Monday, 5 June 2017

BETUL KE RAKUS - Prolog


PROLOG


Namaku Hadi Haririe. Umur 30 tahun dan masih bujang. Bukan tiada yang berkenan. Bukan juga kerana aku ni terlalu cerewet. Tapi, aku percaya kepada jodoh. JODOH ITU DI TANGAN ALLAH. Ketika suara hatiku tercuit untuk berkahwin, pasti Allah akan hadirkan seseorang di dalam hati untuk terus bermukim. 

Jadi, buat apa nak pening-pening kepala bercinta sakan dan berhabis wang, masa dan tenaga semata-mata nak mencari gadis yang boleh menghuni hati. Kalau dah ditakdirkan si dialah jodoh yang terpilih, nak tepis-tepis pun takkan terdaya. Kalau bukan jodoh, kau ikatlah macam mana pun, tetap terlerai juga. 

Jadi, aku reserved diri untuk si gadis dari tulang rusuk kiriku sendiri. Termasuklah Aara Johara, anak Pak Joe Jambul dari kampung seberang. 

Silap! Dia silap kalau dia fikir aku membencinya. Silap juga kalau dia fikir dialah punca kenapa aku ikut ayah ke Kuala Lumpur, tinggal bersamanya sehingga dewasa. Aku tak pernah membenci diri seorang budak bernama Aara Johari. Tidak pernah memandang serong. Jauh sekali, berasa jengkel dengan usahanya. 

Tapi…aku ni kan manusia. Lelaki pula tu. Kalau dah tiap-tiap hari dia goda aku, boleh lebur imanku ni. Jadinya, nak selamatkan diri, aku pilih pendekatan paling simple. Lari dari hidupnya. Lari jauh-jauh!

Kenapa? Ohhh…soalan yang kalau aku jawab seribu satu malam pun takkan selesai nak ceritakan semuanya. Jadi, aku ringkaskan sahaja apa yang berlaku dahulu dan sekarang. 

Kisah kami bermula ketika aku tingkatan 3 dan dia masih di bangku sekolah rendah. Kebetulan pagi itu, aku tiada mood nak ke sekolah. Selepas pertengkaran emak dan ayah, aku dihambat kebimbangan. Aku tahu punca pertengkaran itu adalah kerana kehendak ayah untuk berhijrah ke bandar. Emak pula enggan meninggalkan kampung, tanah dan rumah pusaka sejak lebih tujuh keturunan itu.

Emak selesa dengan hidup sederhana. Sementelah ayah, peluang untuk beranjak ke masa depan yang lebih cerah terbentang depan mata. Lalu, emak mengambil jalan mudah. Dan ayah cuba bertolak ansur dengan berulang-alik antara Beringin dan Kuala Lumpur setiap hari.

Pun begitu, kepenatan menewaskan segala prinsip, kasih dan cinta setiap hari. Penat membawa diri. Penat menerima aduan demi aduan pasal aku dan abang. Sehingga akhirnya, emak dapat menghidu perubahan seorang suami. Dan hari ini kebenaran itu terbongkar juga setelah hampir dua tahun ayah berulang-alik kerja di kota besar itu. 

Dengan nada marah, ayah lafazkan talak. Meski aku dan abang sahaja yang menjadi saksi, kami sudah cukup baligh untuk sama-sama terkesan dengan situasi yang berlaku. 

Lantas, aku terus keluar dari rumah setelah merembat jaket warna merah milik abang. Aku tinggalkan ayah, emak dan abang bergelut dengan apa yang baru berlaku. 

Sepanjang perjalanan dalam bas pagi itu, fikiranku kosong. Perasaanku hiba. Jasadku hanya ada dalam bas. Sedangkan mindaku entah di mana. Membelek soalan demi soalan di atas tuduhan emak tentang kecurangan ayah. Siapakah wanita yang begitu berani tanpa segan silu merampas kebahagiaan wanita lain? Kenapa ayah boleh melupai cintanya terhadap ibu hanya kerana kemunculan wanita lain? 

Aku mahu ke sekolah tapi sudah berulang-ulang trip pagi itu, aku masih juga di dalam bas. Sekadar membeli tiket bas dari konduktor dan digunakan sehingga habis. Entah berapa banyak. Entah sampai bila. Semua itu tidak penting. 

