Monday 9 November 2015

BUKAN KERANA BENCI (Bab 4)





AKU menapak lemah sehingga terhenti betul-betul di ambang pintu dapur. Tubuh Rafiq telah hilang daripada pandangan. Suara tangisan dan bacaan yasin mula berkumandang dari dalam bilik nenek. Hatiku bertambah sayu. Fikiranku bercelaru. Haruskah aku penuhi kehendak nenek? Berbelah bahagi sudah hati ini.
Seketika aku duduk lalu bersandarkan pintu dapur. Aku tarik kakiku, sehingga lutut sudah sama tinggi menyaingi dada. Serentak itu, aku tundukkan badan sedikit, membiarkan dagu bersandar pada tempurung lutut. Semakin merapat lutut ke dada, aku silangkan kedua-dua belah tangan, merangkul kaki. Memori duka berita perkahwinan dua tahun dahulu seakan kembali mencalar emosiku.
“Abang tiada pilihan. Dhia sudah dinikahkan dengan Rafiq dua hari lalu,” tutur Abang Irfan, ketika itu aku sedang mengeluarkan beberapa helai pakaian dari dalam beg.
Aku tersentak. Seperti ada bencana yang bakal meletup rasanya. Tangan yang menggenggam pakaian, terhenti kala Abang Irfan melontarkan berita tajam itu ke pengetahuanku. Justeru, menikam hatiku.

“Abang jangan naik main-main dengan Dhia. Dhia dah kata Dhia tak nak. Dhia tak sudi. Dhia benci Aqil Rafiqin. Tolonglah, jangan buat lawak bodoh begini dengan Dhia. Dhia tak suka,” tempikku, menyeringai memandang Abang Irfan yang muncul di depan pintu bilikku. Dia menapak beberapa langkah ke hadapanku. Samsung Galaxy Tab 10.1 kepunyaan anak saudaraku itu, disua ke mukaku.
“Abang tak main-main. Ini rakaman video majlis akad nikah pagi tadi,” luahnya, sambil menekan butang ‘play’ pada rakaman video. Seketika, bait-bait perkataan ijab kabul terucap satu per satu daripada bibir ayahku dalam siaran video itu. Semakin luluh jantungku saat namaku dititikan dari mulutnya. Disahkan oleh Abang Irfan dan pak cikku. Juga saudara-mara yang aku kenali. Malah disaksikan oleh beberapa orang kampung, di rumah nenekku.
Seram sejuk tubuhku. Ada suatu rasa asing yang menjalar di perutku. Seakan menambahkan ketakutan dalam hatiku. Menggeletar seluruh tubuhku. Aku terduduk di birai katil. Baju yang aku genggam, terlepas daripada tangan.
“Abang…apa abang buat ini? Kenapa ayah buat begini?” bergetar suaraku. Berdoa sangat-sangat ini hanya permainan abangku. ‘Ya Allah, sesungguhnya aku tidak rela diperlakukan sebegini. Janganlah Kau uji aku sehebat ini.’
“Abang tak ada pilihan. Dhia paksa kami ambil tindakan ini. Sekarang, Dhia sudah menjadi isteri Rafiq yang sah,” tukas Abang Irfan. Benar-benar menghentak hatiku. Sehingga aku rasa bagai dipenyek. Dikhianati oleh abang sendiri. Dilukai oleh ayah sendiri.
“Tidak! Ayah tak boleh tentukan hidup Dhia. Abang tak boleh buat Dhia begini. Dhia tak sanggup. Bukan Rafiq, bang. Tolonglah,” rayuku, sudah disaluti sendu. Air mata menitis laju. Belum sempat bertakung di kolam mata. Berderai gugur melepasi pipi.
“Ini untuk kebaikan Dhia juga,” nada suara Abang Irfan mengendur. Memujuk rayu. Bahuku disentuh lembut.
Tak semena-mena, aku bangkit. Tangannya aku tepis. Air mata aku seka kasar sekali. Wajah sayu tadi sudah semakin tegang. Sama tegang dengan suaraku yang melaung tinggi sekali.
“Tidak! Dhia bencikan Rafiq. Abang tahu Dhia bencikan Rafiq. Abang tahu apa yang Rafiq dah buat pada Dhia. Kenapa abang masih nak tegakkan dia? Ayah takkan bertindak begini kalau abang tak desak dia. Ayah takkan memihak keputusan abang dan menyisihkan perasaan Dhia. Tidak, bang….jangan buat Dhia begini”
“Dhia…kami tiada pilihan lain. Rafiq yang bertanggungjawab…”
“Tapi Dhia ada pilihan. Dhia pilih Zarul. Bukan Rafiq!” sanggahku, lantang dan membuat anak mata abang Irfan mengecil tiba-tiba.
Keningnya bertaut. Seolah-olah menuntut penjelasan daripadaku.
