Monday 9 November 2015

BUKAN KERANA BENCI (Bab 1)




AKU putar stereng kereta. Lagi dua lorong sampailah aku ke tempat yang dituju. Hatiku berdebar kencang. Rasa gelisah sejak dua jam tadi, semakin kuat menghimpit dada. Resah menyelubungi jiwa.
Telefon tersadai di tempat duduk sebelah, menjerit-jerit lagu Pergi dendangan Aizat sekali lagi. Aku lempar pandangan sekilas pada skrin telefon Samsung Galaxy Note II berwarna merah jambu itu. Aku mengeluh kecil seraya tangan kiri sudah menggagau telefon itu, membawa ke hadapan mukaku. Jari pantas menarik punat hijau ke sisi kanan, dan butang pembesar suara turut ditekan sama.
“Ayah, Dhia dah nak sampai ni.” Laju, suara ini aku hamburkan sebelum sempat suara ayah menyapa pendengaran.
“Dhia, cepatlah balik. Ayah rayu sangat-sangat ni. Nenek kamu ni tak boleh tunggu lama-lama. Kasihan kat dia, Dhia,” rayu ayah pula.

Mendengar berita itu, aku jadi cemas. Rasa kesal sebab mengabaikan nenek turut kurasakan. Sejak dulu, sampai bila-bila pun kasih sayang nenek tidak pernah aku pertikai. Memang aku kasih padanya. Memang aku sayang sangat padanya. Tetapi…?
Sepantas kilat, wajah kudus nenek terhampar di ruang minda. Butir bicara nenek masih bergaung di benakku. Terasa sesak dada mengimbau permintaan nenek setahun lalu. Dalam keterpaksaan itu, aku hanya mampu mengeluh dan menghela nafas berat.
Masuk lorong terakhir, aku putar stereng kereta lagi. Kali ini, rumah nenek sudah tersergam di hadapan mataku. Sedang di luar rumahnya, sudah banyak kereta yang membanjiri.
Aku terpinga-pinga sebentar. Dadaku semakin berdebar semacam. Rasa gelisah itu tiba-tiba memanjat ke segenap tubuhku. Terasa menggigil tempurung lututku. Resah ini cuba aku tepis lembut sedari tadi. Aku pusing stereng, mahu memarkirkan kereta di satu sudut lapang, tidak jauh dari rumah nenekku.
Ketika enjin kereta dimatikan, hatiku dilanda rasa gemuruh semacam. Aku mengurut dada dan menghela nafas dalam-dalam. Lantas berdoa minta dijauhkan segala yang tak baik daripada menimpa nenek. Memang nenek sudah sebulan sakit. Salah aku yang tak pernah menjenguk walau sekali. Bukan sebab aku terlalu sibuk, walau sebenarnya aku memang sibuk. Tapi, sebab yang satu itu juga. Semua orang tahu. Sebab permintaan nenek setahun yang lalu.
Aku pun buru-buru membuka pintu, tanpa sempat menoleh ke kiri atau ke kanan pun. Tiba-tiba, bunyi hon kereta di sebelah hampir membuat tangkai jantungku tercabut. Aku tarik semula daun pintu, seraya mengurut dada, sedikit lega. Sempat mengutuk di dalam hati sahaja. Memang salahku membuka pintu tanpa melihat ada kereta lain yang masuk memarkir sama, betul-betul di sebelah keretaku.
Selepas berasa lega, aku toleh ke belakang. Apabila aku terpandang kereta yang baru muncul, serta-merta anak mataku membeliak tajam. Tersentak jiwaku sama. Hampir gugur jantungku sekali lagi. Pemandu kereta Honda CRV berwarna hitam membuat aku berasa jelek seketika. Sejenak, perasaan ini tiba-tiba dilanda ombak benci. Mengundang sama taufan amarah seperti dua tahun yang lalu.
Saat pandangan matanya bertegur sapa dengan mataku, dia layangkan senyuman manis. Pantas, aku larikan pandangan ke arah lain, lalu aku terus membuka pintu kereta dan meloloskan diri keluar dari dalam kereta. Aku ingin berada di dalam rumah nenek sekarang ini. Tidak mahu berselisih dengan lelaki itu. Tidak mahu berlaga mata dengannya sekali lagi. Bahkan, berdebat sama dengan pemuda itu pun aku tak sudi.
Aku muak. Muak sungguh-sungguh.
“Dhia!”
Aku tersentak saat namaku dilaung kuat dari mulutnya. Namun, laungannya belum mampu mematikan langkahku. Malah, langkahku kian laju tanpa ada niat mahu berhenti.
“Dhia, tunggu!”
Aku benci dia. Benci sangat-sangat. Sudah berkurun lamanya aku takung kemarahan di dalam hati. Sudah aku pakukan kebencian ini agar sentiasa memahat kukuh dalam sanubari. Selagi parut ini masih ada, selagi itu perasaan benci ini tidak akan pernah padam.
