Heeeyaaaakkk!!!!
Gigi berlaga, atas dan bawah. Urat saraf berwarna hijau terjojol di atas
lengan. Membukit. Mukanya dah merah, terbakar dari dalam tapi berbekalkan seluruh
tenaganya masih juga tidak mampu menumpaskan kekentalan pintu besi
berlapis-lapis yang menjadi penghadang laluannya.
Heeeyaaakkk!!!!
Sekali lagi dia bermati-matian. Dengan hembusan nafas dan jampi serapah
yang meluap-luap, Nadeera menggepal tenaganya. Memulas dan menarik pintu besi
sampaikan nak tercabut seluruh urat dalam badannya. Macam orang sembelit pun
ada. Sampai nak termuntah Nadeera dibuatnya.
Pintu besi bergegar sahaja, tapi tidak tertolak walau seinci pun. Nasib
baiklah dia di belakang restoran. Tak adalah sesiapa yang menjadi saksi
kegagalan.
Nadeera tenung pintu besi tu macam nak telan hidup-hidup. Mangkuk hayun
betullah pintu besi tu. Tak berganjak langsung. Dari semalam Nadeera suruh
pekerjanya baiki. Nampak gayanya, masih belum diusik lagi. Buat kerja butalah tu.
Mau kena ketuk jer baru jalan. Nadeera dah mula merusuh perasaan. Bengang
dengan pintu besi restoran yang sukar dibuka walau mangga telah dicabut.