Masa aku keluar dari bilik, umi tengah salai ikan letak atas papan kayu yang dibuat khas oleh ayah. Ayahku bernama Johari. Tapi, ada satu mamat dalam dunia ni yang suka panggil aku, Aara Johara. Katanya, aku riuh setiap masa macam segmen Johara di radio Era. Dah nama pun radio. Tak riuh, bukan radiolah wei.
Tapi, buat apa nak terasa. Ayah aku pun tak pernah terasa bila budak-budak selalu ejek dia dan bertanyakan aku, ‘di mana Joe Jambul?’ Hilang rasa hormat. Hilang panggilan Pak Johari. Hanya semata-mata, kami tinggal di Kampung Jambul. Jadi, mereka suka mengusik. Nama ayah aku disingkatkan dengan panggilan Joe Jambul.
Aku? Dulu memanglah aku marah-marah. Kalau orang sakat jer, aku kejar keliling kampung. Tapi sekarang tidak lagi. Bukanlah kerana aku dah dara sunti umur 26 tahun, tak manis main ligan-ligan lagi. Nanti umi piat telingaku. Tapi sebab ayahku dah famous dari kampung aku ni sampailah ke kampung seberang. Rata-rata kenal bila sebut jer nama Pak Joe Jambul. Ayah akulah tu.
"Ayah pergi mana, umi?" Aku masih gosok-gosok mata bila umi bagi jawapan macam nak gantung anak sendiri.
"Ayah kamu cari menantu?"
Terus mata segar bugar. "Menantu? Anak ayah yang mana nak kahwin?"
Muka umi pula jadi merah. Serentak, tangannya naik tunjal dahi aku. "Anak yang mana lagi? Anak umi sorang jer."
Aku memang suka sakat umi. Tengok muka umi membahang, aku macam kucing tumbuh tanduk. "Aara ni memang anak umi. Tapi, umi pasti hanya Aara anak ayah?" Sambil joget-joget kening jahat.
Tanpa pandang aku, ibu macam dah bersedia dengan jawapan. "Pastilah. Dan umi dah sepakat dengan ayah kamu untuk halau anak sewel ni dari rumah. Simpan buat apa. Buat sakit hati. Biarlah suami dia yang hadap pula. Ayah dan umi nak anak baru." Umi senyum jahat kat aku.
Makan dalam, beb. Umi aku tu yang cakap macam tu. Macamlah aku ni beban besar buat mereka. Huwarghhh! Terus perut aku jadi lapar.
“Umi, makan apa pagi ni?” aku menggendeng bahu umi. Sekali lagi, umi tolak tubuhku dengan sikunya pula.
“Tau makan jer. Kalau hari-hari macam ni, bila nak kurus. Nanti bersanding tak lawa. Kalau kahwin setahun lagi, takpe juga. Dibuatnya ayah kamu setuju tetapkan tarikh minggu depan, apa cerita? Takkan baru nak diet?”
Haish! Bersungguh rupanya? Aku dah mula cuak.
“Kenapa nak paksa Aara kahwin pula? Aara bukan budak-budak lagilah, umi. Umi tahu kan Aara tak nak kahwin kalau bukan…”
“Hadi?” Umi sebut satu-satunya nama yang melekat di hatiku. Sebati dalam diriku. Tak malu-malu, aku angguk.
Umi hembus nafas. Wajah jadi tegang. Aku dah tahu dah apa akan meluncur dari mulut umi. Kata-kata protes dah mula beralun dalam mindaku. Macam putar pita radio. Sebentar lagi, dejee dari Johara Pagi Era akan bersiaran.
“Ayah kamu nak jumpa Hadi lah tu. Nak melamar dia untuk kamu.”
Ha? Jauh meleset sangkaanku.
“Hadi? Ayah meminang Hadi untuk Aara?”
“Tak lah. Untuk anak ayah kamu yang lain.”
Kan! Dan-dan umi balas setepek kat muka aku.
Tapi, aku masih blur ni. Hati dah ada percikan. Minda memujuk emosi agar jangan bersorak tanpa sebab.
“Betul ke ni, umi? Hadi Haririe? Kan Hadi kat KL, umi.”
“Ya lah. Mana ada Hadi Haririe yang lain kat Kampung Buncit Bergoyang tu. Hadi tu lah yang Aara gila-gilakan dari kecil lagi tu. Takkanlah ayah kamu tu rabun tak boleh bezakan.”
Mukaku merah sangat-sangat. Betul ke ni? Ayah aku mengadap sembah lelaki yang hati kering tu?
Mati!
No comments:
Post a Comment