“Dhia, tunggu. Kita kena bincang dulu,” pintanya dengan tegas sekali dan sudah pun seiring denganku.
Namun, sedaya-upaya aku tetap mahu mengelak. Lalu, aku bawa langkah kaki bergerak ke kiri setelah dia halang jalan di hadapanku dengan tubuh gagahnya. Begitu pun, dia tetap tidak mahu melepaskan aku.
“Dhia, tunggu!” desaknya lagi, seraya memaut lenganku.
Langkah ini mati tiba-tiba. Aku angkat muka dan tatkala mataku menyapa matanya, aku lemparkan pandangan setajam anak panah. Mahu menusuk sampai ke jantungnya. Menikam dan menikam bertubi-tubi. Berbicara garang lewat panahan anak mata ini. Mengerti akan renungan mautku, dia lepaskan tangannya serta-merta.
“Dhia, kita bincang dulu. Sebelum jumpa nenek, Dhia dengarlah dulu apa yang abang nak cakap ni,” tuturnya, masih menepis amaran lewat renunganku tadi.
“Aku tak ada masa nak dengar cakap kau. Aku datang sini nak jumpa nenek. Aku dah lambat.” Aku terus menyambung langkah tanpa mengendahkan kehadirannya. Tapi, dia tetap berdiri di hadapanku. Masih berusaha menghalang perjalananku.
“Rafiq. Tolong jangan ganggu aku. Aku tak mahu bergaduh dengan kau. Bukan hari ini,” pintaku tiba-tiba.
Namun, suara ini masih tidak aku kendurkan. Sesungguhnya, aku mahu dia tahu. Niatku cuma mahu berjumpa nenek. Tidak lebih daripada itu. Masih merah rasanya parut yang dihadiahkan oleh lelaki ini. Masih berdarah luka yang ditoreh oleh Aqil Rafiqin.
Dia tenung aku sedalam-dalamnya. Seakan mahu menagih simpati atau sekelumit belas daripadaku. Entah kenapa di dasar hati ini seakan tertawa kecil. Mengejek dan terus mengejek sandiwaranya itu.
Aku bukannya sepolos yang dulu. Malah, aku juga bukannya terlalu naif seperti Dhia Ameerza. Gadis yang dia tipu mentah-mentah dua tahun lalu. Gadis itu telah lama mati. Dhia Ameerza yang berdiri di hadapannya sekarang ini, adalah gadis yang berlainan sekali.
Sebaik sahaja aku melangkah setapak ke tepi, dia paut lenganku, sedikit kasar lagaknya.
“Kau ni, kenapa ha? Lepaslah. Aku nak cepat ni,” jeritku, walau tidak terlalu tinggi. Tapi aku sudah cukup membuat dia mengerti mahuku.
“Dhia, kalau Dhia tak maafkan abang sekarang, abang tak paksa. Tapi, nenek nak sangat kita hidup bersama. Berdamai macam dulu.” Permintaan basi itu dilaungkan sekali lagi. Kata-kata maaf dan nyawa nenek jadi galang gantinya.
Aku semakin mual mendengar permintaan itu. Ini bukan pertama kali. Sudah beribu kali. Bukan setakat daripada bibir lelaki itu, bahkan ayahku, abangku, Masni sahabatku, Mak Long Bibah, dan sekarang nenekku juga. Sehingga akhirnya aku malas hendak balik kampung lagi. Malas berlaga pendapat dengan mereka yang tak putus-putus terus mencanang masa depanku bersama Rafiq.
“Kau jangan mimpi, Rafiq. Itu takkan berlaku. Aku ni bukan lagi yang dulu. Aku ni…sampai bila-bila pun takkan memaafkan kau.”
Itu sumpahku. Bukan sekali ini aku lontarkan daripada mulut3ku. Sudah berabad juga. Namun Aqil Rafiqin tidak pernah lelah merayu. Meskipun, rayuannya itu aku pandang kosong. Tidak sempat menyentuh dasar hatiku.
“Dhia, kalau benar Dhia sayangkan nenek, Dhia tolonglah penuhi permintaan nenek ini.”
“Tidak! Kau jangan berangan-angan dapat hidup bersama dengan aku. Aku tak rela dan tak sanggup. Walau nenek memaksa pun.” Sekali lagi aku muntahkan juga ayat yang sudah basi itu.
“Abang tahu Dhia benci abang. Abang tahu Dhia takkan maafkan abang. Abang takkan dapat tebus kesalahan dulu walau selautan kesal dalam hati abang dan segunung maaf yang abang pinta dari Dhia…” Dia terhenti sejenak. Matanya terkunci erat menjelajah ke dalam hatiku. Aku cebikkan muka. Berusaha agar mampu mengeraskan hati.
“Tapi Dhia…kasihanlah pada nenek. Jangan hukum nenek untuk salah abang. Tolonglah Dhia. Jangan pentingkan diri sendiri,” rayu Rafiq.
Semakin sakit hatiku mendengar tuduhannya itu. Rasa semakin pedih parut luka yang ditinggalkannya. Luka ini tidak pernah sembuh. Sekali aku pandang wajahnya, sekali aku dengar namanya, seakan baru semalam luka ini ditorehnya. Dicakar dan dirobek tanpa sebarang pilihan pun.
