PROLOG
Namaku Hadi Haririe. Umur 30 tahun dan masih bujang. Bukan tiada yang berkenan. Bukan juga kerana aku ni terlalu cerewet. Tapi, aku percaya kepada jodoh. JODOH ITU DI TANGAN ALLAH. Ketika suara hatiku tercuit untuk berkahwin, pasti Allah akan hadirkan seseorang di dalam hati untuk terus bermukim.
Jadi, buat apa nak pening-pening kepala bercinta sakan dan berhabis wang, masa dan tenaga semata-mata nak mencari gadis yang boleh menghuni hati. Kalau dah ditakdirkan si dialah jodoh yang terpilih, nak tepis-tepis pun takkan terdaya. Kalau bukan jodoh, kau ikatlah macam mana pun, tetap terlerai juga.
Jadi, aku reserved diri untuk si gadis dari tulang rusuk kiriku sendiri. Termasuklah Aara Johara, anak Pak Joe Jambul dari kampung seberang.
Silap! Dia silap kalau dia fikir aku membencinya. Silap juga kalau dia fikir dialah punca kenapa aku ikut ayah ke Kuala Lumpur, tinggal bersamanya sehingga dewasa. Aku tak pernah membenci diri seorang budak bernama Aara Johari. Tidak pernah memandang serong. Jauh sekali, berasa jengkel dengan usahanya.
Tapi…aku ni kan manusia. Lelaki pula tu. Kalau dah tiap-tiap hari dia goda aku, boleh lebur imanku ni. Jadinya, nak selamatkan diri, aku pilih pendekatan paling simple. Lari dari hidupnya. Lari jauh-jauh!
Kenapa? Ohhh…soalan yang kalau aku jawab seribu satu malam pun takkan selesai nak ceritakan semuanya. Jadi, aku ringkaskan sahaja apa yang berlaku dahulu dan sekarang.
Kisah kami bermula ketika aku tingkatan 3 dan dia masih di bangku sekolah rendah. Kebetulan pagi itu, aku tiada mood nak ke sekolah. Selepas pertengkaran emak dan ayah, aku dihambat kebimbangan. Aku tahu punca pertengkaran itu adalah kerana kehendak ayah untuk berhijrah ke bandar. Emak pula enggan meninggalkan kampung, tanah dan rumah pusaka sejak lebih tujuh keturunan itu.
Emak selesa dengan hidup sederhana. Sementelah ayah, peluang untuk beranjak ke masa depan yang lebih cerah terbentang depan mata. Lalu, emak mengambil jalan mudah. Dan ayah cuba bertolak ansur dengan berulang-alik antara Beringin dan Kuala Lumpur setiap hari.
Pun begitu, kepenatan menewaskan segala prinsip, kasih dan cinta setiap hari. Penat membawa diri. Penat menerima aduan demi aduan pasal aku dan abang. Sehingga akhirnya, emak dapat menghidu perubahan seorang suami. Dan hari ini kebenaran itu terbongkar juga setelah hampir dua tahun ayah berulang-alik kerja di kota besar itu.
Dengan nada marah, ayah lafazkan talak. Meski aku dan abang sahaja yang menjadi saksi, kami sudah cukup baligh untuk sama-sama terkesan dengan situasi yang berlaku.
Lantas, aku terus keluar dari rumah setelah merembat jaket warna merah milik abang. Aku tinggalkan ayah, emak dan abang bergelut dengan apa yang baru berlaku.
Sepanjang perjalanan dalam bas pagi itu, fikiranku kosong. Perasaanku hiba. Jasadku hanya ada dalam bas. Sedangkan mindaku entah di mana. Membelek soalan demi soalan di atas tuduhan emak tentang kecurangan ayah. Siapakah wanita yang begitu berani tanpa segan silu merampas kebahagiaan wanita lain? Kenapa ayah boleh melupai cintanya terhadap ibu hanya kerana kemunculan wanita lain?