Aku buka tingkap bas dan biarkan angin menampar-nampar wajah. Dalam pedih pukulannya, ada usapan yang melegakan hati. Bersama-sama hembusan angin itu, aku temui ketenangan walau sekejapan sahaja. 

Sehinggalah sesusuk tubuh itu duduk di hadapanku. Aku tidak sempat melihat wajahnya. Tapi, tingkahnya yang turut membuka tingkap bas di sebelahnya, mengganggu ketenangan yang aku nikmati sebentar tadi. Putaran angin bagai berlarian kepadanya. Meninggalkan aku pukulan demi pukulan yang kian menyakitkan. Sehingga kesannya melorekkan sekeping hati yang masih berdarah. 

Pada ketika aku dibelit kemarahan, cemuhan mula berduyun-duyun muncul dalam kepala, dia tiba-tiba berdiri dan bergegas turun di simpang jalan menuju ke sekolahnya. Meskipun bas belum berhenti sepenuhnya. 

Entah kenapa aku terpanggil mengikut langkahnya. Terpanggil untuk menegurnya. Sebaik kaki menginjak tanah, aku melaung memanggil dia. 

Dia tertoleh sejenak sebelum mengitar simpang yang sunyi sekerlip mata. Bas telah berlalu sedangkan lorong yang dipilihnya itu menuju ke sekolah rendah di mana aku pernah bersekolah dulu. 

“Awak!” aku menggamit lebih rapat. Tapi langkahnya tiba-tiba mederu laju. Aku tahu ketika ini dia sudah terlewat ke sekolah tetapi aku harus menarik perhatiannya terhadap sesuatu yang membuat perhatianku terganggu ketika di dalam bas lagi. 

“Awak! Tunggu!” aku jerit kian kuat. Masih juga tidak diendahkan. Nampak sangatlah dia buat bodoh kehadiranku di situ. 

Geram dengan responnya, aku pantas merentap beg sekolahnya sehingga tubuhnya hampir terhumban ke belakang. Aku lekas-lekas memintas dan berada di depannya. 



“Kau…kau nak apa ni?” soalnya, separuh berani pula. Aku hampir tergelak. Poyo betullah budak ni…silap, dia bukan budak lagi. 

“Kau…” ayatku mati ketika wajahnya berubah pucat. Renungannya jadi semacam dan tubuhnya kelihatan menggelabah. Sedangkan aku pula berkira-kira mahu memilih perkataan yang paling sesuai untuk menarik perhatiannya. 

Baik aku bisikan saja. Hatiku bersuara. Lalu, aku merapat sementara dia berundur setapak. Terfikir sesuatu, aku buka jaket merah yang membaluti tubuhku. Dengan pantas, aku kepung badannya dengan jaket itu dan lilitkan jaket di pinggangnya. 

Tak terfikir olehku pula kerana tindakanku itu, tubuh kami bersentuhan. Sehingga aku boleh rasakan nafasnya menampar-nampar wajahku. Boleh dengar degupan jantungnya yang menggila di situ. Ketika tanganku menyimpul jaket di depan badannya, aku sempat mengintai ke dalam matanya. 

“Umi!!!” Dia menjerit. 

Aku jadi panik terus tutup mulutnya dengan aksi paling bodoh yang aku lakukan. Aksi yang menjerat hidupku sehingga kini. 

Sama ada kerana teguranku tentang tompok mereka di belakang baju sekolahnya hari itu, atau kerana aksi paling rakus di luar sedarku, sehingga ke saat terakhir hembusan nafas Aara Johara, dia bersumpah takkan lepaskan aku lagi. 

Patutkah aku menyerah diri sahaja? Menggalas amanah kerana menjadi lelaki pertama yang menyentuh bibir sucinya pada hari pertama dia bergelar anak dara.

RAKUS - Bab 2


Bab 2

Masa aku keluar dari bilik, umi tengah salai ikan letak atas papan kayu yang dibuat khas oleh ayah. Ayahku bernama Johari. Tapi, ada satu mamat dalam dunia ni yang suka panggil aku, Aara Johara. Katanya, aku riuh setiap masa macam segmen Johara di radio Era. Dah nama pun radio. Tak riuh, bukan radiolah wei.

