Wednesday, 12 October 2016

MADNESS-Bab 1



Heeeyaaaakkk!!!!
Gigi berlaga, atas dan bawah. Urat saraf berwarna hijau terjojol di atas lengan. Membukit. Mukanya dah merah, terbakar dari dalam tapi berbekalkan seluruh tenaganya masih juga tidak mampu menumpaskan kekentalan pintu besi berlapis-lapis yang menjadi penghadang laluannya.
Heeeyaaakkk!!!!
Sekali lagi dia bermati-matian. Dengan hembusan nafas dan jampi serapah yang meluap-luap, Nadeera menggepal tenaganya. Memulas dan menarik pintu besi sampaikan nak tercabut seluruh urat dalam badannya. Macam orang sembelit pun ada. Sampai nak termuntah Nadeera dibuatnya.
Pintu besi bergegar sahaja, tapi tidak tertolak walau seinci pun. Nasib baiklah dia di belakang restoran. Tak adalah sesiapa yang menjadi saksi kegagalan.
Nadeera tenung pintu besi tu macam nak telan hidup-hidup. Mangkuk hayun betullah pintu besi tu. Tak berganjak langsung. Dari semalam Nadeera suruh pekerjanya baiki. Nampak gayanya, masih belum diusik lagi. Buat kerja butalah tu. Mau kena ketuk jer baru jalan. Nadeera dah mula merusuh perasaan. Bengang dengan pintu besi restoran yang sukar dibuka walau mangga telah dicabut. 