“Balik-balik Zarul. Zarul bukan pilihan yang tepat, Dhia. Zarul…”
“Zarul cintakan Dhia. Zarul banyak berbudi pada Dhia. Zarul faham keadaan Dhia. Apa kurangnya Zarul?” tekanku, mendesak pengertian abangku. Walau aku tahu semuanya sudah terlambat pun.
“Rafiq juga cintakan Dhia. Rafiq dah janji dengan arwah emak. Dah janji dengan ayah dan abang,” tekan Abang Irfan, terus-terusan mendesakku.
“Sebab tu, abang paksa Rafiq?” soalku, menyinga.  “Lupakanlah janji itu, bang. Dhia tak paksa Rafiq menggalas janji,” aku merayu bersungguh-sungguh. Hatiku sebal tidak terkata.
Wajah sugul Rafiq lapan belas tahun dahulu menampar-nampar hatiku. Air mata Rafiq lapan belas tahun lalu, melemaskan kasih yang bermukim sejak mengenali lelaki itu. Kata-kata janji yang diikrarkan lapan belas tahun dahulu, mencampak jauh janjiku sendiri. Sehingga aku matikan hati. Sehingga aku buntukan akal. Sehingga aku pasungkan kebencian dalam hati ini. Bersemadi kuat di sanubari. Untuk lelaki bernama Aqil Rafiqin.
“Hutang budi tidak memaksa Dhia membalasnya dengan perkahwinan,” tentang Abang Irfan, tetap berdegil dan tak mahu kalah.
“Itu lebih baik daripada berkahwin dengan lelaki yang merosakkan hidup Dhia,” tegasku, membuat Abang Irfan menggeleng laju.
Seketika, Abang Irfan menghela nafas berat. Mencampakkan Samsung Galaxy Tab 10.1 tadi ke atas katilku, lalu memasukkan semula pakaian yang telah aku keluarkan ke dalam beg yang sedia ternganga sedari tadi. Anak mataku membuntang. Hatiku sudah ditepuk-tepuk rasa seram.
“Sudah… tak perlu keluarkan pakaian Dhia. Ambil dan bawa turun. Rafiq ada di bawah. Ikut dia balik ke rumahnya,” bicara Abang Irfan sambil menutup zip beg pakaian beroda dua berwarna coklat di atas katilku. Abang Irfan sudah berpaling menghadapku. Beg diletakkan di lantai. Wajahnya garang sekali. Tampak bersungguh-sungguh mahu menyerahkan aku kepada Aqil Rafiqin.
“Tidak! Dhia tak percaya. Dhia takkan terima dia sebagai suami. Lupakan sahaja niat abang itu.”
Aku turut menyeringai, memanah ke dalam matanya. Tubuh Abang Irfan aku tampar-tampar dengan telapak tangan. Marah sungguh hatiku. Pedih sekali jiwaku. Sampai hati abang sendiri memperlakukan aku sebegini rupa. Ibarat ‘menjual’ adik sendiri.
“Dhia!” jerkah Abang Irfan pula seraya merembat tanganku. Menarik sehingga tubuhku mengikut langkahnya keluar dari bilik.
Aku tidak mahu mengalah. Aku berpaut pada dahan pintu. Abang Irfan melepaskan genggaman seketika. Mengambil beg pakaian aku. Juga sebuah beg kecil di tepi pintu yang sudah lama siap dikemaskan. Abang Irfan meluru keluar ke beranda bilik, dicampakkan kedua-dua beg itu ke bawah. Aku yakin mendarat betul-betul di ruang tamu tingkat bawah. Berdentum kala kedua-dua beg itu menyentuh lantai.
Abang Irfan berpaling semula padaku. Saat dia menapak lalu memegang kejap pergelangan tanganku, aku menggelupur semakin hebat. Dadanya, tangannya, bahunya, malah kepalanya juga aku tampar dan hentak dengan kedua-dua tanganku. Mengalirkan seluruh tenagaku. Namun, aku akur pada kudrat abangku yang paling gagah. Manakan tidak, abangku seorang peninju sambilan.
“Lepaskan Dhia. Dhia tak nak ikut, bang. Dhia tak nak. Biar Dhia mati. Dhia tak mau hidup dengan Rafiq,” rintihku tak habis-habis walau Abang Irfan sudah mengheret tubuhku dan kaki terhuyung-hayang mengikut langkahnya menuruni tangga ke tingkat bawah rumah teres dua tingkat kepunyaan abangku ini.
Sampai sahaja di anak tangga hujung sekali, abang tolak tubuhku sehingga melayang dan jatuh betul-betul di tengah-tengah ruang tamu. Tangisku berselerakan. Sakitnya pergelangan tangan sikit pun tak terasakan. Perit lagi kesakitan dalam hatiku.