Tapi, buat apa nak terasa. Ayah aku pun tak pernah terasa bila budak-budak selalu ejek dia dan bertanyakan aku, ‘di mana Joe Jambul?’ Hilang rasa hormat. Hilang panggilan Pak Johari. Hanya semata-mata, kami tinggal di Kampung Jambul. Jadi, mereka suka mengusik. Nama ayah aku disingkatkan dengan panggilan Joe Jambul.

Aku? Dulu memanglah aku marah-marah. Kalau orang sakat jer, aku kejar keliling kampung. Tapi sekarang tidak lagi. Bukanlah kerana aku dah dara sunti umur 26 tahun, tak manis main ligan-ligan lagi. Nanti umi piat telingaku. Tapi sebab ayahku dah famous dari kampung aku ni sampailah ke kampung seberang. Rata-rata kenal bila sebut jer nama Pak Joe Jambul. Ayah akulah tu.

"Ayah pergi mana, umi?" Aku masih gosok-gosok mata bila umi bagi jawapan macam nak gantung anak sendiri.

"Ayah kamu cari menantu?"

Terus mata segar bugar. "Menantu? Anak ayah yang mana nak kahwin?"

Muka umi pula jadi merah. Serentak, tangannya naik tunjal dahi aku. "Anak yang mana lagi? Anak umi sorang jer."

Aku memang suka sakat umi. Tengok muka umi membahang, aku macam kucing tumbuh tanduk. "Aara ni memang anak umi. Tapi, umi pasti hanya Aara anak ayah?" Sambil joget-joget kening jahat.

Tanpa pandang aku, ibu macam dah bersedia dengan jawapan. "Pastilah. Dan umi dah sepakat dengan ayah kamu untuk halau anak sewel ni dari rumah. Simpan buat apa. Buat sakit hati. Biarlah suami dia yang hadap pula. Ayah dan umi nak anak baru." Umi senyum jahat kat aku.

Makan dalam, beb. Umi aku tu yang cakap macam tu. Macamlah aku ni beban besar buat mereka. Huwarghhh! Terus perut aku jadi lapar.

“Umi, makan apa pagi ni?” aku menggendeng bahu umi. Sekali lagi, umi tolak tubuhku dengan sikunya pula.

“Tau makan jer. Kalau hari-hari macam ni, bila nak kurus. Nanti bersanding tak lawa. Kalau kahwin setahun lagi, takpe juga. Dibuatnya ayah kamu setuju tetapkan tarikh minggu depan, apa cerita? Takkan baru nak diet?”

Haish! Bersungguh rupanya? Aku dah mula cuak.

“Kenapa nak paksa Aara kahwin pula? Aara bukan budak-budak lagilah, umi. Umi tahu kan Aara tak nak kahwin kalau bukan…”

“Hadi?” Umi sebut satu-satunya nama yang melekat di hatiku. Sebati dalam diriku. Tak malu-malu, aku angguk.

Umi hembus nafas. Wajah jadi tegang. Aku dah tahu dah apa akan meluncur dari mulut umi. Kata-kata protes dah mula beralun dalam mindaku. Macam putar pita radio. Sebentar lagi, dejee dari Johara Pagi Era akan bersiaran.

“Ayah kamu nak jumpa Hadi lah tu. Nak melamar dia untuk kamu.”

Ha? Jauh meleset sangkaanku.

“Hadi? Ayah meminang Hadi untuk Aara?”

“Tak lah. Untuk anak ayah kamu yang lain.”

Kan! Dan-dan umi balas setepek kat muka aku.

Tapi, aku masih blur ni. Hati dah ada percikan. Minda memujuk emosi agar jangan bersorak tanpa sebab.

“Betul ke ni, umi? Hadi Haririe? Kan Hadi kat KL, umi.”

“Ya lah. Mana ada Hadi Haririe yang lain kat Kampung Buncit Bergoyang tu. Hadi tu lah yang Aara gila-gilakan dari kecil lagi tu. Takkanlah ayah kamu tu rabun tak boleh bezakan.”

Mukaku merah sangat-sangat. Betul ke ni? Ayah aku mengadap sembah lelaki yang hati kering tu?

Mati!

RAKUS - Bab 1


Bab 1

Tiupan angin yang menyapa wajah, tidak selembut sentuhannya. Seperti ada sakti, tiap kali jari-jemarinya berlabuh di kulit. Yang damainya menyimpul sekeping hati. Belaian lembut bibirnya di pipi, menghangatkan tubuh dan menjanjikan harapan.