“Katalah apa mahumu. Tuduhlah apa pun ikut suka hatimu. Aku tak peduli, Rafiq. Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak selama dua puluh tahun dulu. Mana kau pergi? Kau jangan buat-buat lupa!” tekanku, mencarik-carik kisah lampau yang perit itu.
Aku tidak menunggu apabila dia terdiam sejenak. Kesempatan itu aku pergunakan sebaik mungkin. Aku kembali menyambung langkah yang terhalang, menuju ke rumah nenek yang cuma beberapa meter di hadapanku.
Tiba-tiba langkahku mati lagi. Hampir sahaja tubuhku tergolek dan jatuh menyembah bumi. Nasib baiklah terhadang oleh tubuhnya yang sekali lagi terpacak di hadapanku.
“Kau ni kenapa ha? Boleh tak kau jangan ganggu aku lagi? Aku datang sini sebab nenek panggil. Kalau sebab kau, aku dah lama tak balik sini. Kau tahu kan?” menyirap darahku memuntahkan kata-kata benci itu. Namun, masih belum mampu pula meruntuhkan tekadnya hari ini.
“Dhia, nenek sakit Dhia…” tiba-tiba sahaja suaranya bernada sayu. Terasa sebak pun ada dalam suara itu. Seakan menuntut pengertian daripadaku. Tapi sikit pun tidak memalapkan api kemarahanku.
“Jadi?”
“Jangan duga dia dengan kedegilan Dhia. Jangan patahkan hatinya dengan kebencian Dhia. Jangan matikan semangatnya untuk teruskan hidup, hanya kerana Dhia tidak mahu menjalankan hidup seperti kehendaknya.”
“Rafiq! Kau jangan guna nenek untuk niat kotor kau tu pada aku!” ugutku.
Dalam pada itu, aku angkat jari telunjukku, betul- betul di depan matanya. Mahu sahaja aku tunjal dahinya dengan telunjukku. Tapi, entah apa yang menghalang niatku. Aku tak pasti. Mungkin perasaan jijik mahu menyentuh dahinya atau perlakuannku itu dikhuatiri akan memanjangkan perdebatan ini.
Aku tidak rela diperlakukan sebegini oleh lelaki ini. Mahunya aku menjerit meminta tolong kepada ayah atau abang Irfan pun. Luluh hati ini kala aku bayangkan sikap dua insan yang paling aku sayangi. Pasti akan membela lelaki ini lagi.
“Dhia isteri abang. Itu sudah termaktub. Terimalah abang sebagai suami. Abang janji, selepas nenek menghembus nafas terakhir, abang akan lepaskan Dhia kembali. Biarlah nenek pergi menghadap Ilahi dengan segala ketenangan di hati,” bisiknya, bersungguh-sungguh.
“Isteri?” aku ketawa mengejek.
Pernikahan yang dilakukan atas dasar penipuan. Tanpa pengetahuan aku. Tanpa persetujuan aku. Paling menyakitkan, tanpa kehadiran aku!
Aku jungkit kening. Turut mengejek dan menyindir permintaannya lagi. Tak sangka dia masih nekad merayuku lagi. Bukan dia tak tahu pendirianku. Aku balas renungannya. Sama tajam, sehingga mahu tembus sampai ke dalam hatinya. Mahu aku hapus niat kotornya itu.
“Aku tidak akan pernah terima kau. Sekalipun, kau tu sepupu aku dan seluruh umat manusia menyokong kau, jangan berharap yang aku akan menjadi isterimu. Sekalipun nyawa nenek yang jadi taruhan. Baik aku mati daripada menerima perkahwinan ini.”
Aku cebikkan muka lagi bila dia sudah berundur setapak setelah melepaskan genggamannya di bahuku sebentar tadi. Aku tersenyum, puas menyindir. Akhirnya, aku tahu dia pasti kalah walau tika berperang dengan perasaan sendiri. Bila dia raup mukanya berkali-kali, aku berdoa sangat dia mengaku tewas kepadaku lagi. Agaknya, dia sudah buntu.
“Dhia, berkorbanlah untuk nenek. Kalau abang sanggup berkorban, kenapa Dhia tidak boleh? Mana sudah kasih sayang Dhia pada nenek dulu?”
“Sudahlah Rafiq. Kalau kau nak berkorban, kau korbankanlah diri kau sendiri. Jangan kau heret aku sama. Aku benci kau dan aku takkan maafkan kau. Jadi, berhenti meminta sesuatu yang takkan berlaku walau dalam mimpi kau sekalipun.”
Semakin menebal kebencian yang bersarang di hatiku. Aku mendengus geram. Laju, aku melangkah. Bila dia menghalang, aku langgar sahaja tubuhnya, dengan tubuhku. Aneh, dia pula yang mengelak ke tepi. Lalu, seakan bergelimpangan aku berlarian menuju ke rumah nenek. Takut sungguh andai dia masih juga nekad mengekori.

No comments:

Post a Comment