Monday 9 November 2015

BUKAN KERANA BENCI (Bab 5)



AKU membiarkan sahaja air mata mengalir melepasi pelipis. Membasahi tilam kepunyaan arwah nenek. Memencilkan diri daripada keriuhan tetamu yang rancak bergilir-gilir melaungkan bacaan daripada surah-surah di dalam Al-Quran di ruang tamu.
Sudah empat jam sejak jenazah nenek dikebumikan. Sudah empat jam juga rasanya aku menangis di dalam bilik ini. Di sini, aku ditenggelami rasa kesal yang setiap saat menimbun dan menggunung. Satu demi satu pengorbanan nenek bergentayang di ruang minda. Berterusan menjemput rasa bersalah bermaharajalela.
“Dhia,” suara itu sekali lagi menyapa pendengaran. Seperti beberapa jam yang lalu, aku membiarkan sahaja. Berharap agar suara itu berlalu pergi seperti sebelumnya.
“Dhia, sudahlah tu. Nanti Dhia sakit pula kalau Dhia berterusan bersedih begini,” tuturnya lagi seraya melabuhkan punggung di atas tilam. Menghampiri tubuhku.

Aku sedikit pun tidak terkutik. Masih merenung jauh ke bawah almari baju di mana tersusun kemas lipatan kain batik kepunyaan arwah nenek. Kiranya, belum sempat dimasukkan ke dalam almari pun. Dadaku kian sebak. Bibir sengaja digigit menahan sendu daripada berselarakan lagi.
“Dhia, jangan macam ni. Tak aman nanti roh nenek. Dhia kena reda,” pintanya pula, masih terus-terusan mengelus lembut kepalaku yang bertudung litup. Seolah-olah membelai rambutku.
“Dhia…Dhia kesal…” terasa tersentuh dengan sikapnya, tiba-tiba suaraku mengganti sendu.
Sesaat cuma, suara bagai tenggelam lagi. Gelora dalam jiwa ini mematahkan hasrat mahu meluahkan. Dada terasa semput sekali.
“Perkara yang lepas, biarlah lepas. Nenek pun dah maafkan Dhia. Tak ada apa yang perlu dikesalkan lagi.”
Dia merapatkan tubuhnya. Lalu, tangan yang mengelus tudungku tadi sudah menepuk-nepuk bahu pula. Sambil sebelah lagi menyentuh tanganku.
“Dhia ungkit semua pun takkan mengembalikan nenek semula, sayang. Nenek sayangkan Dhia. Nenek tidak pernah membenci Dhia walau apa pun yang Dhia buat terhadapnya. Dhia tahu, kan?” suara itu turut diadun sebak.
Rabak hatiku mendengar dia menuturkan untaian ayat itu. Terutamanya apabila menyebut soal nenek. Aku mengangguk, lemah sekali.
Namun, pandangan masih tidak terkutik, menekur kain batik yang tersusun di hadapan ruang mata. Seakan ada lambaian kenangan bersama arwah nenek yang bertayangan di sebalik kain itu. Sehingga aku mahu melunaskan rasa rindu ini walau untuk terakhir kalinya lagi.
“Dhia…” panggilnya, kala aku terus membisu. Cuba menarik perhatianku kembali.
Buat pertama kali, aku berpaling padanya. Redup matanya sedikit merah. Ada genang yang sama sepertiku. Sesungguhnya, bukan aku seorang sahaja yang bersedih atas kehilangan arwah nenek. Bezanya, mungkin tiada rasa kesal yang menggunung dan menghempas di dalam jiwa wanita ini.
“Dhia, mak long nak minta sangat kat Dhia… lupakanlah apa yang terjadi dulu, sayang. Tak guna nak berkeras hati lagi. Rafiq…”
Aku serta-merta bangkit. Duduk betul-betul setentang dengan Mak Long Bibah. Terasa sesuatu menghempap di atas kepala. Bagaimana aku boleh terbuai dengan kesedihan sehingga lupa lelaki itu berada dalam rumah ini? Malah, di hadapan aku sekarang adalah ibunya. Wanita yang tidak pernah lelah memujuk rayu aku dan arwah ibu selama ini. Mungkin, kerana wanita inilah, nenek mengkhianati aku. Berpaling daripada mempertahankanku.
Sekilas, amarah terjentik sekali lagi.
“Kalau mak long nak sebut nama anak mak long tu, Dhia minta maaf sangat-sangat. Dhia tak berminat nak dengar,” tegasku.
Tiba-tiba sahaja air mata yang bergenang tadi mulai kering. Esak tangis surut kembali. Perasaan marah menggelupur mahu dilepaskan sekali lagi. Namun, aku tahan hati. Aku mahu bangkit apabila tangan Mak Long Bibah serta-merta menyentuh tanganku. Memegang lembut sekali. Menghalang niatku yang mahu berlalu. Memaksa aku kembali duduk di sisinya.
Aku berpaling dengan pandangan yang masih berbalam-balam. Wajah Mak Long Bibah aku tatap lama-lama sebelum suaranya menyapa jelas di pendengaranku.
“Sampai bila berdegil begini, Dhia? Terimalah hakikat Dhia tu dah berkahwin. Dhia dan jadi isteri Rafiq."
Aku mendengus geram kala menusuk pandangan ke dalam sepasang mata yang semakin terdesak itu. Kalau dia bukanlah orang yang lebih tua daripadaku, sudah aku layangkan penampar pada pipinya. Sudah aku cili mulutnya yang tidak henti-henti memujuk merayu. Sudah aku lumpuhkan anggota badannya agar tidak berani lagi untuk berdiri di sisiku dan bercakap ikut sedap mulutnya sahaja.
Bukannya dia tidak tahu apa yang dilakukan anaknya terhadapku? Seluruh dunia tahu! Mana mungkin aku boleh lupa kalau satu dunia masih mencanang keaibanku di segenap pelusuk.
“Dengar mak long…” aku merenung tajam mahu membidik tepat ke hatinya. Biar dia mengerti. Semoga anak lelakinya yang di luar sana juga memahami niatku.
“Dhia takkan berhenti berdegil kalau semua orang tidak berhenti mendesak. Dhia takkan maafkan Rafiq. Itu yang pasti. Sampai Dhia menghembuskan nafas sekalipun, Dhia takkan maafkan anak mak long itu. Biar Dhia mati jadi hantu pun, Dhia akan cari dia dan cekik dia hidup-hidup sampai dia mati.”
Puas dengan kata-kata itu, aku berpaling dan mengorak langkah keluar dari bilik dengan kemarahan yang membuak-buak. Hatiku panas. Kenapalah tiada manusia dalam rumah ini yang sanggup memberikan ketenangan seketika padaku? Biarlah aku sendirian di sini. Jangan ganggu aku!

7 comments: