak pasal-pasal ke situ pula. Apa dia ingat Arayn main tangkap muat aje nak langsaikan hutang nafsunya? “Hish kau ni. Otak tu…sama dengan mulut ajelah. Takde kerja aku nak penyek dia pula.”
Helmie langsung tiada rasa bersalah. “Alahhh, yang kau usung awek kiri kanan, raba sana sini, mana puas bro. Syukurlah kau dah ada yang halal. Bolehlah kau…”
Tak habis ayatnya, air dalam gelas terus dicurah kepada Helmie. Padan muka! Sakit pula hati Arayn mendengar cadangan gila Helmie tu. Bukannya dia tak nampak betapa naifnya Naazneen. Nampak lurus aje.
“Wei, kalau iya pun nak marah janganlah main siram-siram air. Ingat aku ni pokok bunga ke?”
“Kalau pokok bunga tadi, aku cantas jer. Tak payah nak siram-siram. Aku siram ni pun supaya kau bertambah subur.” Arayn bukannya berniat nak menyindir tetapi Helmie dan Liyana sudah dua tahun berumah tangga. Belum lagi dikurniakan cahaya mata.
“Kau tau aku tak kisah subur atau tidak. Yang penting malam-malam boleh jer aku layan projek.”
Sekali lagi dahi Arayn berkerut seribu.
“Alahhh, kau ni lembablah. Nama jerlah playboy. Ayat kias pun tak tahu.” Arayn bangkit mengibas-ngibas baju dan seluarnya. “Projek atas katil. Bersama Li…”
Baki air dalam gelas lagi disembur ke muka pula. Arayn bengang. Dah banyak kali dia ulang. Dia tak suka hal kelambu kakaknya dicanang-canang Helmie di dalam pejabatnya. Kakaknya tu! Tolonglah hormat.
Helmie nak sangat-sangat mengamuk kalau bukan pintu bilik pejabat itu bergegar sebelum dibuka dari luar.
Hello guys.” Dia sudah muncul dengan senyuman yang sama lebar seperti Arayn dan Helmie tadi.
“Helmie, what happened to you?” Dia meluru masuk. Satu kotak donut diletak di meja kecil depan sofa mereka. Laju pula tangannya menggagau beg tangan dan mengeluarkan sapu tangan kecil dari situ. Lantas dibawa ke badan Helmie.
Wait! No!” Sepantas kilat juga Helmie mengelak. Tidak rela membiarkan pakaian di bahagian perut, paha dan antara kedua-duanya itu disentuh. Dapat dielak. Haahaa, dalam gatal-gatal itu tak sangkalah pula dia tak suka disentuh oleh perempuan lain.
What’s wrong? I cuma nak tolong.”
Takpe. I can manage.” Lekas-lekas dia keluar dari bilik meninggalkan Arayn dengan masalah barunya yang bakal meletup.
“Apa lagi yang you buat sini, Tizz?” soal Arayn, menapak semula ke mejanya.
“Sejak bila pula you tak happy bila tengok I datang?” Tizz hairan. Tetapi dia bukannya tak boleh andaikan. “Oh darling, I bawakan donut favourite you hari ini.” Sekotak donut dari Big Apple diambil dan diletak di meja kerja Arayn.
“Tizz!” terjerit Arayn.
“Oopps! Sorry…I lupa.” Tizz mengangkat semula kotak donut tu dan kembalikan ke meja dekat sofa tadi. Arayn menarik tisu di belakangnya. Mengesat sisa bekas kotak yang melekat di meja.
You memang tak kenal I ke?” soal Arayn, marah. Entah kenapa dia teringatkan Naazneen. Berbeza sekali dengan Tizz, Naazneen tampak lebih mengenali dalamannya. Sedangkan dia dan Tizz sudah lama kenal.
You ni, tetiba marah aje, napa?” Tizz melangkah dengan lentoknya. Merajuk lah konon. Arayn tengok pun dah meluat. “You masih marahkan perempuan gila tadi tu ke?” Tizz sebenarnya memancing. Dan Arayn faham sangat-sangat tujuan Tizz itu.
“Jangan nak corner-corner pula. Straight to the point. Apa you buat sini?” soal Arayn, sengaja bersikap sarkastik. Tapi tak terluak pun senyuman Tizz.