Aku mahu ke sekolah tapi sudah berulang-ulang trip pagi itu, aku masih juga di dalam bas. Sekadar membeli tiket bas dari konduktor dan digunakan sehingga habis. Entah berapa banyak. Entah sampai bila. Semua itu tidak penting.
Aku buka tingkap bas dan biarkan angin menampar-nampar wajah. Dalam pedih pukulannya, ada usapan yang melegakan hati. Bersama-sama hembusan angin itu, aku temui ketenangan walau sekejapan sahaja.
Sehinggalah sesusuk tubuh itu duduk di hadapanku. Aku tidak sempat melihat wajahnya. Tapi, tingkahnya yang turut membuka tingkap bas di sebelahnya, mengganggu ketenangan yang aku nikmati sebentar tadi. Putaran angin bagai berlarian kepadanya. Meninggalkan aku pukulan demi pukulan yang kian menyakitkan. Sehingga kesannya melorekkan sekeping hati yang masih berdarah.
Pada ketika aku dibelit kemarahan, cemuhan mula berduyun-duyun muncul dalam kepala, dia tiba-tiba berdiri dan bergegas turun di simpang jalan menuju ke sekolahnya. Meskipun bas belum berhenti sepenuhnya.
Entah kenapa aku terpanggil mengikut langkahnya. Terpanggil untuk menegurnya. Sebaik kaki menginjak tanah, aku melaung memanggil dia.
Dia tertoleh sejenak sebelum mengitar simpang yang sunyi sekerlip mata. Bas telah berlalu sedangkan lorong yang dipilihnya itu menuju ke sekolah rendah di mana aku pernah bersekolah dulu.
“Awak!” aku menggamit lebih rapat. Tapi langkahnya tiba-tiba mederu laju. Aku tahu ketika ini dia sudah terlewat ke sekolah tetapi aku harus menarik perhatiannya terhadap sesuatu yang membuat perhatianku terganggu ketika di dalam bas lagi.
“Awak! Tunggu!” aku jerit kian kuat. Masih juga tidak diendahkan. Nampak sangatlah dia buat bodoh kehadiranku di situ.
Geram dengan responnya, aku pantas merentap beg sekolahnya sehingga tubuhnya hampir terhumban ke belakang. Aku lekas-lekas memintas dan berada di depannya.
“Kau…kau nak apa ni?” soalnya, separuh berani pula. Aku hampir tergelak. Poyo betullah budak ni…silap, dia bukan budak lagi.
“Kau…” ayatku mati ketika wajahnya berubah pucat. Renungannya jadi semacam dan tubuhnya kelihatan menggelabah. Sedangkan aku pula berkira-kira mahu memilih perkataan yang paling sesuai untuk menarik perhatiannya.
Baik aku bisikan saja. Hatiku bersuara. Lalu, aku merapat sementara dia berundur setapak. Terfikir sesuatu, aku buka jaket merah yang membaluti tubuhku. Dengan pantas, aku kepung badannya dengan jaket itu dan lilitkan jaket di pinggangnya.
Tak terfikir olehku pula kerana tindakanku itu, tubuh kami bersentuhan. Sehingga aku boleh rasakan nafasnya menampar-nampar wajahku. Boleh dengar degupan jantungnya yang menggila di situ. Ketika tanganku menyimpul jaket di depan badannya, aku sempat mengintai ke dalam matanya.
“Umi!!!” Dia menjerit.
Aku jadi panik terus tutup mulutnya dengan aksi paling bodoh yang aku lakukan. Aksi yang menjerat hidupku sehingga kini.
Sama ada kerana teguranku tentang tompok mereka di belakang baju sekolahnya hari itu, atau kerana aksi paling rakus di luar sedarku, sehingga ke saat terakhir hembusan nafas Aara Johara, dia bersumpah takkan lepaskan aku lagi.
Patutkah aku menyerah diri sahaja? Menggalas amanah kerana menjadi lelaki pertama yang menyentuh bibir sucinya pada hari pertama dia bergelar anak dara.