Wednesday, 18 April 2018

BUKAN KEKASIH PINGGIRAN - Bab 1

PROLOG (tekan kat bab tu)


Berlari-lari anak meredah hujan dan tanah berlecak, aku tak lepaskan pegangan tangannya. Sesekali dia menoleh, mengawasi diriku yang turut berhujan sepertinya. Tujahan matanya menyimpan rasa simpati yang menggunung. Aku cekalkan hati agar tidak menambahkan kekusutan dalam fikirannya.
Sampai di satu lorong belakang antara dua bangunan teres kedai dua tingkat, kami berhenti sejenak. Tumpang berteduh di bawah bumbung sebuah kedai yang disambung atapnya. Menjadi garaj terbuka untuk kereta memarkir di situ.
“Kau tak apa-apa, Scha?” Dia raup mukanya dahulu, sebelum menguis rambutku yang terkeluar dari tudung bawal. Basah berjuntaian, menutup dahi.
“Tak. Aku okey, Dzal.”
Namanya Dzal Aidi. Hanya aku seorang yang panggil dia dengan nama pertamanya itu. Pemuda yang aku cintai, dari kecil lagi.
Hujan turun dengan lebat. Sesekali percikannya mengena muka. Aku raup dengan sebelah tangan. Meski terkial-kial, aku berusaha untuk bertenang.
Bibir sudah pucat lesu. Badan menggigil kesejukan. Tangan yang aku genggam, aku pereratkan. Cuba meminjam sedikit hangatnya genggaman itu.
"Sejuk?" soalnya, kala berpaling padaku.
Aku geleng kecil. Tak mahu dia bimbangkan keadaanku. Kerana sesungguhnya, dia pun sama sepertiku. Sebenarnya, dia yang terperangkap dalam situasi diriku.
"Sekejap saja lagi. Nanti kita sampai sana," pujuknya, meraut rambutnya yang basah ke belakang. Membiarkan matanya melihat jauh ke dalam mataku tanpa penghalang.
“Dia akan tolong kita?” soalku sedikit bimbang. Bagaimana kalau usaha kami tidak berjaya? Bagaimana kalau selepas bersusah-payah, semuanya sia-sia sahaja.
“Dia akan tolong kita.” Dzal Aidi yakinkan aku. Dalam masa yang sama, meyakinkan dirinya sendiri. Sepicing rasa ragu yang menyelinap di balik sinaran matanya, dia lontarkan ke dada langit. Seakan mahu dibawa pergi oleh titis hujan.
Sempat aku intai kebimbangan yang berlalu sepintas lalu itu.
“Aku takut, Dzal.” Suaraku bergetar. Diiringi air mata yang jatuh dari kelopak mata. Bercampur air hujan dari tudung serentak jatuh ke pipi. Berlumba-lumba turun tetapi sempat meragut perhatian Dzal Aidi kembali padaku.
“Scha?” Dia jadi prihatin. Tangannya laju menyeka air mata yang mengalir itu.
Dadaku jadi sebak. Pipiku jadi balapan air mata. Seakan ada acara pecut di situ. Jari-jemari Dzal Aidi tekun menyeka titis demi titis.
“Jangan nangis, Scha. Doakan kita akan berjaya sampai di sana.”
Aku tahu Dzal Aidi akan usahakan sesuatu agar kami sampai ke sempadan Thailand itu. Masalahnya, apa yang akan berlaku setelah kami sampai di sana? Kami tiada apa-apa melainkan duit dari gadaian rantai leherku tadi. Berapa sangatlah.
“Scha…” tangannya tiba-tiba menongkah daguku. Menatap ke dalam mataku, mencari kepastian dariku.
“Kau percayakan aku, kan?”
“Kalau aku tak percayakan kau, aku takkan pujuk kau lari dengan aku, Dzal.”
Pegun tak berganjak menatap wajahku, tiada keraguan di balik wajah Dzal Aidi kala kata-katanya umpama sumpah keramat bermain-main dalam kepalaku.
“Aku sanggup lakukan apa sahaja untuk kau, Scha. Inikan setakat lari, kahwin dan bina masa depan dengan kau. Bukankah ini yang kita impikan selama ini.”
Aku heret dia dengan rancangan kahwin lari ni. Tidak pernah terfikir dalam benak akalku, tergamaknya aku melukakan hati ibu bapa Dzal Aidi. Orang tua yang aku anggap seperti ibu bapa sendiri.
“Tapi, aku tak mahu lukakan hati orang tua kau. Macam mana kalau pak cik dan mak cik terima berita ni? Mana mereka nak letak muka nanti?”
Aku tiba-tiba panik. Rasa bersalah dan tersepit.
“Shhh! Mereka akan kehilangan aku kalau mereka biarkan kau pergi.” Dzal Aidi lepaskan rasa geram. Kejadian semalam masih segar dalam ruang ingatan kami.
“Aku tak mahu berpisah dengan kau, Dzal. Aku tak mahu ikut nenek…” Aku dah hilang semangat. Ratapan semalam berulang tayang sekali lagi. Dzal Aidi terus sahaja meletakkan kedua-dua tangannya, mencempung pipiku.
“Scha, tiada siapa yang akan memisahkan kita lagi. Sekejapan sahaja lagi, kita akan pergi jauh dari sini.” Dia cuba memujuk hatiku,
Esakku terus berlagu.
Panik, Dzal bawa tangannya terus ke belakang badanku. Spontan, tubuhku dipeluk dengan sebelah tangan. Sebelah tangan pula, mengusap bahuku yang basah.
Menyedari keintiman kami buat pertama kalinya, aku jadi cangkung serta-merta. Esakku tersekat. Tangisanku mengendur. Lalu, malu-malu, aku jarakkan badan.
Dzal Aidi buat-buat tak terkesan. Tapi wajahnya sama sepertiku. Merah menahan malu yang terpercik tanpa sedar. 

No comments:

Post a Comment