Wednesday, 8 June 2016

SI HITAM MANIS (Bab 3) - Coming Soon





Niatku memanglah hendak ke kedai buku di hujung taman perumahan. Tapi, entah kenapa kereta myvi kuning yang aku pandu membawa langkahku sampai ke sini. Berbatu-batu jauhnya. Kawasan perumahan lain yang pesat membangun. Orang kata, di sini semua ada.
Aku duduk seorang diri di Starbuck, melayan capucino panas secawan dan kek sepotong. Indahnya kalau ada yang menemani.
“Assalamualaikum.” Aku baru nak berangan-angan apabila dia muncul bagaikan anugerah Allah buatku.
Aku tiba-tiba panik apabila seraut wajahnya yang melekat dalam kepalaku kini berada di depanku. Tanpa aku pelawa, dia duduk di kerusi kosong di depanku. Aku terus tak menentu. Salamnya aku jawab hanya menggerakkan bibir. Tiada suara yang melucut dari celah-celah gigiku yang lebih putih daripada warna kulitku.
Jantungku berdetak laju. Leherku seperti disentuh hembusan nafasnya yang kebasahan. Sehingga tangan aku bawa mengusap leher yang dilindungi oleh rambut mencecah ke leher. Emosiku berlainan pula. Tidak seperti dua jam yang lalu.
“Tak apa ke saya duduk sini? Kawan belum datang lagi, kan?” tebaknya, disulami senyuman yang kini menggetarkan hatiku pula. Aduhai...apa yang sedang berlalu? 
“Saya nampak Adira lalu depan ofis tadi. Lepas tu, saya ikut sampai sini. Awak tak marah, kan?” soalnya lagi.
Dan aku terus terkunci mulut. Tanganku basah, aku bawa ke bawah meja. Meramas seluar jeans yang cukup tak selesa.
Seketika, tanpa aku pinta, dia bingkas ke kaunter, membuat pesanan sementara aku bertarung meredahkan kegugupan yang baru melanda diriku. Macam mana dia ada di sini? Mana satu pejabatnya? Aku tertoleh-toleh, sedangkan aku berada dalam Starburck yang dilengkapi penghawa dingin.
Seketika, dia kembali bersama dua cawan capucina latte dan diletakkan satu di hadapanku.
“Awak tak kisah, kan? Ini saya belanja. Anggap macam kita dating first time.”
Aku yang tadi tertunduk-tunduk, pantas angkat muka dan bertemu dengan renungannya yang mengusik jiwa. Seluruh wajahku merona merah. Apatah lagi apabila dia senyum, sambil menghirup straw di bibirnya.
“Awak memang pendiam ke? Tak cakap sepatah pun.” Akhirnya, dia macam kurang selesa.

SI HITAM MANIS (Bab 2) - Coming Soon




Emak bercakap di talian dengan suara yang sangat perlahan. Sebentar tadi, bukan main galak lagi. Suka apabila bakal besannya menelefon. Tapi, selepas lima minit, suara emak timbul tenggelam. Wajahnya berubah lesu.
Aku yang mendengar terpalit resah. Menanti panggilan itu bagaikan menunggu keputusan SPM dahulu. Macam mana aku tak keruan. Dulu, lepas sahaja rombongan merisik pulang, pantas juga kami mendapat keputusan. Selalunya ditolak. Ya, selepas lapan kali merisik dan dua kali putus tunang, aku tidak lagi meletak sebarang harapan. Sisa-sisa harapan itu telah lama musnah. Sehinggalah, tiga hari yang lalu. Arghhh, aku jadi panasaran dibuatnya.
“Mak janganlah risau. Insya Allah, Dira boleh terima kenyataan. Lagipun, kalau Dira tak kahwin, Dira boleh teman mak. Mak patut bersyukur sebab ada anak sebaik Dira. Boleh jaga mak seumur hidup.” Aku pujuk emak. Dalam usaha, memujuk hati sendiri. Senyumku lebar tapi rasanya hambar sekali.
Emak pandang aku sebelum mengeluh hampa. “Mak tak nak Dira tua seorang diri. Kalau mak dah takda nanti, siapa nak temankan Dira? Takkan Dira nak bercakap dengan lampu dan kipas memanjang? Mak tak nak Dira sampai gila takda teman nak luahkan perasaan.”
Terbukti, selama ni mak banyak skodeng aku. Dalam berbaring tu, memang aku suka layan perasaan dan bercakap-cakap dengan kipas dan lampu depan mata. Nak buat macam mana? Itu lah saja yang setia menemaniku setiap malam, bila hati ini terasa kesepian.
“Ala mak ni. Dira kan ada angah dan asu. Kalau Dira bosan, Dira pergi jer rumah mereka. Bukan jauh mana pun.” Dua orang adik aku jadi sasaran.
Emak makin suram. Matanya tampak berkaca-kaca. “Mereka ada kehidupan mereka, Dira. Dira tak mahu kah ada kehidupan seperti mereka? Ada suami untuk berkongsi suka dan duka. Ada anak-anak untuk menceriakan hidup mereka. Yang memberi mereka matlamat untuk hidup?”
Sepatah demi sepatah ayat emak itu, menyiat-nyiat tangkai hatiku. Membelit kejam dan terus melumpuhkan sekeping hati yang mahu kuat. Kalaulah boleh aku jeritkan pada dunia, telah lama aku jeritkan sehingga urat sarat di leherku ini putus pun aku tak peduli. Aku mahu dunia tahu. Aku mahu dunia berhenti bertanyakan soalan cepu mas tu. Aku mahu mereka merasai keperitan yang aku tanggung selama ini.
Argh!!! Kalaulah jeritanku itu boleh mengubah segala ketentuan Ilahi?
Tidak mahu tenggelam dalam kesayuan yang terbuka, aku bangkit dari kerusi di meja dapur dan merentap kunci kereta myvi kuningku.
“Dira nak beli buku dulu, mak. Esok nak bagi test kat budak-budak sekolah.” Tidak menanti jawapan emak, aku berlalu sahaja, keluar dari rumah.
“Dira...mak tak habis cakap lagi.”
Aku sekadar terus melangkah. Emak hantar aku dengan pandangan yang sudah pun basah. Sedu-sedannya sempat menyapa ke pendengaranku. Tapi, aku gagahkan langkah keluar dari rumah. Kerana aku yakin, kalau sesaat lagi aku duduk di depan mak, aku akan teresak sama. Kami akan berdakapan.
Sesungguhnya, Allah tahu betapa aku mahu dikasihi dan mengasihi. Dicintai dan mencintainya. Dan sesungguhnya, aku juga tahu, jodoh itu di tangan Allah. Hanya kepada-Nya aku meminta sejak sepuluh tahun yang lalu.