Dia takkan mengaku kalah dengan mudah. Takkan nak kembali ke pintu depan pula. Ketika dia melintasi restorannya, macam ramai jer yang menanti restoran itu dibuka. Nadeera mengambil keputusan untuk memarkir keretanya di belakang. Jadi, nak kembali ke depan tu, kira pilihan terakhirlah jawabnya. Lagipun, dia bukan datang dengan tangan kosong.
Alternatif kedua jadi sasaran.
“Suziiiiie!” Nadeera dah gulung lengan baju. Nama pekerja yang mempunyai kunci yang sama untuk pintu depan dan belakang diseru sekuat hatinya. Macam melempias rasa hampa yang melolos akibat kegagalannya membuka pintu besi itu.
“Suziiiiieee!” Keras dan melantun, tapi bayang Suzie masih tidak muncul. Nadeera pasang telinga. Dengar macam-macam bunyi derap kaki, tapi takkan tiada siapa yang dengar suara nyaringnya itu?
“Mana pula Suzie ni? Bergayut dengan telefon lagilah tu.” Nadeera keluarkan telefon bimbit dan mendail nombor telefon Suzie.
Panggilannya tak masuk langsung, tapi terus ke suara operator tanpa rasa tu lagi sekali. Sejak ketika Nadeera di pasar lagi. Ditelefon berulang kali, manalah tahu ada lagi pesanan lain yang mahu ditambah beli. Tapi, sia-sia juga. Menambahkan sebal adalah.
“Kan dah agak dah.”
Hailah!!! Nadeera dah berpeluh. Minyak wangi sebotol pun belum tentu memberi kesan. Kali ni, dia nekad. Dia akan runtuhkan pintu besi ni. Biar rebah terus! Bukan dia tak tahu silat. Sia-sia datang sekolah setiap sabtu untuk latihan silat. Inilah masanya nak guna.
Nadeera tegakkan badan. Hela nafas dalam-dalam. Tumpuan memfokus ke arah lawan. Tenungan maut diberikan. Wajah menyinga.
“Heeeeyaaaaakkkk!!!” Nadeera buka langkah diiringi ngauman kerasnya.
“Cabut!!!”
Pekikan kuat di sisi mematikan langkah Nadeera.
Wajah ditoleh dan serentak itu keningnya bercantum. Sekumpulan pemuda berlarian ke arah bertentangan. Apa yang terjadi?
“Cabut cepat!” Seorang pemuda di antara mereka sempat menoleh lalu menarik rakannya yang hampir tersungkur. Tetapi, yang peliknya, wajah-wajah ketakutan itu semacam ada jembalang yang muncul di sisi Nadeera. Siang-siang hari pula tu.
“Bosss!” Suzie tiba-tiba menerpa ke pintu besi. Sementelahan sahaja pintu besi itu ditolak dan dengan mudahnya bergerak ke tepi. Nadeera terjojol biji mata. Tadi punyalah susah nak buka.
Tak sempat nak melangkah, Suzie menerkam kepadanya pula.
“Bos tak apa-apa?” Pipi Nadeera ditepuk-tepuk. Badan Nadeera dibelek-belek.
Nadeera rasa pelik semacam. Apa kena dengan Suzie ni.
“Bos tak luka ke? Mereka tak apa-apakan bos ke?” Suzie benar-benar panik.
“Apa yang kau merepek ni?”
Bingung dan keliru.
“Syukur. Nasib baiklah boss hidup lagi.” Makin pelik pula perangai Suzie ni. Nadeera pening melayan.
“Suzie!” Hamdan pula muncul. “Bawa bos masuk dulu.” Dia toleh kiri kanan. Bersedia hendak menutup pintu besi semula.
“Kenapa dengan kamu berdua ni? Apa masalah ni?”
“Masuk dulu, bos. Nanti saya ceritakan.”
“Cepatlah bos.”
Suzie tarik tangan Nadeera. Nadeera yang didesak, terdaya menunjuk dengan bibirnya.
“Hamdan, ambil sayur dari kereta.” Nadeera sua kunci kereta. Tapi Hamdan tak beri respon langsung. Anak matanya sahaja yang meliar-liar.
Kepelikan Nadeera makin berjela-jela. Apatah lagi setelah Suzie menarik tangannya, memaksa Nadeera masuk ke dalam restoran. Sebaik sahaja Nadeera dah berada di dalam, pintu besi ditutup semula. Cangkuk di bahagian atas ditariknya.
“Ohhh, patutlah aku tak boleh buka dari luar.” Tak sangka, pintu besi tu pun ada selak kunci di atas pintu.
“Kena berjaga-jaga, bos. Bahaya.”
Suzie dan Hamdan berpandangan. Sama-sama bersependapat.
“Apa yang bahaya? Kenapa kamu berdua pucat semacam ni? Ada bom dalam kedai saya?” Kan dah kena lenting oleh boss mereka.
“Bukan di dalam kedai, bos. Tapi luar kedai. Mereka dah mula buat hal tadi.”
Berkerut dahi Nadeera. “Siapa?”
“Ah long.”
“Kau dating dengan Ah Long pulak ke? Hei Suzie, kita baru seminggu jer sini. Kau tak kenal dia lagi. Dah berani-berani dating…”
“Bukan Ah Long kedai sebelah tu, bos. Ini Along besar.”
“Taiko, bos.” Hamdan menyampuk.
Nadeera tu kekadang lembab juga. “Taiko tu apa pula?”
“Aduh! Samseng lah, bos.” Suzie dan Hamdan serentak.
“Samseng?” Perkara paling mengerikan dalam hidup seorang pekedai ialah samseng. “Apa mereka buat di luar kedai saya?” Nadeera dah rasa tak sedap hati. Patutlah ramai berkerumun di depan kedainya tadi.
Belum sempat Suzie dan Hamdan menjelaskan apa yang berlaku, Nadeera dah mengusung dada ke depan, melewati dapur yang masih kelihatan sunyi. Nadeera bertambah geram apabila melihat para pekerjanya menikus di bawah kaunter bayaran.
“Mana mereka?” Hati dah membara. Dia mungkin anak yatim. Tidak berayah. Tapi, darah pahlawan perang di lautan tidak pernah pupus dari badannya. Bahkan membelit menjadi daging di setiap inci tubuh langsing gadis berusia 28 tahun itu.
Suzie pegang tangan Nadeera. Kejap dan tangkas. “Jangan pergi, bos. Bahaya.”
“Argh! Aku tak peduli. Kau tahu bahaya mereka aje. Aku ni pun bahaya juga, tau. Jangan main-main. Air yang tenang, jangan disangka tak beracun. Entah-entah, aku bagi minum air jampi, baru kau tau.”
Apa yang kau merepek ni, Nadeera? Suzie dah berkedut-kedut dahi. Takkan bosnya tu tahu bab-bab jampi pula ni.

No comments:

Post a Comment