Semakin lama, Tizz semakin hampir. Sudah pun berada di sisinya. Pakaiannya cepat pula ditukar ganti. Tidak seformal ketika di bilik mesyuarat tadi. Kali ini dengan baju tak ada tangan dan skirt sendat yang dua jengkal dari lutut tu macam sengaja nak kena terkam gamaknya.
Tangan Arayn yang sudah memegang fail itu disentuh. Elehhh, Rayn…jangan nak buat-buat alim pula nak pegang fail. Konon nak sibukkan diri dengan benda lain, kan? Padahal dia takut sebenarnya kalau-kalau tangannya itu berlaku kurang senonoh. Adesss!
“I nak tanya you fasal projek I tu. Bila you nak putuskan?” Tangan Tizz naik ke lengan, bahu sehingga kepala pula. Tidak tinggal seinci pun. Arayn menahan hati. Menahan detak-detak yang menari-nari di dada. Yang berbisik indah di telinga.
“Lepas I dah siap belek fail, check dokumen, dengar presentation dan lepas semua board of director puas hati dengan soalan-soalan yang berbangkit.” Sempat juga Arayn kuatkan diri. Harap-harap jawapannya dapat menjauhkan Tizz. “Come on, Tizz. You tahu prosedur kerja. Inikan pula untuk projek berjuta-juta. I tak boleh make my own decision.”
Tizz berkalih ke belakang Arayn. Menyentuh rambutnya. Sebelum dengan lembut menyentuh pelipisnya. Tizz tahu kelemahan Arayn. Arayn suka dipicit-picit dahinya. Suka diramas-ramas rambutnya.
Why not? You kan MD. You can do anything you want,” bisiknya lembut di telinga Arayn. Selalunya Arayn buat tak peduli sahaja. Tetapi kenapakah hari ini lain macam? Bukannya Tizz tidak biasa, jari-jarinya selincah itu. Bukan juga kerana Tizz yang menggesel-gesel di sebelah badannya. Merayap menyentuh tangan sehingga ke kepalanya.
Isskkk! Arayn terbayangkan Naazneen tanpa sebab. Kalaulah Naazneen yang berada di situ dengannya. Kalaulah Naazneen yang dengan rakus bergurau senda dengannya, bermanja-manja di pangkuannya. Heyyy, kalaulah… Alahai! Perempuan yang baru ditemuinya beberapa jam yang lalu sudah berjaya mengetuk-ngetuk angannya.
Tiba-tiba Tizz menyentuh cuping telinga Arayn. Menggigit sedikit dengan bibirnya. Tetapi terus sahaja membuat Arayn terkejut. Pantas dia berdiri. Mengelak ke tepi. Bagai orang yang berbuat salah, Arayn terbayangkan wajah Naazneen sekali lagi.
What’s wrong?” Tizz tiba-tiba marah. Hairan sungguh melihat penolakan Arayn. Selalunya, dia boleh buat lebih daripada itu. Selalunya, Arayn tidak pernah menepis sebegitu rupa. Sekali pun dia tidak membalas sentuhan Tizz, tetapi Tizz tahu Arayn memang terkesan dengan sentuhannya.
Alahhh, apa pula yang berlaku sekarang ni? Takkanlah Arayn percaya dakwaan perempuan gila tadi tu. Dia datang macam ribut, Arayn pula berubah mendadak macam bumi yang dibilas Tsunami. Biar betul?
Please respect yourselft,” pinta Arayn, berbisa. Dia raup-raup muka. Sebenarnya dia bengang pada diri sendiri. Buat pertama kalinya dia rasa bodoh membiarkan Tizz mengambil kesempatan pada dirinya. Bodoh! Bodoh! Tizz bukannya Naazneen. Itupun tak nampak ke?
Memikirkan Naazneen di rumahnya, di atas, dekat dengannya…alahai, macam manalah dia nak tidur malam ni? Ada peluang ke Naazneen berada di dakapannya? Naazneen pasti tidak membantah. Bukankah Naazneen yang ingat pada kisah cinta mereka. Pada hubungan sah mereka. Jadi, tentu sahajalah peluang dia sangat besar. Arayn mahu senyum nakal apabila ada bisikan yang mengejek rasa. Ambil kesempatan ya?