“Kenapa abang sanggup ‘jual’ Dhia begini? Apa salah Dhia pada abang? Kenapa sampai begini sekali benci abang pada Dhia? Dhia tak rela!” jeritku bukan kepalang. Memuntahkan segala kesal terhadap satu-satunya abang yang aku ada. Perasaan benci membuak-buak. Pada saudara kandung sendiri.
“Abang lakukan ini kerana inilah satu-satunya jalan untuk Dhia bersatu dengan Rafiq,” balas Abang Irfan yang termengah-mengah, bersandar pada tiang di hujung anak tangga rumah. Matanya galak menikam ke dalam mataku.
Aku yang masih terduduk di lantai dengan air mata yang bercucuran, perlahan-lahan mengangkat muka, mengamati sekeliling. Anak mataku galak menujah ke segenap penjuru dan menikam pandang pada setiap mata yang merenung.
Saat anak mataku terpandangkan ayah di ruang tamu, seluruh kudratku menjulang-julang. Lalu, aku meluru mendapatkan ayah yang tertunduk-tunduk, tidak bersedia berdepan dengan rayuanku.
“Ayah, apa yang ayah buat ni? Tolong Dhia, ayah. Cakap ini semua lakonan sahaja. Dhia tak rela, ayah. Jangan buat begini pada Dhia.” Rayuanku bagai tidak dipeduli. Tempurung lutut ayah aku goyang-goyang. Kaki ayah aku patut. Tangisan aku tidak dapat aku sembunyikan lagi. Anak mataku lelah menentang ruang mata ayah yang kelihatan resah.
“Dhia…jangan ikutkan perasaan, nak. Tenangkan hati dulu. Biar Irfan buat ini, untuk kebaikan Dhia juga,” balas ayah, sekadar mengusap lembut kepalaku.
Aku menggeleng keras. Masni dan Mak Long Bibah yang berada di sisi ayah kelihatan tidak berdaya juga. Aku tahu, tidak guna merayu kepada mereka berdua. Apatah lagi lelaki seorang itu. Yang kononnya bersedia menerima aku ke dalam hidupnya.
Abang Irfan sudah mendekatiku tanpa sedar. Pergelangan lenganku dipegang kejap. Diangkat dan ditegakkan tubuh ini. Sehingga aku berdiri betul-betul di atas tapak kakiku sendiri.
“Lepaskanlah Dhia, bang. Jangan buat Dhia begini. Dhia tak mahu!” pintaku, merayu belas ikhsan daripadanya. Saat anak mata aku kembali memaut simpati ayah. Malangnya, ayah hanya memandang kosong dengan jiwa yang penuh rela melepaskanku.
“Irfan!”
Abang terdiam. Genggaman tangannya terlepas. Saat itu, aku berpaling. Pada satu-satunya lelaki yang telah merosakkan hidupku.
“Jahanam! Kenapa kau buat aku begini? Kau tak habis-habis menyusahkan aku!,”
“Dhia! Rafiq suami Dhia sekarang. Dhia tak boleh cakap begitu.”
“Aku tak peduli. Kau jangan harap aku akan ikut kau balik. Jangan harap aku terima kau sebagai suami. Aku rela mati! Kau tahu tak? Aku sanggup mati sekarang juga daripada hidup dengan kau! Lelaki keparat!”
Aku tak berhenti menjerit, meraung dan merintih. Air mata tak putus-putus mengalir. Tubuh Aqil Rafiqin aku pukul dengan seluruh tenagaku yang masih bersisa. Sedikit pun tidak membuat dia terkutik. Setelah tenagaku kendur, dia pegang kedua-dua tanganku. Tidak mahu membiarkan aku merebahkan diri. Sebab tika dan saat itu, aku rasakan dunia sudah berputar ligat sekali. Aku memang mahu mati!
Sesaat, tubuh aku direbahkan di sofa panjang. Entah bila dan bagaimana, aku kurang pasti. Aku lelah melawan mereka. Tenagaku turut mengkhianati perasaan sendiri. Aku lihat Mak Long Bibah mengesat peluh di mukaku. Abang Irfan dan Rafiq sedang berbincang sesuatu, hampir denganku.
“Irfan, biarlah dulu. Biar Dhia tinggal dengan Irfan dulu,” putus Rafiq, sesekali mengerling padaku. Aku tidak boleh bersuara lagi. Terasa semput dadaku. Namun, sedaya-upaya aku cuba duduk. Tangan Mak Long Bibah aku tolak, walaupun tidak sekasar mana.
“Rafiq, ini bukan caranya…”
“Saya tahu Irfan. Tapi, buat masa ini, biarlah dulu. Biar Dhia berfikir dengan tenang. Berita ini mungkin terlalu drastik baginya. Saya pun sudah menjangkakan Dhia akan bersikap begini,” tukas Rafiq, menerima ketentuan ini.