Aku sering terbuai bila bibirnya yang kaku tidak pernah tergaris senyuman itu lincah menari-nari, menguis-nguis dan bermanja-manja di pipi dan bibirku selalu. Dan setiap kali mata kami bertemu tatap, aku tenggelam dek panahan nafsu tanpa bicara pun. Seolah-olah, keinginanku dan kemahuannya seiring dan sehaluan.

Dummm! Punggungku bagai kena hentakan. Aku pandang wajah dia. Kekasih idaman hati. Kosong? Erk? Mana dia pergi?

“Aara?” Umi muncul di muka pintu. Terus menggeleng pandang aku.

“Dah besar panjang pun, masih jatuh katil lagi.” Umi dah komen. Aku pandang sekitar bilik. Matahari dah menyambar dari langsir yang sedikit terselak. Selimutku pula masih membelit di badan. Bezanya, aku dah terhempuk di bawah katil.

Mulut umi masih membebel. “Sampai bila nak terus macam ni, Aara?”

Adoi! Umi pun…bukan punggung dia yang sakit pun? Aku jatuh bawah ni jer. Tak jatuh mana-mana lagi. Tahu jatuh, aku tahulah nak bangun. Kecoh jer.

Jadinya, aku balas tak berlapik juga. “Sampai Aara dah kahwinlah, umi. Ada suami tolong peluk. Taklah Aara pusing-pusing atas katil lagi.” Aku pasang angan-angan tu dah lama tau.

“Masalahnya, umi risau nanti suami Aara lari tidur kat sofa kalau tiap-tiap malam kena tendang dengan Aara. Aara tu buas!”

Makan dalam siot. Umi kalau komen tidak pernah berlapik. Pedas pula tu. Aku ni mesti mewarisi gen umi agaknya.

“Buas pun anak umi juga.” Aku bangkit, gosok-gosok punggung. Sebelum rebahkan badan semula di katil.

“Tambahan pula, umi pun tahu siapa bakal suami Aara, kan? Takkanlah dia biarkan Aara jatuh tergolek-golek kat bawah katil. Entah-entah, tiap-tiap malam dia ikat Aara kat dada dia, bawah ketiak dia, tak pun…”

Bumm! Bantal melayang dan mendarat terus ke mukaku. Spoil betullah. Aku baru mimpi berasmara dengan si dia jejaka hati. Baru nak berangan-angan dihimpit suami mithali.

“Apalah dosa umi sampai ada anak yang tak reti malu macam Aara ni.” Umi dah buang tebiat. Merungut tak tentu pasal. Tak sporting betul!

Aku ambil bantal yang dihumban tadi, terus kepit kat celah kelangkang.

“Hoi! Bangunlah. Dah pagi ni. Tolong umi kat dapur lagi bagus.”

Kan aku dah kata. Mulut umi tak boleh tutup. Berasap telinga aku menadah. Terpaksalah aku tarik selimut. Nak kurangkan volume.

Dan-dan umi hempuk bantal guling yang jatuh dari katil. Punggung yang sedia sakit jadi tambah kebas.

“Ya lah, Aara bangun ni.” Aku merengus. Sedar aku tewas sebelum berperang dengan umi.

RAKUS - Prolog



Prolog

Namaku Aara binti Johari. Empat huruf aje. Bukan empat suku kata tau. Dieja dengan huruf A di depan. Bukan itu saja, double A pula tu. Makanya, aku adalah orang pertama dalam kelas yang cikgu panggil kehadiran setiap hari. Orang pertama ambil bantuan sekolah di dewan. Orang pertama juga yang duduk di meja depan dewan sekolah ambil peperiksaan. Pendek kata, aku adalah orang pertama dalam semua hal.

Mula-mula aku memanglah kekok. Pernah marah ayahku sebab letak nama Aara. Tapi, orang kata alah menang tegal biasa. Lama-lama, aku dah bersedia setiap masa. Belum cikgu panggil, aku dah angkat tangan. 

“Hadir, cikgu.” Dengan riak bangga gitu. Cikgu baru selak buku kedatangan tu. Kekadang tu, aku tak bagi cikgu duduk pun. Aku terus hadang dia depan pintu kelas. Tunjuk muka aku ni.