Arayn tersentak lagi apabila Tizz tertawa gila. Mengekek tak sudah-sudah. Bertambah-tambah lucu rasanya melihat Arayn yang mukanya jadi merah. Biar betul mamat poyo ni. Dah pandai malu-malu kucing pula.
*****
Dengan bantuan kad yang diberikan Arayn, mereka bertiga naik lif sehingga tingkat 45. Malangnya, sebaik sahaja menapak keluar dari lif, Liyana terjerit.
“Alahhh, lupa minta password.” Pantas dia mengeluarkan telefon dan mendail nombor Arayn.
Naazneen sebenarnya terpaku. Masuk sahaja ke ruang legar itu, pemandangan di sekitarnya sangat-sangat memukau. Dinding cermin memantulkan imejnya sendiri di kiri dan kanan satu-satunya lif yang ada di ruangan itu. Dihiasi pula dengan juntaian lampu kristal dari hujung dinding sehingga ke pintu. Semuanya berwarna putih. Di hadapan mereka pula, sebuah kerusi duduk yang memuatkan empat orang, kalau ikut saiz Naazneenlah, setinggi kepalanya berdiri, juga berwarna putih. Di hadapan kerusi itu ada meja empat segi kecil, juga dari jenis kaca. Kepalanya terdongak sehingga ke atas siling. Kagum benar.
“Terpesona ke?” Jasmin menyiku.
Naazneen tersipu-sipu. Tahulah dia budak kampung. Duduk dekat sungai dan tepi lereng bukit saja. Manalah dia pernah mimpi nak berada di bangunan setinggi ini. Naik kapal terbang pagi tadi tu pun pertama kali. Itulah juga antara kekangan yang menghalang langkahnya.
“Ini sikit jer. Awak kena tengok dalam penthouse Arayn. Pasti terpukau. Silap-silap haribulan, awak tak mau nak balik. Cayalah,” tokok Jasmin, tanpa sedar membibitkan serba-salah dalam hati Naazneen.
Itu yang dia tidak mahu. Dia tidak boleh berlama-lama di sini. Dia datang hanya kerana mahu menjejaki Arayn. Sekarang dia sudah bertemu Arayn. Sudah tahu kenapa suaminya tinggalkan dia. Sudah yakin bahawa Arayn tidak bersalah. Namun dia tahu satu hal. Arayn tidak ingat siapa dia. Tidak ingat bagaimana mereka berkenalan. Tidak ingat bila mereka berkahwin. Tidak ingat masa mereka bersama. Mana mungkin Arayn ingat bagaimana perasaan cinta yang dilafazkannya dua bulan lepas.
Sudah terang-terang Arayn tidak mempercayai cinta. Bahkan Naazneen tidak mahu membebankan Arayn tentang tanggungjawab lain setelah lahirnya anak mereka. Arayn tidak boleh didesak. Arayn seharusnya diberi peluang sehingga dia ingat semula. Naazneen akan tunggu. Dia biasa tunggu. Lagipun, Arayn yang nak dia tunggu.
Huhhh, kalaulah Arayn sedar betapa sakitnya menunggu. Sudah dia rasai selama dua bulan ini. Sampai bila lagi dia hendak menunggu Arayn pulih semula ingatannya. Bagaimana kalau dia kena tunggu sampai kucing bertanduk atau bulan jatuh ke riba?
“Hish! Mana Arayn ni? Tak angkat telefonlah pula. Macam mana nak masuk rumah dia ni?”
“Apa susahnya? Turun jerlah bawah.”
“Malaslah nak turun. Penat jalan.” Liyana menghempaskan punggung di sofa putih tadi. Diikuti pula oleh Jasmin. Terus sahaja penuh sofa tu. Tercongok mereka memandang Naazneen. Sebelum Liyana memberikan idea itu. “Naaz, apa kata awak turun semula ke bawah. Bilik Arayn. Dan minta pin untuk pintu rumahnya tu.”
Ha? Naazneen melopong. Bukan tidak percaya. Dia kurang dengar. Fikirannya melayang-layang.
“Minta pin untuk pintu rumahnya tu.” Tunjuk Liyana dengan bibir. Terdapat panel berskrin dan bernombor di sebelah pintu cermin separuh kayu.
