Balik dari sekolah memang memenatkan.
Sepatutnya, aku sudah pulang dua jam yang lalu. Malangnya, kerja-kerja
menimbun. Bukan setakat marking kertas peperiksaan, pengetua nak laporan juga
hari ini. Terpaksalah aku bertahan menyediakan apa yang patut. Telefon yang
bordering-dering, akhirnya aku matikan sahaja. Tidak kuasa lagi berbahas dengan
mak yang memekak di talian.
Sewaktu aku tiba di perkarangan rumah,
dua buah kereta asing sudah memarkir di depan pintu pagar. Menghalang laluanku
untuk masuk ke dalam rumah. Terpaksalah kereta myvi kuning yang menyala-nyala
warnanya, sama kuning dengan baju kurung berbunga kecil-kecil, aku tinggalkan
bersadai di depan pintu pagar jiran sebelah rumah.
Aku melangkah laju menuju ke pintu
pagar. Pak Andak yang sedang berada di ambang pintu, terus melambai sebaik
sahaja aku memasuki pagar.
“Dah balik pun anak dara bertuah ni.
Cepat sini,” laungnya, tidak kesabaran.