Monday 9 November 2015

BUKAN KERANA BENCI (Bab 3)


KELUAR dari bilik, aku bergegas mahu keluar terus ke beranda. Baru sahaja aku berada di tengah-tengah ruang tamu, sudah ada tangan yang menarik tanganku. Aku tahu benar gerangan lelaki itu. Rupanya sahaja kelihatan warak. Tapi dengan aku, sesukanya mahu menyentuh kulitku. Ceh! Aku menyampah sungguh-sungguh!
Aku tersentak dengan perlakuan Rafiq. Kasar, menarik tanganku sehingga aku tiada kuasa mahu meronta. Akhirnya aku akur mengikut langkahnya yang masih memegang erat tanganku. Menarik tubuhku sehingga ke dapur. Agak jauh daripada saudara-mara dan tetamu yang berkunjung.
“Lepaslah! Kau dah gila ke? Aku tak suka kau sentuh aku. Tak faham lagikah?” tempikku bersama kelantangan suara yang boleh didengar oleh seisi rumah nenek. Walau di penjuru mana sekalipun mereka berada.
“Dhia isteri abang. Abang boleh sentuh ikut suka hati abang!” amuknya tak semena-mena.

Tiba-tiba aku rasa jijik sekali. Aku mahu menjerit, menghamburkannya dengan kata-kata maki. Namun, tangannya menerkup mulutku. Lalu, aku meronta menepis tangannya. Sehingga akhirnya dia mengalah. Berundur sedikit daripadaku. Aku termengah-mengah menarik nafas dibuatnya.
“Abang tak tahulah macam mana nak pujuk Dhia lagi. Sampai bila Dhia nak jadi begini? Sampai bila Dhia nak mendendami abang? Sampai bila baru Dhia sedar yang Dhia tu isteri abang? Sampai bila Dhia harap abang untuk bersabar? Tolong cakap pada abang,” tegas suaranya, bersalut amarah yang menjentik debar dalam hatiku. Matanya seakan berkaca-kaca. Namun, hatiku semakin degil dan keras sungguh. Sejak dua puluh tahun dulu.
“Sampai aku mati…” kata-kataku tertelan sendiri saat telunjuknya menyentuh bibirku. Dia sudah mula bersikap kurang ajar padaku. Sebelum ini, dia hanya menarik tanganku. Belum pernah dia seberani ini. Aku membeliakkan mata, tangannya aku tepis sekuat tenaga.
“Jangan ulang lagi! Abang tak suka bila Dhia sebut pasal mati. Jangan ulang lagi!” jerkahnya padaku. Sebelum sempat aku marahkan dia, Aqil Rafiqin sudah melayangkan telunjuknya ke kiri ke kanan di hadapan mukaku. Memberi amaran padaku.
“Kalau kau tak suka dengar, jangan tanya soalan bodoh itu pada aku berkali-kali.”
“Tapi kenapa? Dhia sudah jadi isteri abang. Sampai bila-bila pun Dhia tetap isteri abang. Atau Dhia sanggup hidup seorang sebagai isteri yang nusyuz?”
Aku tidak boleh terima perkahwinan ini. Bagaimana aku hendak menjadi isteri yang patuh pada suami. Dia bukan suami yang aku petakan di dalam mindaku.
“Sudahlah Dhia. Abang sudah janji dengan nenek. Malah, semua orang mengharap abang bertindak tegas pada Dhia. Pada mereka, hanya itulah caranya. Abang yang buta hati selama ini. Abang tahu kesalahan abang. Sebab itu, abang masih berdoa dan menanti pintu hati Dhia akan terbuka untuk memaafkan abang,” tuturnya, mahu merangkul pengertian walau sepenumbuk ke dalam hatiku.
Aku tidak berminat mahu mendengar rayuannya. Bukan dia tak mengerti pendirianku yang teguh terpacak, takkan pernah goyah. Lalu, aku angkat kaki mahu beredar tetapi direntap pula lenganku. Kasar sehingga berdecit suara mengadu sakit dari celah bibirku. Namun, dia tidak lepaskan pegangan. Aku meronta, sama kasar. Sebaliknya, dia menolak tubuhku, sehingga bersandar pada pintu peti ais.
Lalu, dia bawa tubuhnya merapat padaku. Sehingga hanya ada ruang beberapa inci sahaja jarak memisahkan tubuh kami. Aku telan air liur. Kendur seluruh tenagaku tiba-tiba. Menyedari itu, dia lepaskan pegangannya. Namun, tetap tidak terkutik, berdiri di hadapanku.
“Apa lagi yang kau harapkan daripada aku, Rafiq? Aku takkan penuhi permintaan nenek,” gumamku, berpaling ke sisi.
“Ikut abang balik rumah, Dhia. Beri abang peluang. Kita mulakan hidup yang baru,” pintanya, sekadar berbisik di telingaku. Tenang dan penuh rayuan, menggesa-gesa hatiku agar tumpang simpati.
Aku paling muka menghadapnya. Kala itu, hatiku bagai ditepuk debar yang menggoda. Lalu aku pejam mata rapat-rapat. Tangan aku bawa menolak dadanya, menjauhkan tubuh itu daripada tubuhku. Dia terundur setapak. Namun, tidak pula cuba mendekatiku lagi. Aku tarik nafas dalam-dalam. Ada rasa lega yang menjalar dalam segenap tubuhku.
“Jangan mimpi, Rafiq. Aku takkan terima kau sebagai suami. Perkahwinan itu hanya satu muslihat. Aku tidak percaya,” bidasku, melahirkan keputusan yang sama seperti dua tahun yang lalu.