Naazneen teringat sesuatu. “Saya rasa saya tahu nombor.”
“Ha?” Liyana dan Jasmin terkejut. Mereka bangkit mendadak. Mereka menarik tangan Naazneen ke muka pintu dan selepas kad dislot masuk, skrin menyala meminta memasukkan nombor pintu.
Walaupun sekadar kaedah cuba jaya, tapi Naazneen tahu itulah nombor yang diulang-ulang oleh Arayn dulu. Nombor yang sama dengan password untuk telefon bimbit Arayn juga. Apa lagi, selepas ditekan serta-merta lampu di skrin bertukar hijau. Bunyi klik di pintu pula kedengaran kuat menandakan pintu sudah dibuka.
Tak semena-mena, Liyana dan Jasmin berebutan memeluk Naazneen.
“Awak memang adik ipar kami. Sah! Tak boleh nak pertikai lagi,” ucap Liyana, terlonjak kesukaan. Pipi Naazneen dicium-cium macam saudara kandung pula.
Jasmin tidak ketinggalan. Pusing badan Naazneen dan dipeluk sakan. Hampir tak bernafas Naazneen dibuatnya. “Kalau Arayn tahu, dia takkan halau awak lagi.”
Napa?”
Riak wajah Naazneen yang kehairanan itu melucukan Liyana dan Jasmin. Ternyata Naazneen memang naif. Polos sangat.
Liyana letak tangan di bahu Naazneen. Menatap lembut ke dalam matanya. Menyentuh dagu Naazneen lembut seperti lembutnya suara itu menyapa pendengaran. “Awak tanya kenapa? Hei cik adik iparku yang cantik jelita. Takde sorang pun yang tahu nombor pin rumah Arayn termasuklah kami adik-beradik dan Mama juga. Trust me, dear. You really special to him.”
Naazneen terharu. Dia tahu betapa bertuahnya dia ketika Arayn melamarnya dulu. Siapa yang tidak bertuah apabila cinta yang gila menyerang siang dan malamnya dulu rupa-rupanya tidak bertepuk sebelah tangan.
Anehnya, dia tidak pernah terfikir akan dapat pengiktirafan sebegini cepat daripada dua orang yang paling disayangi Arayn. So, Naazneen dah mula rasa macam kena tiup bawang pula. Matanya pedih, berair-air lagi.
“Dahlah tu. Cukup drama air mata situ. Jom kita masuk.” Jasmin tarik tangan Naazneen yang sedang leka mengesat setitis air mata di hujung kelopak matanya itu. “Okey Naaz, masuk dengan langkah kanan. Ini rumah awak juga tau. Welcome home dear.”
Alahai, kakak ipar yang sporting gila. Rasa nak tumpah satu baldi air mata Naazneen pula. Tapi, dia gagahkan diri. Tarik nafas dalam-dalam. Seperti yang Liyana kata, masuk rumah baru tak baik diiringi dengan air mata. Jadi, dia pun senyum. Sedangkan hati kuat memalu. Semangat macam nak terbang jauh. Sebab jauh di lubuk hati, dia rasa tidak sedap hati. Entahlah. Naazneen tepis jauh-jauh dulu.
Melangkah melepasi dua lapis pintu di hadapan dan satu pintu tiga meter dari pintu hadapan, ini bermakna sistem keselamatan di situ sangat-sangat ketat. Apalah yang ditakutkan oleh Arayn. Naazneen yang tinggal dengan dua orang kawan perempuan pun hanya bergril besi dan selapis pintu kayu yang kalau ditendang pun boleh pecah terburai.
Namun, sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah, Naazneen rasa bagai nak terbang ke awan. Sekitar kediaman Arayn sangat-sangat memukau. Semuanya berwarna putih. Dinding cermin menghadap sebahagian Kuala Lumpur. Wah! Terujanya Naazneen, macam kanak-kanak yang dapat masuk funfair pula. Dia pegang-pegang pipi. Tepuk-tepuk pula. Mulutnya terngangah. Matanya terbuntang luas. Rasa nak juling-juling pun ada. Rasa nak lompat-lompat pun ada. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaannya tika itu.