“Percayalah Rafiq, ini bukan caranya. Kalau kau berlembut dengan dia, Dhia akan pijak kepala kau nanti. Dhia akan lebih keras. Masa tu, aku pun tak boleh nak tolong kau lenturkan dia lagi.” potong Abang Irfan yang benar-benar mendesak Rafiq.
“Aku tak mahu memaksa,” lirih suara itu hampir membuat aku tersenyum mengejek.
“Kalau kau tak mahu memaksa, kenapa kau setuju kahwin dengan aku? Kau memang suka paksa aku, kan?” sempat aku lontarkan rasa kurang senang itu walau sekadar berbisik. Nafasku turun naik. Marahku masih belum bertepi. Kebencian ini masih belum berakhir. Walaupun, dia tidak memaksaku lagi untuk balik bersamanya.
“Dhia…” Tuturnya terhenti kala aku tak memberi peluang langsung.
“Atau kau memang nak balas dendam sebab abang paksa kau berjanji dulu. Cakap dengan aku. Apa sebab kau kahwin juga dengan aku walaupun aku tak sudi? Kau lelaki dayus!” jerkahku. Sekadar dibalas dengan helaan nafas yang maha berat olehnya.
Tiba-tiba suara seseorang meraung, membuat aku tersentak lagi. Aku angkat muka, dan lututku sudah basah dihujani air mataku. Sekali lagi, suara tangis Mak Long Bibah mengembalikan ingatanku kepada nenek. Pada apa yang baru berlaku sebentar tadi. Terlupus cepat-cepat cerita dua tahun lalu dari benak memoriku.
Suara rintihan Mak Long Bibah, mengundang debar yang kurang senang dalam hatiku. Serta-merta aku bangkit. Bergegas menuju ke bilik nenekku. Sebaik sahaja tubuhku muncul di depan pintu bilik, aku lihat Rafiq sudah menutup habis tubuh nenek. Ketika aku berlaga dengan mata abangku, pantas dia menggeleng. Seakan memberitahuku yang nenek sudah tiada lagi.
Serta-merta aku lari memdekati tubuh nenek. Aku rebahkan tubuhku rapat di sisi nenek. Janganlah bergurau begini, pinta suara di dalam hatiku. Selimut yang menutup penuh tubuhnya, aku tarik dengan tangan yang terketar-ketar. Tiada siapa pula yang mahu melarang aku. Aku tumpahkan pandangan sayu penuh kesal pada wajah nenek.
Lama begitu, sehingga air mataku mengalir lagi tanpa henti. Rafiq menarik semula selimut agar menutup wajah pucat nenek, tetapi aku keraskan pegangan. Sebaliknya, aku tarik semula selimut itu. Belum puas menatap wajah nenek. Lalu, aku kucup dahinya yang sudah mula membeku. Seiring dengan esak tangisku. Sudah bergema, memenuhi ruang sempit bilik nenek.
“Nek, ampunkan Dhia nek,” laungku, bersama sesal yang takkan pernah putus.
Aku tahu itu. Kesal menyakiti hati nenek. Di saat akhir kehidupannya, aku sudah mula menjauhkan diriku dari nenek. Tidak sekali pun aku mahu menjenguk nenek lagi. Nenek yang paling aku kasihi. Nenek yang aku tahu kasihnya tidak pernah berbelah bagi. Tapi, sayangnya padaku, melebihi cucu-cucunya yang lain.
“Nek, Dhia minta ampun, nek. Ampunkan Dhia, nek” rintihku, semakin hiba sungguh.
Pilu dan luluh hatiku tika mendakap tubuh nenek yang sudah sejuk dan membeku. Semakin bergema esak tangisku. Sehingga akhirnya, ayah sudah menarik tubuhku. Menjauh daripada mayat nenek. Sedangkan saudara-mara yang lain, sudah mula membanjiri bilik kecil itu.
Aku duduk di satu sudut, menangisi pemergian nenek bersulamkan sesalan yang aku tahu takkan pernah surut di dasar hatiku ini. Hanya kerana lelaki yang sangat-sangat aku benci itu. Aku sisihkan nenek dari hidupku. Sehingga aku tidak dapat berkorban untuk ke terakhir kalinya. Demi kasih seorang nenek.
Saat aku angkat muka, Rafiq sudah tiada di dalam bilik kecil itu. Hatiku tidak berhenti-henti mencemuh. Nasib baiklah dia sudah cabut diri. Untuk yang satu ini lagi, aku tidak akan memaafkan Rafiq sampai bila-bila pun. Sehingga nenek menghembuskan nafasnya, aku tetap kukuh dengan pendirianku. Nenek tidak temui ketenangan kerana kedegilan lelaki itu yang mahu terus-terusan merencana hidupnya denganku. Semuanya gara-gara Aqil Rafiqin.

No comments:

Post a Comment