“Ya, cikgu tahu Aara budak paling rajin datang sekolah. Hadir. Sebelum cikgu masuk kelas, cikgu dah tick nama, ya.” Cikgu pun, hebat-hebat. Ada aura telepati antara kami. 

Mungkin kebiasaan itu menjadi sebati dalam diriku. Lantas, aku mudah tertarik pada kasut pertama yang aku nampak di kedai, beg tangan pertama yang umi belikan, lagu pertama yang aku hafal liriknya, filem pertama yang aku tengok dengan Ain, dan lelaki pertama yang menjaga kehormatanku. 

Yup! Aku jatuh cinta pada hari hitam penuh sejarah dalam hidupku itu. 

Aku dah lah bangun lewat hari tu. Sakit perut pula. Itulah…mesti angkara pelahap makanan kat rumah kenduri semalam. Semua aku bantai sampai licin pinggan. Kalau boleh, gulai satu kawah tu aku nak cedok sampai habis. Nasib baik, umi dah tolak-tolak kepalaku. Bagi warninglah tu. Kata umi, aku ni buat malu mak bapa jer kalau ajak pergi rumah kenduri. Kejam, kan? Aku dah lah suka sangat pergi makan rumah orang. Free tu. Siapa tak suka?

Akibatnya, perut aku buat dajal. Tak cukup hal tu, aku ditinggalkan bas ke sekolah. Dah lah pagi tu aku ada peperiksaan akhir tahun darjah 5. 

Umi hantar aku sampai stesen bas. “Betul Aara boleh pergi sekolah sendiri ni?” Umi ragu-ragu. Tapi umi tiada pilihan. Dia terpaksa menjaga Mak Som yang baru bersalin semalam. Ayah pula dah turun menjala ikan dari semalam. Belum nampak muka lagi. 

“Umi jangan risau. Aara dah pernah naik bas.” Betul apa. Aku dan Ain selalu balik lewat sekolah dan naik transport awam ni balik dari sekolah. Kalau kami boleh balik, maknanya kami boleh juga pergi, kan? 

“Ingat tau, kalau ada apa-apa…”

“Aara akan jerit sekuat hati dan tendang sekuat-kuat tenaga.” Wacaaak! Aku kangkang kaki. 

Aduhhh! Sakitnya perut. Celah kelangkang pun sakit juga. Isk!

“Kenapa?” Umi dah mula kerut-kerut dahi bila mukaku berkerut agaknya. Tahan sakit. 

Sebelum cerita lagi panjang dan aku pun dah lambat, aku terus sahaja lompat masuk dalam bas ketika ada penumpang nak turun. 

“Bye umi!” Aku jerit macam kanak-kanak Ribena jual sayur. 

Taklah jauh sangat jarak sekolah dengan rumahku. Antara tiga buah kampung dan seberang sungai saja, bas pun masuk susur khas untuknya berhenti. Aku laju jer turun sebelum bas betul-betul berhenti. Kakiku laju walau perut tengah meragam-ragam. Dalam otakku, matematik oh matematik. 

“Awak!” Ada suara yang sangat lantang di belakangku. Tapi aku hayun kaki kian deras. 

“Awak!!” Kali ni kakiku tersangkut bila tiba-tiba beg sandangku ditarik seseorang dari belakang. Hampir melayang badanku sekaligus. 

“Wei! Kau…” 

Opss! Kacaknya dia. Suaraku tersangkut kat kerongkong. Lagi-lagi, dia terus ke depanku. Pandang aku penuh minat siot. Aku pun toleh kiri kanan. Takde orang pula. Matilah aku…matilah. 

Macam mana kalau dia rogol aku kat semak-samun tepi jalan raya ni? 

“Kau…kau nak apa ni?” suaraku bergetar beb. Aku tak tipu. Memanglah aku gerun. Tapi kenapa ya suaraku macam tak mahu nak jerit masa tu. Tak pula aku buka langkah nak tendang orang ke. Sebaliknya, hari itu, aku memang reda kena rogol agaknya. 

“Kau…”

‘Ha? Dia nak aku?’ 

Dia tiba-tiba buka jaket merah yang membaluti tubuhnya. 

Oh no! Aku dah cuak. Nasib baik kakiku berundur setapak bila dia datang rapat padaku. Masalahnya, dia tak berhenti di situ. Dengan jaket itu, dia kepung badanku dan sekerlip mata sahaja, tubuh kami bersentuh. 

“Umiii!!!”