“Macam mana? Suka tak?” desus Jasmin di telinganya. Lupa sekerlipan bahawa dia bukan berseorangan. Hish! Kalaulah dua orang kakak iparnya takda situ, dia dah lari pusing-pusing rumah Arayn yang luas tu. Satu tingkat ni untuk rumah dia saja ke? Macam tak percaya. Macam membazir pula rasanya. Kenapalah dia perlu tinggal seorang diri di sini? Aik, tak usah fikirlah hal dia. Yang penting, Naazneen dapat jejak kaki juga ke rumah Arayn. Luasnya. Istana Taib Mahmud di depan Sungai Sarawak pun tidak mungkin secantik ini. Iyalah tu, macamlah dia ada masuk dalam istana tu.
“Jom naik atas.” Jasmin menarik tangan Naazneen. Naazneen berasa pelik. Bukan ke ini dah tingkat paling atas? Tingkat 45. Apabila Naazneen mendongak baru dia perasan siling di pintu masuk tempat dia berdiri itu rendah sedikit. Tidak sama tinggi dengan siling di depannya. Di sebelah kiri itu ada anak tangga yang menyusur ke atas.
Bergegar-gegar derap kaki mereka berlarian naik ke tingkat atas yang hanya suku luasnya berbanding seluruh kawasan. Sebaik sampai berada di atas pula, sebuah katil yang besarnya dua kali ganda katil bersaiz king, terhampar mewah di bahagian itu.
“Tengok dari sini.” Tubuh Naazneen yang tergamam menatap saiz katil yang cukup besar, ditarik kuat oleh Jasmin. Sehingga badannya kini berdiri di hadapan pemandangan yang sungguh mengagumkan dia.
Naazneen kaku. Dia terpukau. Terpesona. Dia tak jumpa sebarang perkataan untuk menggambarkan betapa indahnya rumah Arayn. Dari bilik tidur yang tidak berdinding, sekadar dipagari besi sama tinggi dengan katil, seluruh pemandangan ruang bawah rumah itu dapat dilihat dengan jelas.
Liyana segera duduk di atas katil. Serta-merta bahunya ditampar oleh Jasmin. Tilam yang dibaluti cadar putih juga itu sangat bersih dan harum baunya. Kalau ikutkan hati mahu berbaring di situ. Sesaat pun jadilah.
What? Aku penatlah.”
“Kau tau Arayn tak suka orang duduk di katilnya. Kan dia cakap jangan sentuh katilnya. Dahlah katil tu ditempah khas. Kalau patah, siapa nak ganti?”
“Kalau dah tempah khas, takkanlah mudah-mudah jer patah. Lagipun, Arayn tu yang tamak. Buat apalah nak katik sebesar ini?”
Habis berkata-kata, empat biji mata itu mengekor Naazneen yang sedang mengelamun dengan senyuman. Masih terpacak menghadap ruang bawah yang tidak berdinding pun.
Tanpa mengendahkan Naazneen yang masih tersenyum itu, Liyana kembali bertegas dengan Jasmin. “Rayn kata jangan buat kotor. Bukan jangan usik katil dia.”
“Susahlah cakap dengan kau ni. Jomlah turun. Aku lapar dah ni. Nak call Arayn suruh guard hantar makanan.”
“Kau tau makan ajelah.” Liyana jeling Jasmin yang mengulas-ngulas perutnya.
“Bukan untuk akulah. Kan Naaz belum makan dari semalam. Dia tu tengah gastrik.”
Tanpa Naazneen sedar, mereka telah pun bergegas turun. Meninggalkan Naazneen seorang diri yang sedang mengelamun, menghayati keindahan rumah Arayn. Dia sebenarnya membayangkan malam. Pasti boleh tengok bulan dan bintang dari situ. Boleh tengok kerlipan lampu-lampu yang menghiasi Kuala Lumpur. Walaupun tidak setinggi KLCC, tapi Naazneen boleh nampak bangunan itu.
Dalam teruja itu, Naazneen terus sahaja landing di tengah-tengah katil milik Arayn. Siap guling-guling pula tu. Dengan senyuman mautnya lagi. Alahai…Naazneen tidak sedar bahawa ada mata yang mengendap dirinya kala itu.

No comments:

Post a Comment