“Apa yang Dhia tak mahu percaya? Pernikahan kita cukup rukun dan syaratnya. Keberadaan Dhia tidak dituntut dalam syariah. Kalau Dhia tahu Dhia takkan setuju berkahwin dengan abang.”
“Kalau sudah begitu, kenapa masih mahu mengahwini aku? Aku tak rela. Seperti dua puluh tahun dulu. Aku tetap bencikan kau. Kau ingat dengan menjadi suami aku, aku akan lupa apa yang kau dah buat pada aku?” Bibir sengaja aku herotkan sedikit. Mengejek harapan yang terbina lewat perkahwinan yang tidak aku akui kebenarannya walau dua tahun telah berlalu.
“Kau silap Rafiq. Aku takkan lupa dan takkan maafkan kau. Selagi parut ini masih merah, selagi itu aku takkan hidup bersama dengan kau,” putusku buat ke sekian kalinya.
Rafiq berkalih membelakangiku. Meramas-ramas kasar rambutnya. Kecewa sangat lagaknya. Seketika cuma, dia sudah kembali menghadapku. Merenung penuh pengharapan seperti selalunya.
“Kenapa membenci abang sehingga begitu sekali? Kenapa menghukum abang tak berkesudahan? Cukuplah Dhia. Abang merayu untuk terakhir kalinya. Apa yang sudah berlaku, cukuplah…! Sudahlah! Abang mengaku abang yang salah. Jangan hukum abang begini. Tak cukup lagikah dua puluh tahun Dhia hukum abang? Sudahlah, Dhia. Kita mulakan hidup yang baru,” rayunya, merapatkan diri padaku. Memegang kedua-dua bahuku. Menekur jauh ke dalam hatiku.
“Aku jadi begini sebab kau! Aku jadi manusia tak sempurna sebab kau! Macam mana aku mahu lupa? Macam mana aku nak mulakan hidup yang baru? Melihat mukamu sahaja, seperti baru semalam kejadian itu berlaku. Mendengar suaramu sahaja ibarat keris menikam-nikam jantungku. Perit sungguh! Sakit tak terkata.” tegasku, sambil melurutkan tubuhku perlahan-lahan. Sehingga terjelopok duduk di hadapan kakinya. Air mata gugur entah sejak bila. Esak tangisku mula bergema.
Dia turut merendahkan tubuhnya sehingga setentang denganku. Kemudian, dia angkat tangannya mengesat air mataku yang tiba-tiba berpusu-pusu tumpah. Aku mahu tepis tangannya. Niatku mati tak semena-mena kala aku lihat ada titis air mata yang bergenang dalam tubir matanya itu. Sekali lagi, aku sedar air mata kesal itu tumpah lagi.
Lama kami begitu.  Akhirnya, kala sunyi bertamu kembali, dia tiba-tiba mengucup ubun-ubunku. Terbuntang mataku melihat kelakuannya itu. Sesaat berlaku, aku tolak badannya agar menjauh daripadaku.
“Dhia, maafkan abang. Dalam masa terdekat, abang akan paksa Dhia tinggal dengan abang. Abang takkan berlembut dengan Dhia lagi. Abang akan pastikan Dhia tidak berjauhan dengan abang lagi. Kalau terpaksa, abang akan kurung Dhia dalam istana kristal ciptaan abang. Abang tak peduli lagi. Jadi, selagi ada masa Dhia bersiap sedialah.”
Kata-kata amarannya aku sambut dengan jungkitan kening. Mempersoalkan tindakannya itu. Dia hanya menjuihkan bibirnya padaku. Mengejek kepolosan aku kiranya.
Serta-merta, tubuhku bangkit. “Kau dah gila, Rafiq? Kau ingat aku ni apa? Anak patung? Jangan harap aku akan menurut tanpa berjuang,” tukasku, utuh dan jitu. Dia turut bangkit, bersama senyuman manis seakan berterusan menggoda aku. Menampakan lesung pipit di pipi kirinya. Pipi yang selalu aku cubit sewaktu kecil-kecil dahulu.
“Abang tahu Dhia bukan anak patung. Kalau anak patung, takkanlah abang berkahwin dengan Dhia pula. Pasal kedegilan Dhia, abang sudah jangkakan. Takpelah, tunggulah masa tu tiba nanti. Kita tengok macam mana Dhia nak lari daripada abang?” Manis bicaranya umpama gula-gula lollipop kedengaran pedih menusuk-nusuk jiwaku. Dia sempat mengenyitkan mata padaku, namun yang terjelir adalah rasa menyampah yang berlapik-lapik.
Sebelum sempat aku berbalas kata dengannya, tiba-tiba tubuhnya menjauh. Melangkah beberapa tapak sebelum berlalu meninggalkan aku sendirian di dapur. Sempat aku pegun memerhati belakang tubuhnya seketika. Tatkala dia menoleh kepadaku, aku kuatkan hati. Sedikit pun aku tidak gentar bertentang mata dengannya. Tiada riak takut atau mengalah sekalipun.
Namun, ada sesuatu dalam sinar matanya, yang aku tidak mengerti sungguh. Seakan mahu mencabar aku. Baru aku mahu cuba membaca maksud yang dilemparkan oleh pandangan matanya itu, dia sudah tarik muka, berpaling daripadaku. Ah! Aku tepis lagi perasaan pelik yang sepoi berbisik di celah-celah hatiku saat bayangnya menghilang daripada pandangan mata.

No comments:

Post a Comment